Lebih 200 buah sekolah agama di Selangor diarah tutup.
Sumber : WhatsApp, TikTok / Ogos 2023
Usaha pemutihan yang dikaitkan dengan penutupan sekolah agama di Selangor sebenarnya bagi mengatasi masalah sekolah tidak berdaftar, menambah baik operasi serta meningkatkan faktor keselamatan.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Beberapa dekad lalu, pendidikan agama dan tahfiz dipandang sepi sesetengah masyarakat kerana dianggap tidak segah aliran sains atau sastera.
Malah ada yang menganggap murid yang belajar dalam aliran agama tidak mempunyai masa depan cerah dan sukar mendapat pekerjaan terutama dalam bidang profesional.
Namun, persepsi itu kian berubah. Ramai ibu bapa kini mahukan pendidikan seimbang, merangkumi kecemerlangan dunia dan akhirat buat anak masing-masing.
Bagi yang bersekolah harian juga kebanyakan ibu bapa akan memastikan anak-anak mereka turut didaftarkan ke sekolah agama bagi memantapkan ilmu pengetahuan berkaitan agama Islam.
Jadi apabila timbul sebarang isu berkaitan institusi pendidikan agama, pastinya menimbulkan kebimbangan ramai ibu bapa.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima mesej daripada orang awam menerusi WhatsApp berhubung dakwaan tular seperti dalam gambar berikut:
Pesanan itu disertakan dengan tangkap layar yang mendakwa lebih 200 buah sekolah agama di Selangor diarah tutup dan dihalau keluar dari premis.
Pada tangkap layat tersebut terpapar laman sosial TikTok Samudera.my berserta tarikh 15 Ogos 2023.
Mesej yang dihantar turut mempersoalkan alasan sekolah agama berkenaan ditutup serta meminta MyCheck membuat semakan sejauh mana kesahihan dakwaan tersebut.
APA YANG KAMI TEMUI
Semakan Di TikTok
Oleh kerana maklumat tangkap layar yang kami terima memberi petunjuk hantaran dakwaan berkenaan dimuat naik di TikTok, kami cuba menjejaki akaun Samudera.my yang didaftarkan dengan nama @Xsamudera di platform tersebut.
Bagaimanapun, kami tidak menjumpai video terbaharu yang serupa dengan dakwaan terbabit.
Ini kerana video yang dipaparkan adalah setakat 11 Ogos 2023, sedangkan berdasarkan tangkap layar yang kami terima itu, dakwaan dimuat naik pada 15 Ogos 2023.
Berikut adalah gambar hasil carian yang kami peroleh di TikTok tersebut.
Kebiasaannya jika berlaku keadaan seperti ini, pemilik akaun berkemungkinan telah memadam video tersebut atau tetapan ditukar kepada mod simpanan (archive) daripada carian atau paparan umum.
‘Headline’ Artikel Dikemas Kini
Walaupun kami tidak berjaya menjejaki video asal yang dimuat naik di TikTok @Xsamudera, kami terus ke laman portal tersebut untuk melihat sekiranya ada maklumat lanjut yang membantu semakan kami.
Ternyata, laporan yang merujuk kepada dakwaan yang serupa masih ada dan tidak dipadam.
Bagaimanapun portal tersebut telah mengemas kini tajuk artikel dengan meletakkan nota penegasan ‘tajuk artikel ini telah diperbaiki untuk mencerminkan konteks isu yang dibangkitkan dengan lebih tepat’.
Jika diteliti, tajuk kedua-dua artikel tersebut terdapat perbezaan dari segi penggunaan ayat.
Dari segi struktur ayatnya memang terdapat perubahan.
Frasa ‘diarah tutup’ ditukar kepada ‘dapat amaran’ untuk keluar dari premis sekolah terbabit.
Namun secara dasarnya kedua-dua tajuk berkenaan masih mendakwa ada cubaan untuk menggugat operasi sekolah agama di Selangor.
Menurut penulisan pada portal berkenaan, dakwaan ini telah dibuat oleh Sekretariat Gabungan NGO Islam Selangor.
Persoalannya benarkah ada pihak yang berniat sedemikian? Kami meneruskan carian rawak menggunakan enjin carian Google.
Penafian Pihak Berautoriti
Menurut laporan agensi berita BERNAMA, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar menyifatkan dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan berniat menimbulkan kegelisahan dalam kalangan umat Islam.
Beliau juga mengingatkan semua pihak agar merujuk isu terbabit kepada pihak berkuasa supaya fakta dan konteksnya tepat dan jelas.
Kenyataan penuh beliau boleh dibaca di laman Facebook Rasmi Mohd Nai'm di sini.
Portal Berita Harian turut melaporkan Mohd Na'im menafikan dakwaan kononnya terdapat amaran kepada sekolah agama persendirian yang diarah keluar dari premis masing-masing.
Memetik laporan portal AlHijrah, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan dakwaan tersebut tidak berasas dan perkara tersebut telah pun dijawab kerajaan Selangor pada Julai lepas.
Amirudin menyeru pihak terbabit agar menghentikan fitnah yang diulang-ulang.
Video Sidang Media Dan Motif Dakwaan
Jika pihak berwajib sudah menyangkal dakwaan itu malah menegaskan untuk menambah baik aspek pendidikan agama, apa sebenarnya motif Sekretariat Gabungan NGO Islam Selangor membuat dakwaan seperti itu?
Berdasarkan maklumat dilapor oleh harapandaily.com, aktivis media sosial pusat media Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis susulan video tular mendakwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menutup 200 buah sekolah agama di negeri itu.
Kumpulan aktivis terbabit menjelaskan dakwaan Nazilah dalam satu video sidang media turut mengaitkan kerajaan membenarkan menteri DAP mengetuai Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
MyCheck mencari video sidang media yang dimaksudkan dan apa yang kami dapati adalah seperti tangkap layar di bawah.
Anda juga boleh tonton video tersebut di sini.
Menurutnya dakwaan bahawa lebih 200 sekolah agama ditutup di Selangor adalah fitnah dan tidak berasas yang mana telah dijawab pada Julai lepas.
Menteri besar itu turut memaklumkan tiada sebarang notis dikeluarkan kerajaan Selangor untuk merobohkan mana-mana sekolah agama persendirian seperti yang didakwa pihak tidak bertanggungjawab.
Sebaliknya kerajaan negeri berusaha dalam menambah baik garis panduan pusat pendidikan agama bagi memastikan keselamatan murid terjamin.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni pula berkata tuduhan tidak berasas itu adalah cubaan untuk memburukkan usaha murni kerajaan negeri dalam mengangkat kualiti dan taraf sekolah agama persendirian di negeri ini.
Menerusi video sidang media tersebut, Nazilah berkata isu berhubung sekolah agama yang dibangkitkan itu akan membahayakan umat Islam jika tiada sebarang tindakan dilakukan segera.
Beliau turut mempersoal apakah yang akan berlaku kepada nasib 40,000 pelajar Islam di Selangor yang dinafikan haknya apabila sekolah mereka ini perlu ditutup dan berpindah ke tempat lain.
Justeru, aktivis PH membuat laporan polis berhubung dakwaan Nazilah itu mengikut Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948, dan Akta Komunikasi & Multimedia 1998.
Kenyataan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS)
Menurut GASIS seperti dilapor portal themerdekatimes.com, tiada sebarang aduan diterima berhubung dakwaan tular.
Fairul Nafazli Md Nazin dari GASIS menyifatkan dakwaan bahawa lebih 200 sekolah agama menerima surat amaran dan diarah keluar dari premis perniagaan itu tidak sepatutnya ditimbulkan.
“Di peringkat GASIS, belum menerima apa-apa lagi (aduan) ataupun sekolah-sekolah Islam persendirian yang ditutup seperti yang dinyatakan dalam video tular tersebut,” menurut Fairul Nafazli.
Beliau berkata demikian menerusi klip video dikongsikan di Twitter atau platform X Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) Saipolyazan Mat Yusop pada 16 Ogos 2023.
GASIS juga telah berjumpa dan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor bagi memudahkan proses pendaftaran sekolah-sekolah Islam persendirian.
Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama
Kita sedia maklum untuk mewujudkan atau membangun sebuah sekolah pendidikan agama ia tidak boleh dibuat secara sambil lewa, malah perlu berdasarkan garis panduan ditetapkan pihak berwajib.
Berdasarkan maklumat yang telah kami kumpul, isu ini berkait rapat dengan garis panduan pemutihan sekolah-sekolah agama di negeri Selangor.
Apa sebenarnya garis panduan yang ditetapkan berdasarkan usaha pemutihan itu?
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni, garis panduan pemutihan dibangunkan kerajaan negeri dan diluluskan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor pada 21 Disember 2020.
Garis panduan itu kemudiannya mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2021.
Ia sebagai usaha selari titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang gusar terhadap peningkatan kejadian malang terutama selepas tragedi kebakaran di sebuah sekolah agama persendirian yang meragut 23 nyawa dan mencederakan lima murid pada 2018.
Semua sekolah agama diberi tempoh dua tahun untuk memenuhi syarat ditetapkan namun, 416 sekolah memohon tempoh masa dilanjutkan.
Justeru pihak berwajib terbabit telah memperuntukkan tambahan tiga tahun bagi program pemutihan berkenaan.
Usaha murni kerajaan negeri turut mendapat sokongan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 sekolah agama persendirian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai Marina Ibrahim menjelaskan, pemutihan itu dilakukan bagi mengatasi isu sekolah agama tidak berdaftar, bukan bertujuan untuk penutupan seperti yang digembar-gemburkan pihak tidak bertanggungjawab.
Ini kerana kebanyakan sekolah agama yang tidak berdaftar tersebut tidak mematuhi aspek yang ditetapkan kerajaan sama ada dari sudut keselamatan dan kualiti pendidikan.
Garis panduan pemutihan itu antara lain adalah untuk meningkatkan kualiti sekolah tersebut, dalam masa sama menangani isu berbangkit lain antaranya pemantauan silibus diajarkan kepada murid-murid, tauliah untuk mengajar, keselamatan murid dan sebagainya.
KESIMPULAN
Berdasarkan maklumat yang telah kami kumpul, dapat disimpulkan bahawa dakwaan penutupan 200 sekolah agama di Selangor adalah tidak benar.
Dakwaan yang dibuat oleh NGO terbabit juga tidak disertakan dengan sebarang bukti malah dilihat seumpama satu andaian bersifat prasangka dan tidak berasas.
Sesetengah pihak turut berpendapat dakwaan itu dibuat tanpa memahami dengan jelas tujuan pelaksanaan Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama yang dikuatkuasakan di Selangor.
Seperti biasa, kami di MyCheck bertanggungjawab mengingatkan semua pihak sama ada yang membuat dakwaan atau menyebarkannya, untuk memastikan maklumat yang diterima itu sahih serta tidak menimbulkan kekeliruan, kebimbangan atau mencalar kredibiliti mana-mana pihak.
Beringatlah, setiap daripada kita perlu memikirkan risiko serta kesan sebelum menabur sebarang kenyataan kepada khalayak umum, lebih-lebih lagi di era teknologi tanpa sempadan.
MyCheck tidak menafikan hak bersuara atau memberi pendapat, namun lebih baik pastikan ulasan yang hendak dikongsi itu berada dalam konteks yang betul, berupaya membangun dan meningkatkan mutu pengetahuan audiens.
Ingat ya! Jauhi sebarang tindakan menyebar maklumat yang berunsur ideologi atau persepsi yang tidak pasti!
MyCheck dulu!
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
BERNAMA | Kenyataan Sekolah Agama Di Selangor Diarah Tutup Tidak Benar - Mohd Na'im | 17 Ogos 2023
The Rakyat Post | Dakwaan Sekolah Agama Di Selangor Diarah Tutup Adalah Tidak Benar | 17 Ogos 2023
Harakah Daily | Isu sekolah agama Selangor: NGO tuntut Melayu-Islam waspada | 14 Ogos 2023
Berita Harian | Menteri Agama nafi dakwaan sekolah agama di Selangor diarah tutup | 17 Ogos 2023
Berita Harian | Selangor nafi langkah pemutihan bertujuan tutup sekolah agama, tahfiz | 16 Jun 2023
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.