+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Waktu Bersenam Bukan Faktor Kematian Mengejut, Status Kesihatan Dan Tahap Intensiti Senaman Boleh Jadi Punca

Benarkah...

Bersenam pada waktu malam boleh menyebabkan kematian mengejut?

Sumber : X / Januari 2024

Hasil

Waktu senaman sama ada siang atau malam bukanlah faktor kematian mengejut. Sebaliknya, status kesihatan individu dan tahap intensiti senaman menjadi penyebab utama.

26/03/2024 03:59 PM

SEKILAS FAKTA 

  • Tular di media sosial dakwaan bahawa aktiviti bersenam dan bersukan pada waktu malam boleh membawa maut.

  • Semakan MyCheck mendapati waktu bersenam bukanlah faktor berlakunya kematian mengejut, sebaliknya status kesihatan individu, tahap intensiti senaman, daya tahan tubuh serta gaya hidup tidak sihat menjadi antara penyumbang utama.

  • Senaman pada waktu malam adalah selamat dan dapat meningkatkan kualiti tidur, selagi seseorang itu ‘mengukur baju di badan sendiri’ iaitu mengikut kemampuan diri dan intensiti tidak terlalu tinggi, selain memastikan rehat yang cukup.

  • Aktiviti berimpak rendah dan tidak guna banyak tenaga adalah senaman yang paling sesuai pada waktu malam terutamanya ketika bulan Ramadan, selain mengehadkan masa bersenam.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima mesej menerusi WhatsApp berhubung dakwaan aktiviti bersenam pada waktu malam boleh menyebabkan kematian.

 


Sumber: Platform X

 

Pada masa sama, tular di platform X mengenai trend bersukan pada waktu malam yang dianggap tidak bersesuaian kerana dikatakan boleh menjejaskan kesihatan.

Malah, ada juga yang menyifatkan aktiviti itu sebagai ‘pembunuh senyap’ berikutan risikonya yang dikatakan boleh meragut nyawa.

Isu bersenam malam bukanlah sesuatu yang baharu diperkatakan kerana topik ini pernah menjadi bualan ramai di media sosial.

Namun baru-baru ini, isu ini timbul semula. Persoalannya, adakah ia benar-benar fakta atau hanya sekadar mitos? Ikuti MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Senaman Malam Dikatakan Tidak Bersesuaian Kerana Melawan Fitrah Badan?

Disebabkan isu ini tular di media sosial, kami ke platform X bagi memahami perkara ini dengan lebih terperinci.

Menggunakan kata kunci ‘senam malam’, tinjauan kami mendapati isu ini menjadi polemik ramai. Ada pihak yang bersetuju dan ada juga yang berpendapat sebaliknya.

Kami teruskan carian dengan menatal (scroll) hantaran demi hantaran. Hasilnya kami temui satu hantaran daripada @Haziqmahmur90an atau Haziq, yang mengatakan bersenam malam adalah pembunuh senyap kerana ia melawat fitrah badan (biological). 

Kenyataan itu dimuat naiknya bagi membalas sebuah hantaran oleh @bagirunclub yang bertanyakan pendapat tentang senaman pada waktu malam, sekali gus membuka ruang untuk netizen berbincang mengenainya.

@bagirunclub adalah akaun sebuah komuniti larian yang menjadikan aktiviti itu sebagai salah satu gaya hidup termasuklah senam malam sejak 2021.

Menurut Haziq, senam malam dikatakan menjadi pembunuh senyap kerana aktiviti itu biasanya dilakukan dengan kerap dan ekstrem, malah bertentangan dengan fitrah kerana ia mengganggu jam biologi (Circadian Rhythm).

“Kenapa pembunuh senyap? Kerana ia tidak berlaku pada kali pertama. Ia berlaku selepas beberapa siri (bersenam) yang menghenyak jantung di waktu malam yang sepatutnya (waktu badan) berehat.

“Bersenam malam kelihatan sihat, maka kita ‘melenjan’ (melakukan senaman dengan ekstrem) seolah-olah merasakan ia sihat untuk badan. Walhal secara diam, ia memberikan tekanan pada badan, melawan fitrah badan,” katanya.

Berdasarkan komen-komen pada hantaran terbabit, ramai yang berkongsi pandangan mengenai insiden kematian mengejut ketika dan selepas bersukan pada waktu malam, berdasarkan beberapa kes yang pernah dilaporkan sebelum ini.

Tetapi benarkan kematian mengejut berkait dengan senaman pada waktu malam?

Bagi mendapatkan maklumat berhubung punca sebenar dengan lebih menyeluruh, MyCheck membuat carian lanjut bagi mengetahui adakah kematian mengejut saling berkait rapat dengan senaman pada waktu malam.

Menggunakan kata kunci ‘punca kematian mengejut’ di carian Google, kami temukan beberapa artikel yang dilaporkan media tempatan berhubung isu ini.

Setelah menelaah satu per satu artikel seperti di sini dan di sini, kami dapati kematian mengejut kebanyakannya berpunca daripada penyakit jantung.

 

Peningkatan Mendadak Aktiviti Fizikal

Menurut laporan Harian Metro bertarikh 5 Jan 2024, Sindrom Kematian Mengejut Golongan Dewasa (SADS) membabitkan populasi berusia 40 tahun dan ke bawah semakin meningkat.

Dalam laporan sama, menurut Pengasas Pusat Kesejahteraan Heart Bit E-ECP, Dr S Denesh, SADS terjadi berkemungkinan disebabkan kejutan terhadap sistem kardiovaskular berpunca daripada peningkatan mendadak aktiviti fizikal.

"Apabila anda tidak melakukan senaman dalam tempoh yang sebegitu lama, ia akan menyebabkan sedikit kejutan terhadap tubuh (jika seseorang itu secara tiba-tiba melakukan senaman secara intensif)," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat faktor lain yang boleh menyebabkan berlakunya SADS, antaranya adalah tahap tekanan yang tinggi, tidur yang tidak mencukupi dan sejarah penyakit jantung.

Dalam konteks ini, seperti yang dinyatakan Danesh, senaman yang berintensiti tinggi secara mendadak berkemungkinan boleh menyebabkan kematian.

 

Bersukan Malam Ikut Kemampuan Individu

Apa pandangan pakar yang lain dalam isu ini?

Hasil carian kami seterusnya menemukan kepada laporan Sinar Harian bertarikh 23 Okt 2019 berkenaan kes kematian mengejut ketika bersukan.

Memetik laporan itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM) Dr Zubaidi Ahmad berkata bersukan pada waktu malam boleh bertukar menjadi gejala tidak sihat dan membahayakan jika tidak diuruskan dengan baik.

“Secara purata seseorang menghabiskan lapan jam bekerja sehari dan memerlukan waktu rehat. Aktiviti bersukan selepas bekerja terutama pada waktu malam menyebabkan badan menjadi lesu kerana tubuh dipaksa bekerja keras dan banyak tenaga dikeluarkan.

“Kita memaksa badan untuk bekerja keras dengan aktiviti sukan yang berat dan boleh mengakibatkan tekanan darah kita meningkat naik sekali gus boleh menyebabkan masalah darah tinggi dan jantung.

“Bukan tidak boleh bersukan waktu malam, tetapi biarlah sukan yang ringan serta tidak menggunakan tenaga yang banyak,” katanya.

 

Pastikan Rehat Satu Jam Sebelum Tidur

 


Sumber: Facebook Public Health Malaysia

 

Public Health Malaysia pula dalam satu hantaran di Facebook menekankan bahawa aktiviti senaman pada waktu malam adalah selamat, selagi mengikut kemampuan diri, tidak terlalu memaksa dan memastikan rehat yang mencukupi.

Menurut mereka, tahap senaman berintensiti ringan hingga sederhana pada waktu malam boleh membantu seseorang itu untuk tidur lebih cepat dan mendapat tidur yang berkualiti.

Adalah penting untuk melengkapkan senaman sekurang-kurangnya satu jam sebelum waktu tidur dan minum air secukupnya.

 

Senaman Ekstrem Berisiko Sebabkan Kematian Mengejut?

Pada masa sama, kami turut menemukan laporan Sinar Harian yang diterbitkan pada 21 Jan 2024, bahawa risiko degupan jantung tidak sekata (aritmia) serta serangan jantung terhenti mengejut (SCA) akan meningkat jika senaman dilakukan secara berlebihan atau ekstrem oleh individu yang tidak biasa bersenam.

Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Tee Chee Hian berkata justeru amat penting untuk seseorang individu itu mengetahui tahap keupayaan bersenam terutamanya bagi mereka yang menghadapi masalah berat badan.

“Mereka disaran memilih aktiviti berimpak rendah dan sentiasa berwaspada terhadap simptom aritmia seperti sakit dada, sesak nafas atau perasaan berdebar-debar,” katanya.

Menurutnya, aritmia boleh mengganggu koordinasi pengecutan dan kelonggaran yang diselaraskan jantung dan berupaya membawa kepada komplikasi serius termasuk kematian jantung mengejut (SCD).

 

Faktor Genetik Juga Perlu Diambil Kira Asbab SADS

Bagaimanapun, kami temui perbezaan pendapat daripada pakar yang menolak anggapan sukan ekstrem punca utama kes SADS bagi golongan berusia 40 tahun dan ke bawah.

 


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Menurut Pakar Perunding Kardiologi Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr Zul Hilmi Yaakob, SADS boleh disebabkan beberapa faktor termasuk gangguan genetik.

Faktor itu boleh dibahagikan kepada dua kategori bagi mereka yang berusia bawah 35 tahun iaitu,

  • Penyebab utama berlaku sindrom mungkin akibat otot jantung tebal atau hypertrophic cardiomyopathy (otot jantung bengkak dan lemah).

  • Masalah gangguan irama jantung seperti sindrom Brugada (masalah genetik yang menyebabkan degupan jantung yang tidak teratur). 

Bagi individu yang berusia 35 tahun ke atas pula, 

  • Kebanyakan kes yang membabitkan peringkat usia adalah disebabkan serangan jantung (salur darah jantung koronari tersumbat). 

Menurut Dr Zul, ia terjadi kerana individu menjalani gaya hidup tidak sihat seperti merokok, menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, mempunyai kandungan lemak atau kolesterol yang tinggi dalam darah serta masalah kegemukan.

Berdasarkan input yang diberikan pakar kesihatan itu, kita dapat lihat bahawa faktor kematian mengejut itu bukanlah disebabkan waktu bersenam semata-mata namun ia merangkumi pelbagai faktor seperti kesihatan, keadaan tubuh badan, gaya hidup serta faktor genetik.

 

Apa Kata Kajian Saintifik?

Seterusnya, bagi mengukuhkan lagi semakan mengenai isu ini, MyCheck merujuk kepada beberapa kajian berhubung kesan senaman pada waktu malam.

Rujukan melalui kajian saintifik amat penting dalam memahami dan meneliti konteks yang berkemungkinan menjadi faktor penentu bagi membuktikan suatu kerelevanan.

Pada Ogos 2022, National Library of Medicine menerbitkan satu kajian melibatkan 3,690 individu di Amerika Syarikat termasuk 1,806 daripadanya merupakan populasi yang aktif pada waktu malam.

Kajian tersebut yang melibatkan individu dewasa berusia dalam lingkungan 20an sehingga 40an dijalankan bagi mengenalpasti hubungan antara senaman malam dan risiko kematian.

Kajian yang mengambil masa lebih 13 tahun itu menyaksikan sebanyak 639 kematian telah dicatatkan, yang mana 114 daripadanya disebabkan penyakit jantung.

Hasil kajian mendapati semakin tinggi nisbah tempoh masa sukan malam serta aktiviti yang dilakukan secara berlebihan (excessive), maka semakin tinggi risiko kematian.

Bagaimanapun, kami temui hantaran seorang pengamal perubatan, Adibah Abdullah yang turut mengulas berkenaan kajian tersebut. Anda boleh lihat penjelasannya di bawah.

 


Sumber: Platform X

 

Namun, disebabkan kajian ini hanya melibatkan individu di Amerika Syarikat, ia tidak boleh disimpulkan secara keseluruhan dalam konteks Malaysia.

Ini kerana populasi dan metodologinya agak berbeza dengan penduduk yang menetap di Asia.

Kami turut membuat carian lanjut namun tidak menemui sebarang kajian terbaharu berhubung sukan malam penyebab kematian yang dilaksanakan ke atas penduduk di Asia khususnya di Malaysia.

 

Perlawanan Sukan Pada Waktu Malam

Seperti kita sedia maklum, tidak semua individu mempunyai jadual waktu bekerja yang sama.

Sebagai contoh, sesetengah individu mungkin memulakan hari kerja mereka di waktu pagi iaitu seawal 8 pagi manakala yang lain bekerja mengikut syif.

Ada juga yang mempunyai fleksibiliti untuk menentukan jadual kerja sendiri, sesuai dengan keperluan dan pilihan mereka. Malah bagi sesetengah orang, waktu malam hanyalah masa yang ada untuk diperuntukkan bagi melakukan senaman.

Namun, jika bersenam atau bersukan pada waktu malam berisiko menyebabkan kematian, bagaimana pula senario perlawanan sukan seperti liga bola sepak profesional dan kejohanan badminton yang cukup sinonim dilangsungkan pada waktu malam?

Persoalan ini timbul ketika kami membuat semakan di media sosial. Justeru, bagi mendapatkan jawapannya, MyCheck menemu bual pakar perubatan sukan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Md Rahmani.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Menurut beliau tahap kecergasan, tenaga dan daya ketahanan atlet tidak boleh disamakan dengan individu biasa, ini kerana para atlet telah dilatih untuk terus kekal cergas meskipun tubuh mereka berhadapan dengan tekanan.

Beliau berkata selain memberi lebih ketenangan, perlawanan sukan juga lazimnya dilangsungkan pada waktu malam ekoran risiko untuk berlakunya kecederaan adalah lebih rendah memandangkan suhu ketika itu yang agak sejuk.

“Biasanya, mereka (atlet) ada light training yang dilakukan pada waktu pagi berserta warm up. Jadi, pada waktu malam dengan suhu yang lebih sejuk itu membantu mengurangkan risiko kecederaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan orang ramai untuk melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengetahui latar belakang atau status kesihatan masing-masing.

“Bila kita buat pemeriksaan, kita sudah tahu keadaan badan kita, sekali gus boleh kawal tahap intensiti senaman. 

“Sentiasa listen to our body, maksudnya kita tahu keadaan badan dan perlu mengikut kadar intensiti dan tidak boleh push macam atlet Olimpik,” katanya.

 

 

Individu Perlu Atur Jam Biologi

Berbalik kepada hantaran yang dimuat naik Haziq berkenaan senaman malam melawan fitrah badan, MyCheck tertarik dengan jam biologi yang turut dikaitkannya.

Apa sebenarnya jam biologi ini? MyCheck membuat carian maklumat bagi mengenal pasti kaitannya.

Jika anda sedari tubuh badan manusia mempunyai ‘clock’ atau jam tersendiri yang memberi isyarat kepada tubuh individu, misalnya apabila mengantuk atau bangun daripada tidur.

Sebenarnya, ia adalah pengaturan biologi badan yang dikawal secara semula jadi dan bertindak balas dengan waktu siang dan malam yang dikenali sebagai Circadian Rhythms atau bahasa mudahnya jam biologi manusia.

Menurut National Institute of General Medical Sciences (NIH), Circadian Rhythms atau irama sirkadian adalah perubahan fizikal, mental dan tingkah laku yang dialami organisma sepanjang kitaran 24 jam.

Dalam konteks ini, senaman pada waktu malam dikatakan mengganggu kitaran biologi badan kerana pada waktu itu badan manusia mengeluarkan hormon melatonin yang membantu individu untuk mudah tidur.

Namun, sekiranya individu melakukan aktiviti fizikal berintensiti tinggi pada lewat malam ia akan meningkatkan hormon kortisol yang akan mengganggu irama sirkadian badan.

 


Sumber: NIGMS

 

MyCheck turut bertanyakan Dr Rahmani mengenai jam biologi dan senam malam.

Beliau berkata ia sebenarnya berbalik kepada individu itu untuk mengatur jadual harian.

“Bukan semua berisiko untuk mendapat kematian ataupun penyakit-penyakit tertentu sekiranya dia pandai mengatur masa (jam biologi). Namun, kita sememangnya perlu aktif luangkan masa bersukan.

“Kalau bersukan malam pastikan badan mendapat rehat yang mencukupi dan disaran dilakukan pada kadar intensiti yang rendah dan berhenti satu jam sebelum tidur,” katanya.

 

Bersenam Ketika Berpuasa

Tidak dinafikan kecenderungan melakukan aktiviti mengeluarkan peluh seperti beriadah dan bersukan amat signifikan bagi mereka yang ingin mengekalkan gaya hidup sihat.

Namun, bagaimana pula pada bulan Ramadan, bilakah masa yang sesuai untuk bersenam?

Menurut Dr Rahmani, antara waktu terbaik yang disyorkan untuk bersenam adalah satu jam sebelum berbuka puasa atau pada waktu malam iaitu selepas ibadah tarawih, yang boleh dilakukan dalam tempoh 15 hingga 30 minit.

“Kita boleh jogging, keluarkan peluh sedikit dalam 15 hingga 20 minit atau setengah jam, kemudian kita boleh berbuka selepas itu. Ia lebih selamat kerana merendahkan risiko kita untuk dehidrasi atau kurang air.

“Ia juga dapat mengelakkan strok haba contohnya kalau kita jogging pukul 12 tengah hari, sudahlah panas, tidak boleh minum pula, jadi itu juga berisiko,” katanya.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya dakwaan bersenam pada waktu malam boleh menyebabkan kematian mengejut adalah TIDAK BENAR.

Berdasarkan semakan yang dibuat, waktu melakukan senaman bukanlah penyebab kematian semata-mata.

Terdapat faktor lain yang boleh mendorong kepada risiko kematian seperti status kesihatan seseorang serta tahap intensiti senaman yang mungkin tidak bersesuaian dengan badan selain gaya hidup dan faktor genetik.

Bersenam pada waktu malam boleh dilakukan namun perlulah berdasarkan tahap kesihatan, kemampuan fizikal masing-masing dan mengikut intensiti yang sesuai.

Justeru, amat penting untuk orang ramai membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengenal pasti status kesihatan masing-masing sekali gus dapat melakukan aktiviti senaman yang bersesuaian.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. X | @Haziqmahmur90an | 14 Januari 2024

  2. X | @bagirunclub | 14 Januari 2023 

  3. X | @bagirunclub 

  4. Harian Metro | Makin ramai mati mengejut | 19 November 2021 

  5. Kosmo | Malam Tidur, Pagi Sudah Mati | 15 April 2022

  6. Harian Metro | Kematian Mengejut Dalam Golongan 40 tahun ke bawah semakin meningkat | 5 Januari 2024

  7. Sinar Harian | Sukan malam ‘pembunuh senyap’ | 23 Oktober 2019

  8. Sinar Harian | Senam berlebihan, kesannya pada aritmia dan SCA - Pakar | 21 januari 2024 

  9. MOH | Gangguan GEnetik Antara Sebab Sindrom Kematian Mengejut | 7 Januari 2024

  10. NIH |  Association of nighttime physical activity with all-cause and cardiovascular mortality: Results from the NHANES | 5 Ogos 2022

  11. X | @adibah_abdullah | 15 Januari 2024 

  12. Sleepfoundation | Circadian Rhythm | 15 Mac 2024

  13. NIH | Circadian Rhythms | September 2023

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.