+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Ahli Politik Pamer Kertas Undi Langgar Akta Kesalahan Pilihan Raya? Isu Ini Harus Melalui Bidang Kuasa Mahkamah

Benarkah...

Seorang ahli politik telah mempamerkan kertas undinya semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023. Beliau dikatakan telah melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sumber : WhatsApp / Ogos 2023

Hasil

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung tindakan terbabit, keputusan sama ada terdapat pendakwaan atau sebaliknya ditentukan peguam negara.

04/09/2023 02:47 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan bahawa seorang ahli politik telah melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mempamerkan kertas undi ketika hari pengundian PRN enam negeri.
  • Menurut bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, tindakan Sanusi boleh didakwa di bawah perkara 39.
  • Namun menurut beberapa pakar perundangan dan seorang lagi bekas Pengerusi SPR Tan Sri Azhar Azizan Harun, tiada mana-mana peruntukan dalam undang-undang melarang sesiapa daripada mendedahkan undi mereka sendiri secara sukarela.
  • Kes tersebut bukanlah kes pertama berlaku dalam pilihan raya Malaysia.
  • Semakan MyCheck mendapati isu ini harus diputuskan melalui bidang kuasa mahkamah melalui terjemahan akta.
  • PDRM sedang menjalankan siasatan berhubung tindakan terbabit, seterusnya diserahkan kepada peguam negara untuk diputuskan selanjutnya.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

‘Kerahsiaan’ adalah perihal yang cukup sinonim dalam sistem pilihan raya.

Bahkan ungkapan ‘undi rahsia’ juga sering diuar-uarkan media, sehingga meniti di bibir-bibir rakyat bahawa undi tidak boleh didedahkan kepada sesiapa atau pihak ketiga.

Malah, tatacara pengundian di pusat mengundi menetapkan pengundi dilarang membawa telefon bimbit ke bilik pengundian bagi memelihara kerahsiaan maklumat pengundi.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima mesej menerusi WhatsApp yang dihantar orang awam seperti dalam gambar berikut:

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

Mesej itu disertakan dengan pautan kepada ciapan gambar yang dipercayai dimuat naik di platform X.

Orang awam tersebut turut bertanyakan kepada MyCheck sama ada bolehkah tindakan menayangkan kertas undi yang siap dipangkah kepada khalayak ramai ketika hari pengundian?

Dikatakan dakwaan itu tular ketika hari mengundi PRN enam negeri pada 12 Ogos lepas.

Perkara ini sudah tentunya boleh menimbulkan persoalan sama ada tindakan tersebut merupakan kesalahan yang termaktub dalam peraturan Akta Pilihan Raya?

Apa fakta sebenar di sebalik dakwaan ini? MyCheck semak kesahihannya untuk anda!

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck mulakan semakan dengan klik pautan yang disertakan bersama dakwaan berkenaan bagi melihat kandungan sebenar gambar tersebut.

Kami dapati ia adalah ciapan yang dimuat naik pemilik akaun X @La_FarEast pada 12 Ogos 2023.

Ciapan tersebut memaparkan gambar seorang ahli politik, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sedang mempamerkan kertas undi ketika hari pengundian PRN enam negeri.

Ciapan terbabit mendapat lebih 576,000 tontonan, 5,341 tanda suka dan 198 komen.

Apabila kami menatal bahagian komen ciapan terbabit, perkara itu mendapat perhatian dan reaksi ramai susulan tindakan Sanusi yang dikatakan satu kesalahan ketika mengundi.

Kebiasaannya, perkara seperti ini yang membabitkan seorang ahli politik popular di Malaysia akan mendapat liputan media.

Bagi memahami isu ini dengan lebih terperinci, kami membuat carian rawak di Google.

 

Polis Rakam Keterangan Sanusi

Menurut laporan Sinar Harian, Sanusi mendakwa beliau tidak berniat mempamerkan kertas undi serta memaklumkan bahawa kertas undi itu terdedah secara tidak sengaja ketika melayani permintaan pihak media untuk mengambil gambarnya.

Selain itu, menurut Utusan Malaysia, PDRM akan mengambil keterangan Sanusi berhubung tindakannya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kejadian tersebut akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 termasuk di bawah Seksyen 5 (1) dan Seksyen 26 (1).

Razarudin berkata kertas siasatan itu kemudiannya akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

 

Garis panduan mengundi

Bagi mendapatkan kepastian dengan lebih jelas, MyCheck mengambil langkah untuk ‘membuka’ dan menyemak kembali apa-apa peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan kesalahan pilihan raya.

1. Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981

Kita sedia maklum bahawa setiap peraturan yang direka adalah bagi membendung individu daripada melakukan kesalahan serta dijadikan rujukan agar orang awam patuh terhadap peraturan yang dirangka.

Dalam konteks ini, tindakan Sanusi mempamerkan kertas undi itu dikatakan antara situasi yang boleh dikaitkan dalam peraturan Penjalanan Pilihan Raya.

Menurut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 di bawah perkara Cara Mengundi (19) (8) menyatakan bahawa pengundi hendaklah melipat kertas undi bagi merahsiakan tandanya dan hendaklah memasukkan kertas undi itu ke dalam peti undi tanpa kelengahan tidak wajar.

 


Sumber: Google, Suruhanjaya Pilihan Raya

 

Namun, adakah ia kesalahan yang boleh didakwa mengikut undang-undang di Malaysia?

2. Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 Perkara (39)

Seterusnya, bagi menguatkan lagi semakan, kami membuat carian lain mengenai isu ini.

Hasilnya, kami temui laporan Astro Awani bertajuk ‘PRN: Sanusi didakwa ‘tayang’ kertas undi, langgar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954’.

Memetik Astro Awani, perkara terbabit merupakan kesalahan di bawah Perkara (39), Akta Pilihan Raya 1954.

Perkara 39 dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 adalah berkenaan ‘Larangan mengenai pendedahan undi’.

Akta berkaitan menyebut, tiada pemilih yang telah mengundi dalam mana-mana pilihan raya boleh, dalam mana-mana prosiding yang mempersoalkan pilihan raya itu, dikehendaki  menyatakan siapa yang telah diundinya.

Selain itu, kami turut menemukan laporan bertajuk ‘Tayang kertas undi satu kesalahan, suami isteri pun tak boleh tahu undi siapa’ oleh Berita Harian yang dimuat naik pada 17 Ogos 2023.

Menurut laporan tersebut, bekas Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz berkata tindakan Sanusi adalah satu kesalahan yang turut boleh didakwa di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mengikut perkara (39) dan boleh dihukum penjara atau denda sehingga RM3,000.

 

Perbezaan Pendapat Mengenai Kesalahan Pamer Kertas Undi

Bagaimanapun, ketika kami menelusuri isu ini dengan lebih mendalam, kami dapati wujud perbezaan pendapat mengenai isu ini. 

1. Bekas Pengerusi SPR Tan Sri Azhar Azizan Harun, yang juga seorang peguam mengatakan tiada mana-mana peruntukan dalam undang-undang melarang sesiapa daripada mendedahkan undi mereka sendiri secara sukarela.

Beliau berkata Seksyen yang berkaitan adalah Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Jika kita membaca seksyen itu dengan baik dan mendalam, jelas sekali tiada satu pun peruntukan dalam Seksyen 5 tersebut terpakai kepada apa yang dilakukan oleh Muhammad Sanusi," katanya.

Menurut Azhar, seksyen terbabit pada dasarnya menjelaskan mengenai larangan calon atau ejen yang mendapat maklumat mengenai butiran undi atau pengundi daripada mendedahkan maklumat sedemikian dan juga melarang mereka bertanya kepada pengundi tentang calon yang diundi atau mendedahkan individu memohon kertas undi semasa proses pengundian.

Dalam bahasa mudahnya, dasar undang-undang terbabit direka untuk melindungi kerahsiaan undi yang diperoleh oleh ejen atau calon dan kerani.

Namun, menurut Azhar, sekiranya seorang pengundi ingin mendedahkan undinya sendiri secara sukarela, tiada apa-apa pun di bawah undang-undang yang melarangnya.

Kami perincikan berkenaan Akta 5 di bawah.

2. MyCheck temui hantaran oleh seorang peguam Facebook iaitu Asiah Abd Jalil yang turut mengulas isu terbabit.

Kami dapati beliau merupakan seorang pengamal undang-undang dan peguam yang aktif menyuarakan pandangannya mengenai isu berkaitan perundangan di media sosial.

MyCheck turut menghubungi Asiah melalui Facebook bagi mendapatkan pencerahan dan menurutnya tindakan Sanusi itu tidak melanggar sebarang kesalahan sekali gus memaklumkan seksyen 39 hanya beroperasi apabila terdapat ‘Petisyen Pilihan Raya’ difailkan.

Apabila petisyen pilihan raya difailkan dalam prosiding di Mahkamah Pilihan Raya kelak, sesiapa pun tidak boleh memaksa mana-mana pengundi memberitahu siapa yang diundi semasa pilihan raya tersebut.

Asiah menegaskan bahawa tiada paksaan daripada mana-mana pihak yang menyumbang kepada tindakan Sanusi (pamer kertas undi) itu dan beliau melakukannya secara sukarela.

 

Seksyen 5 (Kesalahan Pilihan Raya), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

Berbalik kepada kenyataan PDRM, Sanusi boleh didakwa di bawah Seksyen 5 (1) dan Seksyen 26 (1). ​​​

Seterusnya, MyCheck beralih pula ke platform media sosial seperti Facebook bagi mendapatkan perspektif yang lain.

 


Sumber: Google

 

Menurut Asiah, di bawah Seksyen 5, seorang calon sememangnya tidak dibenar mendedahkan sebarang maklumat tentang nama mana-mana pengundi dan siapakah yang diundi oleh pengundi tersebut.

Namun dalam kes ini, semasa Sanusi menunjukkan kertas undi beliau sendiri kepada petugas media, Sanusi sedang memakai topi ‘seorang pengundi’, bukan topi ‘seorang calon’. Oleh itu Sanusi tidak melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 ini.

Asiah berkata petugas media termasuk dalam kategori mana-mana orang yang dibenarkan hadir semasa pengundian oleh kerana itu petugas media tertakluk kepada Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya yang mana mereka perlu mengangkat sumpah kerahsiaan mengikut Borang A dalam jadual pertama.

Di bawah Seksyen 5 ini juga adalah menjadi kesalahan sekiranya petugas media mendedahkan kepada umum mengenai siapakah calon yang diundi oleh seorang pengundi.

Menurut Asiah, dalam kes ini petugas media boleh didakwa di bawah Seksyen 5 (7) kerana telah melakukan kesalahan mengambil gambar Sanusi bersama kertas undinya dan kemudian menyebarkannya.

Pada masa sama, bagi mengukuhkan lagi semakan kami, MyCheck seterusnya mendapatkan penjelasan daripada pengamal undang-undang dan peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid.

 


Sumber: WhatsApp

 

Wan Azmir berkata peruntukan yang berkaitan adalah di Bahagian II Akta 5, khususnya Seksyen 5 berkaitan ‘kerahsiaan’ yang melarang pegawai SPR, calon atau ejen daripada mendedahkan maklumat yang diperoleh di pusat mengundi kepada pihak ketiga.

Merujuk kepada kes Sanusi, ia akan menjadi kesalahan sekiranya beliau mendedahkan maklumat pengundian pengundi-pengundi lain kepada media.

Beliau menjelaskan di bawah Seksyen 5, tiada mana-mana larangan bagi sesiapa atau individu daripada mendedahkan undinya sendiri kepada pihak ketiga.

 

Seksyen 26 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

Bagaimana pula Seksyen 26 (1) dikatakan Sanusi boleh didakwa di bawah Seksyen terbabit?

Menurut Akta 5, Seksyen 26 Bahagian IV ialah mengenai Ejen Pilihan Raya, Belanja Pilihan Raya dan Perbuatan Yang Menyalahi Undang-Undang merangkumi Seksyen 12 hingga 27.

 


Sumber: Google

 

Sekiranya diteliti semula di bawah Seksyen 26, ia mengenai calon yang berkempen pada hari mengundi yang mana bertujuan bagi meraih undi.

Asiah turut menjelaskan Sanusi turut tidak melanggar mana-mana subseksyen di bawah Seksyen 26.

Asiah berkata sekiranya ingin juga mendakwa Sanusi, berkemungkinan ia boleh dikaitkan dengan Seksyen 26 (1) (f) dan (g).

Anda boleh lihat penjelasan Seksyen 26 (1) (f) dan (g) seperti gambar di bawah.

 


Sumber: Google

 

Seperti dalam gambar di atas, Seksyen 26 (1)(f) menyatakan mengenai situasi calon dalam mana-mana bahagian pilihan raya yang merayu undi pemilih bagi tujuan menyokong atau menentang mana-mana parti politik.

Seksyen 26 (1)(g) pula adalah mengenai tindakan dalam tempat mengundi atau dalam tempat mengundi yang memegang, memakai serta membawa apa-apa bentuk barangan yang padanya tercetak atau tertera lambang mana-mana parti politik.

Namun, menurut Asiah, pihak pendakwaan perlu membuktikan bahawa semasa Sanusi menayangkan kertas undi, Sanusi sedang merayu undi manakala petugas media yang merakam gambar dan video Sanusi sengaja menyebarkannya yang mana berkemungkinan diupah oleh Sanusi.

 

Senario Berlaku Di Luar Negara

Selain itu, memetik laporan The Star, Azhar turut berkongsi senario serupa yang berlaku di luar negara membabitkan pendedahan kertas undi.

Menurutnya, pada 2014, negeri di New Hampshire, Amerika Syarikat (AS) meluluskan undang-undang yang secara khusus melarang swafoto bersama kertas undi.

“Seperti kebanyakan negeri di AS, New Hampshire telah melarang pengundi daripada mendedahkan undi mereka yang ditanda.

“Perundangan 2014 (HB 366) telah mengambil langkah lebih jauh dengan secara jelas melarang pengundi daripada mengambil imej digital undi bertanda dan mengedar atau berkongsinya di media sosial,” katanya.

Azhar berkata undang-undang itu dicabar di Mahkamah Persekutuan dan ia diputuskan tidak mengikut Perlembagaan kerana melanggar hak Pindaan Pertama Perlembagaan AS untuk kebebasan bersuara.

Bagaimanapun, mahkamah di negara itu membuat kesimpulan bahawa swafoto undi adalah ekspresi politik dilindungi Perlembagaan yang boleh dihadkan hanya dengan memenuhi standard penelitian perlembagaan tertinggi.

MyCheck turut menelusuri isu ini di Google kami temui beberapa artikel seperti di sini dan di sini yang melibatkan kes pendedahan kertas undi luar negara ketika hari pengundian melalui swafoto.

 

Tiada Lagi Kes Pendakwaan Melibatkan Pamer Kertas Undi Setakat Ini

Sebelum ini dilaporkan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya berikutan tindakannya mempamerkan kertas undi ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2019.

Namun, Azhar yang ketika itu merupakan Pengerusi SPR berkata beliau tidak jelas atau tidak tahu sama ada Mohamad melakukan kesalahan atau tidak serta memaklumkan beliau perlu meneliti semula peraturan sedia ada mengenai perkara terbabit.

Kes yang sama juga turut berlaku melibatkan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman ketika PRK 2013 yang mendapat teguran daripada Pengerusi SPR ketika itu iaitu Tan Sri Abdul Aziz.

Bagaimanapun, setakat ini masih tiada lagi kes membabitkan pendedahan kertas undi tersebut yang dibicarakan di Mahkamah.

 

Isu Perlu Ditentukan Oleh Mahkamah

Ketika kami menelusuri isu ini dengan lebih mendalam, kami menjumpai pelbagai reaksi, komen serta pandangan yang dilontarkan pelbagai pihak mengenai kesalahan mempamerkan kertas undi tersebut.

Namun, berdasarkan semakan kami isu ini perlu diperhalusi semula yang mana ia hanya boleh diputuskan melalui bidang kuasa mahkamah.

Hanya mahkamah boleh menterjemahkan akta-akta yang terkait dalam kes Sanusi, bahkan pihak mahkamah juga yang bertanggungjawab memutuskan sama ada ia adalah satu kesalahan atau tidak.

Ini kerana bagi menentukan sama ada Sanusi boleh didakwa kerana melanggar kesalahan pilihan raya, perkara ini perlu diputuskan melalui peguam negara berdasarkan siasatan polis.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan ini sebagai tidak pasti.

Pihak polis juga dikatakan bakal mengambil keterangan Sanusi dan akan melaksanakan siasatan terhadap kes terbabit.

Kami faham isu ini agak kompleks kerana membabitkan pelbagai seksyen dan perkara di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mana ia harus dinilai, diteliti serta memerlukan fakta, definisi dan kenyataan yang jelas bagi mentafsirkan isu ini.

Walaupun nampak seakan isu mudah kerana mempamerkan kertas undi yang seakan melanggar peraturan kerahsiaan undi, namun kita juga perlu faham bahawa laras bahasa perundangan tidak boleh diterjemahkan sewenang-wenangnya tanpa panduan atau ilmu perundangan yang kukuh.

Bahkan, perbezaan pendapat daripada beberapa pakar juga perlu dinilai semula berdasarkan kenyataan yang ditetapkan SPR.

Sebagai rakyat yang celik fakta, MyCheck berharap anda dapat membuat pertimbangan yang adil dan saksama berdasarkan dapatan serta fakta kes yang jelas.

Jangan terburu-buru menjatuhkan hukuman tanpa membuat penilaian menyeluruh.

Ingat, jangan sebar melulu, MyCheck dulu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. X | @La_FarEast | 12 Ogos 2023

  2. Sinar Harian | Saya tak berniat pamer kertas undi - Sanusi | 12 Ogos 2023

  3. Utusan | Tayang kertas undi kepada media: Keterangan Sanusi akan diambil | 15 Ogos 2023

  4. SPR | Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981

  5. Astro Awani | ‘PRN: Sanusi didakwa ‘tayang’ kertas undi, langgar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954’ | 12 Ogos 2023

  6. SPR | Akta 5 (Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954) 

  7. Berita Harian | Tayang kertas undi satu kesalahan, suami isteri pun tak boleh tahu undi siapa | 17 Ogos 2023

  8. Majoriti | Sanusi tidak langgar peraturan tunjuk kertas undi, kata bekas pengerusi SPR | 14 Ogos 2023

  9. Facebook | Asiah Abd Jalil | 12 Ogos 2023

  10. Facebook | Asiah Abd Jalil | 13 Ogos 2023

  11. Facebook | Asiah Abd Jalil | 14 Ogos 2023

  12. The Star | ‘Sanusi didn’t break any law by showing ballot paper’ | 14 Ogos 2023

  13. NCSL | Secrecy of the Ballot and Ballot Selfies | 14 Julai 2022

  14. Vox | Ballot selfies, state by state | 28 Oktober 2023

  15. FMT | Saya tunjuk kertas undi sendiri, bukan orang lain, kata Tok Mat | 14 April 2019

  16. Astro Awani | SPR tegur calon BN tunjuk kertas undi | 24 Julai 2013

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.