+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Video Papar Pesawat Garuda Indonesia Terhempas Ketika Mendarat Hanyalah Rakaman Simulasi Penerbangan

Benarkah...

Pesawat Garuda Indonesia terhempas semasa mendarat di Lapangan Terbang Mashhad, Iran pada 7 Januari 2022.

Sumber : Twitter, WhatsApp / Januari 2022.

Hasil

Video tersebut hanyalah rakaman simulasi penerbangan menggunakan perisian simulator penerbangan.

09/02/2022 07:53 AM

SEKILAS FAKTA

  • Pesawat Garuda Indonesia didakwa terhempas ketika melakukan pendaratan kecemasan.
  • Ia bukan kejadian sebenar tetapi hanyalah simulasi penerbangan.
  • Rakaman video itu dibuat oleh seorang ‘gamer’ yang bermain permainan perisian simulator penerbangan iaitu X-Plane 11.

 

LATAR BELAKANG

Sebarang berita pesawat terhempas tidak kira di mana sahaja pasti akan menjadi tumpuan masyarakat dunia.

Apatah lagi apabila munculnya video-video yang memaparkan detik insiden ngeri itu, ia pastinya tular dan cepat tersebar.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular dua video di Twitter dan WhatsApp berhubung dakwaan kejadian pesawat Garuda Indonesia (yang merupakan syarikat penerbangan milik Indonesia) terhempas di Iran.

Video pertama berdurasi 36 saat memaparkan pesawat Garuda Indonesia terbang secara tidak stabil cuba melakukan pendaratan sebelum tergelincir dan terhempas di landasan pacu (runway) lapangan terbang yang tidak diketahui lokasinya. Lihat sini.

Rakaman itu turut disertakan dengan kapsyen insiden berlaku di Bandar Mashhad, Iran.

Selain itu, video kedua yang didakwa berkaitan dengan video pertama pula menunjukkan para penumpang menggelongsor keluar dari sebuah pesawat yang dikatakan pesawat Garuda Indonesia. Lihat sini.

Kelihatan situasi cemas apabila para penumpang dengan pantas menggelongsor turun dan berlari menjauhi pesawat.

Kami sertakan dua hantaran yang dimuat naik di Twitter seperti di bawah:

 


Sumber: Twitter

 

APA KAMI TEMUI

Video Pertama Merupakan Simulasi Guna Perisian Simulator Penerbangan

MyCheck telah membuat carian imej berbalik terhadap salah satu tangkap layar daripada video pertama dan mendapati ia dimuat naik oleh seorang pengguna YouTube menggunakan nama Bopbibun pada 2 Mei 2020.

Video berkenaan bertajuk ‘Most Crazy Emergency Landing By Drunk Pilot | X-Plane 11’  berdurasi 7 minit 13 saat.

Keseluruhan video itu memaparkan situasi beberapa jenis pesawat melakukan pendaratan kecemasan antaranya pesawat Garuda Indonesia (bermula pada minit ke 5.38 saat, seperti yang tular di media sosial).

Pemilik video berkenaan secara terang-terangan telah meletakkan ‘disclaimer’ pada klip video yang dimuat naik iaitu bagi tujuan hiburan dengan menggunakan permainan perisian simulator penerbangan bernama X-Plane 11.

Video berkenaan adalah janaan menggunakan perisian grafik janaan komputer (CGI).

Istilah CGI digunakan untuk merujuk kepada grafik komputer 3D yang digunakan untuk membuat adegan atau kesan visual khas dalam filem atau televisyen kerana ‘kesannya’ lebih terkawal berbanding proses fizikal yang lain.

 


Sumber: YouTube Bopbibun

 

Kami terjemahkan kapsyen ‘disclaimer’ ke Bahasa Melayu bertulis:

‘Penting. Ini hanyalah simulasi penerbangan. Situasi ini tidak nyata! Semua kejadian di dalam video ini tidak berlaku dalam kehidupan sebenar kerana situasi ini hanyalah suatu cabaran buat saya untuk mencuba dalam simulasi penerbangan’.

Di profil akaun YouTube itu, beliau turut menyatakan bukanlah seorang pakar dalam penerbangan sebaiknya hanyalah ‘gamer’ yang gemar bermain dengan simulator penerbangan seperti X-Plane 11, Microsoft Flight Simulator X (FSX), Prepar3D (P3D) atau dengan Grand Theft Auto 5 (GTA 5).

Berdasarkan penemuan ini, jelaslah bahawa video berkenaan hanyalah simulasi penerbangan.

Namun, ada individu telah menyunting dengan memendekkan video sebenar yang dimuat naik Bopbibun kepada bahagian pesawat Garuda Indonesia sahaja dan memuat naik di media sosial dengan kapsyen yang tidak benar mendakwa pesawat itu terhempas.

 

Indonesia Turut Menafikan Berlakunya Insiden Itu

Kementerian Komunikasi dan Informatika (Kominfo) Republik Indonesia juga turut mengeluarkan kenyataan di laman rasminya bahawa insiden pesawat Garuda Indonesia mendarat cemas di Iran adalah palsu.

 


Sumber: Tangkap layar laman sesawang rasmi Kominfo

 

Ia kemudiannya dilaporkan oleh pelbagai media Indonesia.

 

Hantaran Dikategori ‘Tidak Benar’ Oleh Pelbagai Laman Semakan Fakta

Selain itu, MyCheck turut melakukan carian mudah di enjin carian dengan menggunakan kata kunci ‘Garuda Indonesia crash landing’ dan ‘pesawat Garuda Indonesia terhempas’.

Melalui carian Google, kami mendapati pelbagai laman sesawang semakan fakta juga telah menjalankan siasatan berhubung hantaran itu dan kebanyakannya meletakkan kategori sebagai 'Tidak Benar'.

Antaranya ialah semakan fakta dari Indonesia iaitu, ‘Kompas TV’, Liputan6, Tempo.co dan semakan fakta antarabangsa lain termasuk AFP.

Anda boleh membacanya di sini, di sini, di sini dan di sini.

Media tempatan seperti Astro Awani dan The Star turut mengeluarkan laporan itu dengan memetik laporan Semakan Fakta AFP.

 

Bagaimana Pula Dengan Video Kedua?

Kami mendapati video kedua yang memaparkan beberapa individu menggelongsor keluar dari pesawat adalah kejadian yang benar-benar berlaku di Iran tetapi bukan membabitkan pesawat Garuda Indonesia sebagaimana yang tular.

Carian imej berbalik di aplikasi InVID dan carian di Yandex berjaya menemukan video ini di Twitter bertarikh 6 Januari 2022.

Video berkenaan adalah mengenai kemalangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Isfahan di Iran yang melibatkan syarikat penerbangan persendirian negara itu yang dikenali sebagai Caspian Airlines.

 


Sumber: Twitter Iran Panorama News

 

Seramai 110 penumpang selamat dalam Penerbangan 737 Syarikat Caspian dari Mashhad ke Isfahan. Insiden itu terjadi kerana terdapat kecacatan pada tayar pesawat ketika di Lapangan Terbang Isfahan.

MyCheck menemui laporan oleh Agensi Berita Mehr, sebuah agensi berita Iran bahawa kemalangan itu berlaku pada 6 Januari 2022 di Lapangan Terbang Antarabangsa Isfahan kerana enjin pesawat tersebut terlanggar landasan semasa mendarat.

Perlanggaran itu menyebabkan roda pesawat bengkok, namun juruterbang berjaya mengawal pesawat dan mengelakkan ia tergelincir dari landasan.

 


Sumber: Agensi Berita Mehr

 

Kejadian tersebut menyebabkan sembilan orang cedera.

Dalam gambar agensi berita Mehr itu jelas dapat dilihat logo Caspian Airlines di badan pesawat.

Video insiden cemas itu juga dilaporkan pelbagai media pada awal Januari 2022, seperti Rangkaian Berita Penerbangan Awam (CANNews), sebuah media berita penerbangan berbahasa Parsi dari Iran; Yeni Safak, akhbar harian Turki; dan RT Arabic, media milik kerajaan Rusia.

 

Perbandingan Gambar Ekor Kapal Terbang Garuda Airlines Dan Caspian Airlines

 


Sumber: Google

 

Pernah Tular Sebelum Ini?

Ya, benar. Portal Semakan Fakta AFP bertarikh 23 September 2021 pernah mengeluarkan laporan mengenai dakwaan pendaratan kecemasan pesawat Garuda Indonesia menggunakan video simulasi yang sama.

Dalam laporan tersebut, seorang pengguna Twitter bernama Otto Huang telah menularkan video berkenaan yang bertarikh 17 September 2021.

Kami kemudiannya cuba menatal (scrolling) status dimuat naik Otto Hwang namun gagal menemuinya. Berkemungkinan Twitter telah mengehadkan carian tersebut.

 


Sumber: Tangkap layar daripada laman Semakan Fakta AFP

 

Dalam laporan AFP itu, video yang sama telah ditonton ratusan ribu kali di Twitter dalam bahasa Cina, Inggeris dan Rusia bersama dakwaan yang hampir serupa.

Bagaimanapun, video palsu itu kembali tular selang beberapa bulan kemudian, kebanyakannya di Twitter dan WhatsApp.

 

KESIMPULAN

Video yang dihasilkan untuk tujuan hiburan semata-mata dengan menggunakan permainan perisian simulator penerbangan telah disunting dan ditularkan sebagai satu tragedi.

Di sinilah pentingnya semak dahulu sebelum sebar. 

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1.YouTube Bopbibun. “Most Crazy Emergency Landing By Drunk Pilot | X-Plane 11” Diterbitkan pada 2 Mei 2020.

2.YouTube Kompas TV. “Hoaks Pesawat Garuda Mengalami Crash Saat Landing - NEWS OR HOAX” Diterbitkan pada 17 Januari 2022.

3.Liputan6. “Beredar Video Hoaks Pesawat Garuda Indonesia Mendarat Darurat, Ini Faktanya” Diterbitkan 11 Januari 2022.

4.The Star. “QuickCheck: Did an airliner make a bumpy emergency landing recently?” Diterbitkan pada 10 Januari 2022.

5.Astro Awani. “[SEMAK FAKTA]: Palsu! Dakwaan nahas pesawat Garuda Indonesia di Iran tular di media sosial” Diterbitkan pada 25 Januari 2022.

6.Kementerian Komunikasi dan Informatika (Kominfo) Republik Indonesia. “Video Pesawat Garuda Indonesia di Iran, Awas Disinformasi!” Diterbitkan pada 10 Januari 2022.

7.Yeni Safak. “Plane gear collapses during landing in Iran as passengers panic” Diterbitkan pada 7 Januari 2022.

8.Agensi Berita Mehr.

9.Twitter Iran Panorama News.

10.Instagram CanNews Official

11.RT Arabic. 

 

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.