+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Dua Jenama Mi Segera Dari Malaysia Dan Indonesia Mengandungi Etilen Oksida Selamat Untuk Dimakan

Benarkah...

Dua jenama mi segera dari Malaysia dan Indonesia mengandungi etilen oksida (ethylene oxide) iaitu sebatian kimia yang dikaitkan dengan limfoma dan leukemia.

Sumber : WhatsApp / April 2023

Hasil

KKM telah menjalankan analisis makmal ke atas produk mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial dari Indonesia dan Mi Kari Putih Penang Ah Lai dari Malaysia dan mengesahkan bahawa produk tersebut mematuhi perundangan yang ditetapkan dan selamat dimakan.

16/05/2023 04:19 PM

KEMAS KINI (UPDATE)

SEKILAS FAKTA

  • Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kedua-dua mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial dan Mi Kari Putih Penang Ah Lai yang sebelum ini dikesan mengandungi ‘etilen oksida’ selamat untuk dimakan.
  • Menerusi kenyataan rasmi KKM, analisis makmal telah dijalankan dan mendapati dua sampel produk mi segera berkaitan mematuhi perundangan yang ditetapkan. 

 

APA YANG KAMI TEMUI

Status Produk Mi Segera Oleh KKM

MyCheck Malaysia mengikuti perkembangan terkini berkaitan isu produk mi segera ini dan mendapati KKM telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi pada 9 Mei 2023.

Menerusi keputusan analisis makmal, KKM mendapati produk mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial dan Mi Kari Putih Penang Ah Lai mematuhi perundangan yang ditetapkan.

Maka kedua produk tersebut selamat untuk dimakan.

 

RUJUKAN

  1. Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan l Facebook

 

(LAPORAN AWAL)

SEKILAS FAKTA

  • Satu dakwaan di Facebook menyatakan produk mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial keluaran Indonesia dan Mi Kari Putih Penang Alai dari Malaysia mengandungi bahan kimia penyebab kanser dinamakan etilen oksida.
  • Etilen oksida merupakan sejenis bahan kimia yang digunakan sebagai bahan pencuci selain untuk membunuh serangga.
  • Hasil pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari 2022 terhadap sampel produk Mi Sedaap mendapati 11 daripada 36 sampel mi mengandungi bahan kimia tersebut.
  • KKM mengeluarkan arahan terhadap syarikat mi segera itu untuk menarik balik kedua-dua jenis mi segera dari pasaran Malaysia.
  • Kementerian itu juga masih menunggu keputusan ujian terhadap mi segera itu sekiranya mengandungi bahan kimia seperti yang didakwa oleh Jabatan Kesihatan Taipei.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Tidak kira muda, tua, berkahwin ataupun bujang, mi segera menjadi kegemaran ramai kerana ia mudah dimasak dan menjimatkan.

Setiap rumah pasti mempunyai pelbagai simpanan mi segera pilihan masing-masing.

Antara jenama mi segera yang paling diminati oleh rakyat Malaysia ialah Maggi Kari, Mi Sedaap serta Mi Kari Putih Penang Alai (Penang White Curry Noodles).

Mi Kari Putih Penang Alai yang diperbuat dari Malaysia juga pernah dinobatkan sebagai mi sup segera terbaik di Amerika Syarikat selepas diadili oleh Lucas Kwan Peterson yang merupakan kolumnis makanan untuk Los Angeles Times.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

MyCheck menerima satu tangkap layar hantaran Facebook mendakwa dua jenama mi segera dari Malaysia dan Indonesia mengandungi bahan kimia penyebab kanser yang dipanggil etilen oksida.

Dakwaan sebegini pastinya memberi impak kepada penduduk Malaysia disebabkan mi segera adalah makanan kegemaran ramai.

Namun benarkah mi segera itu mengandungi bahan kimia itu.

Penggemar mi segera jangan risau, biar MyCheck semak kesahihannya dulu!

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apa Itu Etilen Oksida?

Untuk pengetahuan semua, etilen oksida merupakan sebatian gas kimia karsinogenik yang sering digunakan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga serta bahan pencuci selain pencuci pinggan.

Karsinogenik pula adalah agen-agen yang meng­akibatkan pertumbuhan kanser dalam tisu hidup.

Bagi mendapatkan maklumat lebih luas mengenai topik ini, MyCheck mulakan semakan dengan meneliti hantaran yang dikongsikan itu.

 

Dua Mi Segera Asia Tenggara Didakwa Mengandungi Bahan Kanser

Berdasarkan penelitian kami pada ruang komen hantaran Facebook akaun Informasi Malaysia Kini, kami dapati terdapat pautan blog daripada satu akaun iaitu Netizen Madani yang mengatakan dua jenis mi segera berjenama Indomie Perisa Ayam Spesial dari Indonesia dan Mi Kari Putih Penang Alai dari Malaysia mengandungi bahan penyebab kanser.

 


Sumber: Facebook

 

Seterusnya, untuk mendapatkan kepastian, kami membuat carian rawak di enjin Google menggunakan kata kunci ‘Mi Segera Bahan Kimia’ dan hasil carian menunjukkan beberapa laporan yang berkait.

Menurut laporan Astro Awani yang memetik laporan Channel News Asia (CNA), Jabatan Kesihatan Taipei mendedahkan dua jenama mi segera dari Asia Tenggara itu mengandungi bahan kimia etilen oksida iaitu sebatian kimia yang dikaitkan dengan limfoma dan leukemia dan telah disekat (banned) di Taiwan.

Kami turut menjumpai hantaran yang dimuat naik oleh akaun Ini Sains Beb yang menjelaskan bahawa tujuan bahan kimia etilen oksida ini lazim digunakan dalam mi segera adalah untuk mengawet tekstur asas dan kualiti makanan serta sebagai agen antibakteri dan antikulat dalam rempah.

 


Sumber: Facebook

 

Walaupun kadar yang dibenarkan adalah kurang dari 0.02 mg/kg, Dr Razinah Sharif tidak menggalakakn pengambilan mi segera kerana ia masih mengandungi bahan penyebab kanser.

Selain itu, kami juga menemui laporan dari The Star yang melaporkan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Indonesia mengumumkan bahawa mi segera Indomie selamat untuk dimakan berikutan paras bahan kimia itu adalah mengikut perundangan.

 


Sumber: The Star

 

Penarikan Semula Produk Mi Segera Bagi Pengujian Bahan Kimia

Menurut kenyataan KKM di Twitter, bagi sampel Mi Kari Putih Penang Alai, persampelan Malaysia mendapati ia mematuhi perundangan.

 


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Bagaimanapun, KKM mengarahkan pihak syarikat secara sukarela membuat penarikan semula produk itu yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran tempatan.

Arahan ini turut dikenakan kepada produk berjenama Indomie Perisa Ayam Spesial bagi tindakan Tahan, Uji dan Lepas berikutan isu produk Mi Sedaap keluaran negara Indonesia yang mengandungi etilen oksida pada 2022.

Hasil pemantauan KKM pada produk Mi Sedaap pada 2022 mendapati 11 daripada 36 sampel produk mi segeranya mengandungi bahan kimia berbahaya itu dan tindakan penguatkuasaan telah diambil.

Setakat laporan ini ditulis (5 Mei 2023), KKM belum mengeluarkan sebarang keputusan ujian makmal terhadap produk tersebut.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan bahawa mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial dan Mi Kari Putih Penang Alai yang mengandungi bahan kimia berbahaya itu sebagai tidak pasti.

KKM sudahpun mengarahkan kedua-dua jenis mi segera ini untuk ditarik balik dari pasaran Malaysia serta ujian akan dilakukan ke atas mi segera yang terbabit untuk mengetahui jika ia mengandungi bahan kimia yang berbahaya.

Justeru, MyCheck ingin menasihati pengguna supaya tidak memakan kedua-dua jenama mi segera sehingga keputusan ujian bahan kimia itu dikeluarkan serta tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Informasi Malaysia Kini l Facebook

  2. Netizen Madani l Blog

  3. Dua jenama mi segera dari Malaysia, Indonesia dikesan ada bahan penyebab kanser | Astro Awani

  4. Malaysian health ministry orders recall of 2 types of instant noodles over carcinogenic fears l CNA

  5. Ini Sains Beb l Facebook

  6. Indomie variant banned in Taiwan is safe for consumption: Indonesia | The Star

  7. KKM l Twitter

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.