+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Dakwaan Produk Tealive Haram Kembali Tular

Benarkah...

Tealive disahkan haram oleh JAKIM kerana gunakan bahan dicelup arak

Sumber : WhatsApp, Facebook/Oktober 2021

Hasil

Tealive disahkan halal sejak 2019 oleh JAKIM

21/12/2021 09:39 AM

SEKILAS FAKTA

  • Dakwaan Tealive disahkan haram oleh JAKIM tular sejak 2019 dan disebarkan semula baru-baru ini.
  • Pendakwah bebas Datuk Dr Zahazan Mohamed menafikan beliau ada membuat dakwaan bahawa Tealive haram.
  • Pihak JAKIM, Zahazan dan Tealive telah menjelaskan bahawa produk jenama itu telah diperakui halal dan orang ramai tidak perlu ragu.
  • Tealive memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia sehingga 2023.

 


Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Produk minuman Bubble Tea sememangnya mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Pilih sahaja jenama mana yang kena dengan selera masing-masing.

Menurut portal Bubble Tea Malaysia terdapat lebih 100 jenama minuman berkenaan yang terdapat di pasaran antaranya CoolBlog, Chatime, Tealive, Gong Cha, The Alley, Daboba dan Tiger Sugar.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp

 

My Check Malaysia menerima satu tangkap layar yang mendakwa premis Tealive tidak mematuhi piawaian halal JAKIM kerana bahan yang digunakan dalam minuman itu dicelup arak.

Dikatakan dakwaan itu dibuat oleh seorang pendakwah bebas terkenal yang juga Pengarah Urusan Telaga Biru Sdn Bhd, Datuk Dr Zahazan Mohamed yang mempunyai 854,830 pengikut (setakat laporan ini ditulis) di laman Facebook rasminya Ustaz Datuk Dr Zahazan Mohamed DPSM.

Berikutan itu sudah pasti penggemar minuman jenama berkenaan inginkan kepastian apabila dakwaan ini dibangkitkan oleh seorang yang alim dalam bidangnya. MyCheck semak untuk anda!

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck membuat carian rawak menerusi enjin carian Google dan mendapati tangkap layar tentang dakwaan tersebut mula disebarkan sekitar September 2019. Malah perkara itu sudah dijelaskan menerusi kenyataan rasmi pihak-pihak yang terbabit.

Namun, masih ada pihak menyebarkan mesej WhatsApp berhubung dakwaan itu sejak Oktober tahun ini.

 


Sumber: WhatsApp

 

Kenyataan Penafian Datuk Dr Zahazan Mohamed


Sumber: Facebook

 

Dalam kenyataan pada 5 September 2019 menerusi laman Facebook rasminya, pendakwah itu menafikan bahawa beliau telah membuat dakwaan mengatakan minuman Tealive disahkan haram oleh JAKIM seperti yang tular itu.

Beliau menegaskan yang pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara terbabit.

Pendakwah itu turut menasihati orang ramai agar merujuk perkara berkaitan halal dan haram dengan pihak berautoriti seperti JAKIM.

 


Sumber: Facebook

 

Sebelum isu Tealive ini tular, pendakwah itu pernah dituduh membuat kenyataan dengan maklumat yang sama tetapi merujuk kepada rangkaian jenama kopi terbesar dunia iaitu Starbucks Coffee di negara ini.

 

Penjelasan JAKIM

 


Sumber: Harian Metro dan Portal Rasmi Halal Malaysia

 

JAKIM dalam kenyataan rasminya yang dipetik menerusi portal Harian Metro online pada 5 September 2019 memaklumkan premis makanan Tealive yang diusahakan oleh syarikat Loob Integrated Sdn Bhd adalah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang masih sah sehingga 2023.

Oleh itu JAKIM menegaskan bahawa dakwaan yang dibuat itu adalah tidak benar. Justeru masyarakat dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu maklumat berkaitan isu halal dengan merujuk pihak berautoriti agar tidak tergolong sebagai kumpulan yang menyebarkan fitnah.

Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, layari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal.



Penjelasan Syarikat Tealive

 


Sumber: Berita Harian

 

Menurut laporan portal bharian online, Tealive disahkan halal oleh JAKIM kerana kesemua bahan mentah untuk produk-produk jenama itu wajib menjalani tapisan rapi dengan kaedah pembelian berpusat atau centralized purchasing.

Memetik laporan portal tersebut, Penolong Pengurus Loob Holding, Engku Nurul Jannah Engku Diaudin menjelaskan perolehan bahan mentah dikawal sepenuhnya oleh ibu pejabat bagi memastikan kawal selia halal dari sudut bahan mentah selain menjaga kualiti produk dan bahan mentah yang diperoleh.

 

KESIMPULAN

Pengguna media sosial perlu berhati-hati dengan sebarang maklumat yang diterima khususnya berkenaan isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Adalah lebih baik jika kita simpan sahaja maklumat yang tidak dapat dipastikan itu sekadar sebagai rujukan untuk pengetahuan sendiri daripada bertindak menyebarkan sesuatu yang tidak benar.

Setiap individu mempunyai peranan dan tanggungjawab yang penting dalam mengamalkan etika penggunaan media sosial serta teknologi maklumat secara berhemah agar tidak menjadi ejen penyebar maklumat palsu.

Paling penting kalau ragu-ragu dengan status halal sesuatu produk, periksa dulu dengan pihak berautoriti. Jika dah pasti barulah kongsi!

--MYCHECK.MY--

 

RUJUKAN

1.Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM  

2..Tealive penuhi permintaan pengguna Muslim, halal 

3.Facebook Ustaz Datuk Dr Zahazan Mohamed DPSM

4..Portal Bubble Tea Malaysia 

5.HMetro :Tealive ada sijil halal.  

6.Portal Niagakini: Dakwaan premis Tealive disahkan haram, ini jawapan JAKIM.   

7.Portal Siakapkeli: Datuk Zahazan nafi sebarkan berita palsu tentang Tealive tidak halal melalui WhatsApp 

8. Penafian rasmi Datuk Dr Zahazan di Facebook

9. Penafian JAKIM 17 Oktober 2021





 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.