+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Berlaku Penjualan Organ di Malaysia? Tidak Benar, Kegiatan Itu Dilarang Di Negara Ini

Benarkah...

Terdapat penjualan organ di Malaysia?

Sumber : Twitter / April 2023

Hasil

Kegiatan penjualan organ di Malaysia tidak dibenarkan kerana ia adalah satu kesalahan dan melanggar undang-undang negara. Malaysia telah menandatangani Deklarasi Istanbul 2008 yang menekankan larangan pemerdagangan organ.

22/06/2023 05:34 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu kenyataan seorang ahli parlimen mendakwa terdapat individu yang menjual buah pinggang kerana terdesak ekoran masalah kewangan.
  • Dakwaan itu mendapat perhatian masyarakat dan ramai mengaitkan kenyataan ahli parlimen tersebut dengan satu video tular di TikTok.
  • Menerusi video di TikTok itu, seorang lelaki menyatakan dia ingin menjual buah pinggangnya di Singapura kerana memerlukan wang.
  • Hasil carian MyCheck mendapati perkara berkenaan tidak berlaku dan ia juga telah disangkal oleh pengamal perubatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Dalam memacu masa depan negara yang terampil maju, aspek ekonomi antara cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan negara dalam kestabilan sejagat.

Memulihkan ekonomi pada unjuran yang baik juga adalah salah satu transformasi negara yang perlu diambil kira agar ia terus kukuh sekali gus membantu mengurangkan beban yang dihadapi rakyat.

Namun, isu ekonomi ini masih tiada kesudahannya kerana tidak semua individu merasai kesenangan dalam menikmati kehidupan.

Umpama kerakap tumbuh di batu, hidup segan mati tidak mahu, masih ada individu yang hidup dalam kesusahan dan menderita sehingga bertindak melakukan apa sahaja termasuk menjual organ sendiri demi mencari sesuap rezeki.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: TikTok

 

MyCheck menerima hantaran video mendakwa terdapat individu yang menjual buah pinggang kerana berdepan dengan masalah kewangan.

Video berkenaan juga tular di media sosial yang mana rata-rata masyarakat membahaskan isu terbabit berikutan ia adalah perkara serius kerana melibatkan penjualan organ dan pemerdagangan manusia di Malaysia.

Persoalannya adakah Malaysia membenarkan aktiviti penjualan organ di Malaysia?

Jom ikut MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Langkah pertama MyCheck lakukan adalah meneliti dan mendengar semula kandungan video tular itu.

Kami dapati video tersebut memaparkan seorang ahli parlimen sedang berucap dalam satu sidang media.

Beliau mempersoalkan tindakan dan cadangan kerajaan bagi membantu rakyat yang dalam kesusahan sehingga mendakwa ada yang sanggup menjual buah pinggang demi kelangsungan hidup.

Bagi melihat keseluruhan konteks hantaran dan memastikan video yang tular itu tiada ralat atau berkemungkinan hantaran asal tidak sama dengan dakwaan yang MyCheck terima, kami membuat carian rawak di enjin carian Google dengan menggunakan kata kunci ‘jual buah pinggang’.

Kami temukan beberapa portal media yang melaporkan kenyataan yang dibuat oleh ahli parlimen tersebut.

 

Dakwaan Dikemukakan Ketika Sidang Media

Menurut laporan Sinar Harian, sejurus keluar Dewan Rakyat, ahli parlimen pembangkang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal telah mengadakan satu sidang media di Lobi Parlimen.

Pada sidang media tersebut, beliau menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap satu soalan yang dibangkitkannya ketika persidangan berlangsung iaitu berhubung permohonan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar yang tidak dijawab oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Soalan yang dikemukakan beliau adalah mengenai apakah cadangan lanjut daripada kerajaan untuk membantu rakyat yang berdepan dengan masalah kewangan atau dalam kesusahan.

Anda boleh lihat klip video ucapan yang disertakan di bahagian bawah artikel bertajuk Rakyat susah, resah sehingga ada yang nak jual buah pinggang ini.

Seterusnya, kami beralih pula ke media sosial seperti Twitter bagi mendapatkan perspektif dan input.

Ketika kami menatal satu per satu ciapan di Twitter, isu penjualan organ yang dibahaskan ahli parlimen itu dikatakan merujuk kepada isu penjualan buah pinggang yang dimuat naik seorang individu.

 

Jual Organ Tidak Berlaku, Individu Muat Naik Video Buat Permohonan Maaf

Kami menjejaki individu yang mendakwa ingin menjual buah pinggangnya di akaun TikTok.

Bagaimanapun kami dapati video berhubung penjualan buah pinggang itu sudah dipadam namun kami menjumpai video permohonan maafnya mengenai isu terbabit.

 


Sumber: TikTok

 

Berdasarkan video tersebut, individu itu menyatakan bahawa dia adalah pemilik video isu penjualan buah pinggang yang tular, sekali gus menzahirkan permohonan maaf kepada kerajaan Malaysia dan Singapura kerana kesilapannya merakam video di Singapura yang menampakkan seolah-olah berlakunya penjualan organ di negara tersebut. 

Lelaki itu turut memaklumkan bahawa perkara tersebut (penjualan organ) adalah tidak benar dan walaupun dia terdesak dengan masalah kewangan, tidaklah sehingga perlu menjual buah pinggang.

Kami turut menemui ciapan yang dikongsikan seorang pengguna Twitter menggunakan nama akaun @gd_ace yang bertanyakan kepada KKM bahawa adakah Malaysia mempunyai sindiket jual beli buah pinggang yang membenarkan rakyat menjual organ bagi mendapatkan wang.

 


Sumber: Twitter

 

MyCheck juga mempunyai persoalan yang sama dengan individu ini, adakah kita dibenarkan menjual organ?

 

Pemerdagangan Organ

Sebelum itu kami terangkan kepada anda mengenai konsep jual beli atau pemerdagangan organ bagi mendapatkan definisi yang lebih jelas.

Pemerdagangan organ atau penjualan organ adalah aktiviti mengeluarkan organ daripada penderma yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia tanpa kebenaran ataupun mendapat kebenaran yang sah atau bagi mendapat keuntungan seperti kewangan sebagai pertukaran.

Urusan pemerdagangan organ yang dilakukan juga memberi kelebihan kepada penerima, penderma termasuk pihak ketiga yang menjadi individu perantara dalam proses jual beli organ.

Pemerdagangan organ turut melibatkan pemerdagangan manusia yang bertujuan untuk melakukan pembuangan organ melalui pelbagai cara seperti ancaman, kekerasan, penculikan, penipuan, penyalahgunaan kuasa atau bentuk paksaan lain termasuk mendapat persetujuan individu bagi tujuan penyingkiran organ.

 

Tiada Penjualan Organ Di Malaysia

Bagi menelusuri input yang lebih jelas, kami beralih ke media sosial seperti Twitter.

Ketika menatal di platform tersebut, kami menjumpai ciapan yang dimuat naik seorang doktor perubatan yang aktif di media sosial, Dr Rafidah Abdullah.

 


Sumber: Twitter

 

Berdasarkan perkongsian Dr Rafidah, penjualan organ di Malaysia adalah kesalahan jenayah di mana operasi yang melibatkan penjualan tersebut tidak sah di sisi undang-undang.

“Kenyataan sebegini rupa bukan boleh keluarkan suka suka. Bila saya kata TIADA jual beli organ di Malaysia, saya maksudkan memang TIADA. Implikasinya sangat besar. Please don’t believe maklumat TikTok. Telefon lah KKM atau @dermaorgan”.

Menurut Dr Rafidah Malaysia juga telah menandatangani Deklarasi Istanbul mengenai Pemerdagangan Organ dan Pelancongan Transplan.

Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya memandang serius jika perkara seumpama itu wujud kerana ia jelas menyalahi undang-undang.

 

Deklarasi Istanbul 2008

Malaysia antara 78 buah negara yang telah menandatangani Deklarasi Istanbul 2008 yang menekankan larangan penjualan atau pembelian organ bagi memerangi pemerdagangan organ serta menggalakkan amalan pemindahan organ yang berkesan dan beretika.

Deklarasi ini menekankan beberapa prinsip antaranya seperti kerajaan harus melaksanakan program yang beretika dan sihat dari segi klinikal bagi pencegahan atau rawatan kegagalan organ bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan.

Selain itu, penjagaan optimum penderma organ dan penerima pemindahan organ harus menjadi matlamat utama dasar dan program pemindahan.

Pihak berkuasa yang ditetapkan dalam setiap bidang kuasa harus mengawasi dan bertanggungjawab terhadap amalan pendermaan organ bagi memastikan  penyeragaman, kebolehkesanan, ketelusan, kualiti, keselamatan, keadilan dan kepercayaan awam.

Seterusnya, deklarasi ini juga menyatakan organ untuk pemindahan harus diperuntukkan secara saksama dalam negara atau bidang kuasa, selaras dengan peraturan objektif, tidak mendiskriminasi, wajar secara luaran dan telus, berpandukan kriteria klinikal dan norma etika.

Profesional kesihatan dan institusi penjagaan kesihatan harus membantu dalam mencegah dan menangani pemerdagangan organ untuk tujuan penyingkiran organ, dan pelancongan pemindahan.

Ini bermakna aktiviti yang melibatkan penjualan organ tidak berlaku di Malaysia namun pemindahan organ hanya melalui amalan pendermaan organ.

 

Akta Tisu Manusia 1974 (Akta 130)

Di Malaysia, sebarang aktiviti melibatkan pendermaan organ adalah tertakluk di bawah Akta Tisu Manusia 1974 (Akta 130) yang diperuntukkan bagi penggunaan bahagian badan manusia yang mati bagi maksud-maksud teraputik dan juga maksud-maksud pendidikan dan penyelidikan perubatan. 

Akta ini tutut menyatakan sebarang aktiviti pendermaan organ atau tisu kardaverik (selepas kematian) hanya boleh dilaksanakan apabila mendapat kebenaran waris secara bertulis.

Dalam pada itu, kami temui artikel yang dilaporkan Kosmo berhubung aktiviti jual organ di Malaysia.

Artikel tersebut melaporkan kegiatan haram penjualan organ tidak wujud di Malaysia kerana aktiviti pemindahan organ dikawal rapi oleh KKM, sebaliknya pengkomersialannya hanya dilaporkan berlaku di luar negara.

Menurut sumber dalam artikel tersebut, Dr Hasdi Haron yang juga Pengurus Klinikal Pendermaan Organ mengatakan bahawa di Malaysia kes yang melibatkan penjualan organ telah banyak dilaporkan sebelum ini namun siasatan polis berakhir dengan tiada kegiatan itu berlaku di dalam negara.

“Kekurangan penderma organ menyebabkan terdapat tanggapan wujudnya kegiatan pasaran gelap penjualan organ untuk dibeli dalam kalangan individu yang memerlukannya. Namun, tiada aktiviti sebegitu di negara ini.

Dr Hasdi juga mengaitkan perkara ini dengan Deklarasi Istanbul 2008 seperti yang disebut sebelum ini.

 


Sumber: Facebook

 

Laporan itu juga telah dimuat naik Polis Diraja Malaysia di Facebook rasmi mereka Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police) pada 4 Mei 2023.

 

Kenyataan KKM


Sumber: Facebook

 

Berhubung dakwaan jual beli organ, KKM menekankan sebarang dakwaan mengenai wujudnya aktiviti jual beli organ di negara perlu diambil serius berikutan ia merupakan eksploitasi terhadap golongan tertentu dan bercanggah dengan etika perubatan.

Sebarang aktiviti yang melibatkan perkhidmatan pendermaan organ adalah tertakluk di bawah dasar Akta Tisu Manusia 1974 yang mengawal selia aktiviti pengambilan organ bagi tujuan perawatan daripada penderma selepas kematian.

Selain itu, pihak KKM telah menubuhkan jawatankuasa transplantasi yang mengawal selia program pendermaan organ dalam kalangan penderma semasa hidup melibatkan pasangan bakal penderma-penerima yang tidak mempunyai perkaitan kekeluargaan (unrelated) ataupun melibatkan pasangan bakal penderma-penerima bukan warganegara.

Jawatankuasa ini akan menilai dengan teliti pelbagai aspek termasuk latar belakang masalah perubatan. Malah, kesihatan mental dan tahap sosioekonomi juga diambil kira bagi semua permohonan.

Ia sekali gus bagi memastikan pendermaan organ tidak melibatkan sebarang paksaan ataupun mempunyai unsur pemerdagangan.

KKM juga akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk siasatan sekiranya diperlukan.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan ini sebagai tidak benar.

Ini kerana Malaysia tidak pernah membenarkan penjualan organ di negara ini.

Ia selaras dengan pendirian negara dalam menandatangani Deklarasi Istanbul 2008 yang melarang pemerdagangan organ dilakukan.

Bahkan KKM juga tegas mengawal rapi serta menyediakan tatacara dan pengurusan mengikut piawaian yang ditetapkan dalam pemindahan organ agar tidak menimbulkan isu eksploitasi manusia atau penyalahgunaan kuasa.

Isu ini juga tertakluk di bawah Akta Manusia 1974 yang mana pendermaan organ hanya sah melalui kebenaran daripada waris yang bertulis.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan kenyataan daripada Pengurus Pendermaan Organ Klinikal yang menyatakan bahawa tiada penjualan organ di Malaysia bahkan siasatan polis mendapati tiada kegiatan tersebut berlaku di negara ini.

Malah individu yang tular ingin menjual buah pinggangnya di Singapura turut mengesahkan bahawa perkara itu tidak terjadi dan membuat permohonan maaf di atas tindakannya memuat naik video yang menimbulkan kerisauan ramai.

Memandangkan isu ini adalah amat berat dan serius, pesanan kami di MyCheck adalah sentiasa berhati-hati dalam menerima maklumat.

Setiap maklumat itu haruslah melalui proses semakan fakta yang terperinci agar tidak membawa kepada penyebaran berita palsu.

Usahlah menambah api dalam sekam dengan menyebarkan berita yang tidak ditentukan kesahihannya sehingga mengakibatkan bara yang boleh mengganggu gugat masyarakat dan keselamatan negara.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Rakyat susah, resah sehingga ada yang nak jual buah pinggang - Sinar Harian

  2. Pengeluaran KWSP: Wan Ahmad Fayhsal kemuka usul tergempar - Sinar Harian

  3. Come To Daddy (@daddy_keacy) | TikTok

  4. Pemohonan Maaf Secara Terbuka. Isu penjualan buah pinggang. #fypシ #ram... | TikTok

  5. Twitter - gd_ace

  6. The Declaration

  7. Akta 130

  8. Organ, tisu individu meninggal akibat Covid-19 tidak boleh didermakan - Sinar Harian

  9. Tak benar ada aktiviti jual organ di Malaysia - Kosmo Digital.

  10. Facebook - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.