TULAR KEMBALI! Malaysiakini TIDAK Siar Artikel Nasihat Rakyat Hindar Restoran Mamak Untuk Cegah Covid-19

03/09/2021 07:25 PM

Benarkah...

Penduduk Kuala Lumpur dinasihat agar mengelakkan diri ke kedai Mamak buat sementara waktu akibat Covid-19.

Sumber : Whatsapp /Ogos 2020, Ogos 2021

Hasil

Artikel sahih ‘dipasangkan’ dengan tuduhan tidak benar menimbulkan kekeliruan.

Penyelidik : Suziy C. Mat

SEKILAS FAKTA 

  • Dakwaan ini timbul kembali selepas pernah tular pada tahun lalu, mungkin ‘sempena’ keizinan ‘dine-in’ di restoran bagi penerima vaksin lengkap dua dos.
  • Tiada strain virus penyebar 'super speader' yang berkaitan dengan kluster Maju di Kuala Lumpur.
  • Artikel sebenar hanya melaporkan perkembangan kes harian yang berlaku ketika itu.

 


Sumber: Whatsapp

 

LATAR BELAKANG 

[JULAI 2020] Virus Covid-19 super spreader di Malaysia 

Menurut laporan portal berita Berita Harian, satu kajian oleh makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati mutasi D614G dikesan dari ujian pengasingan dan kultur tisu virus Covid-19 pada sampel kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga di Kedah dan Ulu Tiram, Johor.

Mutasi ini turut dipercayai mampu menyebarkan dan menjangkiti orang lain dengan cepat. Sehubungan perkembangan itu, Ketua Pengarah Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menggesa orang ramai agar lebih berwaspada terhadap virus Covid-19 dengan mutasi D614G yang terbukti telah dikesan di Malaysia.

Menurut laporan berita tersebut Covid-19 daripada mutasi kategori 'super spreader' didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain serta lebih mudah tersebar. 

Mutasi D614G dikesan pada bulan Julai 2020, keadaan ini menyebabkan kemungkinan kajian vaksin yang ada atau sedang dijalankan sebelum itu tidak lengkap dan tidak berkesan terhadap mutasi jenis 'super spreader' ini.

Oleh itu, kaedah pencegahan dan kawalan kesihatan awam masih menjadi inisiatif utama yang penting untuk diamalkan oleh semua pihak di negara ini.

 


Sumber: Berita Harian

 


Sumber: Infografik Bernama

 

Kluster mana yang berkaitan dengan mutasi 'super spreader'?

Menurut portal berita The Star,  kluster Sivagangga mungkin mempunyai kaitan dengan strain virus penyebar super kerana kluster ini merebak dengan lebih cepat jika dibandingkan dengan sembilan kluster lain dari negeri lain.

Namun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu melakukan ujian makmal secara  lebih lanjut bagi melihat urutan genom virus tersebut. Oleh itu, situasi ini menjelaskan bahawa tiada strain virus 'super spreader' yang berkaitan dengan Kluster Maju di Kuala Lumpur.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck Malaysia telah menerima tangkap layar menerusi hantaran di laman Facebook bertajuk 'CODE MERAH, PERINGATAN KEPADA SELURUH MALAYSIA' pada Ogos, 2020.  

Hantaran itu meminta orang ramai untuk menjauhi restoran Mamak dan kedai India disebabkan kes positif Covid-19 yang disahkan dikesan di salah sebuah restoran Mamak di Kuala Lumpur pada bulan 16 Ogos 2020.

Pada waktu itu, perkara ini menjadi tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp. Menerusi Google Trends juga, kami  mendapati topik yang berkaitan dengan isu tersebut merupakan carian tertinggi oleh rakyat Malaysia di  internet.

 


Tangkap layar Google Trends

 

APA YANG KAMI TEMUI 

Perkara pertama yang kami lakukan untuk mencari lebih banyak maklumat mengenai dakwaan tersebut ialah dengan menganalisis tangkap layar yang kami perolehi termasuk setiap keterangan yang tertera pada imej tersebut.

Imej tangkap layar itu dihantar di laman Facebook beserta dakwaan meminta rakyat Malaysia agar menjauhkan diri dari kedai Mamak dan semua restoran India yang mengambil pekerja dari India. Turut dinyatakan bahawa terdapat kluster Covid-19 di Kuala Lumpur dengan nama virus ‘Genom G64 Covid-19’ dari India dan Mesir yang diklasifikasi sebagai virus super spreader. 

Catatan itu mengatakan bahawa 'tidak ada vaksin atau rawatan yang sesuai untuk virus tersebut sekurang-kurangnya sehingga 2023'. Melihat kepada pautan berita Malaysiakini yang disertakan bersama hantaran itu, kami kemudiannya ke pautan berkenaan. Setelah membaca kandungan tersebut, kami mendapati apa yang dilaporkan oleh portal Malaysiakini itu sama sekali tidak berkaitan dengan dakwaan yang tular itu.

 


'Misleading' daripada maksud artikel sebenar berbanding mesej disebar di WhatsApp

 

Pada 28, Ogos 2020, portal Malaysiakini  turut mengeluarkan kenyataan dalam bentuk nota editor pada permulaan artikel menjelaskan bahawa artikel mereka digunakan oleh pihak lain sebagai sebahagian daripada mesej Whatsapp palsu dan tidak mewakili berita asal yang dilaporkan.

“This article is dated Aug 21, 2020. It is now being used as part of a fake Whatsapp message that does not represent the news originally reported by Malaysiakini.”

- Editor’s Note, Malaysiakini

 

Satu artikel khusus turut disiarkan portal itu bagi menjernihkan keadaan. 

Kami juga tidak dapat menemui sebarang laporan berita dengan maksud seperti dakwaan tersebut  atau berita tentang arahan yang meminta orang Malaysia untuk mengelakkan dari ke restoran Mamak yang dikeluarkan oleh pihak KKM.

Akhirnya kami cuba mendapatkan kenyataan rasmi KKM mengenai dakwaan berkenaan dan maklumat yang kami dapati ialah KKM melalui laman media sosial rasminya pada 26 Ogos 2020, menjelaskan bahawa dakwaan yang menjadi viral itu adalah palsu.

Sehubungan itu KKM menggesa orang ramai untuk berhenti berkongsi dan menyebarkan maklumat tidak benar tersebut.

 


Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

 

--MYCHECKMY--

 

RUJUKAN 

Berita Harian. COVID-19: Mutasi D614G dikesan dalam Kluster PUI Sivagangga, Ulu Tiram. Diterbitkan pada: 16 Ogos  2020. 

Malaysiakini. KL restaurant customer part of new cluster, nine cases reported today. Diterbitkan pada: 21 Ogos 2020.

Ministry of Health official Facebook. Diterbitkan pada: 26 Ogos 2020.

Fake WhatsApp message using Malaysiakini article doing the rounds

© 2020 MyCheck. Hak Cipta Terpelihara.