+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Minyak Masak Nice Day Sah Halal, Sijil Halalnya Sudah Diperbaharui

Benarkah...

Minyak masak jenama Nice Day tidak halal kerana tiada logo halal dan berasaskan sumber haram.

Sumber : Sumber: WhatsApp, Facebook, X (Twitter) / Mac 2024

Hasil

Minyak masak itu halal. Ketiadaan logo halal pada peket hanya sementara disebabkan sijil halal tamat tempoh, sijil bagaimanapun telah diperbaharui.

20/03/2024 03:59 PM

Penyelidik: Che D

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan bahawa minyak masak sawit bertapis jenama Nice Day tidak halal dan mengandungi sumber khinzir berikutan ketiadaan logo halal pada bungkusan minyak.
     
  • Hasil semakan mendapati minyak masak itu adalah halal. Pihak syarikat tidak meletakkan logo halal pada bungkusan, sementara menunggu kelulusan pembaharuan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang telah tamat tempoh.
     
  • Bagaimanapun syarikat itu telah pun memperoleh pensijilan halal baharu yang sah sehingga 15 Mac 2026.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima WhatsApp berserta gambar daripada orang awam mengenai dakwaan bahawa minyak masak sawit bertapis jenama Nice Day tidak halal.

Minyak yang dijual di kedai-kedai runcit itu dikatakan kononnya mengandungi sumber haram iaitu khinzir.

Pada bungkusan minyak itu turut mempunyai perkataan non halal yang ditulis tangan.

 


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

APA YANG KAMI TEMUI

Dakwaan Tular Di Pelbagai Platform

Sesuatu dakwaan yang tular menerusi WhatsApp lazimnya akan turut berlegar di media sosial.

Justeru, MyCheck melakukan carian dan menemukan dakwaan sama dimuat naik oleh beberapa pengguna di Facebook dan platform X (Twitter).

Isu itu menjadi perbincangan hangat netizen. Anda boleh lihat antaranya di sini, di sini, di sini dan di sini.

 

Netizen Ekspresi Pendapat, Ramai Sangsi Kesahihan Dakwaan

Menatal (scrolling) komen-komen pada setiap hantaran yang dimuat naik, kami dapati netizen mengekspresikan pelbagai pendapat.

Ada yang bimbang, namun ramai juga yang sangsi dengan kesahihan dakwaan tular dan meminta bukti yang sahih.

 


Sumber: Facebook

 

Selain itu apa yang menarik perhatian kami adalah satu komen ditinggalkan oleh seorang pengguna media sosial, Izyan Irdawati, yang tampil menjelaskan mengenai dakwaan tular itu.

 


Sumber: Facebook

 

Bukan Tidak Halal, Tetapi Sijil Tamat Tempoh

Kami kemudiannya menghubungi Izyan Irdawani bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Beliau yang merupakan Eksekutif Halal Syarikat Pembungkusan Minyak Masak Nice Day menjelaskan minyak masak itu adalah halal dan diperoleh daripada pembekal yang sah dan memiliki pensijilan halal.

Menurut beliau isu itu timbul susulan pihak syarikat menarik balik penggunaan logo halal pada pembungkusan ekoran sijil pengesahan halal syarikat telah tamat tempoh dan sedang diperbaharui.

“Ketika isu ini tular, pihak syarikat sedang dalam proses memperbaharui sijil halal. Namun disebabkan beberapa faktor, antaranya dokumen yang tidak lengkap, proses pembaharuan mengambil masa yang agak lama.

“Meletakkan logo halal yang sudah tamat tempoh pada bungkusan produk adalah satu kesalahan, maka atas nasihat pihak berkaitan, kami menarik dahulu logo halal itu sehingga ia diperbaharui,” katanya.

 

Sijil Halal Telah Diperbaharu, Sah Sehingga 15 Mac 2026

Bagaimanapun Izyan Irdawani berkata beberapa hari lepas pihak syarikat telah pun berjaya memperoleh sijil halal baharu yang sah sehingga 15 Mac 2026.

Semakan boleh dilakukan di portal rasmi Direktori Halal Malaysia, dengan mengklik pada kategori produk.

 


Sumber: Portal Direktori Halal Malaysia

 

Selain itu mengenai tulisan non halal yang tertera pada peket minyak masak, beliau berkata bungkusan minyak masak Nice Day tidak pernah mempunyai tulisan seumpama itu dan ia besar kemungkinan ditulis oleh pihak tertentu sebelum menyebarkannya.

Beliau turut menegaskan syarikat itu komited dengan pematuhan pensijilan halal, justeru orang ramai tidak perlu ragu-ragu untuk menggunakan minyak berkenaan.

 

KPDN Sahkan Tiada Tulisan ‘Non Halal’ Pada Paket Minyak Masak

MyCheck turut melakukan carian di enjin Google dan mendapati isu ini dilapor oleh media tempatan antaranya Sinar Harian, Malaysia Gazette dan Kosmo.

Memetik Sinar Harian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor telah melakukan pemeriksaan fizikal di premis syarikat pembungkusan minyak masak Nice Day dan mengesahkan tiada tulisan ‘non halal’ ditemui pada peket minyak masak yang tular.

Pengarahnya, Mohd Zuhairi Mat Radey mengesahkan tindakan pihak syarikat tidak meletakkan logo halal pada bungkusan minyak masak itu disebabkan sijil pengesahan halal syarikat telah tamat tempoh.

Bagaimanapun katanya syarikat pembungkusan itu memperoleh bekalan daripada pengilang minyak masak yang sah dan berlesen.

 


Sumber: Sinar Harian

 

KESIMPULAN

Justeru MyCheck menyimpulkan dakwaan bahawa minyak masak sawit bertapis jenama Nice Day tidak halal adalah TIDAK BENAR.

Kekeliruan timbul ekoran ketiadaan logo halal pada pembungkusan minyak apabila pihak syarikat menarik balik penggunaan logo halal yang sudah tamat tempoh manakala ada individu tidak bertanggungjawab telah menulis perkataan non halal sebelum menyebarkannya.

Semakan terkini di portal rasmi Halal Malaysia mengesahkan syarikat pembungkusan minyak masak jenama Nice Day telah pun memperoleh sijil halal yang baharu.

Pesan kami, jadilah individu yang peka dan sensitif sebelum menyebarkan isu berkaitan halal dan haram.

Jika tidak pasti, semak dahulu di Direktori Halal Malaysia atau hubungi kami di MyCheck Malaysia.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook I Md Yusoff Bin Ahmad 

  2. Facebook I Rosli Perja

  3. Facebook I Sandakankini Sabah

  4. X (Twitter) I apanakdikato

  5. Direktori Halal Malaysia

  6. Sinar Harian I Tiada Tulisan ‘Non Halal’ Minyak Masak Peket - KPDN I 15 Mac 2024

  7. Malaysia Gazette I KPDN Sahkan Tiada Tulisan ‘Non Halal’ Pada Peket Minyak Masak I 15 Mac 2024

  8. Kosmo I Minyak Peket Non Halal Rupanya Sijil Tamat Tempoh I 15 Mac 2024

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.