Lelaki botak lebih berisiko dijangkiti Covid-19
Sumber : Sumber: Facebook /September 2020
Kajian masih di peringkat awal, dakwaan belum terbukti
SEKILAS FAKTA
*Gambar hiasan: Kredit Pixabay
LATAR BELAKANG
Golongan berisiko dijangkiti Covid-19
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), golongan yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 ialah warga emas berusia 65 tahun ke atas, individu dengan penyakit kronik atau daya ketahanan badan yang rendah.
Selain itu kanak-kanak dan wanita hamil juga antara yang berisiko dijangkiti wabak tersebut. Oleh itu orang ramai yang dalam kelompok berkenaan dinasihat agar mengamalkan setiap langkah pencegahan seperti yang disarankan KKM.
Portal Harian Metro juga ada melaporkan bahawa Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu terdapat dua kumpulan umur paling tinggi dijangkiti Covid-19. Ia berdasarkan rekod statistik KKM yang menunjukkan kumpulan umur 20 hingga 24 tahun dan 56 hingga 59 tahun paling tinggi dikesan positif Covid-19 berbanding kumpulan umur lain.
Justeru, apabila dakwaan bahawa lelaki botak lebih berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak tersebut tular, orang ramai mulai keliru dan tertanya-tanya sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut.
MENGENAI DAKWAAN INI
Tangkap layar satu portal tempatan.
Dakwaan ini pasti menimbulkan kerisauan banyak pihak khususnya bagi mereka yang tergolong dalam kategori dimaksudkan.
Biarpun ada antara mereka yang sukar mempercayai dakwaan ini, tetap ada yang mula berasa ‘tidak selamat’. Lebih-lebih lagi apabila menyedari bahawa virus Covid-19 telah menjangkiti lebih 50 juta orang dengan bilangan kematian melebihi satu juta di seluruh dunia.
Berdasarkan pemerhatian dan pencarian di laman sosial, dakwaan ini tular sejak Jun 2020. Di Malaysia, ia berlegar di laman sosial seperti kumpulan Facebook ‘Info Berita Semasa Dalam dan Luar Negara’ yang mempunyai hampir 750,000 ahli.
Persoalannya, sejauh manakah dakwaan ini benar? Apakah sudah ada kajian terperinci mengenainya dilakukan? Mengapa perkara ini tidak dibincangkan oleh mana-mana pakar tempatan? Mungkinkah ia hanya sekadar kes terpencil?
PENEMUAN KAMI
Laporan berita mengenai lelaki botak lebih berisiko dijangkiti Covid-19
Bagi merungkai dakwaan ini, kami mulakan dengan carian di Google dan mendapati ada banyak artikel yang memaparkan isu berkenaan lelaki botak mudah dijangkiti Covid-19.
Apabila diteliti, kami mendapati laporan-laporan ini mempunyai 'jalan cerita' yang hampir serupa.
Di Malaysia antara media yang melaporkan perkara ini adalah Mstar dan BebasNews yang memetik sumber daripada Metro News dan The Telegraph yang berpusat di United Kingdom menyatakan berdasarkan kajian yang dijalankan di Sepanyol, lelaki botak berisiko tinggi dijangkiti serta mengalami gejala Covid-19.
Tangkap layar laman sesawang Metronews
Kaitan lelaki botak dan Covid-19
Artikel di Metro News ditulis berdasarkan hasil kajian Dr. Carlos Gustavo Wambier dari Universiti Brown, Amerika Syarikat.
Dua kajian telah dijalankan Wambier dan hasilnya beliau mendapati virus Covid-19 memasuki tubuh individu lelaki melalui tindak balas badan yang berkaitan dengan hormon androgen, menurut akhbar The Telegraph.
Hormon andorgen boleh didapati dalam tubuh lelaki dan wanita, namun ia lebih memainkan peranan penting dalam sistem reproduktif lelaki.
Dalam kajian kedua Wembier yang diterbitkan dalam 'Journal of the American Academy of Dermatology' pula mendapati 79 peratus daripada sekumpulan 122 pesakit di beberapa hospital di Madrid, Sepanyol terdiri daripada lelaki botak.
Wambier percaya bahawa tindak balas androgen iaitu hormon seks lelaki yang menyumbang kepada keguguran rambut serta mendorong keupayaan virus Covid-19 menyerang sel-sel dalam tubuh.
Beliau turut menyatakan secara teori ubat-ubatan yang digunakan untuk mengawal aktiviti berkaitan hormon androgen mungkin dikaji untuk melihat sejauh mana ia boleh digunakan ke atas pesakit.
Berhati-hati dalam memetik hasil kajian saintifik
Bagaimanapun, kita harus berhati-hati dalam mempercayai atau memetik sesuatu hasil kajian kerana setiap laporan adalah unik dan boleh jadi hanya terpakai pada sesuatu keadaan sahaja.
Pembaca perlu melihat sama ada kajian itu terbukti daripada sudut keberkesanan dan sama ada bukti dapatan kajian itu betul-betul mencukupi serta kukuh.
Saiz sampel kedua-dua kajian Wambier tidak melibatkan jumlah dan sebaran populasi yang besar. Kajian pertama beliau hanya melibatkan 41 responden lelaki manakala kajian kedua pula hanya melibatkan 175 responden (122 lelaki, 53 wanita) di tiga hospital di Madrid, Sepanyol.
Dalam kajian keduanya Wambier cuba memberi bukti lebih kukuh tentang kaitan antara jangkitan Covid-19 terhadap lelaki botak yang beliau gelarkan sebagai ‘Gabrin sign’.
Gelaran ini adalah sempena nama Dr. Frank Gabrin, seorang pakar perubatan Amerika yang meninggal dunia akibat Covid-19. Beliau adalah seorang lelaki botak.
Namun dalam kajian sama Wembier turut menyatakan bahawa lebih kajian diperlukan untuk membuktikan sekiranya benar Covid-19 lebih mudah menjangkiti golongan lelaki khususnya yang botak.
Memetik laporan kajian beliau menyatakan “The hypothesis of androgen-mediated COVID-19 severity requires validation in larger studies.”
Kesimpulannya, meskipun ada kajian yang mencadangkan kaitan rapat antara jangkitan Covid-19 dengan lelaki botak, kajian lebih mendalam perlu dilakukan untuk membuktikan kesahihannya.
Sebagai warga masyarakat, kita perlu sentiasa mengamalkan langkah berjaga-jaga sebagai usaha memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.
--MYCHECKMY--
RUJUKAN
Portal Kementerian Kesihatan (KKM). Golongan Berisiko Dijangkiti Covid-19
Diterbitkan pada: Mac 2020
Harian Metro. Dua kumpulan umur paling tinggi dijangkiti Covid-19
Diterbitkan pada:16 April 2020
Metro News. United Kingdom. Bald men are at greater risk of serious coronavirus symptoms.
Diterbitkan pada: 5 Jun 2020
The Telegraph Bald men at higher risk of severe case of Covid-19
Diterbitkan pada: 4 Jun 2020
Journal of the American Academy of Dermatology Androgenetic alopecia present in the majority of patients hospitalized with COVID-19: The “Gabrin sign”
Diterbitkan pada: 1 Ogos 2020
BestLife A.S. This surprising trait perfectly predicts your coronavirus risk.
Diterbitkan pada: 6 Mei 2020
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.