+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Dakwaan Stoking Kesihatan Lulus KKM Adalah Tidak Benar

Benarkah...

Terdapat stoking kesihatan yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM)?

Sumber : WhatsApp / Julai 2023

Hasil

KKM tidak pernah memperakukan produk tersebut. 

16/08/2023 06:37 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan terdapat produk stoking kesihatan yang mendapat kelulusan KKM.
  • Turut tertera gambar Ebit Liew memegang stoking itu seolah-olah mempromosi produk tersebut.
  • KKM sahkan pihaknya tidak pernah memperakui produk berkenaan.
  • MyCheck mendapati gambar tular Ebit memegang stoking sebenarnya telah disunting.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Selain daripada suplemen tambahan, terdapat ubat-ubatan bukan klinikal yang turut diambil oleh orang ramai sebagai usaha penjagaan kesihatan atau sebagai alternatif selain rawatan hospital.

Misalnya produk-produk seperti makanan dan minuman termasuklah pemakaian stoking yang dikenali sebagai stoking kesihatan.

Persoalannya benarkah ia selamat dan tidak memberikan kesan sampingan terhadap pengguna.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

MyCheck menerima tangkap layar melalui aplikasi WhatsApp mendakwa terdapat produk sarung kaki (stoking) yang mampu melindungi dan meningkatkan tahap kesihatan individu.

Gambar itu turut memaparkan pendakwah Ebit Irawan Ibrahim atau dikenali sebagai Ebit Lew sedang memegang stoking kesihatan tersebut seolah-olah beliau mempromosi produk berkenaan.

Dakwaan itu juga menyatakan KKM bekerjasama dengan Ebit untuk membuka kedai produk sarung kaki bagi membantu orang ramai memiliki stoking jenama EMS 6D teknologi Jepun itu.

KKM dan Ebit juga dikatakan memberi jaminan terhadap keberkesanan stoking tersebut dan wang pengguna akan dikembalikan sekiranya produk berkenaan tidak memberi kesan seperti didakwa.

Namun, benarkah terdapat stoking kesihatan yang diiktiraf KKM?

Jom ikut MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Pemilik Akaun Mencurigakan

MyCheck mulakan carian dengan memeriksa pautan yang disertakan dengan tangkap layar yang kami terima.

Hasilnya, kami dapati ia sebenarnya hantaran di media sosial Facebook yang dimuat naik oleh pemilik akaun Lololala Chasa.

Seterusnya, bagi mendapatkan kesahihan dan latar belakang pemilik akaun tersebut, kami membuat semakan profil Lololala Chasa.

Kami dapati akaun Facebook itu agak mencurigakan kerana kandungan hantarannya hanya memuat naik mengenai produk stoking kesihatan terbabit.

Selain itu, kami turut membuat carian lain di Facebook sekiranya menemui hantaran yang serupa, hasilnya kami menemukan hantaran yang sama antaranya di sini, di sini dan di sini.

 


Sumber: Facebook

 

Hantaran Gambar Di Facebook Telah Disunting

Bagi mengesahkan gambar yang dimuat naik pada hantaran adalah asli, kami membuat carian menerusi imej berbalik Google.

Carian kami menjumpai satu hantaran berserta gambar yang hampir sama dimuat naik di Facebook rasmi Ebit pada 4 September 2020.

Gambar itu menunjukkan Ebit bersama pengasas Syarikat Faiza Sdn Bhd, Faiza Bawumi Sayed Ahmad masing-masing sedang memegang sebuah buku.

 


Sumber: Google

 

Jika diteliti gambar yang ditemui serupa dengan gambar yang tular, namun telah disunting menunjukkan kedua-dua mereka sedang memegang produk stoking kesihatan itu.

MyCheck gabungkan gambar tular dan gambar asal yang dimuat naik Ebit. Anda boleh lihat perbezaannya seperti di atas.

 


Sumber: Facebook

 

MyCheck turut membuat carian satu lagi gambar pada dakwaan tular tersebut menggunakan imej berbalik Yandex.

Hasilnya, ia dibawa ke satu ciapan yang dimuat naik oleh pemilik akaun di platform X Ebit Liew.

Kami dapati akaun tersebut adalah akaun rasmi Ebit.

Dalam ciapan tersebut, beliau dilihat sedang memegang telefon pintar dan bukanlah produk stoking seperti yang didakwa.

Bagaimanapun, kami tidak dapat menemui satu lagi gambar yang dimuat naik, berkemungkinan ia juga telah disunting.

Kami turut membuat semakan di media sosial rasmi Ebit dan mendapati tiada sebarang hantaran menunjukkan beliau mempromosi produk sarung kaki tersebut.

 

Testimoni Dalam Laman Sesawang Meragukan

Berbalik kepada dakwaan tular, kami semak pula pautan laman sesawang yang dikatakan menjual produk stoking kesihatan yang tulen.

Ketika kami menelusuri laman web berkenaan kami dapati ia seakan laman web yang mencurigakan.

Kami turut perhatikan gambar-gambar testimoni yang dikongsi dan membuat carian imej berbalik bagi memastikan keaslian gambar dan testimoni berkenaan.

Menggunakan imej berbalik Google, kami temui beberapa gambar yang diperoleh daripada platform foto percuma yang boleh diguna dan disunting oleh sesiapa sahaja.

 


Sumber: Google

 

Ini bermakna gambar testimoni dalam laman sesawang itu bukanlah daripada testimoni sebenar malah ia diambil daripada platform imej terbuka seperti di Istockphoto.com.

Istockphoto adalah platform penyediaan foto, ilustrasi,vektor dan klip video yang mana ia boleh diakses secara percuma dan berbayar.

 

Kenyataan KKM

Seterusnya kami temui pula kenyataan KKM melalui hantaran di laman Facebook rasmi mereka yang mengesahkan bahawa maklumat yang tersebar mengenai stoking kesihatan itu adalah palsu.

Menurut KKM, pihak tidak bertanggungjawab telah mengelirukan masyarakat apabila menggunakan nama KKM untuk mempromosi sedangkan KKM tidak pernah memperakukan produk tersebut.

Orang ramai juga diingatkan untuk tidak mudah terpedaya dengan maklumat palsu.

 


Sumber: Facebook

 

Trend ‘Marketing’ Guna Ikon Selebriti

Tidak dinafikan dalam dunia pendigitalan kini, taktik pemasaran yang menggunakan pengaruh ikon seperti selebriti dan pempegaruh mampu memperoleh capaian pembelian yang tinggi.

Tambahan lagi, penjualan dalam talian semakin menjadi pilihan masa dan kita dapat lihat bagaimana media sosial dibanjiri produk yang dipromosi oleh ramai selebriti yang meningkatkan kepercayaan pelanggan untuk membelinya.

Begitu juga dalam konteks ini apabila penjual menggunakan nama Ebit sebagai ikon penjualan stoking oleh kerana pengaruh pendakwah itu yang popular di Malaysia.

Bukan itu sahaja, penjual juga menggunakan nama KKM dalam taktik pemasaran ini kerana ia mampu meyakinkan pelanggan terhadap kredibiliti produk tersebut sekali gus meraih keuntungan.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, dakwaan terdapat produk sarung kaki yang diiktiraf KKM adalah tidak benar.

KKM telah mengesahkan pihaknya tidak pernah memperakukan produk itu.

Hasil semakan MyCheck juga mendapati gambar asal dimuat naik di Facebook rasmi Ebit telah disunting dengan meletakkan gambar produk.

Tindakan sebegini boleh menjejaskan kredibiliti banyak pihak sekali gus menimbulkan ketidakpercayaan orang ramai terhadap pengiktirafan KKM sekiranya produk itu tidak berkesan.

Namun, dalam dunia perniagaan kini terdapat pelbagai taktik yang digunakan demi meraih keuntungan semata, oleh kerana itu pentingnya sebagai pembeli dan pembaca membuat usul periksa sebelum menjadi mangsa penipuan.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook | Lololala Chasa | 7 Julai 2023

  2. Facebook | Ustazz Ebitt Liew Store | 21 Julai 2023

  3. Facebook | Stokin Urut | 8 Ogos 2023

  4. Facebook | Ebit Lew | 4 September 2020 

  5. X | Ebit Lew | 2 Julai 2022

  6. Facebook | Kementerian Kesihatan Malaysia | 9 Julai 2023

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.