+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Gambar Keranda Diusung Menyeberangi Sungai Bukan Berlaku Di Sarawak

Benarkah...

Kawasan di pedalaman Sarawak terlalu mundur, rakyat terpaksa mengusung keranda merentasi sungai

Sumber : Sumber: Facebook/November 2021

Hasil

Gambar usung keranda merentasi sungai berlaku di Batang Lupar, Kapuas Hulu, Kalimantan Barat Indonesia

27/01/2022 05:46 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tersebar di laman sosial Facebook gambar yang didakwa memaparkan kesulitan rakyat di pedalaman Sarawak mengusung keranda menyeberangi sungai disebabkan kemunduran infrastruktur.
  • Gambar tersebut dimuat naik di halaman ‘Politik Sarawak Menuju PRN ke-12’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
  • Kejadian sebenar berlaku di Batang Lupar, Kapuas Hulu, Kalimantan Barat, Indonesia.

 


Sumber: Indoshinju.com

 

LATAR BELAKANG

Pembangunan infrastruktur dan kemudahan pengangkutan merupakan antara aspek penting untuk seluruh rakyat khususnya di kawasan pedalaman. Penyediaan fasiliti dan kemajuan pengangkutan amat perlu bagi menghubungkan sesebuah komuniti dari satu kawasan ke kawasan yang lain.

Lebih-lebih lagi infrastruktur asas seperti pengangkutan awam, jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan capaian jalur lebar bagi kemudahan persekolahan, pekerjaan serta kesihatan. 

Perkara ini amat perlu dititikberatkan oleh pemimpin untuk kesejahteraan rakyat khususnya di negeri-negeri yang berskala besar dan memiliki jarak yang jauh antara satu daerah dengan daerah yang lain.

Menurut laporan Utusan Borneo, Sarawak berkeluasan 124,449 kilometer persegi iaitu negeri terbesar di Malaysia dengan nisbah 37.7 peratus daripada keseluruhan luas Malaysia.

Daerah Kuching dan Miri berstatus bandar raya sementara Sibu dan Bintulu berstatus bandar. Ini bermakna kawasan lain di Sarawak diklasifikasi sebagai kawasan luar bandar yang memerlukan lebih banyak kemajuan terutama dari aspek pembangunan infrastruktur asas.

Tetapi ini tidak bermaksud semua kawasan luar bandar tidak langsung dilengkapi jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: Facebook Pengubat Ati Nuan

 

My Check Malaysia menerima satu gambar sekumpulan individu mengusung satu keranda merentasi sungai yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook dengan nama Pengubat Ati Nuan ke laman kumpulan Politik Sarawak Menuju PRN ke-12.

Penulis hantaran itu turut meletakkan kapsyen mendakwa situasi dalam gambar berkenaan berlaku di pedalaman Sarawak ekoran kegagalan pemerintah sedia ada menyediakan infrastruktur asas untuk kemudahan rakyat di negeri itu.

Persoalannya benarkah di era masa kini, rakyat di pedalaman Sarawak masih mundur seperti yang didakwa? Nak tahu lebih lanjut apa sebenarnya? MyCheck semak untuk anda!

 

APA YANG KAMI TEMUI

Berlaku di Kapuas Hulu, Kalimantan Barat, Indonesia

MyCheck membuat carian menggunakan enjin Google image bagi mengenal pasti asal usul gambar berkenaan dan mendapati bahawa gambar yang serupa digunakan dalam beberapa laporan portal berita dari Indonesia

Antara portal berita berkenaan ialah pontianak.tribunnews.com dan news.detik.com

 


Sumber: Portal berita pontianak.tribunnews.com

 


Sumber: Portal berita news.detik.com

 

Seterusnya, kami mencuba kaedah sama dengan menggunakan carian menerusi Yandex dan mendapat hasil yang serupa dengan enjin Google seperti dalam rajah di bawah.

 


 

Ia turut mendapat perhatian portal dan content creator dari negara itu seperti Indoshinju yang beroperasi sejak 5 tahun lalu dengan tajuk 'Lintasi Sungai, Satgas Yonif 133 Bantu Prosesi Pemakaman Warga' di kawasan Batang Lupar, Kapuas Hulu Kalimantan Barat di Indonesia dan Tarjan Sofian yang mengolah bahan berita ke dalam bentuk video.

Berdasarkan penelitian menerusi setiap pautan yang kami jumpai, kesemuanya menyatakan maklumat yang sama iaitu kejadian berlaku di kawasan Batang Lupar, Kapuas Hulu Kalimantan Barat, Indonesia.

Menurut kesemua pautan, anggota tentera Indonesia membantu melancarkan proses pengebumian jenazah seorang penduduk Kampung Kelawik, Kecamatan Batang Lupar, Kabupaten Kapuas Hulu pada 19 Januari 2020.

Mereka mengusung keranda sambil menyeberangi sungai yang agak dalam dengan bantuan tali kerana kawasan itu tidak mempunyai jambatan yang menghubungkan ke kawasan seberang.

 

Salah Konteks

Satu perkara penting yang dapat dilihat adalah bagaimana gambar ini yang asalnya digunakan bagi laporan berita dengan konotasi positif telah disalah guna untuk menunjukkan sesuatu yang negatif.

Merujuk kepada buku ‘Kewartawanan, Berita Palsu dan Disniformasi terbitan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) perbuatan ini dikategorikan sebagai ‘Salah Konteks’. 

Petikan buku di atas di muka surat 57 menjelaskan;

(Salah Konteks adalah…) kandungan tulen sering dilihat disebarkan semula di luar konteks sebenar. Sebagai contoh, satu imej dari Vietnam, yang ditangkap pada tahun 2007, disebarkan semula tujuh tahun kemudian, dan dikongsi seolah-olah gambar tersebut daripada kesan gempa bumi di Nepal pada tahun 2015.

Kewartawanan, Berita Palsu dan Disniformasi terbitan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Dalam kes ini, gambar dari Indonesia digunakan semula dengan tuduhan ia adalah perkara yang berlaku di Sarawak. 

 

KESIMPULAN

Berpandukan maklumat dan penerangan di atas, maka gambar yang didakwa berlaku di Sarawak itu tidak benar. Kejadian berlaku di Batang Lupar, Kapuas Hulu, Kalimantan Indonesia ya! Bukannya di Batang Lupar, Sarawak.

Pesanan kami di MyCheck: Hanya dengan satu gambar, pelbagai dakwaan negatif mampu tersebar jika kita tidak biasakan diri menyemak sebelum berkongsi maklumat. Jadilah pelayar Internet yang bijak. Jika tak pasti, rajin-rajinlah rujuk dengan kami okay!

- - MYCHECK - - 


RUJUKAN

1.Utusanborneo: Iltizam-adenan-luar-bandar-bukan-lagi-kawasan-mundur

2.hmetro: Banyak-daerah-pedalaman-sarawak-kini-dilengkapi-jalan-raya

3.Sarawakvoice: 56-tahun-bersama-malaysia-sarawak-maju-atau-mundur

4.Indoshinju: Lintasi-sungai-satgas-yonif-133-bantu-prosesi-pemakaman-warga

5.Youtube : Warga perbatasan Kalimantan pikul peti jenazah seberangi sungai 

6.Astroawani:Prn-Sarawak-warga-kampung-gelam-mahu-perkhidmatan-van-jenazah-disediakan-

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.