+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Polis Tidak Buat Panggilan Video, Ia Adalah Taktik Sindiket Scammer

Benarkah...

Polis Diraja Malaysia (PDRM) hubungi orang awam melalui panggilan video?

Sumber : TikTok / Disember 2024

Hasil

Panggilan video kononnya daripada polis adalah taktik sindiket scammer. Polis tidak akan menggunakan panggilan video untuk menerima laporan atau menjalankan siasatan.

31/01/2025 04:31 PM

Suntingan: Adila Ali & Shazlina Azman

SEKILAS FAKTA

  • Tular video di TikTok memaparkan seorang lelaki menerima panggilan video daripada anggota polis. Terpampang tulisan ‘Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis’ (IPK Perlis) di belakang individu yang membuat panggilan itu.

  • Dalam perbualan terbabit, individu yang mendakwa dirinya anggota polis berpangkat Sarjan dari IPK Perlis itu menggunakan nada suara yang tinggi selain kata-kata makian.

  • IPK Perlis mengesahkan panggilan video itu dilakukan scammer. Ia merupakan taktik bagi meyakinkan dan memperdaya mangsa.

  • Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan menggunakan panggilan video untuk menerima laporan polis mahupun menjalankan siasatan. Sebarang proses siasatan hanya akan dilakukan secara bersemuka di mana-mana balai polis atau premis milik PDRM.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

MENGENAI DAKWAAN

Seorang pengguna TikTok @naavenraman memuat naik video dia dihubungi oleh seorang anggota polis menerusi panggilan video.

Individu itu memperkenalkan dirinya sebagai Sarjan Mohd Fauzi dari IPK Perlis namun tidak menunjukkan wajahnya di skrin telefon bimbit.

Naavenraman kemudian mendesak individu terbabit menunjukkan wajahnya sebagai bukti beliau merupakan anggota polis yang sah.

Berang kerana terus didesak, individu itu kemudian membuka kamera telefon bimbit dan menunjukkan wajah serta pakaiannya yang lengkap beruniform dengan latar belakang tertera IPK Perlis.

Bagaimanapun, Naavenraman mempersoalkan tindakan individu itu yang menghubunginya melalui panggilan video sebagai tidak masuk akal kerana tidak pernah dilakukan mana-mana anggota polis.

Ia membangkitkan kemarahan ‘sarjan polis’ tersebut yang kemudian mula meninggikan suara dan mengeluarkan kata-kata makian terhadap Naavenraman kerana tidak mempercayai panggilan itu daripada polis.

 


Sumber: TikTok

 

APA YANG KAMI TEMUI

Warga Maya Kongsi Pengalaman Sama, Minta Segera Lapor Polis

Rakaman yang dimuat naik Naavenraman itu tular dan setakat ini mendapat lebih 54,000 tontonan (views) serta dikongsi (share) lebih 22,000 pengguna media sosial.

Ribuan warga maya turut menulis komen. Ramai antaranya berkongsi pengalaman serupa yang turut menerima panggilan video kononnya daripada polis.

 


Sumber: TikTok

 

Ada juga yang meminta Naavenraman terus ke IPK Perlis untuk membuat laporan kerana rakaman itu berlatarbelakangkan tulisan IPK Perlis.

Meskipun video itu dimuat naik pada 15 Dis 2024, sehingga kini ia masih diperkatakan dan mendapat komen warga maya.

 


Sumber: TikTok

 

Polis Perlis Nafi Buat Panggilan Video

Lazimnya PDRM akan bertindak pantas memberikan sebarang respons terutama membabitkan kes-kes tular. Apatah lagi ada warga maya yang ‘tag’ akaun TikTok Polis Perlis bagi memaklumkan isu tersebut.

Justeru MyCheck memulakan carian di akaun TikTok Polis Perlis. Ternyata video tersebut mendapat perhatian Polis Perlis yang memuat naik video penjelasan berhubung isu itu.

 


Sumber: TikTok Polis Perlis

 

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Perlis, Supt Wan Aeidil Wan Abdullah, PDRM tidak pernah membuat panggilan video dengan menghubungi mana-mana pengadu atau suspek.

Jelasnya ia adalah teknik penipuan sindiket scammer untuk meyakinkan mangsa.

Beliau turut meminta masyarakat lebih berwaspada dan hadir terus ke balai polis berdekatan untuk mendapatkan maklumat lanjut serta sahih.

Katanya ini berikutan terdapat pelbagai helah digunakan scammer termasuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan atau AI untuk memperdaya mangsa.

Isu tersebut termasuk penjelasan oleh IPK Perlis itu turut dilaporkan media tempatan antaranya Berita Harian, Buletin TV3 dan Malaysia Gazette.

 

Polis Tidak Akan Guna Panggilan Video Untuk Terima Laporan Atau Siasatan

MyCheck turut menemukan laporan Harian Metro berhubung isu penipuan melalui panggilan video yang merupakan modus operandi yang dilakukan scammer bermula pertengahan 2023.

Memetik laporan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata sindiket penipuan yang membuat panggilan video berlatar belakangkan pejabat polis itu didapati menggunakan nama kemudahan e-Reporting bagi memperdayakan mangsa.

"Modus operandi penipuan e-Reporting ini dikesan mula berlaku sekitar pertengahan 2023. Terkini, sindiket ini mula membuat panggilan video untuk meyakinkan dan seterusnya memperdaya mangsa untuk membuat bayaran atau pindahan wang," katanya.

Ramli berkata seperti taktik penipuan telefon, sindiket berkenaan pada mulanya akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai syarikat kurier dan mencipta pelbagai alasan bagi membuat mangsa berasa panik.

"Pemanggil akan mewujudkan satu situasi yang menjadikan mangsa panik dan menurut semua arahan yang diberikan dan seterusnya, panggilan akan disambungkan kepada pihak 'polis' secara panggilan video.

"Melalui panggilan video ini, mangsa akan diyakinkan untuk membuat laporan polis secara dalam talian (eReporting) dan berinteraksi dengan pegawai polis palsu berlatarkan gambar seolah-olah keadaan di balai polis," katanya.

Menurutnya, mangsa akan berasa selamat apabila melihat latar belakang kononnya di pejabat polis dan terus memberikan maklumat yang diminta sehingga berlaku kerugian wang ringgit.

Ramli berkata portal atau kemudahan e-Reporting dibangunkan oleh PDRM untuk memudahkan orang awam membuat laporan polis secara dalam talian.

Jelasnya kemudahan itu hanya terhad untuk membuat laporan polis berkaitan kehilangan dokumen atau barangan yang tidak berkait dengan jenayah.

"Pihak polis tidak akan menggunakan panggilan video untuk menerima laporan mahupun menjalankan siasatan.

"Sebarang proses siasatan hanya akan dilakukan secara bersemuka di mana-mana balai polis atau premis milik PDRM," katanya.

 


Sumber: Harian Metro

 

CyberSecurity Malaysia (CSM) Jelaskan Manipulasi AI

Berikutan video tular membabitkan penggunaan AI, MyCheck mendapatkan pandangan Ketua Pegawai Eksekutif CSM Datuk Ts Dr Amirudin Abdul Wahab berhubung isu manipulasi AI.

Tanda Penggunaan AI Dalam Panggilan Video

Amirudin menjelaskan terdapat beberapa tanda sekiranya panggilan video mungkin dimanipulasi menggunakan AI antaranya ialah:

  1. Pergerakan bibir yang tidak selari (lip sync lag) atau tidak sepadan dengan suara yang keluar, menandakan kemungkinan teknologi deepfake (teknik merubah rupa paras seseorang pada gambar atau video menggunakan gambar asli melalui kaedah tindan wajah) digunakan.

  2. Ekspresi muka kaku atau wajah kelihatan statik atau tidak menunjukkan perubahan ekspresi semula jadi seperti kerdipan mata yang tidak normal.

  3. Pencahayaan pada wajah yang kelihatan tidak sekata dengan latar belakang.

  4. Kualiti video tidak sekata atau ketidakseimbangan kualiti video yang mana wajah kelihatan lebih jelas atau beresolusi tinggi berbanding latar belakang.

  5. Isyarat audio yang tertunda atau tidak natural seperti suara yang terlalu sempurna seakan-akan suara sintetik atau suara yang tertunda berbanding pergerakan bibir.

  6. Artefak visual iaitu gangguan visual seperti glitches, pinggir wajah kabur atau efek aneh apabila wajah atau objek bergerak.

 

Nasihat Kepada Orang Awam Yang Terima Panggilan Video Daripada Scammer

Amirudin turut menitipkan beberapa nasihat kepada orang ramai yang berhadapan dengan situasi scammer membuat panggilan video.

Menurut beliau orang ramai diminta untuk kekal tenang dan rasional serta jangan mudah terpengaruh dengan desakan atau ugutan yang diberi.

“Sahkan identiti secara berasingan, jika seseorang mendakwa sebagai pegawai polis atau pihak berkuasa, tamatkan panggilan dan hubungi balai polis berdekatan menggunakan nombor rasmi untuk pengesahan.

“Elakkan berkongsi maklumat peribadi. Jangan dedahkan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, kad pengenalan atau kod OTP semasa panggilan video,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk memerhatikan elemen panggilan antaranya tanda-tanda manipulasi AI serta memanfaatkan perisian yang boleh mengesan deepfake atau manipulasi visual seperti Deepware Scanner atau Microsoft  Video Authenticator.

“Selain itu buat laporan segera kepada pihak berkuasa seperti PDRM atau Pusat Respons Scam Nasional (NSRC) di talian 997,” katanya.

 

KESIMPULAN

Dakwaan bahawa pihak polis menghubungi orang ramai melalui panggilan video adalah TIDAK BENAR.

PDRM menjelaskan ia adalah teknik penipuan sindiket scammer yang menyamar sebagai pihak polis untuk meyakinkan dan memperdaya mangsa.

Orang ramai perlu lebih peka dan bijak dalam membuat penilaian sekiranya berdepan dengan situasi seperti ini kerana PDRM atau mana-mana agensi kerajaan tidak akan berurusan melalui panggilan video.

Perlu diingat, dalam dunia serba moden ini, pelbagai taktik diguna pakai oleh sindiket penipuan dalam talian termasuklah melibatkan teknologi AI untuk menipu mangsa.

Berhati-hatilah.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. TikTok | Naavenraman | 15 Disember 2024

  2. TikTok | Polis Perlis | 17 Disember 2024

  3. BuletinTV3 | ‘Scammer’ Buat Panggilan Video Konon di IPK Perlis | 19 Disember 2024

  4. Berita Harian | Scammer Jual Nama IPK Perlis | 19 Disember 2024

  5. Facebook | Malaysia Gazette | Sarjan 'Scammer' Buat Panggilan Video | 18 Disember 2024

  6. Harian Metro | Sindiket buat panggilan video kononnya di pejabat polis | 27 Mac 2024

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2025 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.