Tiada lagi pengeluaran penuh KWSP apabila pencarum mencecah usia 55 tahun.
Sumber : WhatsApp / Julai 2023
Pencarum KWSP masih boleh membuat pilihan sama ada mahu mengeluarkan KWSP pada usia 55 atau 60 tahun.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Isu pengeluaran KWSP bukanlah satu isu baharu diperkatakan sejak kebelakangan ini.
Kebanyakan rakyat mahukan pengeluaran khas seperti yang pernah diterima ketika penularan pandemik Covid-19.
Jika dahulu pengeluaran khas KWSP seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra memberikan senyuman kepada pencarum KWSP, namun kini ia mencetuskan kerisauan kepada sesetengah pihak.
Menurut KWSP pengeluaran khas tersebut telah mengakibatkan kejatuhan yang ketara dalam peratusan ahli yang mencapai simpanan asas iaitu RM240,000 pada 55 tahun.
Malah, ahli yang telah membuat pengeluaran perlu bekerja antara empat hingga enam tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan.
MENGENAI DAKWAAN
Tular satu dakwaan dalam bentuk poster dengan tajuk “Tiada lagi pengeluaran penuh KWSP bila cecah 55 tahun”.
Poster tersebut turut disertakan dengan beberapa maklumat lain seperti :
APA YANG KAMI TEMUI
Pengeluaran KWSP Usia 55 Tahun
Usia 55 tahun adalah fasa seseorang memasuki tempoh persaraan yang mana individu yang membuat simpanan KWSP mempunyai pilihan bagi menguruskan wang simpanan persaraan sama ada secara pengeluaran penuh atau pengeluaran fleksibel.
Menurut laman sesawang KSWP, apabila mencecah umur 55 tahun, caruman yang diterima ke dalam Akaun 1 dan Akaun 2 akan digabungkan ke dalam akaun 55 yang mana individu boleh mengeluarkan kesemua atau sebahagian simpanan daripada akaun ini pada bila-bila masa.
Namun sekiranya individu tersebut memilih untuk terus bekerja selepas umur 55 tahun, caruman yang diterima selepas itu akan dikreditkan ke dalam akaun Emas yang hanya boleh dikeluarkan apabila mencapai umur 60 tahun.
Antara kategori yang boleh dikeluarkan pada umur 55 tahun adalah seperti pengeluaran penuh, pengeluaran sebahagian, pengeluaran bayaran bulanan, kombinasi pengeluaran sebahagian dan bayaran bulanan, bayaran dividen tahunan secara automatik dan bayaran pengeluaran ke IPD yang dilantik.
Ini bermakna pengeluaran simpanan pada umur 55 tahun memberikan pelbagai pilihan kepada pencarum untuk mengeluarkan wang simpanan mereka mengikut kelayakan asalkan memenuhi syarat pemohon seperti mempunyai simpanan dalam Akaun 55.
Pelaksanaan Hanya Kepada Ahli Baharu Dan Masih Dalam Peringkat Perbincangan
MyCheck membuat semakan mengapakah isu ini menjadi perbualan hangat kini. Hasilnya, kami mendapati KWSP sebenarnya ada mengulas mengenai isu ini.
Memetik laporan Berita Harian yang bertajuk KWSP pertimbang pengeluaran bulanan usia 55 sebagai mandatori, KWSP dikatakan tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan menjadikan pilihan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila mencecah usia persaraan 55 tahun.
Jika sebelum ini pelaksanaan tersebut adalah secara sukarela, namun KWSP mungkin akan menetapkan syarat mandatori bagi ahli baharu pada masa depan.
Namun, menurut KWSP pelaksanaan secara mandatori itu memerlukan kajian yang lebih teliti dan perbincangan lanjut dengan kerajaan.
Menurut laporan Kosmo, pelaksanaan tersebut dilihat mampu memberikan peluang kepada ahlinya menguruskan wang persaraan dengan lebih baik.
Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan cadangan pengeluaran tersebut masih di peringkat akhir dan beliau tidak keberatan dan bergantung kepada keupayaan KWSP.
Anwar juga maklum terdapat beberapa kekangan terutamanya ada kalangan pencarum yang mempunyai simpanan yang kecil.
KWSP Sahkan Poster Tular Adalah Palsu
Bagi mendapatkan jawapan yang lebih tepat, kami membuat pemantauan dengan menatal media sosial milik KWSP dan hasilnya kami berjaya menemukan satu hantaran di platform Twitter KWSP seperti di bawah.
KWSP mengesahkan poster tersebut adalah palsu.
Seperti yang kami temui sebelum ini, KWSP mengatakan perkara ini masih belum dilaksanakan.
Pelaksanaan tersebut juga adalah kepada ahli baharu dan ia secara sukarela kepada ahli semasa.
Malah, KWSP menjelaskan sebab pelaksanaan mekanisme umpama pencen tersebut adalah kerana kebanyakan negara lain telah beralih kepada langkah sama termasuk Singapura.
Menurut KWSP sesetengah negara yang masih membenarkan pengeluaran penuh turut mempunyai skim seumpama pencen di peringkat nasional.
Poster Meragukan
Pada awal MyCheck menerima dan meneliti poster tular tersebut, kami dapati terdapat beberapa elemen yang boleh dikenal pasti dan boleh dijadikan sebagai petunjuk untuk mengenal pasti kesahihan sesuatu dakwaan itu.
Mengapa kami katakan ia sebagai petunjuk? Ini kerana dalam sesebuah terbitan berita atau sumber rasmi, lazimnya telah melalui beberapa tapisan sebelum disiarkan.
Oleh itu, MyCheck kongsikan kepada anda beberapa perkara yang boleh disemak sebelum anda mentafsir ketulenan sesuatu maklumat.
Antara kesilapan yang boleh dikenal pasti adalah seperti :
1. Kesalahan tatabahasa
Kebiasaannya, poster daripada sumber rasmi tidak atau jarang sekali mempunyai kesalahan tatabahasa atau ejaan yang banyak.
Namun, bagi poster ini terdapat banyak kesalahan tatabahasa dalam ayat yang digunakan antaranya :
SALAH : “... yang cecah usia 55 tahun tidak boleh lagi keluarkan kesemua wang...”
BETUL : “... yang telah mencecah usia 55 tahun tidak boleh lagi mengeluarkan kesemua wang..”
2. Simbol kartun (emoji)
Bukan itu sahaja, MyCheck turut temui simbol kartun (emoji) yang diletakkan di bahagian bawah poster tersebut dan ia seakan simbol satira yang menyerupai mimik muka.
Perkara ini pastinya menimbulkan sedikit keraguan kerana tidak mungkin media rasmi mengeluarkan kenyataan dengan tatabahasa ayat yang bukan kebiasaan atau memuat naik poster sedemikian.
Kami beralih pula ke carian imej berbalik Bing bagi membuat semakan poster tersebut.
Setelah memuat naik poster tersebut, ia menemukan kami kepada satu ciapan pengguna Twitter @RaggieJessy.
Ciapan itu memuat naik poster mengenai isu yang berlainan namun kami dapati identiti, templat dan corak (design) poster terbabit seakan sama dengan poster tular.
Seperti yang anda boleh lihat, penggunaan tulisan (font) yang digunakan adalah sama.
Bahkan poster itu turut meletakkan simbol anak panah bagi merujuk setiap ayat dan hanya warnanya sahaja yang berbeza.
Lebih mengejutkan, terdapat emoji yang sama diletakkan pada poster itu. Emoji berkenaan seolah-olah menunjukkan identiti pereka dan sumber asal poster tersebut.
Tidak mungkin poster rasmi mempunyai emoji seperti itu bukan?
Berdasarkan pemerhatian kami, poster tersebut dimuat naik oleh sumber yang sama berikutan templat yang digunakan juga adalah sama namun ia disunting mengikut isu yang berlainan.
KESIMPULAN
Kami mengklasifikasikan dakwaan ini sebagai tidak benar.
KWSP sendiri telah menjelaskan bahawa cadangan pengeluaran penuh simpanan masih dalam perbincangan.
Bagaimanapun, sekiranya perkara itu dilaksanakan ia mungkin hanya dikenakan kepada ahli baharu dan secara sukarela oleh ahli semasa.
Namun setakat ini masih tiada pengumuman rasmi daripada KWSP berkenaan keputusan cadangan itu.
Selain itu, hasil semakan kami juga mendapati terdapat beberapa kesilapan yang boleh dikenal pasti pada poster berkenaan yang mana ia boleh dijadikan petunjuk dalam menentukan kesahihan sesuatu berita.
Seperti dalam kes ini, anda boleh lihat bagaimana kesalahan tatabahasa dan penggunaan emoji pada poster tersebut yang mana mustahil untuk media rasmi menyiarkan poster sedemikian.
Pesan kami di MyCheck, sekiranya anda menerima sebarang maklumat tidak kira dalam bentuk poster, gambar, video atau berita, pastikan anda teliti dan semak dahulu hantaran berkenaan.
Hanya dengan memerhati, anda sebenarnya boleh kenal pasti ciri-ciri atau petunjuk yang mencurigakan pada sesuatu yang tular itu.
Ingat, jangan percaya bulat-bulat, semak dahulu!
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.