Makan mata lembu mentah boleh menyembuhkan banyak penyakit terutama sakit buah pinggang.
Sumber : TikTok / Julai 2023
Tiada kajian kesihatan yang mengesahkan manfaat makan mata lembu mentah. Pakar kesihatan menasihatkan orang ramai untuk makan makanan yang telah dimasak bagi mengelakkan jangkitan kuman dan parasit.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Perubatan tradisional dalam masyarakat Melayu telah wujud sejak zaman dahulu lagi.
Sehingga kini, biarpun dalam arus pemodenan, perubatan tradisional masih menjadi pilihan ramai sebagai alternatif menyembuhkan sesuatu penyakit.
Selain menggunakan tumbuh-tumbuhan, haiwan juga menjadi sumber bagi tujuan perubatan tradisional.
Banyak bahagian daripada tubuh haiwan dikatakan boleh merawat penyakit tertentu.
MENGENAI DAKWAAN
Baru-baru ini tular satu trend di media sosial memparkan orang ramai meminum cecair mata lembu mentah semasa sambutan Hari Raya Aidiladha yang lepas.
Rata-rata video yang dikongsikan di TikTok mengatakan mata lembu mempunyai khasiat dan nutrisi yang tinggi jika dimakan atau diminum.
Malah, di ruangan komen juga ramai pengguna TikTok menyatakan minum cecair mata lembu boleh meningkatkan kesihatan serta menyembuhkan banyak penyakit antaranya masalah buah pinggang, tulang belakang dan asma.
Namun betul ke cecair mata lembu boleh sembuhkan penyakit? Hah sebelum anda ikuti trend ini, jom ikut MyCheck semak faktanya dulu!
APA YANG KAMI TEMUI
MyCheck memulakan semakan dengan membuat carian menerusi enjin Google menggunakan kata kunci ‘khasiat makan mata lembu’ dan mendapati isu ini telah dikupas sejak 2013 lagi.
Disyorkan Oleh Pakar Perubatan Tradisional
Blog Aku Anak Pahang merupakan portal yang pernah menerbitkan sebuah cerita mengenai seorang individu lelaki di Taman Amalina Lestari, Raub, Pahang meratah mata lembu mentah ketika aktiviti melapah lembu sewaktu Hari Raya Haji pada sedekad yang lepas.
Menurut blog tersebut, lelaki terbabit menghidap penyakit buah pinggang yang kronik dan perlu menjalani rawatan dialisis.
Namun setelah mendapat saranan daripada pakar perubatan tradisional yang mengatakan bahawa dengan memakan mata lembu ia dapat mengurangkan kesakitan yang ditanggungnya, maka beliau sanggup untuk mencuba kaedah tersebut.
Makan Mata Lembu Mentah Boleh Jejaskan Kesihatan
Bagaimanapun semasa membuat carian di laman sosial, kami menemukan satu perkongsian oleh Public Health di Facebook berhubung kepercayaan itu.
Public Health menasihatkan masyarakat untuk tidak menelan mata lembu mentah kerana ia boleh memudaratkan kesihatan.
Menurut hantaran tersebut, darah dan bahan cecair dalam tubuh haiwan adalah medium terbaik untuk pembiakan segala kuman termasuk juga pelbagai jenis parasit seperti cacing.
Tambah kenyataan itu lagi, setakat ini masih belum ada bukti tentang kelebihan memakan mata lembu mentah seperti yang didakwa warganet.
Oleh itu, mereka menyarankan orang ramai untuk makan makanan yang telah dimasak pada suhu yang tinggi bagi membunuh segala kuman dan parasit serta tidak mengikuti trend terbabit semata-mata untuk membuat ‘content’ video.
Khasiat Mata Lembu Hanya Untuk Penyakit Lutut Sahaja
MyCheck turut menemui satu video penjelasan oleh seorang doktor kesihatan menerusi TikTok @drwanshare yang mengatakan makan mata lembu hanya boleh membantu pesakit lutut sahaja.
Menurut pengamal perubatan yang lebih dikenali sebagai Doktor Wan itu, belum ada lagi kajian perubatan berkaitan faedah memakan mata lembu mentah.
Bagaimanapun beliau tidak menafikan bahawa cecair mata lembu mempunyai nutrisi seperti protein, karbohidrat dan kolagen.
Malah bahagian mata kornea lembu juga tinggi dengan kolagen dan glukosamin di mana kedua-dua nutrisi ini sangat bagus untuk mengurangkan sakit lutut.
Namun, beliau menegaskan bahawa semua nutrisi tersebut hanya boleh diperoleh sekiranya mereka memakan seluruh mata lembu dan bukan sekadar menyedut cecair pada mata lembu sahaja.
Selain itu, ketika dihubungi MyCheck menerusi mesej, beliau menyatakan adalah lebih baik untuk kita elakkan makan makanan mentah kerana risiko jangkitan parasit.
Malah makan telur rebus lebih bermanfaat untuk mengurangkan sakit lutut berbanding makan mata lembu mentah.
KESIMPULAN
Oleh itu, kami mengklasifikasikan dakwaan makan mata lembu mentah boleh menyembuhkan penyakit buah pinggang sebagai tidak benar.
Ini kerana, tiada kajian perubatan yang mengesahkan manfaat makan mata lembu setakat ini.
Malah ia boleh memudaratkan kesihatan kerana makan daging atau organ secara mentah boleh mendedahkan kita kepada risiko pelbagai jangkitan kuman serta parasit.
Maka, MyCheck menasihatkan orang ramai untuk tidak mengikuti sesuatu trend sebelum membuat selidik fakta di sebalik trend itu.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.