+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Longgokan Kayu Balak Di Depan Sebuah Rumah Adalah GAMBAR LAMA Dan BUKAN Kayu Balak Yang Hanyut Akibat Banjir

Benarkah...

Berlaku kejadian longgokan kayu balak di depan sebuah rumah di Pahang pada Januari 2022 susulan banjir yang berpunca daripada aktiviti pembalakan tidak terkawal.

Sumber : Facebook, Twitter / Disember/ Januari 2022

Hasil

Kejadian itu berlaku akibat treler balak terbabas di Kelantan pada Februari 2013.

08/02/2022 08:28 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular gambar kejadian longgokan kayu balak didakwa berlaku di sebuah rumah di Pahang.
  • Kayu balak itu dikatakan dihanyutkan banjir yang berlaku antara Disember 2021 dan Januari 2022 akibat aktiviti pembalakan tidak terkawal.
  • Kejadian longgokan kayu balak itu sebenarnya berlaku di Kelantan pada 2013, ekoran insiden treler balak terbabas.
  • Gambar berkenaan adalah gambar lama yang diulang siar dengan kapsyen tidak tepat sebelum dikongsi di Facebook dan Twitter.

 

LATAR BELAKANG

Banjir luar biasa telah melanda beberapa negeri antara Disember 2021 hingga Januari 2022.

Antara negeri yang terjejas adalah Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Terdapat individu mendakwa aktiviti pembalakan tidak terkawal di beberapa negeri menjadi antara punca berlakunya bencana banjir itu.

 

MENGENAI DAKWAAN

Beberapa pengguna Facebook dan Twitter telah memuat naik hantaran gambar longgokan kayu balak di depan sebuah rumah pada Disember 2021 dan Januari 2022.

Kebanyakan hantaran dimuat naik di halaman peribadi mereka selain ‘group’ tertentu dengan mendakwa kejadian longgokan kayu balak itu berlaku di Pahang.

Menurut dakwaan itu, kayu-kayu berkenaan dihanyutkan air banjir yang berlaku ekoran pembalakan tidak terkawal.

Antara hantaran yang mendapat reaksi ramai warganet adalah yang dimuat naik seorang pengguna Facebook menggunakan nama Kamal Yusof di dalam ‘group’ Kami Penduduk Bentong yang mempunyai 177,300 pengikut (setakat laporan ini ditulis).

Hantaran itu mendapat 2,600 reaksi, 2,600 perkongsian dan 651 komen daripada warganet.

 


Sumber: Facebook Kami Penduduk Bentong

 


Sumber: Facebook

 


Sumber:Twitter

 

APA YANG KAMI TEMUI

Hasil semakan kami menggunakan aplikasi imej berbalik Google mendapati gambar longgokan kayu balak itu merupakan gambar lama yang diambil di Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang, Kelantan pada Februari 2013 dan bukannya Januari 2022 di Pahang.

Gambar berkenaan sebenarnya dipetik daripada laporan berita Harian Metro bertajuk ‘Balak bawa bala’ mengenai kejadian kayu balak bergolek daripada treler yang terbabas berdekatan sebuah kediaman di Rantau Panjang.

Kejadian longgokan kayu balak itu tiada kaitan dengan banjir mahupun aktiviti pembalakan tidak terkawal.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan ketika kemalangan treler balak itu, kawasan rumah berkenaan sedang dilanda banjir atau sebaliknya kerana kelihatan seumpama terdapat air di hadapan rumah.

Kami juga tidak menemui artikel asal bagi merujuk kepada gambar yang tular berkenaan kerana mungkin telah disimpan sebagai arkib (archived) namun kami berjaya memperoleh artikel asal menerusi aplikasi ‘Wayback Machine’.

 


Sumber: Harian Metro

 

Gambar di bawah ini merupakan gambar kejadian longgokan kayu balak di hadapan sebuah rumah selepas insiden treler balak terbabas dan gambar treler terbabit yang membawa muatan balak.

 


Sumber: Harian Metro

 


Sumber: Harian Metro

 

Beberapa penulis blog tempatan turut berkongsi laporan asal Harian Metro itu di blog masing masing antaranya duniaitu.blogspot.com dan sariminsorno-sarimin.blogspot.com.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan kejadian longgokan kayu balak yang dikatakan berlaku di Pahang pada Januari 2022 ini sebagai tidak benar memandangkan kejadian tersebut sebenarnya berlaku di Rantau Panjang, Kelantan pada Februari 2013.

Gambar berkenaan telah disebarkan dengan kapsyen yang tidak tepat.

Nasihat kami semak dahulu kesahihan segala maklumat diterima di media sosial dan tidak sewenang-wenangnya berkongsi perkara tidak benar sehingga memberi imej yang tidak baik kepada segelintir pihak.

Perjuangan menentang maklumat palsu yang bertebaran di media sosial dan laman sesawang pada zaman moden ini terletak di tangan semua individu.

Masyarakat sendiri boleh memainkan peranan untuk mendapatkan pengesahan sesebuah maklumat yang tidak pasti daripada sumber yang sahih atau pihak berkaitan.

Bersama kita memerangi maklumat palsu. Pastikan sahih baru kongsi. 

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Banjir: 48 kematian, 5 masih hilang - PDRM.Diterbitkan oleh Berita Harian pada 27 Dis 2021.

  2. Hujan luar biasa, air pasang punca banjir di Selangor - MB.Diterbitkan oleh Astro Awani pada 18 Dis 2021.

  3. Facebook Sherine Idrina

  4. Facebook Md Suhairi Hairi

  5. Facebook Mohammad Khairul Nizam

  6. Facebook Wan Saiful Hafez bin Hj Amran

  7. Twitter @mami_paku

  8. Twitter @KroniRakyat



 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.