+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tun Dr Mahathir Masih Hidup, Dalam Keadaan Stabil Dan Semakin Pulih

Benarkah...

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meninggal dunia.

Sumber : Facebook / Januari 2022.

Hasil

Tun Mahathir yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) dalam keadaan stabil dan kesihatannya semakin baik.

03/02/2022 06:43 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke IJN pada 7 dan 22 Januari 2022.
  • Beliau dilapor dalam keadaan stabil dan semakin pulih.
  • Anak sulung Tun Mahathir menafikan dakwaan bahawa bapanya berada dalam keadaan kritikal di IJN.

 

LATAR BELAKANG

Tun Mahathir yang merupakan bekas Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh, dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 7 Januari lepas bagi menjalani prosedur perubatan elektif.

Beliau dibenarkan keluar dari institut itu enam hari kemudian iaitu pada 13 Januari.

Bagaimanapun pada 22 Januari, Tun Mahathir yang kini menjangkau usia 97 tahun dimasukkan sekali lagi ke IJN.

Perkhabaran kemasukan semula Tun Mahathir ke IJN, membangkit kebimbangan ramai.

Bukan sahaja rakyat Malaysia, masyarakat dunia turut menantikan perkembangan terkini kesihatan bekas perdana menteri itu yang pernah diiktiraf sebagai 50 Tokoh Dunia Paling Berpengaruh oleh portal antarabangsa, Fortune.com.

Media sosial turut dihujani ucapan selamat dan doa kepada Tun Mahathir, daripada pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia dan luar negara.

Kali terakhir Tun Mahathir dimasukkan ke IJN ialah pada Ogos 2016 bagi rawatan jangkitan paru-paru.

Beliau pernah dimasukkan ke IJN pada 2013 bagi jangkitan yang sama namun dibenarkan pulang selepas beberapa hari.

 

MENGENAI DAKWAAN

Heboh di media sosial Facebook mengenai khabar duka bahawa Tun Mahathir meninggal dunia.

Hantaran tersebut telah dimuat naik oleh seorang peguam hak asasi antarabangsa pada 22 Januari 2022.

 


Sumber: Facebook

 

APA KAMI TEMUI

Pertama sekali, MyCheck melakukan carian individu bernama M. Ravi di Facebook berkaitan hantaran tersebut.  

Bagaimanapun berdasarkan pengecaman wajah yang sepadan, kami gagal menemui hantaran dibuat oleh M. Ravi di laman Facebooknya yang berkemungkinan telah dipadam.

 


Sumber: Facebook

 

Kami kemudiannya ke Facebook rasmi Tun Dr Mahathir serta Twitter rasmi @chedetofficial dan menemui satu kenyataan media bertarikh 26 Januari 2022 dibuat oleh anak sulung Tun Mahathir, Datin Paduka Marina Mahathir memaklumkan bahawa Tun Mahathir yang berada di IJN kini semakin pulih.

 


Sumber: Facebook rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad

 


Sumber: Twitter rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad

 

MyCheck kemudiannya melakukan carian mudah di Google dengan menggunakan kata kunci ‘Mahathir meninggal?’, ‘Mahathir died?’ bagi menyemak kesahihannya.

Hasilnya, kami menemui laporan portal berita tempatan seperti Berita Harian Online, Utusan Online dan Sinar Harian Online yang menafikan berita tersebut.

Malahan, kami turut menemui laporan penafian mengenai kematian Tun Mahathir pada 2016 yang disiarkan portal berita The Star pada 2016. 

Dakwaan kononnya Tun Mahathir telah meninggal dunia semasa usianya 91 tahun juga pernah tular pada 2016.

Sehingga laporan ini ditulis (3 Februari 2022) Tun Mahathir telah berada di IJN selama 13 hari (Sejak 22 Januari 2022). Selain kenyataan oleh Marina pada 26 Januari, tiada sebarang maklumat baharu yang dilaporkan pihak media.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah menziarahi Tun Mahathir di IJN pada 22 Januari lepas.

Ismail Sabri telah memuat naik hantaran mengenai kunjungannya ke IJN di media sosial Twitter dan Facebook rasminya.

 


Sumber: Twitter rasmi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob

 

Tunggu! Ada Lagi

Selain itu, MyCheck turut menggunakan aplikasi Tweetdeck bagi mencari dakwaan serupa. 

Hasilnya berita palsu berhubung pemergian bekas perdana menteri itu juga tersebar di Indonesia seperti yang dikongsikan di akaun Twitter @GoyaJikko bertarikh 28 Januari 2022.

Dalam ciapan tersebut turut disertakan gambar Tun Mahathir berserta ucapan dukacita.

 


Sumber: Twitter

 

Kami turut mendapati beberapa laman semak fakta Indonesia seperti Mafindo dan CekFakta telah membongkarkan dakwaan itu dengan mengkategorikan ia sebagai 'Tidak Benar'.

Malah laporan semak fakta tersebut telah digunakan secara meluas oleh portal berita online lain di negara jiran itu.

 

KESIMPULAN

Zaman teknologi canggih ini ramai yang berlumba-lumba membuat ‘content’ di media sosial selain menyebarkan berita tidak sahih semata-mata mahu mengejar ‘rating’ atau menambah pengikut.

Namun dalam membuat ‘content’, milikilah sifat empati, janganlah sampai tergamak dan sewenang-wenangnya menyebarkan berita tidak benar terutamanya berkaitan kematian. 

– MYCHECK.MY –

 

RUJUKAN

1.Berita Harian. “Jangan sebar, percaya berita tidak sahih mengenai Tun M” Diterbitkan pada 23 Januari 2022.

2.Astro Awani. “Pengamal media di IJN, pantau perkembangan Tun Mahathir” Diterbitkan pada 22 Januari 2022.

3.Cek Fakta. “[SALAH] Kabar Mahathir Muhammad Meninggal” Diterbitkan pada 30 Januari 2022.

4.Berita Harian. “Ismail Sabri hadir melawat Tun Mahathir” Diterbitkan pada 22 Januari 2022.

5.The Star. “Viral 'news' of Dr Mahathir's death fake” Diterbitkan pada 14 November 2016.

6.Utusan. “Bacaan Yasin mohon kesembuhan Dr. Mahathir malam ini” Diterbitkan pada 24 Januari 2022.

7.Sinar Harian. “‘Tun M sihat seadanya” Diterbitkan pada 23 Januari 2022.

8.Facebook Ismail Sabri Yaakob.

9.Twitter Goya Jikko

10.Twitter Tun Dr Mahathir Mohamad

11.Twitter Ismail Sabri Yaakob

12.Mafindo. “[SALAH] Kabar Mahathir Muhammad Meninggal” Diterbitkan pada 30 Januari 2022.


 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.