+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Restoran Mon Chinese Beef Roti Bukan Pemegang Sijil Halal Jakim

Benarkah...

Restoran Mon Chinese Beef Roti tiada sijil halal.

Sumber : Facebook, TikTok  / November 2023

Hasil

Jakim mengesahkan restoran tersebut bukan pemegang sijil halal Malaysia.

08/12/2023 07:06 PM

Penyelidik: Siti An Nur Binti Maladis, Pelatih Praktikal Universiti Pendidikan Sultan Idris

SEKILAS FAKTA

  • Tular di laman sosial dakwaan mengenai sebuah restoran Cina Muslim iaitu “Mon Chinese Beef Roti" di Bukit Bintang, Kuala Lumpur tidak mempunyai sijil halal daripada Jakim.
  • Restoran tersebut memuat naik beberapa video di akaun TikTok yang menyatakan restoran itu dijamin halal.
  • Bahagian Hab Halal Jakim sahkan restoran berkenaan bukan pemegang sijil halal Malaysia.
  • Malah restoran itu juga menimbulkan keraguan orang ramai apabila salah seorang pekerjanya kelihatan berpakaian seperti seorang Muslim iaitu bersongkok namun memakai rantai yang mempunyai lambang salib.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Sebut sahaja makanan Cina Muslim, pasti terbayang keenakan dan keunikan menunya yang  pelbagai.

Restoran Cina Muslim sentiasa menjadi tumpuan ramai tidak kira bangsa, khususnya umat Islam yang menggemari makanan Cina tetapi mencari yang halal.

Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis makanan Cina Muslim yang mudah didapati di restoran yang dimiliki oleh masyarakat Cina Muslim.

Justeru tidak hairanlah setiap kali tularnya menu baru dan menarik di mana-mana restoran Cina Muslim, ramai yang sanggup datang dari jauh dan menunggu dalam waktu yang lama semata-mata mahu mencuba.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular di media sosial dakwaan mengenai sebuah restoran iaitu “Mon Chinese Beef Roti" di Kuala Lumpur yang dikatakan tidak memiliki pensijilan halal.

 


Sumber: Facebook

 

Menurut seorang pengguna Facebook menggunakan nama akaun Kheyr Hameed yang memuat naik hantaran bertarikh 19 Nov 2023, beliau telah membuat semakan status halal restoran itu di laman sesawang halal Jakim namun tidak menemukan sebarang maklumat.

Individu itu turut mempersoalkan mengenai salah seorang pekerja restoran yang berpakaian seperti Muslim iaitu bersongkok namun memakai rantai leher yang mempunyai lambang salib.

Dakwaan ini mencetuskan pelbagai reaksi terutama masyarakat beragama Islam memandangkan isu halal dan haram merupakan perkara sensitif.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Mon Chinese Beef Roti Jadi ‘Buruan’ Ramai, Hangat Diperkatakan Di Media Sosial

MyCheck memulakan semakan di Facebook untuk mencari maklumat lanjut mengenai Restoran Mon Chinese Beef Roti yang terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Menggunakan kata kunci ‘Mon Chinese Beef Roti Bukit Bintang’, kami menemukan banyak hantaran daripada pengguna media sosial yang berkongsi pengalaman ke restoran itu.

Pelanggan pelbagai bangsa sanggup beratur sehingga beberapa jam demi merasai produk yang sedang tular iaitu roti goreng berinti daging.

Kami turut menjengah ke TikTok dan mendapati ramai yang memuat naik video memaparkan orang ramai berbaris panjang menunggu giliran untuk membeli roti itu.

 

Mon Chinese Beef Roti Adalah ‘Muslim-Friendly’?

Ketika mental lanjut, kami turut menemukan hantaran yang menyatakan bahawa restoran tersebut adalah halal atau ‘muslim-friendly’.

Meninjau ke ruangan komen, ramai pengguna ingin merasai keenakan roti di kedai tersebut dan ada yang tidak sabar untuk berkunjung ke restoran terbabit.

 


Sumber: Facebook

 

Status Halal Diragui

Namun, di sebalik sambutan hangat daripada pelanggan, ramai yang mula mempertikaikan status halal restoran itu berikutan tular satu video menunjukkan salah seorang pekerjanya memakai rantai leher bertanda salib.

Rata-rata warganet di Facebook, seperti di sini, di sini dan di sini serta di TikTok, antaranya di sini dan di sini meluahkan kekhuatiran dan meminta orang ramai untuk berhati-hati membeli makanan di restoran itu.

 

Pemilik Restoran Mengatakan Produknya Dijamin Halal

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, MyCheck membuat carian akaun media sosial restoran tersebut di Facebook dan Instagram, namun tidak menjumpai sebarang maklumat.

Kami kemudian beralih ke TikTok dan menemui akaun restoran berkenaan yang menggunakan nama Mon Chinese Muslim Beef Roti.

Berdasarkan pemerhatian kami, akaun tersebut telah memuat naik beberapa video pada 11 Sept 2023 yang menyatakan restoran itu dijamin halal.

Anda boleh lihatnya di sini dan di sini.

 


Sumber: TikTok

 

Restoran tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat yang ingin merasai makanan Cina Muslim.

Malah mereka turut menawarkan makanan sejuk beku serta perkhidmatan penghantaran ke rumah.

 

Mempunyai Beberapa Cawangan Halal Di China

Tidak terhenti di situ, menggunakan logo yang terdapat pada papan tanda restoran terbabit, kami meneruskan carian lanjut menerusi imej carian berbalik Google.

Hasilnya, kami berjaya menemui beberapa restoran di China yang mempunyai logo dan menjual makanan yang sama seperti Restoran Mon Chinese Beef Roti.

Antaranya satu video di YouTube yang dimuat naik oleh Latte Food menunjukkan kedai roti itu berada di Wuhan dan satu lagi di Chengdu, China.

Kami kemudian meneliti logo dan tulisan cina yang terdapat pada papan tanda kedai tersebut.

Dengan bantuan seorang rakan berbangsa Cina, kami diberitahu perkataan tersebut bermaksud halal manakala logo yang terpapar adalah logo halal.

Anda boleh lihat di bawah.

 


Sumber: Google dan YouTube

 

Restoran Dikatakan Tiada Pensijilan Halal di Malaysia

Seterusnya, kami membuat carian jika ada laporan lain yang mengulas mengenai status halal restoran ini di Malaysia.

Kami menemui satu laman sesawang iaitu TheSmartLocal Malaysia, yang mempromosikan pelancongan di Malaysia.

Dalam carian kami mendapati Restoran Mon Chinese Beef Roti turut tersenarai antara salah satu lokasi untuk dikunjungi di Malaysia.

Namun berdasarkan penerangan di laman sesawang itu, restoran berkenaan bukanlah restoran makanan yang disahkan halal.

 

Semakan Direktori Halal Malaysia Jakim

MyCheck kemudian melakukan semakan di laman sesawang Direktori Halal Malaysia Jakim bagi mengetahui lebih lanjut berhubung status halal restoran tersebut.

Namun hasil semakan kami tidak menemui sebarang perakuan daripada Direktori Halal Malaysia yang menyatakan Restoran Mon Chinese Beef Roti ini tersenarai sebagai pemegang sijil halal Jakim.

 


Sumber: Direktori Halal Malaysia Jakim

 

Kenyataan Jakim

Justeru, MyCheck menghubungi Bahagian Hab Halal Jakim menerusi WhatsApp dan e-mel bagi mendapatkan pengesahan dan penjelasan berhubung status sebenar produk makanan ini.

Pada 22 Nov 2023, Bahagian Hab Halal Jakim mengeluarkan kenyataan di laman Facebook yang mengesahkan restoran tersebut bukan pemegang sijil halal Malaysia.

“Premis tersebut bukan pemegang sijil halal Malaysia dan premis tersebut tidak terikat dengan keperluan dan syarat pensijilan halal Malaysia,” menurut Bahagian Hab Halal Jakim.

 


Sumber: MyCheck Malaysia dan Facebook Bahagian Hab Halal Jakim

 

Restoran Dalam Proses Dapatkan Sijil Halal

Bagaimanapun, pada 19 Nov 2023, Harian Metro menerbitkan satu laporan berhubung isu tular pekerja restoran itu memakai rantai bertanda salib.

Menerusi laporan itu, pengurus cawangan restoran turut memaklumkan bahawa sebelum restoran itu mula beroperasi di Malaysia, pihaknya telah pun melantik ejen bagi membantu menguruskan proses mendapatkan sijil halal daripada Jakim.

"Cuma proses mendapatkan sijil halal itu mengambil masa kerana banyak dokumen diperlukan dan saya pula masih muda dalam menguruskan perniagaan tapi akan cuba sehabis baik (bagi mendapatkan sijil halal)," katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahan mentah yang digunakan di restoran itu adalah halal dengan bekalan diperoleh dari dalam negara.

 

Bolehkah Pekerja Bukan Islam Bekerja Di Restoran Muslim?

Berhubung isu pekerja bukan Islam bekerja di restoran Muslim, Bahagian Hab Halal Jakim turut memaklumkan bahawa tiada halangan untuk pekerja bukan Islam bekerja di premis yang mempunyai pensijilan halal.

Bagaimanapun premis tersebut perlulah mematuhi syarat iaitu mempunyai minimum seorang pekerja Muslim warganegara Malaysia yang bertugas sepanjang tempoh operasi mengikut Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik).

Perkara ini turut mendapat perhatian Mufti Terengganu Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron melalui artikel Media Variasi pada 23 Nov 2023.

Beliau berkata tugas-tugas seperti memasak dan mencuci sepatutnya diambil alih oleh orang Islam bagi menjaga kesucian sesuatu makanan yang dimasak.

Sementara itu bagi pekerja bukan Islam disaran untuk melakukan tugas teknikal seperti pelayan, angkat barang, memotong rumput dan apa sahaja yang bersesuaian.

 

KESIMPULAN

Semakan MyCheck mendapati Restoran Mon Chinese Beef Roti bukan pemegang sijil halal Jakim.

Namun, menurut pengurus cawangan restoran itu, pihaknya sedang dalam proses untuk mendapatkan sijil halal.

Sekiranya anda meragui status halal sesuatu produk, anda boleh semak di laman sesawang halal Jakim.

Ingat, jangan hanya disebabkan sesuatu perkara itu tular, kita ghairah mengikut ‘trend’ tanpa membuat semakan.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Facebook | Kheyr Hameed | 19 November 2023

  2. Facebook | Murni Ateerah Hamzah | 19 November 2023

  3. Facebook | Malaysia Food & Travel | 27 Oktober 2023

  4. Facebook | Mimi Novani | 15 Oktober 2023

  5. TikTok | Mon Chinese Muslim Beef Roti

  6. Youtube | Latte Food | 7 Januari 2020 

  7. TheSmartLocal Malaysia | Mon Chinese Beef Roti in Bukit Bintang, KL | 8 November 2023

  8. Facebook | Bahagian Hab Halal Jakim | 22 November 2023

  9. Laman sesawang Direktori Halal Malaysia Jakim 

  10. Laman Sesawang Trip.com

  11. Mediavariasi | Restoran Islam perlu ambil tukang masak Muslim jaga solat-Mufti | 23 November 2023

  12. Harian Metro | Lelaki itu sudah diberhentikan kami mohon maaf - Pengurus restoran | 19 November 2023

  13. Facebook | Mohd Azkhan Bin Yahaya | 12 November 2023

  14. Tiktok | Farrell Danish | 30 Oktober 2023

  15. Facebook | Raudhatul Jannah | 19 November 2023

  16. Facebook | Ahmad Nazrul | 19 November 2023

  17. Tiktok | duasenplus | 20 November 2023

  18. Tiktok | wanzz.official2 | 24 November 2023

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.