Minum kopi setiap hari berkesan mengurangkan risiko jangkitan virus Covid-19
Sumber : Facebook /September 2021
Tiada kajian saintifik bahawa kandungan beberapa bahan kimia dalam biji kopi berkesan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Beberapa pihak mendakwa kopi mujarab untuk mengekang jangkitan virus Covid-19.
Dakwaan itu bagaimanapun tidak dapat dibuktikan secara saintifik dan sehingga kini pakar perubatan masih mencari formula terbaik dalam menangani virus itu.
Peniaga-peniaga kopi turut mengambil kesempatan melariskan produk kopi masing-masing dengan menjualnya kepada mereka yang percaya pada dakwaan itu.
DAKWAAN
Dakwaan itu ditularkan antaranya menerusi Facebook Anwar Maulana, stesen televisyen Arirang News dari Korea Selatan dan Khon2 News dari Amerika Syarikat, yang masing-masing merupakan pengeluar berita serta penerbitan jurnal.
Selain itu, akhbar KOSMO turut mengeluarkan laporan daripada portal berita MailOnline UK mengenai satu kajian dijalankan di United Kingdom yang mendapati individu yang minum secawan kopi setiap hari mampu mengurangkan risiko dijangkiti virus Covid-19 sebanyak satu persepuluh.
Memetik laporan MailOnline UK itu, berdasarkan data terkumpul seramai 40,000 penduduk dewasa Britain, saintis-saintis berpendapat minuman tersebut mampu melindungi diri daripada virus Covid-19.
Saintis di negara berkenaan dikatakan percaya bahawa biji kopi mengandungi beberapa bahan kimia yang dapat meningkatkan kesihatan serta boleh menguatkan sistem imunisasi tubuh manusia.
Selain itu satu mesej WhatsApp turut tular di China mendakwa mendiang Dr Li Wenliang yang merupakan seorang pakar mata telah mengumpul beberapa dokumen sahih yang mendapati tiga bahan kimia yang terdapat dalam biji kopi iaitu Methylxanthine, Theobromine dan Theophylline mampu meningkatkan sistem imunisasi badan manusia untuk melawan Covid-19.
Dalam mesej yang tular itu, Dr Li dikatakan turut mendakwa bahawa petugas kesihatan di China telah menghidangkan tiga cawan kopi sehari kepada pesakit yang disahkan dijangkiti Covid-19.
Dr Li sebelum ini menjadi perhatian umum di media sosial di China kerana mendedahkan mengenai penemuan virus Covid-19 sebelum dilaporkan meninggal dunia pada 7 Februari 2020 selepas dijangkiti virus berkenaan ketika merawat pesakitnya di Wuhan Central Hospital.
APA YANG KAMI TEMUI
Tiada bukti sahih dan penafian beberapa laman sesawang semakan fakta
Hasil semakan MyCheck mendapati kesemua dakwaan itu sebenarnya telah tersebar sejak awal 2020 di beberapa portal berita antarabangsa selain media sosial, namun tetap disebar dan mungkin ditularkan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Beberapa laman sesawang semakan fakta yang melakukan semakan ke atas dakwaan itu turut senada berpendapat ia adalah tidak benar.
Laman sesawang republicworld.com umpamanya mendedahkan bahawa mendiang Dr Li tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu sebaliknya mendakwa kenyataan sebenar telah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Hal ini kerana wujud dakwaan sama sebelum ini yang menyatakan bahawa amalan meminum teh dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. Dikatakan pesakit Covid-19 di China dihidangkan tiga cawan teh setiap hari dan penyebaran virus berkenaan berjaya dihentikan di Wuhan yang merupakan tempat asal virus tersebut mula dikesan, awal tahun lepas.
Selain laman sesawang berkenaan, beberapa laman sesawang semakan fakta lain seperti newschecker india dan chequeado.com turut mendedahkan tiada bukti kukuh yang diperoleh daripada dokumen yang dikatakan dikumpul oleh mendiang Dr Li bahawa amalan meminum kopi boleh mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
Pandangan Pakar
Seorang pakar perubatan dari Indonesia, Dr Dyah Novita Anggraini yang merupakan editor perubatan sebuah blog terkemuka di negara berkenaan, klikdokter.com menegaskan kafein yang terdapat dalam serbuk kopi tidak terbukti dapat menghindarkan seseorang daripada dijangkiti Covid-19.
Tegasnya doktor yang bertugas di pusat perubatan dan hospital di negara berkenaan menggunakan ubat-ubatan seperti remdesivir dan indinavir untuk merawat pesakit yang disahkan dijangkiti virus tersebut.
KESIMPULAN
Berdasarkan beberapa hujah dan kenyataan daripada pakar perubatan serta semakan daripada pelbagai laman sesawang semakan fakta, dakwaan bahawa amalan meminum kopi dapat menghindarkan diri daripada dijangkiti Covid-19 belum dapat dipastikan kesahihannya.
Kopi mempunyai manfaatnya yang tersendiri namun sehingga kini tiada kajian tepat yang boleh mengaitkannya sebagai salah satu bahan yang boleh mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyatakan bahawa hanya suntikan vaksinasi mampu mengekang dan membantu melindungi diri daripada jangkitan Covid-19.
Trivia: Sejarah Kopi
Menurut laman blog Jabatan Pertanian Malaysia, biji kopi dikatakan berasal dari kawasan Tropika di Benua Afrika dan terdapat tiga jenis kopi yang biasa ditanam iaitu kopi Arabica, Robusta dan Liberica.
Tanaman kopi dipercayai dibawa ke Semenanjung Malaysia pada 1779 yang mana kopi jenis Arabica merupakan kopi yang mula-mula diperkenalkan. Industri kopi tempatan mula berkembang apabila kopi jenis Liberica pula diperkenalkan oleh pakar tumbuhan dari British, Leonard Wray pada 1875.
Kopi Liberica dikatakan jenis kopi yang sesuai ditanam di Malaysia dan negeri-negeri pengeluar utama kopi Liberica ialah Selangor dan Johor, manakala kopi jenis Robusta pula banyak ditanam di Kedah, Sabah dan Sarawak.
Terdapat dua jenis kopi yang ditanam secara komersial di Malaysia iaitu Liberica (90%) dan Robusta (10%). Kopi Arabica pula dianggap kopi paling tradisional dan bernilai tinggi berbanding kopi jenis Robusta yang mempunyai rasa pahit dan berasid.
Kopi jenis Robusta sering digunakan sebagai bahan dalam beberapa campuran espresso untuk menambah lebih banyak perasa dengan kos yang lebih rendah.
Industri penanaman biji kopi di Malaysia bukanlah sehebat industri bidang lain namun masih mampu menampung jumlah permintaan peminat kopi di negara ini.
Menurut laman sesawang londonsaigon.com, Malaysia turut mengeksport kopi ke beberapa negara seperti Thailand, Singapura, Filipina, Amerika Syarikat dan Hong Kong, selain turut mengimport kopi dari Indonesia, Vietnam dan Brazil.
Walaupun penghasilan biji kopi di negara ini terus meningkat saban tahun, sebenarnya ia bukanlah tanaman utama yang menjadi pilihan utama dalam kalangan petani dan peladang memandangkan mereka lebih gemar menanam komoditi yang menghasilkan keuntungan lebih tinggi seperti biji sawit.
-- MYCHECK.MY--
RUJUKAN
Coffee could lower risk of COVID-19, study says.Published by Khon2 News on July 14 2021.
Kopi kurangkan risiko jangkitan Covid-19.Diterbitkan oleh Kosmo pada 10 Julai 2021.
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.