+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Bengkung Selamat Dipakai Jika Untuk Kesihatan, Bukan Untuk Kurus

Benarkah...

Pemakaian bengkung adalah bahaya kepada kesihatan.

Sumber : WhatsApp / Mac 2024

Hasil

Bengkung adalah selamat jika dipakai untuk tujuan pemulihan masalah kesihatan, namun bahaya sekiranya dipakai dalam tempoh lama untuk tujuan kecantikan.

12/04/2024 12:17 PM

SEKILAS FAKTA

  • MyCheck menerima dakwaan mengenai pemakaian korset atau bengkung berbahaya kepada kesihatan.
     
  • Semakan mendapati pemakaian bengkung untuk tujuan perubatan bagi tempoh tertentu adalah selamat namun ia menjadi bahaya jika dipakai dalam tempoh lama dengan harapan dapat menguruskan badan.
     
  • Menurut pakar, memakai bengkung yang terlalu ketat dalam tempoh jangka panjang untuk tujuan kecantikan boleh menyebabkan pelbagai risiko kesihatan antaranya penyakit refluks gastroesofagus (Gerd), sesak nafas, kekurangan oksigen dalam badan dan tekanan pada jantung.
     
  • Bengkung bukan alat pembakar lemak dan tidak membantu menguruskan badan, hanya alternatif sementara untuk menyorok lemak badan, sekali gus memberi ilusi tubuh badan yang lebih ramping serta kemas.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: WhatsApp MyCheck Malaysia

 

MyCheck menerima dakwaan berserta satu infografik menerusi WhatsApp daripada orang awam mengenai bahaya pemakaian korset atau bengkung, iaitu sejenis pakaian dalam untuk membentuk pinggang dan punggung.

Infografik itu turut menyenaraikan beberapa risiko penggunaan korset yang dikatakan boleh memudaratkan kesihatan pemakainya.

Dakwaan ini pastinya sedikit sebanyak mencetus kebimbangan terutama bagi wanita yang menjadikan pemakaian bengkung sebagai amalan demi mahu mendapatkan bentuk tubuh langsing, selain beranggapan ia dapat mengurangkan berat badan.

Apatah lagi pada musim perayaan Aidilfitri ini, pastinya semua orang ingin tampak bergaya dan tampil cantik mengenakan busana hari raya.

Bahkan bagi sesetengah wanita yang gemar melaram dengan kebaya, bengkung boleh dikatakan pakaian dalam yang ‘wajib’ dipakai bagi memberi ilusi lebih ramping.

Namun sejauh mana kebenaran dakwaan bahawa bengkung adalah berbahaya? MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Bengkung Bukan Hanya Untuk Wanita

MyCheck menatal enjin carian Google bagi mendapatkan sedikit informasi mengenai bengkung.

Bengkung merupakan pakaian yang direka khas untuk membuat perut dan pinggul tampak lebih kecil sekali gus memberi ilusi kurus pada si pemakai, yang mana lazimnya digunakan oleh wanita ketika berpantang untuk tujuan kesihatan.

Namun seiring dengan perubahan masa dan transformasi bengkung itu sendiri, ia kini diinovasikan lagi dengan pelbagai fungsi, material dan kualiti.

Hasilnya, kini semakin ramai golongan lelaki tidak terlepas daripada memakai bengkung, terutamanya bagi mengurangkan penampakan perut buncit, selain melegakan sakit pinggang.

Bahkan, bukan sesuatu yang janggal jika anda melihat promosi yang meluas mengenai bengkung untuk lelaki. Contohnya anda boleh lihat di sini dan di sini.

 


Sumber: mStar

 

Infografik Daripada Public Health Malaysia

Berbalik kepada dakwaan, MyCheck meneliti mesej yang dihantar dan mendapati tertera akronim ‘PHM’ pada infografik yang disertakan bersama.

Menerusi enjin carian Google, akronim ‘PHM’ semata-mata boleh merujuk kepada banyak maksud, justeru kami menggunakan kata kunci ‘PHM korset’ dan menemukan maklumat berkaitan.

Menurut maklumat diperoleh, PHM yang tertera pada infografik adalah Public Health Malaysia yang merupakan platform untuk menyampaikan maklumat dan isu berkaitan kesihatan awam.

Bagi mendapat kepastian, kami beralih ke Facebook dan menggunakan kata kunci ‘Public Health Malaysia korset’. Kami menemukan hantaran berserta infografik yang sama dimuat naik oleh Public Health Malaysia pada 15 Julai 2020.

Infografik bertajuk ‘Lebih ketat, lebih bahaya’ itu mendapat 22,000 like dan dikongsi (share) oleh 38,000 netizen.

 


Sumber: Facebook Public Health Malaysia

 

Carian kami juga mendapati Public Health Malaysia turut mengulang siar hantaran yang sama pada 4 Jan 2023.

Anda boleh lihat perkongsian penuh hantaran itu seperti dalam gambar di bawah dan di sini.

 


Sumber: Facebook Public Health Malaysia

 

Fungsi Sebenar Pemakaian Bengkung

Memandangkan isu ini asalnya bermula di media sosial Facebook, kami meneruskan carian mengenainya di platform sama dan menjumpai perkongsian seorang pengamal perubatan, Dr Yazeed Hair Johari yang menjelaskan mengenai bengkung.

Menurut Dr Yazeed, ramai orang khususnya pengeluar produk telah menyalahgunakan tujuan pemakaian bengkung.

Terdapat dua jenis bengkung yang biasa digunakan iaitu bengkung abdomen, yang membaluti bahagian perut, selain bengkung penuh iaitu di paras dada hingga pinggul.

Menurutnya, tidak kira apa jua jenis bengkung, kedua-duanya berisiko terutamanya jenis bengkung penuh.

Jelas beliau, bengkung selalunya digunakan dalam beberapa keadaan tertentu sahaja iaitu: 

 

i) Selepas bersalin (post delivery)

Dr Yazeed menjelaskan tujuan memakai bengkung bagi wanita yang baharu melahirkan anak adalah untuk memberi tekanan pada rahim yang sedang dalam proses pengecutan.

Namun dalam keadaan ini bengkung digunakan hanya pada had masa yang tertentu sahaja. Bengkung tidak perlu lagi dipakai apabila rahim telah sepenuhnya mengecut serta tiada lagi pendarahan.

 

ii) Pesakit tulang belakang (immobilisation of back)

Jelas beliau, pemakaian bengkung penting terutama sekali bagi mereka yang mengalami masalah atau berlaku kecederaan pada tulang belakang. Bengkung berfungsi untuk mengelakkan friction atau geseran tulang belakang.

 

Situasi Yang Memerlukan Pemakaian Bengkung

MyCheck kemudian membuat carian lanjut di enjin Google dan menemukan pula laporan Harian Metro bertajuk ‘Mitos kurus dek bengkung’ bertarikh 17 Sept 2019.

Memetik laporan itu, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Patricia Lim Su-Lyn berkata bengkung berfungsi sebagai alat untuk menyokong masalah tulang belakang dan membantu pemulihan tubuh selepas bersalin atau menjalani pembedahan besar.

Menurut Dr Patricia, terdapat tiga situasi penting yang benar-benar memerlukan seseorang itu memakai beng­kung iaitu:

 

i)  Skoliosis

Masalah skoliosis merujuk kepada pesakit tulang belakang bengkok dan golongan ini perlu menggunakan bengkung untuk mendapatkan sokongan tubuh serta mengurangkan kesakitan yang dihadapi.

Bagi wanita yang menghadapi masalah ini, mereka dinasihatkan memakai bengkung sebelum, ketika dan selepas fasa hamil.

 

ii) Diastasis recti

Masalah pasca kehamilan dan selepas melahirkan ini memang jarang dibicarakan. Ia terjadi apabila otot perut ibu hamil terpisah akibat kehamilan yang semakin membesar.

Bagi sesetengah wanita, risiko ini terjadi ketika trimester ketiga apabila otot perut yang berfungsi menyokong janin di bahagian tengah akan terbuka dan membentuk ruang di tengah permukaan perut.

Oleh itu selepas bersalin, wanita yang mengalami masalah ini digalakkan memakai bengkung khas supaya dapat memberi sokongan pada otot bahagian depan perut.

 

iii) Selepas pembedahan abdomen

Jelas Dr Patricia lagi, wanita yang bersalin secara pembedahan atau individu obes yang dibedah di bahagian perut adalah digalakkan memakai bengkung jenis abdominal binder. Sesetengah orang memanggilnya girdle.

Selain memberi sokongan pada otot depan (otot rektus), ia bertujuan mengelakkan risiko hernia atau angin pasang selepas pembedahan. Ini kerana ketika pembedahan, kulit perut akan dibelah dan otot rektus menjadi longgar atau lemah seterusnya menyebabkan risiko hernia.

 

Kurus Kerana Bengkung Adalah Mitos

Selain itu menurut seorang doktor selebriti, Dr Muhammad Shazril Shaharuddin yang lebih dikenali sebagai Dr Say, bengkung tidak membuatkan berat badan seseorang berkurang sebaliknya hanyalah menyorok lebihan lemak pada badan.

Sebagai contoh, jika seseorang ingin memakai busana kebaya ke majlis-majlis tertentu, maka memakai bengkung dapat menampakkan susuk tubuh si pemakai lebih kemas.

Bagaimanapun katanya jika seseorang itu inginkan bentuk badan langsing dan pinggang yang ramping, bengkung tidak dapat membantu meskipun memakainya selama 24 jam.

Beliau menegaskan tiada jalan pintas untuk menurunkan berat badan selain mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat serta bersenam secara berkala.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Sunway Medical Centre Velocity, Dr Nor Elyana Noordin pula berkata tiada kajian yang membuktikan bahawa pemakaian bengkung mampu menguruskan badan.

“Pemakaiannya hanya menampakkan susuk tubuh seseorang itu kelihatan cantik dan langsing. Jika inginkan tubuh yang kurus, amalkan pemakanan yang sihat," jelasnya.

 

Bengkung Bukan Alat Pembakar Lemak

MyCheck turut menjumpai penjelasan dua individu yang arif dalam bidang kecergasan dan kesihatan.

Menurut selebriti kesihatan dan kecergasan Kevin Zahri, korset atau bengkung bukanlah alat pembakar lemak di dalam badan.

Jelasnya, pemakaian bengkung hanya sebagai alternatif menyorok gumpalan lemak di badan untuk ilusi bentuk tubuh yang lebih menawan.

Pelatih kecergasan, Arif Sukri pula berkata memakai bengkung semasa bersenam juga tidak membantu untuk membakar lemak dengan lebih efisien.

Menurut beliau, lemak pada badan manusia akan mengecil apabila seseorang individu itu melakukan senaman, bukannya kerana memakai bengkung yang ketat.

Justeru beliau menasihati orang ramai untuk memakai pakaian yang longgar ketika bersenam kerana ia lebih selesa.

 

Kesan Jangka Panjang Pemakaian Bengkung

Semakan kami mendapati rata-rata maklumat yang diperoleh mengulas berkenaan kesan jangka panjang pemakaian bengkung.

Berbalik kepada hantaran Dr Yazeed di Facebook, terdapat pelbagai masalah kesihatan yang akan timbul kesan pemakaian bengkung yang ketat terlalu lama atau bagi tempoh jangka panjang antaranya seperti berikut:

 

    1. Gerd (penyakit refluks gastroesofagus)

Bengkung akan membuatkan organ perut dan paru-paru tertolak ke atas disebabkan tekanan yang tinggi. Ini mengakibatkan injap penutup perut terbuka ekoran paksaan seterusnya jus asid perut mula melimpah semula ke esofagus (salur makanan), sekali gus menyebabkan Gerd.

 

    2. Dyspnoea (kesukaran bernafas)

Apabila memakai bengkung ketat, paru-paru juga akan tertolak ke bahagian atas dan menjadikan ruang diafragma menjadi semakin sempit. Apabila ini terjadi, paru-paru tidak dapat berkembang dengan lebih baik dan menyebabkan kesukaran bernafas.

 

    3. Brain hypoxia (kekurangan oksigen dalam badan sehingga menjejaskan otak)

Akibat daripada gangguan fungsi paru-paru, kemasukan oksigen dalam badan juga berkurangan dan apabila oksigen ke otak dalam jumlah minimum, seseorang itu menjadi cepat letih dan mengantuk seterusnya mengganggu produktiviti seharian.

 

    4. Cardiac pressure (tekanan pada jantung)

Apabila paru paru tertolak ke atas, ia akan menghimpit jantung dan mengganggu fungsi jantung untuk mengepam darah ke seluruh badan. Keadaan ini juga boleh menyebabkan penggumpalan darah. Maka terjadilah darah beku disebabkan pengaliran darah yang tidak lancar.

 

Lebih Banyak Kesan Buruk Berbanding Kebaikan

Menurut laporan portal kesihatan luar negara UCI Health, pemakaian bengkung memberi lebih banyak kesan buruk.

Pengarah Perubatan UC Irvine Health Tustin, Dr Roxann Engle menjelaskan bengkung hanya memberikan ilusi pembentukan sementara.

Ia membentuk otot pinggang untuk tempoh singkat semasa seseorang sedang memakai bengkung tersebut sahaja.

“Tetapi lama-kelamaan apabila anda penat memakai ‘kekangan’ (bengkung) itu, tubuh anda akan cepat kembali kepada bentuk asal.

“Penggunaan bengkung hanyalah bersifat pembentukan sementara, anda pada asasnya telah mencipta atrofi otot (kehilangan tisu otot) apabila anda menekan pada bahagian pinggang,” katanya.

Jelas Engle lagi bengkung tidak membahayakan jika dipakai untuk tempoh seketika.

“Jika anda memakai bengkung pinggang untuk tempoh yang panjang, bergantung pada berapa ketat bengkung itu, anda pasti akan mengundang masalah kesihatan, bukan sahaja mengurangkan kekuatan otot dan teras badan malah boleh memberi kesan kepada organ dalaman.

“Pemakaian korset sedikit demi sedikit akan melemahkan otot belakang yang membawa kepada sakit belakang, postur badan yang buruk dan melemahkan fizikal. Mengetatkan pinggang juga menjejaskan kemampuan paru-paru dan menolak usus ke bawah. Jelas sekali, lebih banyak kesan negatif berbanding kebaikan,” kata Engle.

 


Sumber: Google

 

KESIMPULAN

Berdasarkan semakan yang telah dibuat, dakwaan pemakaian bengkung mengundang risiko terhadap kesihatan diklasifikasi sebagai BERCAMPUR.

Ini kerana bengkung adalah selamat dipakai jika untuk tujuan kesihatan.

Pemakaian bengkung dalam tempoh tertentu dengan nasihat dan pemantauan mereka yang arif, memberi manfaat untuk memulihkan beberapa masalah kesihatan namun mendatangkan bahaya jika dipakai dalam tempoh yang lama untuk kecantikan semata-mata.

Fungsi sebenar pemakaian bengkung juga dijelaskan bukan untuk menguruskan badan, jauh sekali mampu memecahkan lemak di badan anda.

Pesan kami di MyCheck, jangan mudah terpedaya dengan produk over claim atau trend pemakaian bengkung untuk mendapatkan pinggang ala hourglass!

Benar kata pepatah Inggeris, beauty is pain, namun jika terlantar sakit, kecantikan itu tidak berguna lagi.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. mStar I Usahawan Ini Reka Bengkung Khas Buat Lelaki… Raya Nanti Boleh Sorok Perut Buncit! I 19 April 2022

  2. Kosmo I Pelajar Fesyen Hasilkan Bengkung V Untuk Lelaki I 12 Julai 2021

  3. Mingguan Wanita I Doktor Dedah Bengkung Perosak Organ Dalaman, Bahaya Pakai Setiap Hari! I 21 Mei 2019 

  4. Pesona Pengantin I Dr Ini Nasihat, Jangan Pakai Bengkung Kalau Nak Organ Anda Sihat I 12 Jun 2020  

  5. Vanilla Kismis I 7 Sebab Kita Tak Boleh Pakai Bengkung Hari-hari, Walaupun Mampu Sorok Lemak I 13 Jun 2019 

  6. Hijabista I Lebih Ketat, Lebih Bahaya, Ini Kesan Jangka Panjang Bila Pakai Korset I 16 Julai 2020 

  7. Majalah PaMa I Pakai Bengkung Bukan Hanya Nak Ramping. 14 Faedah Penggunaannya, Wanita Kena Ambil Tahu I 23 Jan 2018 

  8. Gempak I Pakai Bengkung Boleh Kurus? Ini Penjelasan Dr Say Shazril |  23 Ogos 2020 

  9. Harian Metro I Mitos Kurus Dek Bengkung I 17 Sept 2019

  10. Sinar Plus I Ramai Tak Sedar Kesan Buruk Guna Bengkung Secara Harian Dan Berterusan I  1 Ogos 2020 

  11. UCI Health I Does Waist Training Give You A Lasting Hourglass Body? |  October 2015

  12. Healthline I Are Waist Trainers Dangerous? Risks, Side Effects, and Alternatives I 24 Aug 2020 

  13. Medical News Today I Do waist trainers work?: Benefits and risks 

  14. Theasianparent.com I Risiko Pemakaian Korset Dan Tightlacing 

  15. JAMA International Medicine I Meralgia Paresthetica Due To Pressure Of The Corset 

 

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.