+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Benar, Sosej Jenama 'Arabiki’ Mengandungi Daging Babi, Namun Ia Telah Dijenamakan Semula. Produk Hanya Dijual Di Singapura

Benarkah...

Sosej jenama 'Arabiki’ mengandungi daging babi.

Sumber : WhatsApp / Mei 2023

Hasil

Sosej itu disahkan mengandungi daging babi namun namanya telah ditukar kepada ‘Japanese Style Pork Sausage’ bagi mengelakkan kekeliruan. Produk tersebut berasal dari Singapura dan hanya dijual untuk pasaran republik itu.

26/05/2023 07:50 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular gambar di WhatsApp mendakwa sosej berjenama ‘Arabiki’ atau dikenali sebagai ‘Arabiki Sausage’ mengandungi daging babi.
  • Nama sosej tersebut yang berbunyi seakan-akan perkataan Arab telah menimbulkan kekeliruan ramai.
  • Menurut syarikat pengeluar sosej tersebut, maksud ‘Arabiki’ di dalam bahasa Jepun adalah dikisar kasar (coarsely ground).
  • Namun bagi mengelakkan salah faham yang berlanjutan, syarikat terbabit pada 2022 telah menukar nama sosej itu kepada ‘Japanese Style Pork Sausage’.
  • Sosej jenama tersebut hanya dipasarkan di Singapura dan tidak memasuki pasaran Malaysia.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Sosej merupakan makanan segera dan sejuk beku yang sentiasa menjadi kegemaran orang ramai tanpa mengira usia.

Kebiasaannya makanan ini dibuat daripada daging kisar seperti daging lembu dan ayam.

Di Malaysia terdapat pelbagai jenis jenama sosej yang mudah didapati sama ada di pasar raya atau kedai runcit.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular mesej bergambar yang telah dikongsi dalam kumpulan-kumpulan (group) aplikasi WhatsApp mengenai sebuah jenama sosej iaitu ‘Arabiki Sausage’ yang dikatakan mengandungi daging babi.

Gambar yang dikongsi adalah tangkap layar daripada sebuah akaun Facebook.

Kapsyen pada tangkap layar yang telah dimajukan banyak kali (forwarded many times) itu menyatakan kekhuatiran sekiranya orang Islam hanya melihat perkataan ‘Arabiki’ tanpa membaca kandungan sosej tersebut.

Dikatakan perkataan ‘Arabiki’ itu akan membuatkan pengguna muslim beranggapan sosej  jenama tersebut adalah produk daripada Arab dan halal untuk dimakan.

Namun benarkan produk itu mengandungi babi? MyCheck semak kesahihannya.

 


Sumber: WhatsApp

 

APA YANG KAMI TEMUI

‘Arabiki Sausage’ Isu Kitar Semula

Memandangkan mesej tular disertakan dengan tangkap layar dari media sosial, MyCheck mulakan langkah pertama dengan melakukan semakan di Facebook dan Twitter.

Menggunakan kata kunci ‘Arabiki Sausage’, kami menemukan beberapa maklumat.

Hasil carian lanjut mendapati dakwaan mengenai jenama sosej dari Singapura ini telah tular sejak 2020.

Ia diperkatakan kembali tiga tahun kemudian iaitu pada Februari 2023 dan tular semula di Facebook dan WhatsApp pada Mei ini.

Beberapa pengguna Facebook didapati telah berkongsi hantaran yang sama.

 


Sumber: Facebook

 

Seorang pengguna Facebook menggunakan nama akaun Abdul Ariff juga telah memuat naik gambar yang sama seperti gambar tular.

Rata-rata warganet menzahirkan kekhuatiran dan meminta masyarakat Islam untuk berhati-hati semasa membeli sesuatu produk.

Kami turut membuat carian menggunakan kata kunci yang sama di Twitter dan mendapati dakwaan serupa turut ‘berlegar’ di media sosial tersebut.

 

Produk Dari Singapura, Dijual Sejak 2020

Bagi membuat semakan lanjut, kami melakukan carian gambar menerusi imej carian berbalik Google.

Hasilnya, terdapat banyak laporan mengenai sosej ‘Arabiki’ ini.

Menurut portal dari Indonesia food.detik.com, produk sosej yang berasal dari Singapura itu dianggap menyinggung orang Islam kerana jenamanya iaitu ‘Arabiki’ yang dikaitkan dengan Bahasa Arab.

Selain itu, melalui laporan tersebut juga telah didapati bahawa sosej tersebut telah dijual sejak 2020 oleh Syarikat NTUC FairPrice.

 

Banyak Produk Sosej Syarikat Lain Di Singapura Guna Perkataan ‘Arabiki’

MyCheck kemudian membuat carian mengenai Syarikat NTUC Fairprice untuk melihat lanjut mengenai pembungkusan dan nama ‘Arabiki’ yang telah digunakan oleh syarikat berkenaan.

Namun, apabila mencari kata kunci ‘Arabiki Sausage’ kami tidak menemukan sebarang sosej daripada Syarikat NTUC FairPrice.

Apa yang kami dapati adalah beberapa syarikat lain yang mengeluarkan produk sosej turut menggunakan perkataan ‘Arabiki’.

 


Sumber: www.fairprice.com.sg

 

‘Arabiki’ bermaksud ‘Kisar Kasar’ dalam Bahasa Jepun

Disebabkan perkataan ‘Arabiki’ ini banyak digunakan oleh syarikat-syarikat lain, kami membuat carian di enjin Google untuk mengetahui apakah maksud sebenar perkataan itu.

Menurut portal halalmui.org iaitu Majlis Ulama Indonesia yang menjelaskan mengenai isu sosej yang dijual oleh syarikat NTUC Fairprice ini, terdapat istilah ‘Arabiki’ di dalam bahasa Jepun yang bermaksud coarse ground meat (daging yang dikisar kasar).

Seterusnya MyCheck membuat carian dengan menggunakan kata kunci ‘Arabiki Japan’ di Google dan mendapati perkataan Arabiki (粗挽き) ini bermaksud sosej yang dikisar di Jepun.

 

Kenyataan Syarikat NTUC FairPrice

MyCheck turut menemukan kenyataan daripada Syarikat NTUC FairPrice di Facebook rasmi mereka berhubung isu nama sosej itu.

Syarikat tersebut menjelaskan, perkataan ‘Arabiki’ adalah daripada Bahasa Jepun yang bermaksud dikisar kasar.

Menurut syarikat tersebut, ‘Arabiki Sausage’ merupakan sosej gaya Jepun yang kebiasaannya boleh dijumpai di pasar raya, kedai runcit dan restoran.

Syarikat itu turut mengesahkan mereka menerima laporan mengenai imej yang tular pada Julai 2020 dan nama serta pembungkusan sosej tersebut telah ditukar pada 2022 bagi mengelakkan sebarang salah faham terus berlanjutan.

 


Sumber: Facebook NTUC FairPrice

 

Bagi mengesahkan penukaran nama produk itu, MyCheck turut melakukan semakan dengan membuat carian gambar ‘NEW PACKAGING’ menerusi imej carian berbalik Google.

Hasilnya kami menemukan maklumat penjenamaan semula produk itu di fairpriceon.com.sg yang menunjukkan jualan secara dalam talian di syarikat tersebut.

 


Sumber: Facebook NTUC FairPrice

 

Maka dapat disahkan bahawa pembungkusan serta jenama sosej itu telah ditukar daripada ‘Arabiki Sausage’ ke ‘Japanese Style Pork Sausage’.

Penemuan itu juga merungkai persoalan mengapa carian produk ‘Arabiki Sausage’ di Syarikat NTUC FairPrice secara dalam talian tidak ditemui kerana produk tersebut telah ditukar namanya.

 

Syarikat Pengeluar ‘Arabiki Sausage’ Adalah Perusahaan Runcit Terbesar Di Singapura

MyCheck turut melakukan carian mengenai Syarikat NTUC FairPrice, kami dapati ia merupakan perusahaan runcit terbesar di Singapura.

Menurut maklumat yang terdapat pada laman Facebook syarikat itu, mereka memiliki kedai fizikal dengan mempunyai lebih daripada 100 cawangan di Singapura yang terdiri daripada Pasar Raya FairPrice, Pasar Raya Besar FairPrice Finest dan FairPrice Xtra.

Selain itu, syarikat berkenaan juga mempunyai perniagaan secara dalam talian menerusi www.fairprice.com.sg.

Produk sosej Arabiki dan pelbagai barangan lain boleh didapati di kedai fizikal dan kedai dalam talian syarikat tersebut.

 

Produk Hanya Dijual Di Singapura. Tidak Masuk Pasaran Malaysia Dan Tiada Penghantaran Ke Malaysia

Jadi, selain mengunjungi kedai secara fizikal, orang ramai boleh mendapatkan produk daripada syarikat tersebut secara dalam talian.

Namun, adakah pengguna di Malaysia boleh membeli produk itu menerusi dalam talian?

Bagi mendapatkan kepastian, kami membuat semakan silang dengan cuba untuk membeli produk daripada laman e-dagang ini.

Jika di Malaysia, konsep yang digunakan oleh syarikat ini sama seperti Tesco Online.

 


Sumber: www.fairprice.com.sg

 

Hasilnya, tiada penghantaran dibuat ke Malaysia.

Maka, produk sosej yang tular hanya dijual di Singapura sahaja sama ada di kedai fizikal di negara itu atau secara dalam talian.

 

KESIMPULAN

MyCheck mengklasifikasikan bahawa dakwaan sosej ‘Arabiki Sausage’ mengandungi daging babi adalah benar.

Namun produk itu yang berasal dari Singapura hanya dipasarkan di republik itu sahaja.

Bahkan pada 2022, syarikat yang mengeluarkan sosej tersebut juga telah menukar sepenuhnya nama produk dengan meletakkan perkataan ‘pork’ atau babi bagi mengelakkan kekeliruan ramai.

Pesan MyCheck, berhentilah menyebarkan tangkap layar mengenai pembungkusan lama produk tersebut kerana ia hanya mencetuskan salah faham dan kebimbangan masyarakat Islam.

Tidak salah untuk berhati-hati dan saling mengingati mengenai status halal sesuatu produk namun jadilah individu beretika dan bertanggungjawab dengan menyemak dahulu sebarang maklumat sebelum menyebarkannya.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook - Abdul Ariff

  2. 5 Penyajian Daging Babi Ini Bikin Bingung hingga Mengecoh Muslim - detikFood

  3. Portal - Fairprice

  4. “Arabiki” Bukan Produk dari Arab, Lalu Apa? - Majelis Ulama Indonesia

  5. Facebook - NTUC FairPrice

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.