+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Warga Israel Perlu Visa dan Kelulusan KDN Bagi Memasuki Malaysia

Benarkah...

Malaysia akan berikan pengecualian visa kepada warga Israel?

Sumber : X(Twitter) / Februari 2024

Hasil

Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel. Tidak akan berlaku pengecualian visa, warga Israel perlu kelulusan masuk daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

26/02/2024 08:29 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular ciapan di X yang mendakwa kononnya Malaysia berkemungkinan menjadi destinasi pengecualian visa untuk warga Israel.

  • Dakwaan itu berdasarkan ciapan Ahli Parlimen Israel yang memuat naik gambar perwakilan Malaysia, seolah-olah sedang mendengar ucapan Perdana Menteri Israel di mesyuarat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada September 2023.

  • Semakan MyCheck mendapati ciapan tersebut adalah fitnah terhadap kerajaan, malah perwakilan Malaysia sebenarnya sedang menunggu giliran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berucap selepas Israel.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Malaysia tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf kewujudan Israel sebagai sebuah negara, jauh sekali mewujudkan hubungan diplomatik dengannya. Malah pasport Malaysia juga tidak boleh digunakan untuk perjalanan ke Israel.

Pendirian Malaysia terhadap krisis kemanusiaan di Palestin sentiasa konsisten dan merupakan antara negara yang paling lantang mengutuk tindakan penindasan serta kezaliman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Malah menurut Menteri Luar Datuk Mohamad Hasan, Malaysia sejak 2004 lagi telah membawa isu berkaitan pembebasan Palestin daripada kekejaman Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

 

MENGENAI DAKWAAN

Baru-baru ini, tular satu ciapan di X mendakwa Malaysia berkemungkinan menjadi destinasi pengecualian visa untuk warga Israel.

 


Sumber: X

 

Dakwaan tersebut telah dimuat naik oleh pemilik akaun X @kopitiammalaya, berdasarkan ciapan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Israel, Danny Danon pada 22 Sept 2023 lalu.

 


Sumber: X

 

Danny dengan nada sinis menyatakan ‘kegembiraan’ melihat perwakilan Malaysia hadir ketika ucapan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sedang berlangsung. Turut disertakan dalam ciapannya gambar wakil negara semasa sesi debat umum di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 2023.

Danny juga melontar persoalan secara sinis, jikalau Malaysia mungkin menjadi destinasi pelancongan tanpa visa seterusnya bagi warga Israel.

Semestinya, isu ini menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai, memandangkan Malaysia antara negara yang pendiriannya cukup lantang menentang kekejaman dan penindasan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck memulakan semakan dengan membuat carian rawak di Google menggunakan kata kunci ‘Malaysia Perhimpunan Agung PBB’ dan muncul beberapa artikel yang melaporkan isu berkenaan.

Pada 20 Sept 2023, Sinar Harian yang memetik berita Bernama melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama perwakilan Malaysia telah tiba ke ibu pejabat PBB bagi menghadiri Debat Umum ke-78 UNGA.

Tumpuan utama perbahasan mesyuarat tersebut adalah untuk memulihkan kepercayaan dan menyatukan semula negara-negara anggota dalam menangani cabaran global.

Delegasi Malaysia turut disertai pegawai kerajaan dan beberapa menteri termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (ketika itu memegang portfolio Menteri Luar), Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa yang ketika itu merupakan Menteri Kesihatan.

 

Giliran Malaysia Berucap Selepas Israel

Semasa membuat semakan, kami menemui satu laporan berita yang melaporkan video penjelasan Dr Zaliha Mustafa mengenai isu dewan yang dikatakan hampir kosong sewaktu Perdana Menteri Malaysia sedang berucap di pentas PBB.

Menerusi perkongsian video di TikTok itu, Dr Zaliha menjelaskan apa yang berlaku sebenarnya,  ramai delegasi antarabangsa bertindak keluar dari dewan ketika Perdana Menteri Israel sedang berucap sebagai tanda boikot, ekoran serangan tanpa henti Israel ke atas Gaza yang berlaku ketika itu.

Kebetulan, giliran Malaysia pula adalah selepas Israel, yang menyebabkan dewan kelihatan lengang. Namun, pemimpin-pemimpin negara itu kembali semula ke dalam dewan semasa ucapan Perdana Menteri Malaysia.

Berdasarkan petunjuk ini, adalah dipercayai bahawa perwakilan Malaysia bukannya mendengar ucapan pemimpin Israel, sebaliknya sedang menunggu giliran Perdana Menteri Malaysia untuk berucap.

 

Kenyataan Menteri Dalam Negeri Berkaitan Gambar Tular

Bagi mendapatkan lagi kepastian, kami menelusuri akaun X milik @saifnasution dan menemui ciapan penjelasan daripada beliau berkaitan isu itu.

 


Sumber: X

 

Menurutnya, ciapan yang dibuat oleh @kopitiammalaya itu adalah bertujuan untuk mencipta naratif jahat serta juga fitnah terhadap beliau dan kerajaan. 

Sedangkan kehadiran beliau di perhimpunan agung itu adalah sebagai delegasi dari Malaysia dan untuk mendengar ucapan Perdana Menteri Malaysia.

Malah, beliau turut mengingatkan Israel agar ‘jangan perasan’, lagi-lagi apabila Anwar di dalam ucapannya mengkritik sekeras-kerasnya tindakan kejam Israel di hadapan seluruh pemimpin dunia.

 

Pendirian Tidak Berbelah Bahagi Malaysia Kepada Palestin

Menerusi video ucapan yang dikongsikan PBB di portal rasminya, Anwar mengecam tindakan rejim Zionis yang berterusan membina penempatan haram dan merampas tanah milik rakyat Palestin.

“Ini merupakan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa. Ia juga mencetuskan kekangan kepada penyelesaian dua negara untuk dicapai,” katanya di sidang PBB pada 22 Sept 2023 lalu.

Anwar juga menyeru anggota PBB dan masyarakat antarabangsa supaya lebih berperanan dalam menangani konflik Palestin-Israel dan berani membantah penzaliman tersebut.

Bahkan, Malaysia terus menunjukkan sokongan padu kepada Palestin di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Februari 2024 lalu.

 


Sumber: Berita Harian

 

Malaysia yang diwakili oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa rakyat Palestin berhak menentukan nasib mereka dan Israel perlu memansuhkan segala langkah perundangan yang menekan di wilayah diduduki.

 

Rakyat Israel Perlu Mendapatkan Visa Dan Kelulusan Untuk Memasuki Malaysia

Semakan MyCheck di laman rasmi Jabatan Imigresen Malaysia, menunjukkan rakyat Israel perlu mendapatkan visa dan kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memasuki negara ini.

 


Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia

 

Begitu juga rakyat Malaysia yang ingin ke Jerusalem bagi tujuan melawat tapak-tapak suci, terutamanya bagi penganut agama Islam dan Kristian. Mereka perlu memohon kebenaran daripada KDN sebelum memohon visa daripada Israel.

Namun dengan ketiadaan hubungan diplomatik, pelawat dari Malaysia harus menanggung segala risiko yang berlaku di Israel secara sendiri.

 

KESIMPULAN

Bersandarkan maklumat ini, MyCheck mengklasifikasikan dakwaan kononnya Malaysia mungkin mempertimbangkan untuk memberikan pengecualian visa kepada pelawat Israel sebagai TIDAK BENAR.

Dakwaan yang dibuat berdasarkan ciapan Ahli Parlimen Israel itu bukan sahaja menyebabkan kekeliruan malah boleh mencetuskan kemarahan orang ramai.

Memandangkan isu ini sensitif, pesan kami agar rakyat Malaysia sentiasa semak kesahihan berita yang diterima sebelum berkongsi maklumat.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Malaysia Gazette |  Kutukan dunia terhadap Israel amat besar – Mohamad | 25 Februari 2024

  2. X | @kopitiammalaya | 22 Februari 2024  

  3. X | @dannydanon | 22 September 2023  

  4. Sinar Harian | Anwar tiba di New York bagi hadiri Perhimpunan Agung PBB ke-78 | 20 September 2023 

  5. Berita Harian | Dr Zaliha perjelaskan dakwaan dewan kosong semasa Anwar berucap di UNGA | 25 September 2023 

  6. TikTok | @drzalihamustafa | 24 September 2023 

  7. X | @@saifnasution | 23 Februari 2024

  8. YouTube | 78th UNGA  

  9. United Nations | His Excellency Anwar Ibrahim Prime Minister | 22 September 2023

  10. Berita Harian | Malaysia desak Israel undur, bayar pampasan penuh kepada Palestin | 23 Februari 2023  

  11. Jabatan Imigresen Malaysia | KEPERLUAN VISA MENGIKUT NEGARA

  12. Jabatan Imigresen Malaysia, London | PROSEDUR KEBENARAN KE ISRAEL

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.