+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Benar, Cuaca Panas Berpanjangan Menyebabkan Pendingin Hawa Bekerja Lebih Keras Dan Menjadi Punca Bil Elektrik Melambung

Benarkah...

Bil elektrik naik mendadak kerana penggunaan pendingin hawa dan cuaca panas berpanjangan.

Sumber : Twitter / Jun 2023

Hasil

Peningkatan mendadak bil elektrik adalah kerana pendingin hawa bekerja lebih kuat untuk menghasilkan suhu sejuk yang dikehendaki ekoran fenomena El Nino atau cuaca panas berpanjangan. 

05/07/2023 03:27 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan di media sosial (Twitter) bahawa bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi penggunaan Mei meningkat dengan mendadak.
  • Ramai yang beranggapan punca kenaikan bil adalah kesilapan daripada pihak TNB.
  • Selain itu, dikatakan punca utama kenaikan bil adalah penggunaan pendingin hawa yang kerap ekoran cuaca panas yang berpanjangan.
  • TNB melalui maklum balas kepada pengguna menjelaskan isu ini adalah normal kerana fenomena El Nino yang dijangka berlanjutan hingga September.
  • Cuaca panas menyebabkan kompresor pendingin hawa bekerja lebih kuat kerana agak susah untuk mencapai suhu sejuk dikehendaki.
  • Terdapat dua jenis pendingin hawa iaitu non-inverter dan inverter, namun telah dikenal pasti bahawa di musim panas ini keduanya tidak mempunyai perbezaan ketara baik dari segi menyejukkan ruang atau penjimatan bil. 

 

LATAR BELAKANG

Baru-baru ini beberapa media tempatan melaporkan mengenai fenomena El Nino yang melanda Malaysia dari April hingga September depan dan akan memberi impak negatif kepada negara dengan menyebabkan berkurangnya kuantiti hujan.

Orang ramai turut dinasihati untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah bagi mengelakkan terjadinya masalah kesihatan seperti strok haba.

Malah, menurut portal infosihat selain daripada minum air kosong secukupnya orang ramai juga digalakkan menggunakan pendingin hawa atau kipas untuk menyejukkan badan.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular di media sosial berhubung kenaikan mendadak bil elektrik di banyak kediaman.

Ramai yang menyangka punca kejadian ini adalah kesilapan daripada pihak TNB sendiri.

Menurut hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama akaun @HelmiHasan_com, bil elektrik di rumahnya mencatatkan peningkatan ketara pada Mei lepas.

Beliau turut menjangkakan jumlah bil itu akan lebih meningkat pada Jun sehingga mencecah RM500 dan punca kenaikan jumlah bil beliau adalah disebabkan penggunaan pendingin hawa.

Individu itu turut menarik perhatian orang ramai dengan bertanya adakah pengguna lain juga menghadapi masalah yang sama.

Ramai yang meluahkan rasa kesal di ruangan komen kerana turut terkesan dengan peningkatan bil elektrik yang mendadak ini.

 


Sumber: Twitter

 

Perkara ini pastinya menimbulkan kegusaran ramai khususnya buat individu yang sudah membuat perancangan berapa peruntukan wang yang perlu disediakan untuk membayar bil elektrik.

Persoalannya, benarkah pendingin hawa dan cuaca panas punca bil elektrik melonjak naik?

MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Isu Hangat Diperkatakan Warganet

MyCheck turut menemukan beberapa dakwaan lain yang menunjukkan isu ini sememangnya hangat diperkatakan oleh warganet sejak kebelakangan ini.

Antara yang tular di laman Facebook adalah hantaran seorang pengguna yang menggunakan nama akaun Nur Habibi Qalbi.

Menurut pengguna itu, beliau turut menghadapi masalah yang sama iaitu bil elektrik di kediamannya meningkat secara mendadak.

 


Sumber: Facebook

 

Terdapat juga beberapa pengguna Twitter yang turut membangkitkan permasalahan sama.

 


Sumber: Twitter

 

Keterangan Pemilik Asal Ciapan

MyCheck mengambil langkah menghubungi pemilik ciapan tersebut bagi mendapatkan penerangan yang lebih jelas.

Beliau berkata bil elektrik kediamannya mula meningkat sejak Januari tahun ini apabila bayinya sudah mula tidur di bilik sendiri dan isteri beliau memasang pendingin hawa di ruangan terbabit.

Malah bil eletrik makin meningkat pada Mei kerana penggunaan pendingin hawa yang kerap berikutan cuaca panas.

 


Sumber: Twitter

 

Beliau turut menjelaskan bagaimana mengetahui bahawa pendingin hawa menjadi punca kenaikan bil elektrik adalah apabila beliau melakukan pemantauan penggunaan elektrik harian melalui aplikasi TNB.

Melalui aplikasi tersebut, beliau mendapati penggunaan elektrik menurun ketika hujung minggu apabila keluarganya tiada di rumah kerana pulang ke kampung.

 

Berpunca Daripada Pendingin Hawa Dan El Nino

Helmi berkata beliau turut menghubungi TNB dan mendapat maklum balas bahawa kenaikan bil ini adalah normal disebabkan fenomena El Nino.

MyCheck juga ada mengubungi TNB dan mendapat jawapan yang serupa iaitu punca kenaikan bila disebabkan faktor cuaca.

Di bahagian komen, ramai mendakwa penggunaan barangan elektrik masih sama seperti bulan sebelumnya tetapi bil kian meningkat.

 


Sumber: Twitter

 

Berpandukan perkongsian orang ramai, Helmi telah menyelenggara pendingin hawa di kediamannya.

Beliau juga memantau penggunaan elektrik bulan ini dengan pendingin hawa bilik anaknya sahaja dipasang seperti biasa tetapi peralatan elektrik lain dikawal penggunaannya.

Helmi turut menasihatkan pengguna lain untuk menggunakan kipas kerana lebih menjimatkan hasil daripada cadangan pengguna lain di ruangan komen miliknya.

Beliau berkata sememangnya bil elektrik meningkat ini berkait rapat dengan penggunaan pendingin hawa.

 

Perbezaan Pendingin Hawa Jenis Inverter Dan Non-Inverter

Menjengah ke ruangan komen, ada di antara pengguna yang memberi cadangan untuk menggunakan pendingin hawa jenis berbalik (inverter) bagi menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

MyCheck membuat carian lanjut untuk mengenal pasti kesahihan dengan lebih jelas dan menemui sebuah blog yang memberi penerangan mengenai pendingin hawa.

Pemilik blog berkenaan Ahmad Anwar merupakan seorang juruteknik elektrik yang sudah berkecimpung dalam bidang pendingin hawa selama lebih 10 tahun.

MyCheck turut menghubungi Ahmad Anwar bagi mendapatkan penjelasan dengan lebih jelas mengenai perbezaan antara pendingin hawa jenis berbalik (inverter) dan bukan inverter.

Kami terjemahkan dalam bentuk infografik hasil maklumat yang diperoleh daripada Ahmad bagi memudahkan pembaca memahaminya.

 


Sumber: Ahmad Anwar

 

Rajah di atas menunjukkan beberapa perbezaan antara pendingin hawa jenis inverter dan non-inverter.

Ahmad turut memberikan penerangan mengenai maksud “cut off” yang mana jika sesuatu ruang itu telah pun mencapai suhu sejuk yang dikehendaki, kompresor pendingin hawa non-inverter akan secara automatik dimatikan.

Kemudian apabila suhu kembali meningkat, kompresor akan dihidupkan kembali secara automatik dengan menggunakan elektrik yang tinggi seolah-olah seperti kita baru sahaja mula memasang pendingin hawa tersebut.

Beliau berkata kadar bekerja sama setiap masa pendingin hawa non-inverter pula bermaksud kadar penggunaan elektrik adalah sama dan tidak akan direndahkan walaupun ditetapkan di suhu tinggi atau mod kering.

 

Kompresor Bekerja Dengan Lebih Keras Ketika Cuaca Panas

Menurut juruteknik tersebut, cuaca panas menyebabkan kompresor pada pendingin hawa bekerja dengan lebih kuat kerana agak susah untuk mencapai suhu sejuk dikehendaki.

Beliau berkata keadaan ini sama sahaja bagi pendingin hawa jenis inverter atau non-inverter.

Namun, pengguna harus mengetahui keperluan penggunaan seperti berikut :

1. Tempoh penyelenggaraan

  • Jika sebuah rumah berada di kawasan yang cepat berhabuk, tempoh penyelenggaraan adalah kurang dari setahun namun jika kawasan rumah kurang berhabuk maka tempoh penyelenggaraan adalah setahun atau dua tahun. 

 

2. Luas kawasan 

  • Bagi ruangan kecil iaitu ruangan yang kurang 10 kaki persegi, pengguna boleh menggunakan pendingin hawa yang berkuasa 1 horsepower (HP). 

  • Sementara bagi ruangan yang lebih luas (melebihi 10 kaki persegi), pengguna disaran untuk menggunakan pendingin hawa yang berkuasa 1.5 dan 2 HP. 

  • Kawasan rumah yang sempit juga boleh menjadi punca pendingin hawa tidak cekap kerana kurangnya pengudaraan buat kompresor. 

(Peralatan elektrik yang berfungsi dengan tidak cekap boleh menyebabkan peningkatan dalam bil elektrik, termasuk pendingin hawa).

 

3. Cara Pemasangan

  • Pemasangan wayar pendingin hawa yang panjang dan jauh daripada suis utama menyebabkan kecekapan menjadi rendah. Oleh itu, pengguna dinasihatkan untuk memasang pada punca kuasa utama yang terdekat.

 

4. Cara Penggunaan

  • Cara penggunaan pendingin hawa yang tidak menentu juga boleh menjadi punca kenaikan bil elektrik. 

  • Walaupun telah bertukar kepada pendingin hawa jenis inverter namun tidak tahu cara untuk mengoptimumkan penjimatan juga tidak berguna kerana pendingin hawa jenis inverter seeloknya dipasang lebih daripada tiga jam sehari secara berterusan.

 

Perkongsian Pengguna Lain

Seterusnya, kami juga menghubungi seorang pengguna di Twitter yang menggunakan nama akaun @syazakifl yang mendakwa bil elektriknya menurun selepas bertukar kepada pendingin hawa jenis inverter.

 


Sumber: Twitter

 

Sebelum ini beliau menggunakan pendingin hawa jenis non-inverter sebelum bertukar kepada jenis inverter.

Bil elektrik rumahnya seketika dahulu pernah mencecah RM300 sejak beliau mempunyai anak yang memerlukan penggunaan pendingin hawa pada waktu siang dan malam.

Namun setelah beliau bertukar kepada pendingin hawa jenis inverter, bulan pertama bil elektrik rumahnya hanya RM73 dan pada bulan kedua bilnya meningkat kepada RM150.

Katanya pada bulan pertama beliau kurang menggunakan pendingin hawa kerana ketika itu cuaca sejuk namun pada bulan kedua cuaca kembali panas menyebabkan penggunaan pendingin hawa lebih kerap.

Menurut beliau bil elektriknya setelah menggunakan pendingin hawa jenis inverter menunjukkan pengurangan kira-kira separuh daripada bil elektrik ketika penggunaan jenis non-inverter.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan bahawa bil elektrik meningkat kerana penggunaan pendingin hawa yang dikawal dan cuaca panas berpanjangan ini adalah benar.

Penggunaan pendingin hawa tidak kira jenis inverter atau non-inverter akan menyebabkan peningkatan bil elektrik jika tidak digunakan dengan cara yang betul.

Nasihat kami semak dahulu dan kenal pasti keperluan ruang dan tempoh penggunaan di kediaman atau pejabat anda demi mendapatkan penjimatan elektrik yang dikehendaki.

Jadilah pengguna yang bijak dalam memilih pendingin hawa dan sentiasa peka apabila sudah sampai waktunya untuk menyelenggara pendingin hawa milik anda.

Jika anda kurang tahu, beranikan diri untuk bertanya kepada yang tahu mengenai selok belok pendingin hawa ini kerana bagaikan peribahasa melayu, malu bertanya, sesat jalan.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Twitter - @HelmiHasan_com/Helmi Hasan

  2. Inverter vs Non Inverter - Blog Juruteknik

  3. Twitter - @syazakifl/Syaza Nur Iylia

  4. Juruteknik elektrik - Ahmad Anwar

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.