Seorang kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di dalam kenderaan melecur selepas kereta dinaiki terbakar disebabkan enjin terlampau panas (overheat) ekoran pendingin hawa.
Sumber : Twitter / Julai 2023
Kejadian berlaku bukan berpunca ekoran enjin kenderaan ‘overheat’ tetapi tong oksigen yang berada di dalam kereta telah meletup. Kanak-kanak itu juga tidak ditinggalkan sendirian tetapi berada bersama ibu bapanya.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Kerap kita dengar kejadian kanak-kanak tertinggal dan ditinggalkan sendirian di dalam kenderaan.
Ada ibu bapa atau penjaga yang sengaja meninggalkan kanak-kanak di dalam kereta atas alasan untuk sementara sahaja namun ada juga yang terlupa dan tidak sengaja melakukan perbuatan itu yang dipanggil sindrom terlupa anak.
Lebih menyedihkan, tindakan sengaja atau tidak sengaja ibu bapa dan penjaga itu ada antaranya telah mengorbankan nyawa kanak-kanak.
Menurut Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohamad yang dipetik menerusi laporan Harian Metro, sindrom berkenaan banyak dilaporkan berlaku dalam masyarakat hari ini.
Berdasarkan statistik JBPM, sebanyak 309 kes kanak-kanak terperangkap di dalam kenderaan direkodkan pada 2021, 298 kes (2020) dan 305 kes (2019).
Justeru, setiap kali timbulnya kisah mengenai kanak-kanak ditinggalkan bersendirian di dalam kenderaan, pasti akan menjadi perhatian umum.
MENGENAI DAKWAAN
Tular satu video di Twitter memaparkan rakaman video sebuah kereta terbakar.
Turut kelihatan seorang kanak-kanak duduk di lantai dalam keadaan melecur.
Berdasarkan kapsyen pada video itu, dikatakan seorang kanak-kanak telah ditinggalkan bersendirian di dalam kereta dan mengalami kelecuran selepas kereta yang dinaiki itu terbakar.
Kejadian tersebut dikatakan berlaku di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Alor Setar, Kedah berpunca apabila kenderaan tersebut ditinggalkan dalam keadaan pendingin hawa dibuka yang menyebabkan enjin menjadi terlalu panas atau ‘overheat’.
Video tersebut yang dimuat naik oleh pemilik akaun @apanadikato itu telah meraih lebih 577,000 tontonan dan 2,300 tanda suka (likes) setakat laporan ini ditulis, 4 Julai 2023.
Malah, ruangan komen juga dibanjiri dengan kecaman terhadap kedua ibu bapa mangsa yang disifatkan tidak bertanggungjawab meninggalkan anak kecil di dalam kereta dalam keadaan enjin yang masih dihidupkan.
Video ini turut tersebar menerusi WhatsApp.
Persoalannya, benarkah kanak-kanak itu ditinggalkan sendirian di dalam kenderaan dan punca kebakaran adalah kerana enjin mengalami ‘overheat’ disebabkan pendingin hawa?
MyCheck semak kesahihannya.
APA YANG KAMI TEMUI
Berita Dilapor Media Arus Perdana
Langkah pertama MyCheck adalah meneliti video tular.
Melihat rakaman kanak-kanak yang melecur teruk di badannya, ia bukanlah satu kecederaan ringan atau insiden biasa.
Kejadian ini sudah tentu akan menjadi perhatian ramai dan jika benar ia berlaku, pasti akan dilaporkan oleh media arus perdana.
Maka, MyCheck melakukan carian di enjin Google dengan kata kunci ‘kereta meletup terbakar’.
Tidak perlu menatal (scrolling) lanjut, MyCheck menemukan video dan gambar kereta terbakar sama seperti yang tular.
Berita mengenai kejadian itu dilaporkan oleh pelbagai media arus perdana.
Punca Kebakaran Kerana Kereta Alami ‘Overheat’ Disebabkan Pendingin Hawa?
Kami kemudian membaca satu per satu berita yang dilaporkan untuk mengetahui apakah punca sebenar kebakaran itu berlaku.
Adakah benar ia ekoran enjin kereta mengalami ‘overheat’ seperti dakwaan tular?
Semakan kami mendapati tiada satu pun berita menyatakan punca kebakaran disebabkan enjin kereta ‘overheat’.
Tong Oksigen Dipercayai Menjadi Punca
Bahkan laporan terkini media menyatakan kebakaran itu dipercayai berlaku disebabkan letupan tong oksigen.
Memetik laporan Sinar Harian, dua tabung gas oksigen yang meletup menjadi punca tiga beranak melecur dalam kejadian kereta terbakar di Taman Industri Ringan Sri Mergong.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, ketiga-tiga mangsa dari Kampung Pinang, Pedu telah pergi ke lokasi kejadian untuk mengisi dua tabung gas oksigen bantuan pernafasan bagi kegunaan sendiri.
Selepas mengisi gas, mereka membawa dua tong gas terbabit ke dalam kereta untuk dibawa pulang ke kampung di Kempas, Johor.
Namun secara tiba-tiba kedua-dua tong gas tersebut dipercayai meletup sehingga mengakibatkan kereta terbakar.
Kedai Oksigen Utara, Alor Setar
Bagi mendapatkan kepastian, kami turut membuat carian kedai menjual oksigen di sekitar kawasan tersebut menggunakan aplikasi Google Maps.
Sememangnya terdapat satu kedai yang menjual oksigen di kawasan tersebut iaitu Perniagaan Oksigen Utara Sdn.Bhd.
MyCheck kemudian menghubungi kedai oksigen tersebut dan mereka mengesahkan kedai itu terletak di Taman Industri Ringan, Sri Mergong, Lorong Perak 22, di Alor Setar, lokasi kebakaran kereta itu berlaku.
Menurut pekerja di sana, kedai ini menjual dua jenis oksigen iaitu oksigen perubatan dan oksigen jenis acetylene, khas untuk pemotongan besi.
Malah, mereka turut mengesahkan bahawa mangsa kebakaran telah membeli oksigen perubatan di kedai ini.
Kanak-Kanak Ditinggal Bersendirian Dan Kereta Terbakar Kerana ‘Overheat’ Hanya Satu Andaian
Berdasarkan laporan media dan pengesahan pihak polis, jelas bahawa dakwaan menyatakan kanak-kanak itu ditinggal bersendirian di dalam kenderaan dalam keadaan enjin dan pendingin hawa dihidupkan sehingga kereta mengalami ‘overheat’ adalah tidak tepat.
MyCheck menyifatkan ia adalah satu andaian daripada individu yang memuat naik video tular tanpa mengetahui kejadian sebenar.
Namun, biarpun kisah sebenar di sebalik kejadian itu telah disahkan pihak berkuasa dan dilaporkan media, semakan MyCheck di akaun Twitter yang memuat naik video tular itu mendapati pemiliknya belum menukar kapsyen dengan maklumat yang tepat.
Kegunaan Gas Oksigen Perubatan
Mungkin ramai kurang jelas apakah sebenarnya kegunaan oksigen perubatan.
Menurut rootofscience.com, oksigen perubatan digunakan sebagai terapi untuk mengatasi pelbagai jenis penyakit kronik.
Malah, ia juga digunakan di hospital untuk meningkatkan keupayaan pengaliran oksigen ke paru-paru dan berupaya meringankan beban kerja pada jantung.
Antara penyakit yang memerlukan bantuan gas oksigen adalah penyakit emfisema (penyakit paru-paru yang menyebabkan sesak nafas), asma dan kegagalan jantung kongestif.
Punca Tong Oksigen Meletup
Tahukah anda bahawa gas oksigen tidak boleh terdedah kepada suhu yang panas dan bahan bakar api.
Menurut hantaran dan gambar yang dikongsi oleh seorang doktor pakar dalam bidang telinga, hidung dan tekak (ENT) menggunakan nama akaun Instagram @drtengkuent, gas oksigen berfungsi sebagai pengoksida yang menyokong proses pembakaran.
Maka, jika kebakaran kecil bermula berdekatan dengan gas oksigen tersebut, ia boleh membuat satu letupan dan kebakaran besar terjadi.
Malah, gas oksigen juga sangat sensitif dengan objek mudah terbakar seperti petrol, aerosol, lilin dan juga dapur gas jika berada di sekitar silinder oksigen.
Tambahan lagi, cuaca panas di Malaysia juga merupakan antara salah satu faktor terjadinya kebakaran itu.
Justeru, tidak mustahil mengapa kereta itu boleh terbakar kerana gas oksigen tersebut terdedah kepada bahaya.
KESIMPULAN
Berdasarkan semakan, MyCheck mengklasifikasikan dakwaan ini sebagai tidak benar.
Pihak berkuasa telah mengesahkan kejadian tersebut berserta punca berlakunya letupan dan kebakaran kereta, yang mana langsung tiada kaitan dengan enjin ‘overheat’.
Bahkan kami juga telah menghubungi pekerja kedai gas oksigen yang turut membantu mangsa ketika kebakaran berlaku.
Nasihat kami, siasat dahulu perkata tidak pasti agar tidak membuat tanggapan yang salah terhadap seseorang terutama sekali ketika mangsa sedang berduka.
Masyarakat pula usah cepat berburuk sangka dan membuta tuli membuat kecaman terhadap sesuatu perkara yang tidak pasti.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.