Produk makanan sejuk beku 'crab stick' atau jejari ketam diperbuat daripada bahan plastik.
Sumber : WhatsApp / Julai 2023
Produk jejari ketam yang terdapat di pasaran sebenarnya diperbuat daripada isi ikan kod putih, bukan bahan plastik seperti dakwaan tular.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Banyak makanan proses terutamanya produk sejuk beku dijual di pasaran yang menjadi pilihan orang ramai, lebih-lebih lagi jika produk itu jenis makanan laut.
Selain tahan lama disimpan di dalam peti sejuk beku, ia juga mudah dimasak serta lazat dimakan.
Namun sebagai pengguna, pernahkah anda terfikir apakah bahan asas yang digunakan dalam penghasilan produk makanan proses seperti jejari ketam yang sedap dimasak sup atau dijadikan snek itu?
Adakah ia benar-benar menggunakan isi ketam asli?
MENGENAI DAKWAAN
Baru-baru ini MyCheck menerima satu video tular menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa produk jejari ketam atau filamen ketam yang terdapat di pasaran sebenarnya diperbuat daripada bahan plastik.
Kami juga mendapati video yang telah dikongsi berkali-kali (forwarded many times) itu turut disertakan dengan kapsyen meminta agar ia ditularkan kepada lebih ramai orang.
Pastinya maklumat itu menimbulkan kebimbangan ramai yang khuatir untuk memakan produk yang disangka isi ketam tetapi sebenarnya dibuat daripada bahan plastik.
Bahkan ada pengguna yang bertindak membuang produk jejari ketam yang telah dibeli selepas mereka menerima maklumat tular itu.
Apa pun, jangan panik! Biar MyCheck semak kesahihan dakwaan tersebut terlebih dahulu.
APA YANG KAMI TEMUI
MyCheck memulakan semakan dengan meneliti video tular berdurasi tiga minit lima saat itu untuk mengetahui dari mana asalnya video berkenaan.
Paparan menerusi video itu menunjukkan bagaimana sebuah kilang memproses jejari ketam.
Kelihatan beberapa blok bahan berwarna putih seakan 'styrofoam' dimasukkan ke dalam mesin dan kemudiannya dihancurkan sehingga menjadi pes.
Namun, tiada sebarang penjelasan atau maklumat tertera menerusi video itu bagi menjelaskan apakah bahan utama dalam pembuatan stik ketam itu.
Video Pengguna TikTok
Kami bagaimanapun agak bernasib baik kerana di hujung video tersebut tertera nama akaun yang memuat naik video iaitu ‘@foodworkshop007’.
Seterusnya kami melanjutkan pencarian untuk mengesan pemilik akaun TikTok berkenaan serta memastikan sama ada video itu milik asal beliau atau tidak.
Kami berjaya menemukan akaun tersebut. Pemerhatian kami mendapati pemilik akaun itu kerap memuat naik kandungan video berkaitan pemprosesan sesuatu makanan.
Selain itu, kebanyakan video yang dimuat naik bukanlah milik asal pengguna TikTok tersebut. Kami percaya video-video berkenaan adalah sekadar ‘content’ yang diambil daripada pihak lain dan dimuat naik semula.
Disebabkan beliau bukan pemilik asal video berkenaan, agak sukar untuk memastikan fakta sebenar berkenaan maklumat yang cuba disampaikan di dalam video tersebut.
Video Kilang Pemprosesan Produk Makanan Di Thailand
Tidak berhenti setakat itu, kami cuba mencari petunjuk lain dengan membuat tangkap layar pada video dan memuat naik gambar tersebut ke aplikasi Google Lens.
Hasil carian imej berbalik Google menunjukkan terdapat beberapa gambar yang berkait dengan video. Kami kemudiannya klik pada gambar pertama yang muncul dan dibawa ke saluran YouTube.
Ternyata paparan di YouTube itu menunjukkan cara memproses produk jejari ketam yang serupa dengan video yang tular namun berdurasi lebih panjang dan lengkap.
Berdasarkan pemerhatian kami pada video yang dimuat naik oleh @Food Kingdom itu, terdapat logo syarikat pengilang yang bernama LUCKY UNION FOODS di awal video.
Menurut deskripsi video terbabit, syarikat tersebut merupakan kilang terbesar di dunia dalam industri pembuatan produk tersebut yang mampu menghasilkan 40,000 tan jejari ketam setahun dan dieksport ke 37 buah negara.
Semakan kami juga mendapati lokasi syarikat berkenaan sebenarnya terletak di Samut Sakhon, Thailand serta turut memasarkan produk mereka di laman e-dagang.
Produk Diperbuat Daripada Surimi Ikan 'Pollock'
Seperti yang anda dapat lihat di atas, blok putih yang dikatakan ‘styrofoam’ ini sebenarnya diperbuat daripada bahan yang dipanggil ‘Surimi Fish’.
Bagi pengetahuan anda, perkataan surimi berasal daripada bahasa Jepun yang bermaksud 'daging kisar'.
Apa yang lebih menarik, menurut Insider Science, produk jejari ketam yang dijual di pasaran sebenarnya diperbuat daripada isi ikan Pollock iaitu sejenis spesies ikan kod putih.
Oleh itu, berdasarkan maklumat ini, jelaslah produk berkenaan bukan dibuat daripada bahan plastik seperti yang didakwa.
Bungkusan Produk Perlu Dilabel Sebagai Makanan Tiruan (Imitation Food)
Kebiasaannya jenis produk makanan tiruan seperti jejari ketam, sos berperisa tiram dan pemanis tiruan perlu dilabel mengikut garis panduan ditetapkan KKM.
Seperti yang anda lihat di atas, jelas tertulis pada bungkusan perkataan ‘IMITATION’ crab stick yang merujuk kepada produk tersebut yang merupakan isi ketam tiruan.
Di bawahnya pula tertulis Filamen Berperisa Ketam yang menyatakan produk itu mempunyai perisa ketam tetapi bukan bermaksud dibuat daripada ketam.
Sementara makanan yang berasaskan tumbuhan misalnya daging soya (plant based beef) perlu dilabel mengikut bahan asas pembuatannya walaupun rupa bentuk produk itu menyerupai daging.
KESIMPULAN
Oleh itu, kami mengklasifikasikan dakwaan jejari ketam diperbuat daripada bahan plastik sebagai tidak benar.
Ini kerana, video yang tular itu bukanlah video penuh yang memaparkan keseluruhan proses pembuatan produk tersebut termasuk bahan asas yang digunakan sehingga menyebabkan orang ramai yang menerima video tersebut membuat andaian dan menyebarkan dakwaan yang tidak benar.
Bahkan, jika diteliti pada video asal ada dipaparkan bahan asas yang digunakan iaitu surimi ikan dalam pembuatannya.
Sebagai pengguna yang bijak, semak terlebih dahulu sebarang maklumat yang diterima jika sesuatu produk makanan itu mengandungi bahan berbahaya pastinya ia tidak mendapat kelulusan untuk dipasarkan.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.