+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Anak KJ Disuntik Vaksin ‘Angin’? Tuduhan Itu TIDAK BENAR. Jururawat Laksana Prosedur Biasa Seperti Penerima Vaksin Lain

Benarkah...

Anak Khairy Jamaluddin disuntik vaksin ‘angin’. Cecair vaksin dibuang terlebih dahulu sebelum suntikan.

Sumber : Twitter / Februari 2022

Hasil

Prosedur yang dilakukan oleh jururawat yang menyuntik Raif sememangnya prosedur standard dan mengikut praktis sekian lama.

05/03/2022 02:03 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan anak Khairy Jamaluddin diberikan vaksin ‘angin’.
  • Khairy menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah.
  • Jururawat turut menafikan dakwaan memberi suntikan angin kepada anak Khairy.
  • KKM mengesahkan anak bongsu Khairy menerima vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioTech. 
  • Prosedur jentik picagari adalah prosedur standard untuk membuang gelembung angin.
  • Prosedur ‘sorok jarum’ pula penting bagi mengelakkan ketakutan kanak-kanak yang disuntik. 

 

LATAR BELAKANG

Sejak kerajaan melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) pada 3 Februari 2021, pelbagai reaksi dizahirkan masyarakat khususnya ibu bapa terhadap langkah berkenaan.

Ada yang masih ragu-ragu dan mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum mendaftarkan anak masing-masing untuk menerima vaksin Covid-19 kerana bimbang berlakunya kesan sampingan selepas suntikan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin antara yang terawal mendaftarkan anaknya bagi menerima suntikan vaksin.

Untuk rekod, dianggarkan seramai empat juta kanak-kanak layak menerima vaksin jenis Comirnaty 10mg Concentrate for Dispersion (Pfizer BioTech).

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular di media sosial satu video berdurasi 10 saat memaparkan anak bongsu Khairy Jamaluddin yang bernama Raif, disuntik vaksin Covid-19 oleh seorang jururawat.

Video itu turut disertakan dengan kapsyen mendakwa dos vaksin telah dibuang terlebih dahulu sebelum disuntik ke lengan anak Menteri Kesihatan itu.

Perkara ini mencetuskan persoalan ramai dan menjadi ‘modal’ serangan golongan antivaksin yang tidak mahu membenarkan anak mereka divaksin di bawah PICKids.

 

APA KAMI TEMUI?

MyCheck mulakan langkah dengan menyemak hantaran Twitter Khairy Jamaluddin.

Khairy didapati memuat naik hantaran berserta gambar anaknya, Raif yang berusia enam tahun itu sedang dan selesai divaksin pada 6.10 petang, 13 Februari lepas.

Menerusi akaun Twitter rasminya itu, Khairy memaklumkan Raif selesai menerima suntikan vaksin dos pertama di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Anda boleh lihat di sini.

 


Sumber: Twitter

 

Malah Khairy turut berkongsikan video berdurasi 48 saat di TikTok beliau yang menunjukkan proses suntikan vaksin anaknya.

 


Sumber: TikTok

 

Bagaimanapun tidak lama kemudian, tular rakaman versi suntingan berdurasi 10 saat di media sosial yang memaparkan proses vaksinasi Raif disuntik vaksin Covid-19 namun ditambah dengan dakwaan jururawat berkenaan mengeluarkan cecair vaksin daripada jarum suntikan sebelum menyuntik kanak-kanak tersebut.

 

Tentang Raif

MyCheck melakukan semakan ringkas di Internet tentang biodata Raif.

Raif atau nama sebenarnya Raif Averroes, berusia enam tahun merupakan anak bongsu daripada tiga beradik lelaki. Dua lagi abangnya bernama Jibreil Ali, berusia 15 tahun dan Timor Abdullah, 14.

Mereka merupakan cahaya mata hasil perkahwinan Khairy dan pasangannya, Nori yang merupakan anak kepada Perdana Menteri Kelima,Tun Abdullah Ahmad Badawi.

 

Benarkah Dakwaan Suntik Angin?

Kami kemudiannya melakukan penelitian di video tular ‘cucuk angin’ itu dan melihat rakaman video secara berulang kali.

Menerusi pengamatan mata kasar kami, jururawat itu tidak pula menekan picagari bagi keluarkan cecair vaksin terlebih dahulu sebelum menyuntik kanak-kanak itu.

Turut menimbulkan persoalan kami, sejak bila pula picagari mempunyai ‘butang tekan’ di sebelah tepinya tanpa perlu menekan omboh?

Cuba anda perhatikan tangkap layar video tersebut dan bukankah itu praktis terbaik dan mengikut prosedur yang ditetapkan dalam cara memegang picagari sebelum disuntik kepada kanak-kanak?

 


Sumber: Tangkap layar daripada video tular

 

Kami kemudiannya mencari bagaimana picagari berfungsi dan menemui penjelasan yang mudah difahami daripada seorang pakar perubatan bernama Dr Arvinder-Singh HS di Twitter.

 


Sumber: Twitter

 

Jururawat Tampil Membuat Penafian

Dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, jururawat yang memberikan suntikan vaksin kepada anak Khairy memohon agar orang ramai tidak membuat tuduhan melulu berkaitan perkara tersebut.

 


Sumber: Tangkap layar daripada video di Facebook KKM

 

Berikut adalah penjelasan jururawat yang tidak didedahkan identitinya itu :

“Saya melakukan prosedur sama seperti ibu bapa yang lain. Saya ambil vaksin dan tunjukkan bebuli itu kepada ibu dan ayah serta saya tunjukkan juga bagaimana saya ambil dos vaksin daripada bebuli berkenaan dan masukkan ke dalam picagari.

“Saya dah tunjuk kepada ibu dan ayah dan mereka nampak serta bersetuju dengan dos vaksin Pfizer iaitu 0.2 mililiter (ml).

“Tapi kita kena berinteraksi dengan kanak-kanak sebab faham dia punya ketakutan terhadap jarum dan saya terpaksa pegang mereka agar tidak lari atau bergerak.

“Saya tidak akan tunjukkan jarum itu kerana kanak-kanak akan jadi takut dan saya terpaksa letakkan tangan saya ke bawah dan cuba alih perhatian mereka seperti menyuruh mereka mengira satu hingga 10.

“Apabila mereka dah selesa baru saya akan menyuntik vaksin ke lengan mereka serta tunjukkan picagari itu semula kepada ibu bapa,” jelasnya dalam satu rakaman video yang dimuat naik oleh KKM.

Malah di laman Twitter Khairy, Menteri Kesihatan itu membalas respons ciapan laporan berita Astro Awani dengan mengesahkan jururawat yang menyuntik anaknya itu seorang yang profesional dan baik.

 


Sumber: Twitter
 

 

Khairy turut membidas dakwaan tersebut sebagai fitnah dan memberi amaran kepada golongan antivaksin agar tidak mengganggu ibu bapa yang mahu mendapatkan vaksinasi COVID-19 kepada anak-anak mereka.

Selain itu, menerusi perkongsian di Twitter Khairy turut memaklumkan bahawa kadar pendaftaran kanak-kanak untuk mengambil suntikan vaksin juga semakin hari semakin bertambah.

Setakat 15 Februari 2022, graf statistik menunjukkan seramai 892,974 kanak-kanak sudahpun didaftarkan menerusi aplikasi MySejahtera.

 

Respons Pakar Perubatan

Memetik kenyataan KKM di Berita Harian, Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali mengesahkan anak bongsu Khairy Jamaluddin menerima suntikan vaksin menerusi PICKids pada 13 Februari 2022.

Malah Dr Noor Azmi mengatakan dakwaan pihak tertentu mengatakan cecair vaksin berkenaan dibuang terlebih dahulu sebelum suntikan dilakukan adalah tidak benar.

Malah perkara itu turut mendapat perhatian seorang pegawai perubatan yang aktif di media sosial, Dr Malar Santhi,yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia Cheras, Selangor.

Beliau turut menjelaskan bahawa tindakan jururawat yang menyuntik anak Menteri Kesihatan itu adalah praktis biasa untuk kanak-kanak.

Dakwaan ‘cucuk angin’ itu juga turut ditepis oleh para jururawat dan doktor yang rata-rata menjelaskan apa yang dilakukan jururawat terbabit adalah prosedur betul ketika memberi suntikan.

Salah seorang pempengaruh (influencer) media sosial dan juga seorang jururawat, Nur Nabiila Masfuzah di akaun Facebooknya dengan menggunakan nama Bel Nawhen menjelaskan prosedur yang dilakukan oleh jururawat yang menyuntik Raif sememangnya prosedur standard dan mengikut praktis sekian lama.

Bel Nawhen turut membuat hantaran gambar praktis atau prosedur betul dalam melakukan suntikan di Facebooknya.

 

KESIMPULAN

Penyebaran fitnah yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang ini wujud dalam pelbagai bentuk.

Ia bukan sahaja dalam bentuk percakapan dari satu pihak ke satu pihak, surat layang dan media cetak, malah ia turut berlaku dalam bentuk penyiaran radio dan televisyen, penulisan laman web atau blog, sistem perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), laman sosial, video yang dimanipulasikan dan foto yang ditokok tambah dengan menggunakan teknik super impose (teknik tindihan).

Kadangkala sesuatu fitnah itu mudah dipercayai apabila video-video atau foto-foto yang dimanipulasikan nampak asli. Hanya orang yang benar-benar pakar dapat menilai sama ada ia asli atau palsu.

Jadi kita perlulah lebih berhati-hati, latih diri untuk membuat rujukan dan semakan fakta terlebih dahulu.

Jangan kita sebarkan sesuatu perkara yang tidak diketahui kebenarannya atau kesahihannya.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1.mStar. “Sah! Anak KJ terima vaksin Pfizer” Diterbitkan pada 16 Februari 2022.

2.Berita Harian. “KKM sahkan anak KJ terima vaksin” Diterbitkan pada 16 Februari 2022.

3.Astro Awani. “Raif ‘Leo’ Averroes putera ketiga KJ” Diterbitkan pada 23 Mac 2015.

Facebook KKM

4.Astro Awani. “'Tolong, jika tak tahu jangan buat andaian' - Jururawat nafi suntik 'angin' kepada anak KJ” Diterbitkan pada 16 Februari 2022.

5.Astro Awani. “COVID-19: Jangan ganggu ibu bapa mahu vaksin anak mereka - KJ” Diterbitkan pada 16 Februari 2022.

6.Twitter Khairy Jamaluddin

7.Twitter Khairy Jamaluddin

8.Twitter Dr Arvinder-Singh HS

9.YouTube Dr Malar Santhi

10.Instagram Dr Malar Santhi

11.Facebook Bel Nawhen

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.