+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Pemberhentian Subsidi Ubat Psikiatri NFS Di HCTM Belum Dapat Disahkan, Namun Ia Bukan Hanya Melibatkan Pesakit Mental

Benarkah...

Ubat Non-Formulary subsidized (NFS) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ditamatkan subsidi bermula 1 Jun 2023 dan akan dicaj dengan harga penuh.

Sumber : Twitter / Jun 2023

Hasil

Perkara itu belum dapat disahkan. Belum ada sebarang maklum balas daripada pihak HCTM berhubung pemberhentian subsidi itu. Kategori ubat NFS juga bukan sahaja untuk pesakit mental namun melibatkan penyakit lain. 

13/06/2023 06:16 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular di media sosial bahawa ubat Non-Formulary subsidized (NFS) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) ditamatkan subsidi bermula 1 Jun 2023.
  • Tindakan itu dikatakan memberi kesan kepada pesakit kerana harga ubat yang mencecah ratusan ringgit.
  • Setakat ini belum ada sebarang maklum balas daripada pihak HCTM berhubung pemberhentian subsidi ubat NFS ini.
  • Polisi ubat HCTM tidak sama seperti polisi farmasi KKM yang mana caj dan harga ubat HCTM ditetapkan mengikut Lembaga Pengurusan Universiti.
  • MyCheck mendapati kategori ubat NFS bukan sahaja untuk pesakit mental namun turut melibatkan penyakit lain.


Sumber: BERNAMA

 

LATAR BELAKANG

Sejak akhir-akhir ini media hangat melaporkan mengenai caj RM1 yang dikenakan di klinik kesihatan kerajaan wajar dinaikkan susulan ia dikatakan sudah tidak relevan berikutan nilai kos rawatan yang semakin meningkat.

Pelbagai pihak melontarkan sisi pandangan mereka sama ada bersetuju dan sebaliknya.

Ada juga yang membuat perbandingan dengan hospital swasta yang mana sekiranya individu menerima rawatan atau perubatan dari klinik swasta, caj yang dikenakan jauh lebih tinggi berbanding kemudahan yang disediakan kerajaan.

Baru-baru ini juga tular di media sosial mendakwa beberapa ubat di sebuah hospital tempatan sudah dihentikan subsidi dan pesakit dikenakan caj harga penuh.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima satu tangkap layar ciapan di Twitter yang menyatakan subsidi ubat pesakit mental telah dihentikan bermula 1 Jun 2023.

 


Sumber: Twitter

 

Berdasarkan kapsyen pada ciapan tersebut, ubat tersebut adalah mahal dan mencecah ratusan ringgit.

Dikatakan ramai pesakit mental mengeluh dengan pemberhentian subsidi itu, namun keluhan mereka tidak didengari.

Perkara ini pastinya menimbulkan kegusaran ramai khususnya buat individu yang sudah lama atau biasa menggunakan ubat-ubatan berkenaan.

Persoalannya, benarkah subsidi ubat pesakit mental tersebut ditamatkan? Jom ikut MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck mulakan semakan dengan membuat carian ciapan itu di Twitter.

Hasilnya, kami menemukan ciapan tersebut yang mendapat lebih 60,000 tontonan berserta 215 tanda suka.

Apabila diperhatikan pada keseluruhan ciapan, terdapat ayat ‘Credit: FB Muhammad Harris Nasril’ di bawah kapsyen.

 

Hantaran Asal Dimuat Naik Pengguna Facebook

Perkataan ‘kredit’ pada sesuatu ciapan atau hantaran biasanya merujuk kepada sumber asal.

Oleh kerana ciapan itu menyatakan ‘Credit: FB Muhammad Harris Nasril’, kami beralih pula ke media sosial Facebook.

Hasilnya kami menemukan akaun pengguna Facebook menggunakan nama Muhamad Harris Nasril berserta hantaran yang dimuat naik berhubung isu subsidi ubat itu.

Hantaran itu turut disertakan dengan gambar notis pemakluman pindaan polisi ubat-ubatan HCTM seperti yang tular di Twitter.

Dalam notis makluman polisi ubatan itu juga turut memaklumkan bahawa ia merujuk kepada ubat-ubatan di bawah kategori ‘NFS’.

 


Sumber: Facebook

 

Perkhidmatan Farmasi Pesakit Luar HCTM

Sebelum kita selami isu ini dengan lebih jauh, mari kita fahami mengenai farmasi NF seperti yang dinyatakan dalam notis pemakluman.

Menurut laman sesawang rasmi Jabatan Farmasi HCTM, terdapat beberapa unit yang menjalankan operasi berkaitan farmasi di bawah HCTM, antaranya adalah Perkhidmatan Farmasi Pesakit Luar, Perkhidmatan Farmasi Bekalan Wad, Perkhidmatan Farmasi Unit Klinikal dan lain-lain.

Bagi perkhidmatan Farmasi Pesakit Luar ia terdiri daripada Farmasi Pesakit Luar Utama dan lima farmasi satelit untuk menampung semua pesakit HCTM yang datang mengambil ubat termasuklah Farmasi Non-Formulary (NF).

Di HCTM Farmasi NF telah ditubuhkan sebagai alternatif bagi pesakit untuk membeli ubat-ubatan yang tidak terdapat dalam Formulari Hospital.

Disebabkan ubat-ubatan NF ini tidak tersenarai dalam Formulari Hospital, ubat-ubatan tersebut perlu dibeli di Kedai Farmasi NF yang mana ia hanya boleh dibeli buat pesakit yang menerima preskripsi dari HCTM dan beberapa cawangan klinik terpilih.

Oleh kerana perbelanjaan yang tinggi dalam ubat-ubatan HCTM, kedai Farmasi NF menjual ubat-ubatan pada kadar yang lebih rendah daripada kadar harga pasaran.

 

Apa Itu ‘Non-Formulary Subsidized’ (NFS)?

Sebelum kita menelusuri isu ini dengan lebih mendalam, kami terangkan kepada anda mengenai ubat Non-Formulary subsidized (NFS).

Menurut polisi pembekalan ubat-ubatan HCTM, ubat-ubatan di HCTM diklasifikasikan kepada empat jenis ubat iaitu ubat Formulari (F) yang bermaksud dibekalkan percuma kepada kakitangan kerajaan, pesara, murid sekolah dan warga tua.

Ubat Special Formulary (SF) pula adalah ubat-ubatan mahal yang dimasukkan dalam formulari dan pesakit hanya membayar sebahagian kos bagi setiap tahun.

Selain itu yang ketiga adalah ubat Non-Formulary (NF) yang mana ia perlu dibeli di Farmasi NF dan keempat adalah NFS iaitu ubat NF yang telah diberi subsidi harga untuk meringankan beban pesakit.

Sebagai contoh untuk lebih memahami konteks ini dengan lebih dekat, ubat yang tiada dalam senarai hospital (formulari hospital), pesakit perlu membelinya di luar hospital seperti Farmasi NF dengan mendapatkan preskripsi daripada doktor.

Jika kita lihat di KKM pula, ubat formulari KKM adalah ubat yang ada dalam senarai KKM namun bagi ubat kategori NF, pesakit perlu membelinya di luar.

 

HCTM Di Bawah KPT Bukan KKM

Untuk makluman anda HCTM UKM adalah di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) dan bukan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) oleh itu pengurusan dari segi polisi dan peruntukan bagi ubat-ubatan adalah berbeza.

Dalam bahasa mudahnya, pengurusannya tidak sama seperti di hospital daerah atau negeri. Jadi, dalam situasi ini formulari ubat ditetapkan KKM juga tidak sama seperti HCTM.

Hal ini kerana formulari ubat KKM hanya diguna pakai di bawah institusi atau hospital di bawah KKM sahaja.

Namun, mengikut HCTM, ketetapan polisi dan kadar caj HCTM telah disemak dan diluluskan oleh Lembaga Pengurusan Universiti dari semasa ke semasa, yang mana kuasa menetapkan ketetapan dan caj rawatan tersebut termaktub di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Maka, tidak hairanlah mengapa ubat-ubatan HCTM dikenakan caj dan bukan percuma kerana ia bukanlah hospital di bawah kelolaan KKM.

Malah, pihak HCTM juga boleh menyelaras caj ubat mengikut polisi semasa seperti yang dinyatakan yang mana ia boleh disemak, diluluskan dan diselaraskan dari semasa ke semasa.

Dalam konteks ini, kita dapat lihat hanya individu atau pesakit berstatus berbayar sahaja perlu membeli ubat NF dengan caj serta preskripsi yang dikenakan.

Anda boleh lihat status ketetapan dan kadar caj ubat di sini.

Berdasarkan gambar di bawah, pesakit perlu membayar ubat NF mengikut caj yang dikenakan.

 


Sumber: Google

 

Bagaimanapun, setakat laporan ini ditulis (13 Jun 2023), kami masih belum mendapat sebarang pemakluman rasmi daripada pihak HCTM berkenaan pemberhentian subsidi ubat-ubatan (NFS) bermula 1 Jun 2023.

MyCheck juga cuba menghubungi HCTM namun belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak mereka.

Laporan ini akan dikemas kini apabila menerima maklum balas pihak HCTM.

Bagaimanapun, ketika kami membuat carian rawak di enjin Google, kami menemui hantaran oleh seorang pengguna Instagram menggunakan nama akaun @FatihaShuib, yang juga memaklumkan mengenai subsidi ubat-ubatan di NFS psikatri HUKM (yang kini dikenali sebagai HCTM) yang akan dihentikan.

 


Sumber: Instagram

 

Menurut Fatiha, ubat yang dibayar dengan harga RM160 sebulan akan naik kepada RM900 sebulan mengikut harga asal kerana sudah tidak mempuyai sabsidi.

Kenaikan harga ini juga dikatakan turut dikenakan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dan golongan yang tidak berkemampuan.

 

Perkongsian Cara Untuk Meringankan Bayaran

Fatiha turut berkongsi prosedur dan tatacara bagi mendapatkan bantuan kewangan untuk meringankan beban pesakit antaranya :

1. Bincang dengan psikiatri berkenaan hal sokongan kewangan bagi si pemohon.

2. Minta psikatri untuk menulis 3 surat sokongan iaitu zakat, Jabatan sokongan Sosial HUKM dan Jabatan Kebajikan Malaysia untuk pemegang kad OKU (ini adalah pilihan yang ada untuk menanggung harga kos ubatan).

3. Serahkan surat sokongan jabatan kerja sosial HUKM (HCTM) di tingkat 3.

Kemudian pemohon akan ditemu duga jabatan kerja sosial HCTM yang memerlukan anda mengisi borang berwarna hijau dan sediakan semua dokumen sokongan dalam tempoh dua minggu yang mana pihak jabatan sosial akan keluarkan sebut harga bagi permohonan.

4. Bawa surat sokongan zakat ke pejabat zakat yang berdekatan bersama sebut harga dari jabatan sosial HCTM.

 5. Bawa surat sokongan JKM ke pejabat yang berdekatan untuk bantuan Sara Diri. 

Hantaran itu telah dimuat naik pada 13 Mac 2023.

Ketika kami menelusuri Instagram Fatiha, kami dapati beliau merupakan pemandiri (survivor) penyakit mental yang banyak berkongsi mengenai ilmu dan pandangannya tentang kesihatan mental.

 


Sumber: Instagram

 

Namun, pada 9 Jun 2023, Fatiha sekali lagi berkongsi hantaran berhubung permohonan bantuan ubat NFS, HCTM yang mana beliau telah berjaya mendapatkan bantuan perubatan serta peruntukan dari Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). 

MyCheck turut menghubungi Fatiha melalui Instagram bagi mendapatkan pencerahan mengenai permohonan bantuan bagi ubat-ubatan NFS.

Beliau menjelaskan bahawa permohonan bantuan zakat yang dimohon adalah untuk kegunaannya sejak subsidi ubat NFS dihentikan bermula Jun ini.

Fatiha memaklumkan beliau menerima notis berhubung harga ubat NFS dikenakan caj penuh pada 12 Disember 2022.

Selain itu, menurut Fatiha pemberhentian subsidi itu bukan sahaja bagi ubat pesakit mental, namun ia melibatkan semua jenis penyakit yang dikategorikan dalam ubat-ubatan jenis NFS terbabit.

 

Ubat Di Bawah Kategori NFS Bukan Kepada Pesakit Mental Sahaja

Kami cuba untuk mendapatkan pengesahan adakah ubat di bawah kategori NFS ini hanya melibatkan penyakit psikiatri atau tidak.

Hasil carian MyCheck menjumpai satu aplikasi formulari HCTM yang dibangunkan Jabatan Farmasi HCTM UKM yang diberi kemudahan kepada kakitangan hospital.

Aplikasi ini digunakan bagi mendapatkan informasi mengenai dos dan pilihan, ubat, formulasi, polisi dan cara administrasi ubat.

Melalui aplikasi ini kami mendapat jawapan bahawa ubat di bawah kategori subsidi NFS bukan hanya melibatkan pesakit mental, namun pelbagai jenis ubat di bawah penyakit lain dikategorikan di bawah NFS.

 


Sumber: Aplikasi HCTM

 

Buktinya ubat seperti Infliximab (REMICADE) adalah salah satu ubat yang dikategorikan NFS yang mana ubat tersebut boleh merawat penyakit sistem imun seperti Crohn dan rheumatoid.

 

KESIMPULAN

MyCheck mengklasifikasikan dakwaan ini sebagai tidak pasti.

Meskipun perkongsian orang ramai di media sosial berdasarkan pengalaman mereka menyatakan sememangnya ubat NFS sudah ditamatkan subsidi seperti yang tular, namun setakat ini kami belum menerima sebarang pengesahan daripada pihak HCTM berhubung perkara itu.

Kami faham isu ubat-ubatan yang diberhentikan subsidinya adalah satu perkara yang membimbangkan terutama buat mereka yang bergantung kepada ubat tersebut.

Namun, dalam konteks ini kita juga perlu faham bahawa HCTM merupakan salah satu hospital separa swasta di bawah KPT yang mana polisi farmasi dan formulari ubatnya berbeza dengan farmasi KKM.

Oleh kerana polisinya berbeza, maka penetapan harga yang dikenakan juga berbeza dan ia boleh berubah dari semasa ke semasa.

Namun, menurut perkongsian penerima rawatan HCTM, bagi individu yang tidak berkemampuan untuk membeli ubat NFS, anda boleh memohon bantuan seperti yang dinyatakan dalam laporan kami.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Twitter - @RMalanjum_

  2. Facebook- Muhammad Harris Nasril

  3. Perkhidmatan Farmasi Pesakit Luar

  4. Farmasi NF

  5. Polisi Pembekalan Ubat-Ubatan – HCTM

  6. SOALAN LAZIM – HCTM

  7. KETETAPAN DAN KADAR CAJ Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan UKM

  8. Instagram - Fatihashuib

  9. Malaysia bantu WHO kaji 3 ubat COVID-19

  10. Aplikasi Formulari Ubat HCTM – Farmasi

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.