Artikel Harakahdaily menunjukkan gambar paip air di Selangor kelihatan usang dan berkarat.
Sumber : Twitter / Jun
Gambar paip air itu sebenarnya merupakan gambar paip air di Jepun yang diterbitkan pada 2015.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Isu gangguan bekalan air di Selangor sering berlaku bagaikan tiada pengakhiran.
Walaupun Selangor dikatakan negeri termaju dan antara terkaya di Malaysia, namun negeri ini mempunyai kadar kekerapan terputus bekalan air yang tinggi.
Punca gangguan bekalan air di Selangor selalu dikaitkan dengan pencemaran sumber air oleh pihak ketiga, ketidakcukupan air mentah serta kerosakan paip air pecah.
Selangor pernah merekodkan jumlah aduan perkhidmatan air tertinggi pada 2016 oleh Malaysia Water Industry Guide (MWIG) iaitu sebanyak 161,857 aduan bersamaan 10 peratus jumlah keseluruhan pengguna air bersih di negeri itu.
MENGENAI DAKWAAN
Tular di laman media sosial dan chat mengenai satu keratan artikel menunjukkan paip-paip air di Selangor kelihatan usang dan berkarat.
Gambar terbabit dikatakan telah diterbit oleh Harakahdaily dengan artikel bertajuk “Paip usang: Apa rancangan Kerajaan Selangor?”, yang mana ramai membahaskan isu sistem perpaipan yang lemah di Selangor.
Ramai penduduk Selangor menyuarakan kekecewaan mereka kepada kerajaan negeri selepas melihat foto berkenaan berikutan isu gangguan bekalan air yang berterusan di negeri tersebut.
Apa-apa pun simpan marah anda terlebih dahulu dan biar MyCheck semak kesahihannya!
APA YANG KAMI TEMUI
MyCheck memulakan semakan dengan membuat carian menggunakan tajuk artikel pada carian enjin Google.
Kami kemudiannya klik pada pautan pertama yang muncul dan kami dibawa ke satu artikel berkaitan.
Gambar Artikel Telah Ditukar
Bagaimanapun, penelitian kami pada artikel tersebut mendapati gambar paip air yang tular itu telah ditukar kepada gambar paip air lain.
Tidak berputus asa, kami ke laman media sosial pula untuk mencari semula gambar paip air yang ditularkan itu.
Gambar Paip Usang Sebenarnya Di Jepun
Semasa sedang menelusuri aplikasi Twitter, MyCheck tertarik dengan satu ciapan oleh @Muhammad Fairul al Qasas yang menyifatkan laporan paip air di Selangor itu sebagai fitnah kerana menurutnya gambar yang digunakan pada artikel adalah gambar daripada Google dan sebenarnya berasal dari Jepun.
Beliau turut membuat perbandingan gambar menunjukkan sebelum dan selepas gambar paip air itu ditukar di dalam artikel Harakahdaily.
Gambar Telah Diterbitkan Pada 2015
Bagi memastikan kesahihan ciapan itu, MyCheck seterusnya melakukan carian imej berbalik pada gambar artikel yang lama dan hasilnya muncul satu gambar bersama tulisan Jepun.
Menggunakan terjemahan Google, kami dapati gambar itu berasal daripada sebuah artikel oleh Japan for Sustainability yang mana mereka telah menerbitkan gambar itu pada 2015.
Artikel terbabit menceritakan bagaimana penduduk di Wilayah Iwate dan Penyokong Kerja Air Yahaba (Yahaba Waterworks Supporters) bekerjasama untuk mendapatkan sistem pembekalan air yang bersih dan efektif serta menukar saluran paip air yang telah lama dan berkarat.
KESIMPULAN
Oleh itu, MyCheck mengklasifikasikan dakwaan gambar paip air di Selangor usang dan berkarat itu sebagai tidak benar.
Ini kerana, gambar paip air itu bukanya berasal di Selangor sebaliknya di Jepun memandangkan ia pernah diterbitkan dalam sebuah artikel Jepun pada 2015.
Harakahdaily juga telah menukar gambar tular pada artikel mereka kepada gambar baharu.
Sebagai pengamal media, kita seharusnya mengamalkan etika pelaporan media dengan memberi ‘kredit’ kepada pemilik gambar sekiranya kita menggunakan gambar daripada pihak lain.
Langkah ini bukan sahaja untuk mengelakkan kekeliruan tetapi juga fitnah yang boleh memburukkan banyak pihak.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.