Satu kemalangan ngeri membabitkan sebuah kereta api penumpang merempuh sebuah treler sehingga meletup dan terbakar telah berlaku di Papar, Sabah.
Sumber : Facebook / Julai 2023
Kejadian sebenar bukan berlaku di Sabah tetapi di Semarang, Indonesia.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Sebelum kewujudan perkhidmatan kereta api, pengangkutan air merupakan antara medium yang menjadi pilihan utama bagi memenuhi keperluan penduduk di Sabah.
Perkembangan perkhidmatan kereta api di Sabah berjaya meningkatkan ekonomi dan memajukan beberapa kawasan di negeri itu.
Selain perkhidmatan penumpang, kereta api di Sabah juga digunakan untuk mengangkut hasil pertanian di kawasan pedalaman ke kawasan pelabuhan.
Seperti di negeri-negeri lain juga, landasan kereta api di Sabah mempunyai jambatan untuk membolehkan kereta api menyeberangi beberapa batang sungai, berikutan faktor geografi.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima dakwaan daripada JomCheck mengatakan seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Myra Jym Tailor telah memuat naik satu video mengenai kemalangan ngeri melibatkan sebuah kereta api dan sebuah treler.
Dikatakan kemalangan itu berlaku di Papar, Sabah.
Menerusi video berkenaan, sebuah kereta api penumpang dilihat telah merempuh dan menyeret sebuah lori treler sebelum ia meletup.
Kedengaran bunyi rempuhan yang kuat ketika kemalangan itu berlaku hingga mencetuskan kebakaran besar.
Pengguna Facebook tersebut menulis keterangan gambar seperti berikut :
“Accident railway Buang sayang Bridge PAPAR”.
Buang Sayang adalah nama salah satu lokasi di Papar, Sabah.
Namun betulkah kejadian itu berlaku di Buang Sayang? MyCheck semak kesahihannya.
APA YANG KAMI TEMUI
Sejarah Perkhidmatan Kereta Api Di Sabah
Sebelum MyCheck memulakan semakan lanjut, mari kita lihat terlebih dahulu sejarah perkhidmatan kereta api di Sabah.
Perkhidmatan kereta api di Sabah diuruskan oleh Jabatan Perkhidmatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) atau Sabah Railway.
Menurut laman sesawang JKNS, perkhidmatan kereta api di Sabah bermula sejak zaman British North Borneo Chartered Company (BNBCC) iaitu sekitar 1881.
Perkhidmatan kereta api di Sabah pada ketika ini bermula di Stesen Sembulan, Kota Kinabalu dan berakhir di Stesen Tenom.
Jambatan Kereta Api Di Papar
MyCheck kemudian membuat carian mengenai jambatan kereta api di Sabah seperti yang tular di dalam video berkenaan.
Menggunakan kata kunci “jambatan Buang Sayang” di enjin carian Google, kami dapati terdapat sebuah jambatan pendek yang dikenali sebagai jambatan besi Papar.
Jambatan itu yang terletak di Jalan Pengalat-Lok Kawi digunakan penduduk sekitar kawasan berkenaan untuk memendekkan perjalanan di antara pekan Papar dengan Kota Kinabalu.
Jambatan berkenaan turut mempunyai satu landasan kereta api.
MyCheck menghubungi jurucakap JKNS yang mengesahkan laluan berkenaan masih digunakan sebagai laluan kereta api sehingga kini.
Carian Mengenai Kemalangan Kereta Api Rempuh Treler Di Papar
Berbalik kepada video tular, memandangkan kejadian berkenaan didakwa berlaku di Papar, kami cuba mencari berita berkaitan kemalangan kereta api di kawasan itu menerusi enjin carian Google.
Seperti mana yang kami nyatakan sebelum ini, sebarang berita tular terutama membabitkan kemalangan besar yang berlaku di dalam negara, pasti akan dilaporkan oleh media arus perdana.
Namun, menerusi carian tersebut, terdapat beberapa berita mengenai kemalangan kereta api di Papar, namun tidak ada yang membabitkan kereta api dan treler seperti dakwaan tular.
Video Ditularkan Pengguna TikTok Di Indonesia
MyCheck kemudian beralih ke TikTok, aplikasi media sosial yang digunakan untuk membuat dan berkongsi video dalam bentuk klip pendek yang semakin popular ketika ini.
Kebiasaannya, banyak video tular dimuat naik di aplikasi ini.
Hasil carian kami menggunakan kata kunci ‘kereta api langgar treler’ menemukan banyak video menyerupai rakaman tular.
Namun, kejadian kemalangan berkenaan banyak dikongsikan oleh pengguna TikTok di Indonesia.
Anda boleh tonton antara video berkenaan di sini, di sini, di sini dan di sini.
Carian Di YouTube
MyCheck kemudian ke platform YouTube bagi mencari rakaman yang mungkin sama daripada sumber yang lebih sahih.
Menggunakan kata kunci yang sama iaitu ‘kereta api langgar treler’, kami menemukan beberapa video yang memaparkan kejadian itu.
Kami turut mendapati ia disiarkan di saluran YouTube media Indonesia.
Perbandingan Video Menerusi Aplikasi InVID
Bagi mendapatkan kesahihan terhadap rakaman yang sama, MyCheck membuat analisis perbandingan video dengan menggunakan aplikasi InVID di antara video yang disiarkan oleh YouTube agensi berita CNN Indonesia dengan video yang tular di Facebook.
Menggunakan fungsi ‘image fragmentation’ yang terdapat pada InVID, kami dapati gambar jambatan dan letupan di dalam kedua-dua video itu adalah sama.
Semakan lanjut kami juga mendapati jambatan berkenaan sebenarnya terletak di Jalan Madukoro Raya, daerah Semarang Barat, Jawa Tengah, Indonesia.
Ia sekali gus mengesahkan bahawa kemalangan itu berlaku di luar negara dan bukannya di Papar, Sabah.
Insiden Dilaporkan Media Indonesia
Carian seterusnya menemukan kami dengan pelbagai laporan berhubung kejadian itu yang disiarkan oleh agensi berita di Indonesia seperti kompas, suara semarang, suara.com dan Tribunnews.com.
Media bebas, majoriti turut melaporkan mengenai kejadian itu.
Menurut majoriti yang memetik laporan portal Liputan6.com, tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat nahas itu.
Namun difahamkan salah seorang penumpang yang berada di dalam kereta api tersebut mengalami kecederaan sewaktu cuba melompat keluar dari kereta api untuk menyelamatkan diri.
Mangsa yang melompat keluar daripada kereta api itu merupakan seorang ‘masinis’.
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, masinis bermaksud jurumesin atau individu yang bertugas mengendalikan kereta api.
Pengesahan Oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah
MyCheck turut menghubungi pihak JKNS untuk mendapatkan pengesahan.
Menurut jurucakap JKNS, pihaknya maklum mengenai video tular itu namun mengesahkan kejadian berkenaan tidak berlaku di Papar, atau mana-mana bahagian di Sabah.
“Tiada kemalangan membabitkan kereta api dan treler seperti video tular berlaku di Papar, Sabah,” menurut jurucakap itu.
Mengulas lanjut, jurucakap JKNS menjelaskan jika berlaku sebarang kemalangan, pastinya kejadian tersebut akan terus dilaporkan oleh pegawai stesen terlibat kepada pihak pengurusan untuk tindakan selanjutnya.
Perbezaan Antara Jambatan Semarang Dan Jambatan Buang Sayang
Meskipun telah disahkan bahawa kejadian itu berlaku di Indonesia dan bukannya di Sabah sebagaimana dakwaan tular, kami cuba mencari jawapan mengapa kejadian ini dikatakan berlaku di Papar.
Justeru kami membuat perbandingan bagi mengenal pasti perbezaan antara jambatan di Semarang, Indonesia dan jambatan Buang Sayang di Papar, Sabah.
Berdasarkan tangkap layar menerusi carian imej di Google Earth, terdapat beberapa perbezaan ketara antara kedua-dua jambatan berkenaan.
Jambatan di Semarang hanya mempunyai landasan kereta api selain laluan pejalan kaki sahaja manakala jambatan Buang Sayang di Papar bukan sahaja mempunyai landasan kereta api bahkan memiliki sebatang jalan yang merentasi Sungai Papar.
KESIMPULAN
Kami mengklasifikasikan dakwaan bahawa kejadian kemalangan ngeri kereta api dan treler itu berlaku di Sabah adalah tidak benar.
Pihak JKNS sendiri telah mengesahkan tiada kejadian kemalangan kereta api dan treler yang berlaku di Papar atau mana-mana kawasan di negeri itu seperti dakwaan tular.
Nasihat kami gunakan media sosial untuk menyebarkan perkara yang bermanfaat dan jangan berkongsi maklumat yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kegelisahan dalam kalangan orang awam.
Jadilah individu yang bertanggungjawab dengan fikir dahulu sebelum sebar!
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.