+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Trend Makan ‘Kurma Mentega’ Tidak Digalakkan Untuk Pesakit Kronik

Benarkah...

Sajian buah kurma dicampur mentega bahaya untuk pesakit kronik?

Sumber : X (Twitter), TikTok  / Mac 2024

Hasil

Pakar kesihatan tidak menggalakkan pengambilan hidangan itu memandangkan ia boleh memberi risiko kesihatan kepada individu yang menghidap penyakit kronik apabila diambil secara berlebihan.

01/04/2024 11:59 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan trend memakan ‘kurma mentega’ iaitu kurma yang dibuang biji dan diapitkan dengan potongan mentega, boleh memudaratkan kesihatan pesakit kronik.
     
  • MyCheck mendapati gabungan kurma dan mentega tidak digalakkan kepada pesakit kronik kerana ia mengandungi kadar kolesterol dan kalium (potassium) yang tinggi serta tidak baik untuk kesihatan pesakit jantung atau buah pinggang.
     
  • Hidangan itu juga sebenarnya merupakan kegemaran Rasulullah SAW dan bukannya sunah yang dianjur (diucap) oleh Baginda untuk diamalkan oleh umat Islam.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: Platform X

 

 

Kurma cukup sinonim dengan bulan Ramadan. Bagaikan tradisi, ia menjadi juadah pertama yang dijamah ketika berbuka puasa atau sebagai hidangan ringkas ketika bersahur.

Kurma kebiasaannya dinikmati begitu sahaja tetapi kreativiti orang ramai telah memunculkan pelbagai inovasi juadah berasaskan kurma, yang mana pada Ramadan tahun ini menyaksikan trend kurma mentega menjadi tular.

Kombinasi rasa kurma yang manis dicampur dengan lemak masin daripada mentega menjadikan ramai yang seolah ‘ketagih’ menikmati juadah itu, selain dikatakan ia adalah mengikut sunah Rasulullah SAW.

Namun, di sebalik keterujaan netizen mencuba trend berkenaan, timbul dakwaan bahawa individu yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang perlu mengelakkan makanan tersebut kerana ia boleh memudaratkan kesihatan.

Benarkah dakwaan itu? MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Media Sosial Dibanjiri ‘Kurma Mentega’, Bukan Muslim Turut ‘Terjebak’

Memandangkan trend ini tular di media sosial, MyCheck memulakan carian di platform Facebook, X, TikTok dan juga Instagram.

Menggunakan kata kunci ‘kurma butter’, kami dapati media sosial bagaikan dibanjiri juadah itu apabila banyak hantaran dan gambar dimuat naik netizen.

Ramai netizen termasuk pempengaruh, seperti di sini dan di sini serta figura ternama antaranya bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi mengenai hidangan itu.

Paling menarik, trend berkenaan turut diikuti oleh masyarakat bukan Muslim. Anda boleh lihat antaranya di sini dan di sini.

 


Sumber: Facebook

 

Mentega Dan Marjerin Adalah Berbeza

MyCheck meneruskan carian di media sosial dan menemukan pula beberapa hantaran di Facebook yang mengingatkan orang ramai yang ingin mencuba ‘kurma mentega’ itu untuk menggunakan mentega, bukan marjerin.

Antara hantaran yang dimuat naik anda boleh lihat di sini, di sini dan di sini.

Jadi apa perbezaan mentega dan marjerin ini?

Kami menjumpai satu video seorang bekas pengamal perubatan yang aktif di TikTok, @dr1share atau dikenali sebagai Dr Wan yang menjelaskan mengenai perkara ini.

 


Sumber: TikTok

 

Mentega Lebih Baik Daripada Marjerin?

Menurut beliau, mentega adalah lebih sihat berbanding marjerin, tetapi disarankan untuk menggunakan mentega tulen atau tanpa garam (unsalted) sekiranya ingin mencuba trend tular tersebut.

Katanya marjerin mengandungi asid lemak trans (trans fat) iaitu sejenis lemak yang diperbuat daripada minyak sayur yang telah dipejalkan melalui proses hidrogen.

Asid lemak trans juga boleh menjadi punca kepada kerosakan salur darah dan serangan jantung.

Berbeza dengan marjerin, mentega pula diperbuat daripada bahan tenusu yang mengandungi asid lemak tepu (saturated fat).

Menurutnya, lemak tepu tidak berbahaya untuk tubuh badan kerana badan manusia memerlukan lemak tersebut namun tidak boleh melebihi sepuluh peratus daripada kalori harian.

 

Mentega Juga Boleh Menyebabkan Kolesterol Tinggi Jika Diambil Berlebihan

Bagaimanapun semakan lanjut kami menjumpai satu hantaran mengenai keburukan mentega jika ia diambil secara berlebihan.

Hantaran itu dimuat naik Public Health Malaysia di Facebook pada 11 Mac 2024.

 


Sumber: Facebook

 

Menurut Public Health Malaysia, meskipun mentega mempunyai kebaikannya tersendiri namun ia dikhuatiri membawa mudarat berbanding kebaikan jika diambil secara berlebihan.

Ini kerana mentega mempunyai kalori yang tinggi dan sebiji kurma yang dicampur mentega adalah bersamaan dengan satu senduk nasi.

Bahkan pengambilan secara kerap dan berlebihan boleh menyebabkan obesiti serta meningkatkan paras kolesterol jahat dalam darah.

 

Apa Itu Kolesterol Jahat?

MyCheck kemudian membuat semakan di portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menemukan satu artikel mengenai fungsi kolesterol di dalam badan.

Memetik artikel itu, kolesterol sering dianggap sebagai lemak yang bahaya untuk tubuh badan.

Hakikatnya, kolesterol adalah kimia penting untuk menghasilkan asid hempedu di  dalam organ hati bagi tujuan penghadaman, melindungi saraf dan membentuk sel-sel badan yang baharu.

Meskipun begitu, terdapat jenis kolesterol jahat dikenali sebagai Low Density Lipoproteins (LDL) kerana ia mempunyai kecenderungan untuk melekat di dinding arteri seterusnya membentuk plak kolesterol yang meningkatkan risiko penyakit jantung.

Antara punca kepada risiko LDL adalah tabiat pemakanan lemak tepu dan lemak trans secara berlebihan sehingga menyebabkan tahap kolesterol menjadi tinggi.

 

Pendapat Pakar Pemakanan Terhadap Trend ‘Kurma Mentega’

Bagi mengukuhkan lagi semakan, MyCheck menghubungi seorang pakar pemakanan (dietitian) untuk mendapatkan kepastian adakah selamat untuk pesakit kronik mengikuti trend kurma mentega.

Menurut Dr Muhammad Azif Azizi Md Noh, kurma mengandungi pelbagai jenis nutrisi termasuk kalium (potassium) yang tinggi.

Buah pinggang yang sihat mampu mengawal jumlah kalium di dalam badan dengan cara membuang lebihan kalium melalui urin, namun buah pinggang yang rosak tidak mampu menapis kalium menyebabkan ia terkumpul di dalam darah.

Justeru, pesakit buah pinggang tidak digalakkan untuk mengikuti trend tersebut kerana ia boleh menyebabkan jantung mereka berdegup laju atau berhenti secara tiba-tiba sekiranya jumlah kalium darah terlalu tinggi.

Selain itu, pesakit yang didiagnosis dengan penyakit hati berlemak dan penyakit tinggi kolesterol juga tidak disarankan untuk mengambil kurma mentega.

“Kalau hendak makan untuk rasa-rasa tiada masalah, disarankan hanya satu sudu teh mentega sahaja untuk dimakan bersama tiga biji kurma. Pengambilan yang kerap dan banyak adalah tidak digalakkan,”.

Beliau turut mencadangkan kombinasi buah kurma dengan bahan-bahan lain seperti superfood yang mampu memberi khasiat serta tenaga yang cukup semasa berpuasa.

“Boleh cuba kurma bersama chia seed dan oatmeal. Makanan ini bukan sahaja mengenyangkan malah ia membantu menurunkan kolesterol dalam darah. Kurma dikisar menjadi milkshake juga memberikan serat tambahan dalam badan,” katanya menerusi WhatsApp.

 

KKM Saran Pengambilan Kurma Dan Mentega Dalam Kuantiti Yang Sederhana

Dalam masa sama MyCheck turut menerima maklum balas daripada KKM menerusi e-mel.

KKM menyarankan pengambilan kurma dalam kuantiti yang sederhana kerana ia mempunyai kandungan gula semula jadi yang tinggi khususnya pesakit diabetes.

Selain itu, pengambilan mentega juga perlu dalam kuantiti sederhana terutamanya bagi pesakit yang mempunyai masalah kesihatan tertentu seperti penyakit jantung.

Golongan ini perlu berunding dengan profesional kesihatan sebelum menambah mentega dalam diet mereka.

Namun, sebaiknya buah kurma dimakan secara begitu sahaja tanpa tambahan bahan makanan lain seperti mentega.

 


Sumber: Facebook

 

Kurma Mentega Sunah Rasullah SAW?

Selain itu MyCheck turut melakukan semakan mengenai benarkah trend memakan kurma dengan mentega ini mengikut sunah yang diamalkan Rasulullah SAW sebagaimana yang dinyatakan ramai pihak.

Kami membuat carian rawak ‘Kurma Butter’ di enjin carian Google dan menemukan beberapa artikel berkaitan.

 

Kurma Mentega Hanya Makanan Kegemaran, Bukan Sunah Yang Dianjurkan Rasulullah SAW

Selepas meneliti salah satu artikel itu, kami difahamkan sajian kurma mentega adalah kegemaran Baginda Rasulullah SAW.

Ia berdasarkan sebuah hadis daripada Abdullah ibn Busr dan Atiyyah ibn Busr yang berkata:

“Rasulullah SAW telah masuk ke rumah kami. Lalu kami menyediakan mentega dan tamar (kurma kering). Baginda menyukai mentega dan tamar.” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah).

MyCheck turut mendapatkan pandangan daripada pakar rujuk pembagian sunah dalam usul fiqh, Muhammad Anwaruddin Abd Wahab berkaitan hadis menyentuh sunah Nabi Muhammad SAW.

Beliau berkata berdasarkan hadis yang dikongsikan, pemakanan kurma bersama mentega hanyalah kegemaran Rasulullah SAW dan bukanlah sunah anjuran (ucapan) Baginda.

Menurutnya, hadis itu dikaitkan dengan Sunah Zaidah iaitu kebiasaan ataupun amalan dalam seharian Baginda.

Misalnya, cara pemakaian, makan, minum dan tidur Rasulullah. Namun, ia tidak meninggalkan kesan sekiranya tidak mengikuti kebiasaan tersebut.

“Kita mesti mendahulukan sunah yang dianjur (diucap) oleh Nabi Muhammad SAW sebelum sunah daripada pemerhatian sahabat terhadap Baginda,” katanya.

Malah, sunah yang dianjur oleh Rasulullah adalah mengamalkan pengambilan kurma ajwa pada waktu pagi.

 

KESIMPULAN

Daripada penerangan di atas, kami mengklasifikasikan dakwaan trend memakan kurma mentega berisiko untuk kesihatan pesakit kronik adalah BENAR.

Pakar kesihatan mengatakan pengambilan secara berlebihan boleh meningkatkan kolesterol dalam badan serta komplikasi kesihatan yang lain.

Selain itu persepsi bahawa memakan kurma bersama mentega adalah sunah dianjurkan Rasulullah juga adalah tidak tepat, sebaliknya hidangan itu hanya kegemaran Baginda.

MyCheck menasihati orang ramai untuk bersederhana dalam semua aspek termasuk pemakanan dan jangan mudah terpengaruh dengan trend pemakanan yang tular sehingga menjejaskan kesihatan.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Instagram I @akiejack 

  2. Instagram I @syok.bm

  3. TikTok | @drzulkiflialbakri | 10 Mac 2024

  4. Facebook I @Azaylea Joe

  5. Facebook I @Kenny Lee Chia Sern

  6. Facebook I @Nasihat Bonda

  7. Facebook I Erdy Azezy Bin Sohardi

  8. Facebook I Suci Nasuha

  9. Says.com | Ini Cara Buat Kurma Mentega Kegemaran Rasulullah SAW Yang Sedap & Khasiatnyai | 11 Mac 2024

  10. TikTok | @Ahmad Faezal | 10 Mac 2024

  11. TikTok | @dr1share | 10 Mac 2024

  12. MyHealth | Lemak dan Kolesterol

  13. Facebook | @Public Health Malaysia | 11 Mac 2024

  14. MyHealth | Penyakit Jantung dan Rendahkan Paras Kolesterol

  15. Mufti Of Federal Territory's Office | IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-347 : FADILAT MEMAKAN TUJUH BIJI KURMA, ADAKAH KHUSUS BUAT KURMA AJWAH MADINAH SAHAJA ATAU UMUM BUAT SEMUA JENIS KURMA?


 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.