Jarum picagari berlainan warna kerana mengikut saiz dan fungsi yang sesuai.

03/06/2021 10:51 AM

Benarkah...

Picagari berbeza digunakan untuk menyedut dan menyuntik vaksin kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sumber : Facebook / Februari 2021

Hasil

Picagari digunakan adalah yang sama hanya jarum suntikan sahaja yang ditukar sebagai prosedur bagi mengelak pencemaran silang, jarum tumpul dan kesakitan.

Penyelidik : Erwan Othman

SEKILAS FAKTA

  • Picagari yang digunakan semasa proses suntikan vaksin Covid-19 Perdana Menteri tidak ditukar kecuali jarumnya sahaja.
  • Penggunaan dua jenis jarum adalah mengikut prosedur standard klinikal.
  • Penukaran jarum yang lebih kecil ketika menyuntik vaksin terhadap individu bertujuan untuk meminimumkan rasa sakit.



 

LATAR BELAKANG

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di Malaysia menerima vaksin Covid-19 di Malaysia menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula secara rasmi pada 24 Februari 2021.

Majlis vaksinasi Covid-19 buat julung kali itu disiarkan secara langsung menerusi televisyen serta pelbagai platform media sosial bagi membolehkan rakyat melihat sendiri bagaimana proses pemberian vaksin Covid-19 kepada individu. 

Selain Muhyiddin, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan beberapa pegawai kementerian juga menerima vaksinasi Pfizer-BioNTech yang terdapat dalam dua dos iaitu suntikan kedua diberikan selang 21 hari selepas dos pertama.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tidak sampai sehari selepas Muhyiddin menerima vaksin Covid-19 yang pertama itu, terdapat 

Timbul dakwaan di media sosial berhubung warna jarum picagari yang digunakan semasa menyedut vaksin dengan yang disuntik kepada perdana menteri.

Selain itu dakwaan tersebut juga mempersoalkan adakah proses vaksinasi Covid-19 itu memerlukan dua picagari yang berbeza?. 

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apa yang yang berlaku?

Dalam kes suntikan vaksin kepada Perdana Menteri, ada pihak yang keliru tentang mengapa picagari yang digunakan untuk tarik ubat vaksin berbeza dengan picagari yang digunakan untuk suntik lengan Perdana Menteri.

Ada yang percaya ini bagaikan isu muslihat ataupun konspirasi, seolah-olah picagari yang digunakan ditukar oleh jururawat secara sengaja. Malah ada pula yang terkeliru dengan warna jarum sehingga mereka menyangka warna biru dan warna amber itu adalah warna vaksin itu sendiri, bukannya jarum. 

Carian kami mendapati dakwaan berkenaan telah ditimbulkan oleh Suara Rakyat, sebuah page di Facebook bertarikh 24 Februari 2021, iaitu hari yang sama Perdana Menteri menerima vaksin Covid-19.

 


Sumber: Facebook Suara Rakyat

 

Laman Facebook Suara Rakyat yang berunsurkan politik dan kemasyarakatan itu mempersoal serta membuat perbandingan picagari yang digunakan untuk mengambil cecair dari botol vaksin Pfizer-Biontech mempunyai hab biru sedangkan picagari yang digunakan untuk menyuntik perdana menteri mempunyai hab berwarna kuning jingga (amber).

 

Kenapa perlu dua jarum?

 

Begini sebenarnya...

Dalam prosedur suntikan ubatan, sama ada vaksin, insulin, hatta ubat apa-apa sekalipun, antara prinsip yang wajib dipraktikkan untuk pastikan suntikan yang berkesan adalah menggunakan jarum yang bersesuaian dengan fungsinya.

Dalam kes suntikan vaksin kepada Perdana Menteri,hab jarum berwarna biru yang lebih besar iaitu bersaiz 22 gauge digunakan adalah kerana ia lebih cepat dan mudah prosesnya menarik ubat dari vial untuk masuk ke dalam picagari. 

Selepas ubat dah masuk dalam picagari, kemudian jururawat atau doktor akan tukarkan hab jarum sahaja kepada saiz yang lebih sesuai dengan tempat suntikan dan saiz badan individu.

Dalam hal ini, hab jarum berwarna jingga (orange) (saiz lebih kecil, 23 gauge) digunakan untuk suntikan Perdana Menteri. Jururawat itu tidak menggunakan hab jarum berwarna amber (saiz lebih besar) untuk menyuntik ke lengan Muhyiddin seperti yang didakwa Suara Rakyat.

Jadi di sini, hanya hab jarum sahaja ditukar tetapi picagari tidak akan ditukar ya.

Anda boleh lihat infografik Bernama yang memetik sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di bawah:

 


Sumber: Bernama

 

Secara ringkas dapatlah difahami bahawa, semakin kecil nombor ‘gauge’, semakin besar saiz jarum tersebut. Semakin besar jarum tersebut, semakin tinggilah kadar pengaliran cecair di dalamnya kerana saiz lohong nya yang besar.

Seorang doktor perubatan Dr Yazeed Hairi dalam catatannya yang dipetik dari www.dryazeedhairi.com memberitahu memang menjadi kebiasaan jururawat menyedut apa-apa solusi yang pekat seperti antibiotik dan vaksin menggunakan jarum biru kerana corongnya lebih besar dan mudah disedut dengan sekali tarik picagari.

 

“Kenapa perlu dua jarum?"

Seperti kita tahu , Dalam botol vial vaksin adalah cecair pekat .

Jadi agak tak logik nak guna jarum kecil untuk sedut.

Jadi memang menjadi kebiasaan kita sedut apa apa solution yang pekat seperti antibiotik dan vaksin ni menggunakan jarum biru .

Kerana corong nya lebih besar , Mudah disedut dengan sekali tarikan picagari.

 Jadi , Apa berlaku selepas jarum biru dicucuk masuk kedalam botol ?

Of course lah mata jarum tu akan mula tumpul .

Lepas tu , Kau bajet aku nak cucuk kau pakai jarum tumpul yang sama ?

Mesti lah sakit. Cuba kau rodok kulit dengan benda yang tumpul , Dah la susah tembus , Sakit berganda lagi ada

So sebab tu sister tadi tukar kepada jarum oren .

Jarum oren bersaiz 19g lebih kecil .

Mata jarum pun masih baru dan tajam

Jadi senanglah nak cucuk ! dan permukaan jarum yang kecil , Kurang lah sakit

Sebab tu ada dua jenis jarum”

Sumber: Dr Yazeed Hairi


 

 

Kenapa kena tukar jarum?

Beberapa pakar perubatan menjelaskan tentang keperluan menukar jarum. Antara sebab yang dikongsi adalah seperti di bawah:

 

i. Mengekalkan kebersihan jarum.

Dek kerana tularnya dakwaan tersebut, beberapa kakitangan perubatan tampil menjawab persoalan dan kekeliruan tersebut. Pegawai Perubatan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, Pahang, Dr Fahkrul Radzi memberitahu ia adalah prosedur biasa di mana jarum yang digunakan untuk menyedut vaksin ke dalam picagari akan dibuang.

Tampil di laman Twitter, beliau memberitahu kebiasaannya petugas akan mengambil jarum yang baharu untuk mengekalkan steriliti atau kebersihan sebelum dicucuk ke lengan penerima vaksin.

Dalam erti kata lain, jarum pertama yang digunakan untuk cucuk vial (mulut botol) vaksin yang sudah tercemar boleh mengakibatkan kontaminasi silang atau cross infection. Silap hari bulan, jangkitan yang teruk boleh mengakibatkan pembentukan luka dan nanah di kulit dan lapisan bawah kulit.

 


Sumber Twitter Fakhrul Radzi

 

ii. Saiz dan lubang jarum berbeza mengikut warna.

 

Setiap jarum mempunyai saiz berbeza mengikut kod warna. Saiz ini menentukan keluasaan lubang jarum yang perlu dilalui oleh ubatan. Semakin besar jarum, semakin kuat ia mempengaruhi tahap kesakitan pesakit apabila disuntik.

Di dalam bebenang Twitter Dr Fakhrul Radzi turut menjelaskan dalam hal ini, jarum hab biru yang mempunyai lubang besar, digunakan untuk menyedut cecair vaksin dari botol.

Setelah selesai, jarum biru ditukar kepada jarum berwarna merah atau jingga yang mempunyai saiz lebih kecil/ nipis yang bertujuan mengurangkan kesakitan yang dialami Perdana Menteri ketika disuntik ke kulitnya.

 


Sumber: Majalah Sains

 

Bagi Pegawai Perubatan Klinik Ajwa Shah Alam, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman dipetik dari Facebook rasminya pula menjelaskan situasi ini adalah normal dan biasa dilihat oleh ibu bapa yang menemani bayi kecil mereka ketika menerima suntikan vaksin di klinik-klinik.

 


Sumber: Facebook Dr. Arisman, MD.

 

Senang kata, jarum yang lebih kecil adalah pilihan yang optimum untuk meminimumkan rasa kesakitan yang berpanjangan. 

 

iii. Elak jarum jadi tumpul.

 

Kenapa perlunya tukar jarum pertama? Bukankah itu merugikan? Menurut perspektif jururawat yang dipetik dari Facebook Anwari Hamzah yang bekerja dalam profesyen itu memberitahu setelah jarum pertama yang digunakan untuk mencucuk bahagian getah vial ubat berkenaan, ketajamannya akan berkurang dan disebabkan jarum yang tumpul mempunyai risiko untuk menjadikan pesakit lebih sakit.

 


Sumber: Majalah Sains

 

Bayangkan jika jarum yang tumpul digunakan untuk suntik pesakit, sudah pasti tempat yang disuntik itu sakit dan lebam beberapa hari.

Jadi penggunaan jarum yang betul-betul tajam dan baru kali pertama digunakan merupakan pilihan yang tidak berisiko tinggi.

Jelas kan penerangan di atas? Harap anda semua lakukan semak fakta sebelum kongsikan kepada umum.

-- MYCHECKMY

 

RUJUKAN

Bernama. “Mengapa guna picagari low-dead volume untuk suntik vaksin Covid-19?” 20 Februari 2021.

Harian Metro. “Dua jarum fungsi berbeza: KKM” Diterbitkan pada 25 Februari 2021.

Sinar Harian. “Muhyiddin individu pertama terima vaksin Covid-19 di Malaysia” Diterbitkan pada 24 Februari 2021.

Mstar. “Keliru jarum vaksin ditukar, ini penjelasan sebenar mengenainya!” Diterbitkan pada 26 Februari 2021.

Majalah Sains. “Penukaran Warna Jarum Semasa Pemberian Vaksin” Diterbitkan pada 28 Februari 2021.

Facebook Dr. Arisman, MD.

Twitter Fahkrul Radzi.

© 2020 MyCheck. Hak Cipta Terpelihara.