Gula-gula kenyal Yupi Gummi Pizza tidak halal kerana mengandungi gelatin khinzir.
Sumber : Facebook / Jun 2023
Yupi Gummi Pizza disahkan halal oleh sebuah badan pensijilan halal di Indonesia yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Penjualan makanan dan minuman ringan dari luar negara di Malaysia semakin mudah didapati di kedai runcit dan serbaneka.
Peningkatan jumlah dan kepelbagaian makanan ringan dari luar negara ke negara ini ternyata menyukarkan pihak berkuasa tempatan untuk memeriksa kesahihan logo halal pada setiap produk berkenaan.
Meskipun banyak makanan dan minuman ringan turut disertakan dengan pengesahan logo halal dari negara asal, namun ia tetap menimbulkan kesangsian pengguna Islam terhadap produk itu.
MENGENAI DAKWAAN
Tular dakwaan di media sosial bahawa sejenis gula-gula kenyal jenama Yupi Gummi Pizza yang dijual di pasaran tempatan tidak halal kerana mengandungi gelatin khinzir.
Dakwaan itu dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Fatimah Salim.
Beliau membuat dakwaan tersebut setelah melawat pameran anjuran KIMIA Malaysia yang diadakan sempena rumah terbuka Aidilfitri jabatan berkenaan pada bulan lepas.
Semasa melawat pameran bahan analisis KIMIA Malaysia, beliau mendapati label kod E441 diletakkan pada salah satu bahan pameran tersebut iaitu gula-gula kenyal Yupi Gummi Pizza dan terus membuat dakwaan bahawa sumber bahan berkenaan adalah daripada khinzir.
Beliau mendakwa kandungan gelatin yang digunakan sebagai bahan pemekat (berkod E441) bertujuan menghasilkan tekstur kenyal ke atas produk berkenaan.
Selain itu, wanita berkenaan mendedahkan beliau menemui produk yang sama sewaktu membeli barang di sebuah kedai runcit dan mendakwa semakan lanjut ke atas produk berkenaan mendapati ia tidak mendapat pengesahan halal daripada Jakim selain cop logo halal di luar negara yang dikatakan tidak diiktiraf oleh Jakim.
APA YANG KAMI TEMUI
Apa Itu Gelatin?
Mungkin ramai antara kita yang masih kabur atau tidak jelas dengan maksud gelatin.
Menurut Dewan Bahasa Dan Pustaka, gelatin bermaksud bahan atau protein yang jernih dan tanpa rasa yang dibuat dengan merebus tulang, kulit dan sebagainya. Ia digunakan dalam makanan, ubatan dan lain-lain.
Fungsi utama gelatin dalam industri pemprosesan makanan adalah sebagai bahan ramuan atau kondisioner makanan.
MyCheck sebelum ini pernah menjelaskan maksud gelatin.
Anda boleh baca penerangan lanjut menerusi laporan bertajuk Gula-Gula ‘Soft Candy With Jam’ Sah Tidak Halal. Logo Halal Pada Botol Tidak Diiktiraf Jakim.
Apa Pula Maksud Kod E441?
Bahagian Hab Halal Jakim pada 2019 pernah mengeluarkan kenyataan menerusi hantaran di Facebook bagi menerangkan kod E441 yang merujuk kepada pengkelasan bahan aditif makanan sama ada daripada kelas penstabil, emulsifier, pemekat dan pelembab yang digunakan pada produk-produk makanan.
Menurut Jakim, produk yang menggunakan kod E serta memperoleh sijil pengesahan halal daripada mereka sendiri, Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) atau badan-badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim adalah halal dimakan tanpa waswas.
Hal ini bermaksud sekiranya produk berkenaan menggunakan label kod E dan diiktiraf halal oleh Jakim, umat Islam di negara ini tidak perlu merasa waswas dengan status halal produk tersebut.
MyCheck juga pernah mengeluarkan satu artikel pada 5 Disember 2022 bagi menjelaskan kekeliruan mengenai penggunaan kod “E” bertajuk Tidak Semua Produk Yang Mempunyai Label Kod E Adalah Berasaskan Babi.
Laporan berkenaan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai maksud sebenar kod “E” kerana masih ramai umat Islam di negara ini yang beranggapan bahawa kod E dalam pelabelan makanan merujuk kepada produk yang bersumberkan daripada khinzir semata-mata.
Latar Belakang Pemilik Facebook
MyCheck memulakan semakan dengan meneliti latar belakang wanita yang memuat naik hantaran itu.
Kami dapati pengguna Facebook berkenaan merupakan seorang pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi awam selain merupakan ahli Akademi Sains Malaysia dan Institut Kimia Malaysia.
Beliau juga merupakan Doktor Falsafah dari UiTM dalam bidang sains gunaan selain turut aktif memberi informasi berkaitan aspek bahan kimia kepada orang ramai menerusi Facebook.
Hantaran Telah Dipadam?
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, MyCheck cuba mencari hantaran asal yang dimuat naik wanita itu di laman Facebook beliau.
Bagaimanapun kami tidak menemukan hantaran itu.
Berkemungkinan hantaran itu telah dipadam, diturunkan atau ditutup (hide) daripada pengguna Facebook lain.
Wanita Akui Padam Hantaran
Bagaimanapun, semakan lanjut MyCheck menemukan satu hantaran yang dimuat naik wanita berkenaan berhubung isu sama.
Namun wanita itu memaklumkan beliau telah menurunkan hantaran asal yang dimuat naik selepas mendapat nasihat daripada KIMIA Malaysia.
Menurut beliau KIMIA Malaysia turut memaklumkan produk itu adalah halal dan tidak mengandungi sebarang unsur khinzir.
Kenyataan KIMIA Malaysia
Disebabkan isu ini menjadi tular selepas dikongsikan oleh wanita berkenaan, KIMIA Malaysia mengeluarkan kenyataan penafian di laman Facebook mereka.
Menurut KIMIA Malaysia, dakwaan wanita berkenaan bahawa produk gula-gula kenyal Yupi Gummi Pizza mengandungi DNA khinzir adalah tidak benar.
Jabatan berkenaan mendedahkan sempena Hari Terbuka Aidilfitiri KIMIA Malaysia 2023 baru-baru ini, pelbagai sampel berkaitan perkhidmatan analisis termasuk sampel-sampel berkaitan analisis halal telah dipamerkan untuk tatapan pengunjung.
KIMIA Malaysia turut memaklumkan bahan-bahan pameran yang dipamerkan oleh Bahagian Analisis Halal sempena rumah terbuka tersebut merupakan contoh-contoh barang kes yang pernah dianalisis bagi penentuan status halal.
Pada masa sama, KIMIA Malaysia menegaskan mereka tidak akan mengeluarkan kenyataan mengenai sebarang keputusan analisis yang selesai dijalankan kepada orang awam melainkan melalui laporan kimia atau semasa menjadi saksi pakar di mahkamah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Hal ini bermaksud jabatan berkenaan tidak akan berkongsi sebarang keputusan analisis bahan yang dijalankan kepada orang ramai kecuali menerusi laporan kimia atau menjadi saksi di mahkamah bagi kes-kes tertentu.
Jakim Sahkan Yupi Gummi Pizza Adalah Halal
MyCheck menemukan kenyataan Bahagian Hab Halal Jakim menerusi ruangan komen pada hantaran Facebook KIMIA Malaysia.
Menurut Jakim, produk makanan ringan berkenaan adalah halal kerana mendapat pengiktirafan daripada Badan Penyelenggaraan Jaminan Produk Halal (BPJPH).
Untuk rekod, BPJPH merupakan salah satu daripada 83 badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim dan jabatan berkenaan yang diletakkan di bawah Kementerian Agama Indonesia diberi tanggungjawab untuk mengeluarkan sijil pengesahan halal di Indonesia.
Anda boleh rujuk senarai 83 badan pensijilan luar negara yang diiktiraf oleh Jakim di laman sesawang Halal Malaysia.
Status Halal Yupi Gummi Pizza Bukan Isu Baharu?
Lebih menarik, MyCheck turut menemukan satu komen oleh seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Muhammad Syafiq, berhubung isu tular.
Menurut pengguna Facebook itu, isu Yupi Gummi Pizza tidak halal merupakan isu lama yang sudah dijawab oleh Majelis Ulama Indonesia (MUI) dan syarikat PT Yupi Indo Jelly Gum yang merupakan pengeluar produk gula-gula kenyal berkenaan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh kedua-dua pihak berkenaan setelah tularnya satu video di TikTok pada 2019 yang antara lain mendakwa gula-gula kenyal keluaran syarikat tersebut diperbuat daripada kulit khinzir sehingga mencetuskan kebimbangan kepada umat Islam di Indonesia.
MyCheck menemukan kenyataan daripada MUI yang diterbitkan oleh sebuah laman sesawang bebas di negara berkenaan jernih.co selain turut dipaparkan pada laman Facebook MUI, manakala kenyataan pengeluar makanan berkenaan di laman sesawang syarikat tersebut; yupiland.com.
Tular Lagi Pada Tahun Lepas
Hasil semakan MyCheck mendapati isu ini juga tular pada tahun lepas.
Ketika itu wujud pelbagai dakwaan di laman sosial terutamanya TikTok yang mendakwa produk Yupi keluaran syarikat PT Yupi Indo Jelly Gum dari Indonesia menggunakan kulit khinzir sehingga mewujudkan kekeliruan dalam kalangan pengguna Islam di Indonesia.
Anda boleh rujuk dakwaan berkenaan di sini, di sini dan di sini.
Dari Mana Timbulnya Dakwaan Penggunaan Gelatin Khinzir Dalam Gula-Gula Kenyal?
Kami menatal informasi di enjin carian Google dan mendapati dakwaan asal wujudnya penggunaan gelatin khinzir dalam gula-gula adalah berikutan penularan sebuah video pendek yang dikeluarkan oleh pengarah bebas dan wartawan dari Belgium, Alina Kneepkens.
Beliau menghasilkan sebuah video pendek yang menerangkan proses penghasilan gula-gula kenyal atau lebih dikenali sebagai ‘Gummies’ bermula daripada peringkat awal sebelum diedarkan kepada pengguna.
Menerusi video berkenaan, Alina mendakwa gula-gula berkenaan dihasilkan daripada campuran sisa haiwan yang dicincang, bahan kimia yang direbus selain penggunaan pemanis dalam kuantiti yang banyak.
Menurut Alina, proses penghasilan gula-gula kenyal adalah sangat kejam dengan mendakwa khinzir akan dibunuh sebelum kulitnya diambil bagi dimasukkan dalam proses penghasilan gula-gula kenyal berkenaan.
Anda boleh baca beberapa artikel yang menerangkan perincian mengenai video terbitan Alina itu di sini dan juga di sini.
Semakan Pihak Lain
Kami turut menatal informasi mengenai isu ini dan kebanyakan portal berita yang mempunyai bahagian semakan fakta di Indonesia mengesahkan dakwaan berkenaan adalah tidak benar.
Antara laman sesawang berkenaan adalah detik.com, liputan6.com dan Tempo, suara.com, timesindonesia dan AFP Indonesia.
Kebanyakan badan semakan fakta berkenaan mengesahkan video asal yang diterbitkan oleh Alina tidak pernah menyatakan sebarang jenama gula-gula kenyal yang mengandungi sumber daripada khinzir.
Selain itu Kementerian Komunikasi dan Informatika Republik Indonesia turut mengesahkan bahawa dakwaan berkenaan tidak benar.
Pengilang Sahkan Yupi Gummi Pizza Bebas Daripada Sumber Khinzir
Kami turut menemukan kenyataan oleh Pengarah pemasaran dan jualan PT Yupi Indo Jelly Gum iaitu Juliwati Husman.
Memetik laporan laman sesawang Jawa Pos, Juliwati menjelaskan dakwaan penggunaan gelatin khinzir dalam produk Yupi Gummy Pizza adalah tidak benar kerana pihak syarikat sudah menerapkan Sistem Jaminan Halal dalam proses penghasilan semua produk di bawah syarikat berkenaan.
Juliwati mendedahkan semua produk yang dihasilkan di kilang mereka yang terletak di Gunung Putri, Bogor, Jawa Barat sudah melalui proses pengesahan halal dan pelbagai sijil pengeluaran makanan yang lain bagi memastikan kualiti terbaik untuk pengguna seluruh Indonesia.
"Jadi, selain halal, produk ini juga aman dan sehat untuk dikonsumsi (dimakan)," jelas Juliwati.
Syarikat berkenaan menerusi laman sesawang mereka yupiland.com turut mengesahkan bahawa gelatin yang digunakan adalah daripada sumber sapi atau lembu dan pengguna tidak perlu waswas mengenai perkara berkenaan.
Selain sijil pengesahan halal daripada Badan Penyelenggaraan Jaminan Produk Halal (BPJPH), PT Yupi Indo Jelly Gum yang diasaskan pada 1996 turut memperoleh sijil Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan Analisis Mudarat dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) sejak 2003 serta pensijilan ISO 22000 sejak 2008.
MyCheck turut menyemak label pembungkusan Yupi Gummy Pizza dan mendapati tiada sebarang bahan atau sumber meragukan digunakan dalam proses penghasilan Yupi Gummi Pizza.
Antara bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan gula-gula kenyal Yupi Gummy Pizza adalah seperti sirap glukosa, jus epal, Humectant (sejenis agen pelembap), pewarna sintetik atau tiruan seperti Tartrazine E102, Sunset Yellow E110, Carmine E120, Allura Red E129, Caramel E150c, Titanium Dioxide E171 serta pewarna makanan semula jadi seperti Concentrate of Spirulina and Safflower) selain gelatin lembu atau lebih dikenali sebagai sapi bagi masyarakat di Indonesia.
KESIMPULAN
Berdasarkan semakan MyCheck dan pengesahan daripada pelbagai pihak iaitu Jakim, pengilang dan KIMIA Malaysia, produk Yupi Gummi Pizza adalah disahkan halal.
Bahkan MyCheck juga tidak menemukan sebarang bukti wujudnya penggunaan gelatin khinzir sebagaimana yang didakwa di dalam hantaran Facebook berkenaan.
Sehubungan itu, kami mengklasifikan dakwaan tersebut adalah tidak benar.
Syarikat pengeluar telah memperoleh sijil pengesahan halal daripada sebuah badan pensijilan halal di Indonesia, Badan Penyelenggaraan Jaminan Produk Halal (BPJPH) yang diiktiraf oleh Jakim.
Sekiranya Jakim tidak mengiktiraf BPJPH, kami yakin produk berkenaan tidak akan dijual secara bebas dan mudah dibeli oleh pengguna Islam terutamanya di laman e-dagang seperti Shopee.
Sebagai pengguna yang bijak, semak dahulu sebarang label pembungkusan makanan dan dapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa tempatan termasuk Jakim sekiranya anda ragu-ragu sama ada logo halal yang tertera itu diiktiraf oleh Jakim atau sebaliknya.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
[HOAKS] Permen Yupi Dibuat Dari Kulit Babi.Diterbitkan oleh Kominfo
Viral Permen Yupi Disebut dari Kulit Babi, Ini Penjelasan Produsen.Diterbitkan oleh food.detik.com
Ini Penjelasan MUI Terkait Isu Produk Permen Yupi Mengandung Kulit Babi.Diterbitkan oleh jernih.co
Apakah Permen Yupi Halal? Ini Faktanya.Diterbitkan oleh yupiland.com
Hoaks Video Gelatin Babi, MUI Pastikan Permen Yupi Halal.Diterbitkan oleh jawapos.com
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.