+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Mesej Tular Malaysia Bakal Dilanda Gelombang Haba Cecah 50 Darjah Celcius Tidak Sahih

Benarkah...

Malaysia akan dilanda gelombang haba sehingga mencecah 50 darjah Celcius.

Sumber : WhatsApp / Februari 2024

Hasil

Dakwaan itu adalah palsu. Ia bukan daripada mana-mana sumber sahih bahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak ada mengeluarkan kenyataan mengenai cuaca panas mencecah 50 darjah Celcius.

08/03/2024 03:46 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan menerusi WhatsApp bahawa Malaysia bakal mengalami gelombang haba sehingga mencecah suhu 50 darjah Celcius.
     
  • Dakwaan ini mencetus kebimbangan awam kerana cuaca panas melampau berisiko memberi kesan buruk seperti kemarau, jerebu dan strok haba, yang mana bakal mengundang bahaya kepada kesihatan.
     
  • Semakan MyCheck mendapati mesej tular itu dibuat tanpa berasaskan sumber dan bukti yang sahih, bahkan MetMalaysia juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut.
     
  • Suhu tertinggi pernah direkodkan dalam negara ialah 40.1 darjah Celcius pada 1998 di titik paling panas Malaysia iaitu di Chuping, Perlis.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

MyCheck menerima mesej daripada orang awam menerusi WhatsApp mengenai dakwaan bahawa Malaysia bakal dilanda cuaca panas luar biasa.

Mesej berbentuk peringatan dengan status ‘forwarded many times’ itu, kononnya merupakan nasihat doktor yang meminta orang ramai untuk bersedia menghadapi gelombang haba antara 40 hingga 50 darjah Celcius.

Maklumat yang ditularkan itu pastinya menimbulkan kebimbangan orang awam dalam berdepan dengan suhu panas ekstrem terutama bagi umat Islam yang bakal menjalani ibadah puasa tidak lama lagi.

Apa fakta sebenar di sebalik dakwaan ini? MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Mesej Tular Tidak Disertakan Sumber

Berdasarkan pemerhatian kami, maklumat dalam mesej tersebut amatlah diragui kerana ia langsung tidak disertakan dengan sebarang sumber rujukan.

Maka kami cuba mendapatkan petunjuk dengan melakukan carian rawak melalui Google dengan menggunakan kata kunci 'Malaysia bakal dilanda gelombang haba mencecah 50 darjah Celcius'.

Bagaimanapun setakat laporan ini ditulis, dapatan kami tidak menemukan sebarang maklumat terkini yang berkaitan dengan dakwaan itu di negara ini.

 


Sumber: Google

 

Kenyataan Rasmi MetMalaysia

Tanpa membuang masa, MyCheck terus merujuk dengan MetMalaysia iaitu agensi yang ahli dan bertanggungjawab memantau serta membuat ramalan kaji cuaca di negara ini.

Kami mendapatkan kenyataan rasmi terbaharu MetMalaysia yang dikeluarkan pada 13 Feb 2024.

Menurut Ketua Pengarahnya Muhammad Helmi Abdullah, cuaca panas yang dialami ketika ini adalah satu fenomena berulang yang berlaku saban tahun pada setiap Februari hingga Mei.

Dalam tempoh tersebut, suhu maksimum harian boleh melebihi 35 darjah Celcius pada awal petang dan setakat ini, suhu tertinggi dicatatkan oleh stesen meteorologi utama MetMalaysia adalah 36.9 darjah Celcius iaitu di Chuping, Perlis pada 8 Feb lepas.

Tambah MetMalaysia, berikutan fenomena El Nino kuat yang sedang melanda dunia ketika ini, dijangkakan suhu maksimum harian di Malaysia boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan tempat.

Justeru orang ramai disarankan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.

 

Status Cuaca Panas Di Malaysia

Seterusnya kami cuba mendapatkan maklumat terperinci berkenaan status semasa cuaca panas di negara ini menerusi portal rasmi MetMalaysia.

 


Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia

 

Berdasarkan rajah di atas, anda boleh lihat kriteria cuaca panas yang diklasifikasikan oleh jabatan tersebut seperti yang kami tandakan dalam kotak merah.

Terdapat empat kategori iaitu suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah Celcius dengan label biru, tahap satu iaitu berjaga-jaga apabila suhu harian maksimum 35 hingga 37 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut (label kuning).

Seterusnya tahap kedua iaitu gelombang haba apabila suhu harian maksimum 37 hingga 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut (label jingga) dan tahap ketiga iaitu gelombang haba ekstrem dengan suhu harian melebihi 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut (label merah).

Sementara itu, berdasarkan kemas kini rekod bacaan suhu maksimum sehingga 28 Feb 2024, hanya satu daerah di negara ini iaitu Pokok Sena, Kedah yang mencatatkan suhu tahap kedua iaitu gelombang haba mencecah 40 darjah Celcius.

Laporan sebuah media tempatan diterbitkan pada 28 Feb 2024 juga menjelaskan Pengarah MetMalaysia Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata suhu pada waktu siang di Pokok Sena boleh turun naik antara 37 hingga 40 darjah Celsius dalam tempoh tiga hari akan datang.

 

Suhu Tertinggi Pernah Dicatatkan Di Malaysia Adalah 40.1 Darjah Celcius Pada 1998

Berdasarkan maklumat yang dikumpul setakat ini, kami belum menjumpai bukti mengatakan suhu di Malaysia bakal mencecah 50 darjah Celcius.

Malahan rekod cuaca semasa dari portal MetMalaysia juga tidak menunjukkan terdapat kawasan yang sudah memasuki bacaan tahap tiga iaitu gelombang haba ekstrem melebihi 40 darjah Celcius.

Kami turut membuat semakan dengan MetMalaysia bagi mendapatkan rekod suhu tertinggi yang pernah dicatatkan di negara ini iaitu 40.1 darjah Celcius pada 1998.

Menurut sebuah portal berita tempatan, keadaan cuaca panas ekstrem pada 1998 tersebut direkodkan di titik paling panas Malaysia iaitu di Chuping, Perlis.

 


Sumber: Bernama

 

Pembenihan Awan Bantu Kawal Kesan Gelombang Haba

Dalam masa yang sama, orang ramai perlu tahu bahawa pihak berwajib sentiasa memantau situasi semasa kesan pemanasan global dan keadaan gelombang haba yang berlaku di negara ini.

MetMalaysia, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) khususnya, akan sentiasa memastikan situasi semasa di seluruh negara terus terkawal.

Sekiranya terdapat keperluan mendesak di mana-mana kawasan di negara ini yang berada di paras bahaya akibat suhu panas melampau, pelbagai usaha akan dibuat untuk membantu meredakan keadaan tersebut.

Contohnya jika terdapat kawasan yang dilanda kemarau, paras empangan air menyusut, jerebu serta menjejaskan rutin harian dan kesihatan orang ramai, proses pembenihan awan akan dilakukan.

Menurut sebuah portal berita tempatan, Pengarah Kanan Pusat Instrumentasi Meteorologi dan Sains Atmosfera MetMalaysia, Ambun Dindang berkata pembenihan awan lazimnya bertujuan meningkatkan paras air empangan, selain untuk mengurangkan kesan jerebu.

Menurutnya jerebu berpotensi berlaku jika banyak kawasan merekodkan titik panas.

Sekiranya berlaku hujan, ia akan memulihkan kualiti udara seterusnya dapat mengurangkan suhu tinggi terutama di utara Semenanjung yang banyak merekodkan cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga.

Kami juga difahamkan sekiranya terdapat permohonan dari kerajaan negeri yang memerlukan Operasi Pembenihan Awan (OPA) dilaksanakan segera, maka proses itu akan dibuat.

Menurut portal berita yang memetik laporan agensi tempatan, setakat ini OPA telah dilaksanakan di dua kawasan sasaran utara Semenanjung.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi NADMA, Meor Ismail Meor Akim berkata kawasan berkenaan ialah Empangan Air Hitam di Pulau Pinang dan Empangan Bukit Merah di Perak.

 


Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia

 

KESIMPULAN

Apa yang dapat kami rumuskan berdasarkan semakan yang telah dibuat, dakwaan Malaysia akan dilanda gelombang haba sehingga mencecah 50 darjah Celcius adalah TIDAK BENAR.

Dakwaan itu juga tidak berasas kerana tidak disertakan dengan mana-mana sumber yang sahih atau bukti yang relevan.

Bahkan MetMalaysia, agensi rasmi yang bertanggungjawab memantau keadaan cuaca di negara ini juga tidak ada mengeluarkan apa-apa kenyataan seperti mesej tular.

Pesan kami di MyCheck, rujuk sebarang maklumat yang anda tidak pasti dengan sumber yang sahih dan boleh dipercayai.

Jika bukan pihak berwajib yang mengeluarkan maklumat berkaitan, jangan percaya bulat-bulat, bahkan lebih baik periksa dahulu kesahihannya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan sehingga mencetuskan kebimbangan.

-- MYCHECK.MY –

 

RUJUKAN

  1. Berita Harian I El Nino Dijangka Berterusan Hingga Pertengahan Tahun Ini - MetMalaysia I 8 Feb 2024

  2. Berita Harian I Suhu Di Pokok Sena Boleh Cecah 40 Darjah Celsius Hari Ini I 28 Februari 2024

  3. Jabatan Meteorologi Malaysia I Siaran Media Cuaca Panas Pada Penghujung Monsun Timur Laut I 13 Feb 2024

  4. Sinar Harian I Cabaran Hadapi Cuaca Panas Ekstrem I 10 Mei 2023

  5. Berita Harian I Belum Ada Keperluan Laksana Pembenihan Awan - MetMalaysia I 27 April 2023

 

 

 


 

 

 

 

 

 

 

 

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.