Sinar Harian melaporkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Sarawak.
Sumber : WhatsApp & Facebook / Februari 2022
Ia adalah laporan lama yang diterbitkan Sinar Harian pada 1 Mei 2021.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Kerajaan sebelum ini melaksanakan PKP bagi mengekang penularan Covid-19 bermula 8 Mac 2020, sebelum dilanjutkan secara berperingkat sehingga 12 Mei 2020.
Pengurangan kes harian Covid-19 membolehkan kerajaan melonggarkan beberapa sekatan dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) secara berfasa di beberapa negeri.
Aktiviti rentas negeri dan daerah dibenarkan pada 11 Oktober 2021.
Bagaimanapun sejak kebelakangan ini berlaku peningkatan semula kes Covid-19 susulan kewujudan varian Omicron.
Pada 15 Februari 2022 (setakat laporan ini ditulis) sebanyak 22,133 kes baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara.
MENGENAI DAKWAAN
Tular satu tangkap layar artikel Sinar Harian bahawa KKM mengesyorkan kepada kerajaan supaya melaksanakan PKP di enam negeri susulan peningkatan semula kes harian Covid-19 ketika ini.
Negeri-negeri yang terlibat adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Sarawak.
APA YANG KAMI TEMUI
MyCheck melakukan carian menerusi enjin carian Google dengan menggunakan tajuk berita berkenaan.
Kami mendapati memang benar Sinar Harian ada mengeluarkan laporan dengan tajuk berita seperti yang tular.
Namun ia sebenarnya laporan lama yang diterbitkan oleh Sinar Harian pada 1 Mei 2021.
Laporan itu diulang siar pihak tertentu susulan peningkatan kes Covid-19.
Kerajaan Beri Jaminan Tiada Lagi PKP
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menegaskan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan semula PKP walaupun berlakunya peningkatan jumlah kes harian Covid-19.
Ismail Sabri sebaliknya berkata kerajaan hanya akan melaksanakan PKP Bersasar (PKPB) bagi kawasan yang mencatat jumlah jangkitan Covid-19 yang tinggi sahaja.
Pengumuman mengenai perkara berkenaan telah disiarkan di beberapa media tempatan termasuk Sinar Harian, MSTAR, Berita Harian, Astro Awani dan Harian Metro.
Beliau turut mengesahkan bahawa kerajaan tidak akan mewujudkan sekatan perjalanan untuk rakyat Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini walaupun berlaku peningkatan jumlah harian kes Covid-19 akibat penyebaran varian Omicron.
Perbandingan Jumlah Harian Kes Covid-19 Dari 6 Hingga 9 Februari
Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat trend peningkatan mendadak sejak awal Februari mengenai jumlah harian kes Covid-19, selain jumlah kes aktif yang turut menunjukkan trend membimbangkan.
Kami paparkan perbandingan kes baharu Covid-19 dalam tempoh seminggu dari 6 hingga 12 Februari 2022 seperti di bawah:
6 Februari - 10,089 kes
7 Februari - 11,034 kes
8 Februari - 13, 944 kes
9 Februari - 17,134 kes
10 Februari - 19, 090 kes
11 Februari - 20,939 kes
12 Februari - 22,802 kes
KESIMPULAN
Kenyataan berhubung pelaksanaan PKP di enam negeri berkenaan adalah benar, namun ia merupakan laporan lama.
Laporan itu diulang siar dan ditularkan semula susulan berlakunya peningkatan jumlah harian kes Covid-19 yang membimbangkan ketika ini ekoran penyebaran varian Omicron.
Meskipun PKP tidak akan dilaksanakan, kita jangan mudah alpa untuk terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) kerana Covid-19 masih di mana-mana.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
Jangan risau tiada PKP selepas ini: Ismail Sabri.Diterbitkan oleh Sinar Harian pada 23 Januari 2022.
PM beri jaminan tiada lagi PKP selepas ini.Diterbitkan oleh MSTAR pada 23 Januari 2022.
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.