+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Minuman Jenama Korea Dijual Di Kedai Serbaneka TIADA Logo Halal

Benarkah...

Minuman tidak halal jenama Korea dijual di kedai serbaneka 7-Eleven.

Sumber : Facebook & WhatsApp / Mac 2021

Hasil

Minuman tiada logo halal dari Korea diletakkan bersekali di bahagian minuman halal, buat pengguna ragu-ragu.

22/02/2022 04:39 PM

SEKILAS FAKTA

  • Air minuman berperisa buah jenama dari Korea dijual di kedai serbaneka 7-Eleven dan tiada logo halal pada produk.
  • Air tersebut disusun di bahagian minuman yang berlogo halal di dalam peti sejuk kedai itu.
  • Semakan sijil pengesahan halal produk berkenaan menerusi laman sesawang pemeriksaan status halal JAKIM tidak menjumpai sebarang maklumat.

 

LATAR BELAKANG

Isu halal menuntut keprihatinan pengguna Muslim agar bijak memilih makanan atau minuman yang diyakini selamat dan suci tanpa was-was. 

Tambahan pula jika ada produk minuman yang tidak halal dijual di kedai serbaneka dan disusun bersama produk halal lain.

Tidak mustahil para pembeli akan terkeliru dan tersilap membeli.

Lebih-lebih lagi jika pembungkus makanan atau bekas minuman tersebut kelihatan 'comel' dan menarik perhatian khususnya kanak-kanak.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima tangkap layar berkenaan produk minuman jenama Korea yang dijual di premis serbaneka 7-Eleven.

Minuman berperisa buah-buahan yang didakwa tidak halal serta mengelirukan pengguna itu juga dikatakan menarik minat kanak-kanak kerana botolnya berbentuk karektor popular Korea iaitu singa dan buah pic. 

Bagaimanapun untuk mengetahui sejauh mana kesahihan dakwaan tersebut, Jom kami semak untuk anda!

 

APA YANG KAMI TEMUI

Berdasarkan carian rawak menggunakan enjin Google, gambar serta dakwaan minuman tidak halal itu tular sejak Mac 2021.

Maklumat awal yang kami peroleh, dakwaan itu turut dilapor portal informasi tempatan iaitu Remaja yang memetik hantaran daripada pemilik akaun Facebook Norzaifitri Zainal.

Bagaimanapun, kami gagal menjejaki hantaran yang dibuat pada profil pemilik akaun berkenaan walaupun Facebook beliau masih lagi aktif.

Seterusnya kami melakukan carian di ruangan Facebook secara rawak.

Kami dapati pemilik akaun Facebook itu membuat hantaran dakwaan tersebut dalam kumpulan Facebook Info Runner Semalaya yang menerima 8,700 perkongsian (setakat laporan ini ditulis).

 


Sumber: Facebook

 

Di bawah ini kami sertakan tangkap layar hantaran yang dimuat naik di Facebook serta komen warganet yang menzahirkan kebimbangan terhadap dakwaan tersebut.

Ada pengguna yang terkejut dan kesal kerana pernah membeli produk minuman berkenaan sebelum mendapat informasi yang tular itu.

 


Sumber: Facebook

 

Isu Sama Dibangkitkan Oleh Bekas Timbalan Perdana Menteri

Hasil semakan lanjut turut mendapati isu tersebut pernah dibangkitkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam hantaran di Facebooknya pada Mac 2021.

 


Sumber: Facebook Zahid Hamidi

 

Kami percaya akaun ini adalah akaun rasmi beliau berdasarkan blue tick yang diberikan Facebook kepada akaun ini.

 


Sumber: Facebook Zahid Hamidi

 

Menerusi hantaran itu beliau menyatakan bahawa isu tersebut adalah penting dan sudah mendapat perhatian Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Hantaran Ahmad Zahid yang memiliki 1.6 juta pengikut itu mendapat sebanyak 1,827 reaksi dan 400 perkongsian (setakat laporan ini ditulis).

 

Reaksi Mufti Pahang

Abdul Rahman Menerusi laporan portal berita Malaysiapost pula menggesa pemilik premis serbaneka supaya lebih peka dengan status halal produk makanan dan minuman yang dijual di pasaran.

Ini bagi mengelakkan pengguna Islam membeli produk yang status halalnya tidak pasti kerana produk itu tidak diasingkan sebagai produk bukan untuk Muslim.

Dalam masa yang sama beliau turut mengingatkan umat Islam sendiri agar lebih peka isu halal dan perlu bijak memilih dan menjauhi makanan syubhah.

 

Saranan PPIM 

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata pihaknya akan turun padang dan menjalankan siasatan mengenai dakwaan berkenaan.

Menurut beliau PPIM akan bekerjasama dengan pemilik premis kedai serbaneka berkenaan dan mendapatkan pengesahan mengenainya.

Nadzim berkata jika benar produk minuman itu tidak halal, penjual akan diminta mengasingkan produk itu di tempat sepatutnya.

Bagaimanapun sehingga artikel ini disiarkan, kami di MyCheck belum menjumpai sebarang kemas kini terbaharu berhubung status kerjasama yang dimaksudkan PPIM.

 

Sijil Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 

Sebagai maklumat tambahan, MyCheck sendiri turun padang mencari serta melihat sendiri produk minuman itu yang dijual di kedai serbaneka berhampiran.

Apa yang kami dapati tiada logo Halal Malaysia mahupun Korea pada pek minuman itu. 

Tidak berhenti setakat itu, kami cuba mencari status halal produk minuman itu di laman direktori Halal Malaysia bagi menyemak status produk minuman berkenaan. 

Hasil semakan berpandukan maklumat di bahagian belakang pek minuman itu didapati tiada sebarang rekod mengenai status syarikat produk berkenaan mengikut sistem carian dalam talian JAKIM.

 


Sumber: Tinjauan MyCheck

 


Sumber: Portal Halal Malaysia

 

KESIMPULAN

Menyedari banyaknya produk minuman dan makanan yang diimport dari luar negara, maka pengguna sendiri perlu bijak memilih dan lebih teliti dengan melihat terlebih dahulu sama ada produk yang ingin dibeli mempunyai logo Halal Malaysia atau dari negara pengeksport.

Nasihat kami apabila sudah timbul keraguan, adalah lebih baik jika tidak membelinya.

Lebih-lebih lagi produk itu tidak mempunyai logo yang telah disahkan halal oleh JAKIM serta tidak dapat dipastikan dengan yakin apakah bahan atau kandungannya.

Dalam masa yang sama, pemilik premis juga perlu peka akan sensitiviti umat Islam berkenaan produk minuman dan makanan halal.

-- MYCHECK.MY --
 

RUJUKAN

  1. Facebook: Ahmad Zahid Hamidi- Hantaran

  2. Facebook Zahid Hamidi 

  3. Air Minuman Dari Korea Yang Dijual Di Kedai Serbaneka 24 Jam Dikatakan Tidak Halal? - REMAJA

  4. Malaysiapost: Minuman Korea Tak Halal, Mufti Minta Kedai Serbaneka Peka

  5. Facebook: Kumpulan Info Runner Semalaya: Hantaran Dakwaan 

  6. Norzaifitri Zainal | Facebook 



 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.