Sultan Perak bertitah menyatakan sokongan terhadap satu parti politik menerusi sebuah video.
Sumber : WhatsApp / Julai 2023
Ia adalah video lama pada 2013 yang telah disunting di luar konteks. Video ditularkan dipercayai bagi tujuan meraih sokongan umum sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Institusi diraja, golongan pemimpin, para ilmuan termasuk ikon-ikon negara dalam bidang tertentu sering menjadi contoh masyarakat.
Sudah menjadi lumrah apa yang dipamer serta disuarakan oleh golongan berkenaan secara langsung atau tidak, memberi kesan dan pengaruh kepada rakyat.
Terkenal dengan ciri-ciri serta kualiti peribadi yang biasanya berpendidikan, berkarisma dan berjaya, tidak hairanlah jika ada sesetengah pihak yang mengaitkan nama mereka sebagai ikutan.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima mesej menerusi WhatsApp yang dihantar oleh orang awam seperti dalam gambar berikut:
Mesej itu disertakan dengan pautan kepada satu video ceramah, dipercayai dimuat naik di laman Facebook.
Tertera kapsyen yang mendakwa Sultan Perak menyokong sebuah parti politik.
Apabila dakwaan ini tular, lebih-lebih lagi dalam musim berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri pada 12 Ogos 2023, pastinya ramai yang berteka- teki akan kesahihan perkara ini.
Tambahan pula Sultan Nazrin Shah cukup disegani dengan ilmu dan buah fikiran yang bernas.
Apa fakta sebenar di sebalik dakwaan ini? MyCheck semak kesahihannya untuk anda!
APA YANG KAMI TEMUI
Langkah pertama MyCheck adalah klik pautan yang disertakan bersama dakwaan berkenaan untuk melihat kandungan sebenar video tersebut.
Kami dapati video berdurasi 1 minit 18 saat itu dimuat naik di laman Facebook yang menggunakan nama akaun 'Terus Istiqamah Bersama Kepimpinan Ulama''.
Akaun yang mempunyai 14,000 pengikut itu (setakat laporan ini ditulis) banyak berkongsi maklumat serta ideologi politik parti PAS.
Seterusnya kami meneliti pula video berkenaan yang memaparkan Sultan Nazrin Shah sedang bertitah pada satu majlis.
Titah baginda secara amnya mengulas lanskap politik parti Islam berkenaan.
Bagaimanapun video tersebut kelihatan seperti tiada hujung pangkal dan seolah-olah tidak lengkap.
Justeru, terlalu awal untuk menilai intipati sebenar video berkenaan.
Video Lama Pada 2013
Berdasarkan tangkap layar berikut, dapat dilihat dengan jelas bahawa hantaran video di laman Facebook itu dibuat pada 11 April 2018.
Memandangkan bahan hantaran itu sudah lama dan video tersebut seperti tidak lengkap, kami cuba mencari jika terdapat hantaran serupa yang turut dimuat naik di platform lain.
Tujuannya bagi membuat perbandingan sekiranya terdapat video penuh yang pernah dimuat naik di Internet.
Selain itu daripada video asal juga kita boleh mendapatkan maklumat penting lain seperti tajuk program dan tajuk titah disampaikan baginda.
Maklumat-maklumat sedemikian penting untuk merungkai konteks sebenar sesuatu video yang tular.
Menggunakan kata kunci 'Sultan perak sokong PAS' kami menemukan satu video yang dimuat naik di platform YouTube oleh Harakah TV.
Ternyata video berkenaan sudah dimuat naik 10 tahun lepas iaitu pada 2013.
Video yang dimuat naik di YouTube juga didapati berdurasi lebih lama iaitu enam minit 20 saat berbanding video yang ditularkan di Facebook.
Namun kami masih tidak dapat mengesan maklumat penting yang lain kerana video tersebut juga tidak lengkap, iaitu bukan rakaman penuh dari mula sehingga akhir titah baginda.
Video Telah Disunting Di Luar Konteks
Intipati sebenar daripada titah baginda masih tidak jelas kerana video yang tular itu telah disunting serta dipendekkan menjadi kurang daripada dua minit.
Video asal yang mengandungi titah penuh Sultan Nazrin juga masih tidak dapat dikesan.
Walaupun kami mendapati terdapat video serupa yang dimuat naik di YouTube, tetapi video berkenaan masih tidak mempunyai mukadimah dan penutup titah baginda.
Video yang dimuat naik di YouTube juga menunjukkan baginda tidak hanya menyentuh tentang sebuah parti politik sahaja tetapi turut menyebut berkenaan parti UMNO.
Ini bermakna konteks sebenar bukanlah seperti apa yang ditularkan.
Cara klip video itu juga diolah kelihatan mengaitkan dan mengheret secara langsung atau tidak langsung kedudukan seorang raja pemerintah untuk tujuan politik kepartian.
Oleh yang demikian kesimpulan awal yang boleh dibuat ialah hantaran video yang tular di Facebook itu adalah di luar konteks serta mengelirukan.
Kenyataan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
Bagi mengukuhkan lagi maklumat yang dikumpul, MyCheck seterusnya cuba mendapatkan maklumat rasmi berhubung dakwaan ini bagi mendapat gambaran yang lebih jelas.
Menurut kenyataan pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, video ditularkan itu hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan titah Raja Nazrin Shah yang dizahirkan pada 2013.
Video tersebut merujuk kepada titah Raja Nazrin Shah (ketika itu Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan) yang dizahirkan pada 19 Februari 2013 sempena Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka bertemakan ‘Perpaduan Ummah; Harapan, Realiti dan Cabaran‘.
Menurut kenyataan itu lagi, semasa wacana tersebut, baginda menzahirkan analisis melibatkan dua buah parti terbesar Melayu, iaitu UMNO dan PAS, yang merupakan dua kuasa politik Melayu yang dominan ketika itu.
Baginda tidak hanya menzahirkan kata-kata positif terhadap PAS (pada 2013) tetapi secara seimbang turut menzahirkan kupasan yang sama terhadap UMNO.
Dalam masa sama, baginda turut menzahirkan peringatan kepada kedua buah parti Melayu tersebut bahawa keghairahan mendapatkan sokongan politik dan kuasa jangan sampai memecah belahkan bangsa seterusnya memusnahkan negara.
Titah Penuh Sultan Perak Berkenaan Penyatuan Ummah
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, kami mendapat maklumat baharu berkenaan konsep atau tema majlis semasa Sultan Perak menyampaikan titah baginda.
Wacana perpaduan ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka itu bertemakan "Perpaduan Ummah; Harapan, Realiti dan Cabaran".
Menggunakan tajuk wacana itu sebagai kata kunci carian di YouTube, kami menemukan video penuh titah baginda pada program berkenaan yang berdurasi 29 minit 9 saat (bahagian 1) seperti dalam tangkap layar berikut:
Kami meneliti setiap bait titah baginda untuk memahami apa sebenarnya mesej yang disampaikan. Permulaan titah baginda pada minit ke 5:48 Sultan Nazrin menzahirkan mukadimah seperti berikut:
"Dalam menyempurnakan hasrat penganjur, beta juga perlu teliti memilih ungkap kata demi memastikan takhta kekal bersifat berkecuali dari politik kepartian, terlindung dari di salah tafsir hingga raja dianggap turut terlibat secara langsung dalam politik kepartian.
"Lebih-lebih lagi menyedari terdapat audien Melayu pada hari ini yang semakin taksub, berpemikiran secara berpuak, berpendirian semakin berpihak, audien bangsa yang semakin hilang pemikiran rasional, semakin kabur pandangan, semakin kelam penglihatan,".
Titah tersebut jelas menunjukkan baginda telus menzahirkan prinsip berkecuali daripada memihak kepada mana-mana parti politik di negara ini.
Seterusnya pada minit ke 14:20, baginda memetik ungkapan seorang pemimpin gerakan An-Nahdah di Tunisia, Sheikh Rashid Ghannoushi yang berpandangan jika ada dua parti politik orang Islam yang berebut kuasa, di situlah punca perpecahan umat Islam di mana-mana negara. Politik turut mencetuskan kebencian yang luar biasa sehingga umat tidak boleh bersikap rasional lagi.
Pada minit ke 15:12 pula baginda bertitah "dua parti politik Melayu Islam iaitu UMNO dan PAS berperanan paling dominan di negara ini, khususnya pengaruh mereka di kalangan umat Melayu,".
"UMNO dan PAS semakin bersaing untuk berada di atas, kedua-dua kabilah sedang rancak berusaha, baik untuk mempertahan begitu juga untuk mendapatkan kuasa.
Terdapat andaian bahawa jika dua kabilah parti politik melayu ini kembali bercantum, sepertimana yang pernah berlaku di era PAS menyertai Barisan Nasional (BN), maka perpaduan ummah akan tercapai,masalah perpecahan ummah akan selesai," titah baginda.
Titah Sultan Perak Bukan Zahir Sokongan Terhadap Parti Politik
Seterusnya dalam video bahagian dua wacana tersebut yang berdurasi 31 minit 35 saat itu, baginda turut mengupas mengenai tokoh pemimpin terdahulu dan revolusi kepimpinan negara.
Antara intipati yang boleh kami kongsikan menerusi titah baginda ialah faktor kekuatan sehinggalah isu krisis perpecahan dalaman parti UMNO dan PAS.
Sebagai contoh, krisis dalaman parti Melayu itu menurut baginda telah mendorong kewujudan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Justeru titah baginda, senario tersebut memberi contoh yang tiada jaminan tidak akan berlaku perpecahan ummah walaupun berada dalam parti yang sama (minit ke 11:20).
Titah baginda lagi, sejak pilihan raya persekutuan yang pertama berlangsung pada 27 Julai 1955, ummah telah mempunyai pilihan untuk memilih pimpinan Melayu di antara UMNO dan PAS (minit ke 11:34).
Mengulas pilihan raya pertama diadakan di negara ini pada ketika itu, baginda bertitah parti PAS berjuang secara sendiri dan mempunyai sumber yang amat terbatas.
Parti itu malah tidak berupaya untuk membayar deposit bagi calon yang bertanding, apatah lagi untuk membiayai perbelanjaan berkempen, namun berjaya menduduki Dewan Perundangan Persekutuan pada ketika itu melalui kemenangan tunggal calon dari Kerian, Perak (minit ke 11:42-13:25 ).
Seterusnya baginda mengupas revolusi dilalui parti PAS sehingga berjaya menubuhkan kerajaan negeri yang kuat di Kelantan, tetapi di Terengganu PAS berdepan realiti cabaran untuk mengurus kejayaan.
Turut dikupas bibit perebutan kuasa mula terserlah di Terengganu hingga Timbalan Presiden PAS Allahyarham Zulkifli Muhammad menyifatkan kejayaan PAS terlalu cepat dan kerajaan PAS di Terengganu tidak bertahan lama pada 1961.
Titah penutup baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap persaingan politik yang telah merentasi etika dianjurkan oleh Islam, melanggar tata kesopanan budaya Melayu, fitnah pemalsuan dan penghinaan yang keterlaluan terhadap parti lawan berlaku secara berleluasa.
Perbalahan berbentuk verbal diperluaskan dalam bentuk penulisan dan dilebarkan melalui alam siber yang pada akhirnya nanti dibimbangi tidak akan ada lagi tokoh Melayu yang kredibel dan dipercayai, titah baginda.
Oleh itu, apa yang dizahirkan oleh baginda Sultan Perak itu amat jelas menegur kedua-dua parti Melayu Islam berkenaan yang berpecah dan berbeza haluan, akibatnya turut menyumbang kepada perpecahan ummah.
KESIMPULAN
Berdasarkan maklumat yang telah kami kumpul, MyCheck mengklasifikasikan dakwaan terhadap Sultan Perak itu adalah tidak benar.
Apa yang ditularkan itu tidak boleh dianggap sebagai menggambarkan pendirian baginda kerana kandungan video tersebut dilihat tidak telus kerana tidak memaparkan titah penuh baginda.
Video yang tular tidak sampai dua minit, sedangkan video penuh titah baginda pada wacana ummah itu berdurasi lebih 60 minit. Jika diteliti keseluruhan titah baginda Sultan Perak itu sebenarnya tidak langsung menzahirkan sokongan kepada mana-mana parti politik.
Malah baginda menegur perubahan lanskap parti masing-masing yang semakin ketara menumbuhkan bibit-bibit perpecahan demi kekuasaan.
Sehubungan itu, menurut laporan media antaranya Malaysiakini dan Berita Harian juga, Pejabat Sultan Perak telah membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut pada 31 Julai lepas.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Datuk Seri Diraja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, berkata laporan polis dibuat oleh Pejabat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Perak demi melindungi nama baik Sultan Nazrin daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak bagi meraih kepentingan politik.
Mohd Zahidi juga percaya pihak yang menularkan petikan titah Sultan Nazrin pada 2013 itu adalah dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi agar menyokong parti PAS dalam suasana menjelang PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini.
Tindakan ini sekali gus membuktikan dakwaan tersebut disangkal dan tidak berasas.
MyCheck juga rasa bertanggungjawab untuk mengingatkan orang ramai bahawa setiap gambar atau video yang tular tidak harus menjadi asas kepada sebarang andaian atau spekulasi yang boleh ditularkan sewenang-wenangnya.
Semak terlebih dahulu kesahihan dan konteks sebenar sesuatu maklumat yang diperoleh agar kita tidak menjadi salah seorang yang menyumbang kepada penyebaran maklumat palsu lebih-lebih lagi jika berkait dengan Pilihan Raya.
Biasanya sepanjang musim ini, ramai pihak yang menjadikan pelbagai isu berbangkit sebagai bahan kempen politik masing-masing yang kebanyakannya bertujuan meraih undi tanpa mengira fakta dan rasional sesuatu maklumat.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.