+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

TIADA Pelepasan Air Tadahan Di Empangan Kenyir, Banjir Di Hulu Terengganu Adalah Akibat Hujan Berterusan

Benarkah...

Berlaku kejadian banjir besar di Hulu Terengganu ekoran pelepasan air dari Empangan Hidro di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) Kenyir susulan takungan air melepasi paras bahaya dan hampir pecah.

Sumber : WhatsApp & Facebook / Februari 2022.

Hasil

Tidak berlaku pelepasan air empangan seperti yang didakwa di dalam video.

15/03/2022 02:08 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan banjir besar di Hulu Terengganu berpunca akibat pelepasan air di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) atau Empangan Kenyir.
  • Bencana banjir itu berlaku ekoran hujan lebat yang berterusan.
  • Turut berlaku beberapa siri tanah runtuh berhampiran empangan yang menyebabkan kejadian tanah runtuh dan ‘banjir puing’ di kawasan itu.

 

LATAR BELAKANG

Hujan lebat berterusan di negeri-negeri di Pantai Timur sejak beberapa hari pada Februari lepas menyebabkan beberapa daerah di Terengganu, Pahang dan Kelantan dilanda banjir pada 25 Februari 2022.

Di Terengganu, lapan daerah iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Besut terjejas dilanda banjir gelombang kelima.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular di WhatsApp mengenai satu video berdurasi 22 saat memaparkan siren sistem penggera banjir dibunyikan di Empangan Kenyir susulan sebahagian tanah di dinding empangan runtuh kerana tidak mampu menampung jumlah simpanan air yang banyak.

Dalam video tersebut, perkarangan penempatan empangan jana kuasa hidro itu mula ditenggelami air serta kelihatan satu ‘gelombang air’ banjir melimpah dan membawa barangan hanyut.

Kedengaran juga beberapa suara individu bercakap dalam bahasa Melayu.

Selain itu video tular berkenaan turut disertakan kapsyen: “Siren dibunyikan di empangan kenyir, Terengganu. #PrayforTerengganu”.

 


Sumber: WhatsApp

 

Selain itu MyCheck turut menerima kiriman video yang serupa namun versinya lebih panjang berdurasi 3 minit satu saat di Facebook yang antara lain memaparkan situasi cemas beberapa kakitangan TNB yang memohon bantuan ekoran terperangkap di tingkat atas bangunan kawasan empangan tersebut.

Dalam video tersebut, perakam turut merakam sebahagian tanah yang dipercayai dinding empangan mula runtuh kerana dipercayai tidak mampu menampung jumlah simpanan air yang banyak.

Turut tertera tanda pagar #prayfortasikkenyir di video itu.

Video tersebut menimbulkan kegusaran dan kembimbangan dalam kalangan masyarakat terutama di Terengganu.

 


Sumber: Tangkap layar beberapa babak video berdurasi 3 minit 1 saat di Facebook

 

APA KAMI TEMUI?

Pertama sekali, kami melakukan carian di Internet dan menemui pelbagai hantaran berkaitan insiden itu di media sosial. Antaranya anda boleh lihat di sini.

Kami kemudiannya melakukan forensik ‘membedah’ video tersebut menggunakan aplikasi InVID.

Menerusi tangkap layar daripada aplikasi itu kami lakukan carian imej berbalik dan mendapati ia adalah video baharu dan kami gagal menemui sebarang gambar atau video berkait dengannya.

 

Pihak Berwajib Nafi Insiden Pelepasan Air

Susulan tular kenyataan di media sosial bahawa paras air di Empangan Kenyir sudah melepasi paras bahaya, pihak berwajib lantas menafikan insiden tersebut sebagai palsu.

Utusan Malaysia Online bertarikh 27 Februari 2022 memetik kenyataan Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata situasi banjir buruk yang melanda daerah Hulu Terengganu sehingga menyebabkan 25 kampung terputus hubungan bukan berpunca akibat pelepasan air dari empangan Kenyir.

Jelas beliau, bencana yang berlaku itu disebabkan taburan hujan lebat dan limpahan air sungai.

Malah TNB Careline dalam satu kenyataan di Facebook pada hari yang sama (27 Februari 2022) memaklumkan paras air di Empangan Hidro di Stesen Janakuasa Kenyir masih berada pada paras terkawal dan di bawah paras limpah ketika kejadian berlaku.

Pemantauan secara berterusan sedang dijalankan oleh TNB dan maklumat yang berkaitan sentiasa disalurkan kepada pihak berkuasa secara berkala.

Untuk rekod, TNB merupakan syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan empangan hidroelektrik itu.

Pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir, Sulong Mustafa, yang dipetik menerusi Harian Metro Online turut berharap orang ramai tidak menyebarkan berita palsu berhubung pelepasan air dari empangan itu.

Berdasarkan pemerhatian beliau, paras air ketika ini adalah lebih rendah berbanding tahun lepas dan air masih belum melimpah ke tempat meletak kenderaan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

 

Insiden Bukan Berlaku Di Empangan Kenyir?

Selain itu ada beberapa pihak mendakwa kejadian berkenaan tidak berlaku di Empangan Kenyir.

Anda boleh lihat penafian mengatakan video itu bukan dari Empangan Kenyir di sini.

Ada juga yang mempertikaikan pihak berwajib yang seolah-olah cuba menutup cerita tanah runtuh itu. Anda boleh bacanya di sini.

Bagaimanapun kami percaya insiden yang terjadi itu sememangnya berlaku di Empangan Tasik Kenyir.

 

Mengapa Kami Berkata Demikian?

Berdasarkan carian kami menggunakan aplikasi Google Earth, setelah dilihat dengan lebih dekat, kami dapati beberapa ‘landmark’ dalam peta itu sama kedudukannya dengan landmark dalam video.

 


Sumber: Google Earth

 

Bangunan biru, masjid dan pejabat didapati sama susunan strukturnya di dalam peta itu.

Malah kami percaya apa yang berlaku adalah kejadian tanah runtuh namun disangka sebagai dinding empangan yang runtuh.

Selang tiga hari kemudian, Astro Awani bertarikh 3 Mac 2022 memetik kenyataan TNB bahwa operasi SJSM ditutup sementara bermula 27 Februari lepas berikutan menara penghantaran voltan tinggi yang menyalurkan bekalan elektrik dari stesen itu kepada Grid Nasional, tumbang akibat tanah runtuh.

Hujan lebat luar biasa yang berterusan sejak 25 Februari 2022 mengakibatkan tanah runtuh yang turut memutuskan akses jalan keluar masuk SJSM pada 4 pagi, hari yang sama.

Aliran mendapan yang membanjiri kawasan stesen itu seterusnya mengalir ke Sungai Terengganu dan enam jam kemudian, berlaku satu lagi tanah runtuh menyebabkan sebuah jambatan serta menara penghantaran 132kV runtuh.

 

TNB Segera Hentikan Operasi SJSM Susulan Kejadian Itu

Namun, sepanjang penutupan sementara SJSM dengan kapasiti 400 megawatt itu, TNB memberi jaminan bekalan elektrik kepada pengguna di Pantai Timur tidak akan terjejas kerana ia boleh ditampung melalui sumber penjanaan lain yang disalurkan menerusi sistem Grid Nasional.

 


Sumber: Keadaan kawasan lokasi video diambil selepas kejadian. Sumber BERNAMA Images

 

Tular Video Baharu Papar Kayu-Kayan Hanyut 

Belum reda dengan insiden video mendakwa empangan air dilepaskan, timbul pula video baharu pada 28 Februari 2022 memaparkan serpihan kayu-kayan dan juga balak timbul di permukaan tasik sebaik sahaja banjir mulai surut.

Video kedua itu merupakan rentetan daripada kejadian yang berlaku dalam video pertama.

Menerusi video daripada akaun TikTok @ery_ganu yang telah tular, kelihatan sekumpulan anggota bomba menaiki bot sambil menguis serpihan kayu yang memenuhi permukaan Tasik Kenyir sehingga menghalang pergerakan mereka.

Anda boleh lihat juga perkongsian video itu di sini dan di sini.

Sesetengah individu mendakwa berlakunya aktiviti pembalakan haram di sekitar Tasik Kenyir sehingga membawa impak kemusnahan yang besar semasa banjir melanda Hulu Terengganu.

 


Sumber: TikTok

 

Susulan perkongsian itu, rata-rata warganet meluahkan rasa sedih dan terkejut dengan kejadian berkenaan yang telah menjejaskan pemandangan Tasik Kenyir yang sebelum ini indah dan mendamaikan.

Lantaran itu, Berita Harian bertarikh 3 Mac 2022 tampil melaporkan kenyataan Pengarah Perhutanan Terengganu Roslan Rani bahawa tiada sebarang kegiatan pembalakan secara haram di sekitar Tasik Kenyir.

Malah Harian Metro bertarikh 3 Mac 2022 turut melaporkan bahawa Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kesan kemusnahan besar akibat banjir di Hulu Terengganu adalah disebabkan gelinciran tanah dan aliran puing bersaiz sederhana di kawasan cerun Sungai Terengganu, berhampiran SJSM di Kenyir.

Ahmad Samsuri berkata berdasarkan siasatan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu di sepanjang Sungai Terengganu berhampiran empangan SJSM itu mendapati tiada aktiviti pembalakan dijalankan di kawasan kejadian.

Namun begitu, gelinciran tanah menyebabkan kejadian tanah runtuh berhampiran SJSM yang membawa sisa-sisa kayu, serpihan dan tumbuhan hanyut dikenali sebagai ‘puing’.

Ini disebabkan faktor hujan lebat yang turun selama lima hari berturut-turut mulai 23 sehingga 27 Februari lepas yang mencecah 1,000 mm (milimeter).

"Gelinciran tanah runtuh dianggarkan bersaiz panjang 100 meter, lebar 50 meter dan tebal lima hingga 10 meter. Sementara aliran puing yang bergerak dari puncak bukit hingga ke Sungai Terengganu ada yang mencapai sehingga 300 meter panjang," katanya menerusi kenyataan yang disiar melalui akaun Facebook rasmi beliau.

Sebelum kami akhiri laporan ini, kami kongsikan pautan kepada rakaman gambar keadaan terkini kawasan kejadian yang disiarkan Facebook BERNAMA Official yang membuat tinjuan menerusi udara di sekitar SJSM Kenyir selepas kejadian tanah runtuh itu.

Anda juga boleh lihat situasi itu di akaun Facebook milik Kamal Husaini Kassim mengenai kawasan berhampiran SJSM Kenyir selepas banjir.

 


Sumber: Facebook Kamal Husaini Kassim

 

Mari Kenali Tasik Kenyir

Di sebalik keindahan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu sebagai antara lokasi tarikan pelancong, pasti ramai yang tidak tahu dasar tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu dahulunya merangkumi sembilan kampung yang menjadi kawasan penempatan penduduk terawal.

Umum mengetahui tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara seluas 2,600 kilometer persegi itu, merangkumi 340 gugusan pulau kecil dan ia sebenarnya adalah kawasan pergunungan serta hutan belantara yang berada di atas paras air, selepas kawasan seluas 38,000 hektar di Tasik Kenyir ditenggelami air.

Pada tahun 1950-an, kerajaan Terengganu membuat keputusan untuk membangunkan Tasik Kenyir sebagai kawasan tadahan air atau empangan bagi menjana tenaga elektrik selain menjadikan kawasan itu tarikan pelancongan baharu.

Dasar tasik itu dulunya menempatkan sembilan kampung dikenali sebagai Kampung Melur, Kelitok, Berching, Petang, Mentong, Melaka, Kuala Terenggan, Kerbak dan Belimbing.

Namun, sembilan kampung berkenaan kemudian mengecil menjadi tiga kampung utama iaitu Kampung Melur, Kelitok dan Berching, dengan jumlah penduduk di ketiga-tiga penempatan itu sekitar 100 keluarga.

Berikutan itu, penduduk di tiga kampung di dasar tasik itu diminta berpindah. Bagaimanapun, mereka tidak diarahkan berpindah begitu saja, sebaliknya kebajikan mereka tetap dibela dengan diberi pampasan sewajarnya.

Siap sepenuhnya pada 1984, Tasik Kenyir dibina untuk menjana kuasa elektrik bagi penduduk Terengganu khususnya dan negara amnya.

Kini, Tasik Kenyir sudah bertukar wajah. Lautan air serta pulau yang satu ketika dulu puncak bukit, pesat dibangunkan dengan pelbagai produk pelancongan seperti Taman Burung, Taman Herba, Taman Tropika dan Pulau Bebas Cukai di Pulau Bayas.

 

KESIMPULAN

Tahukah anda, menjadi mangsa banjir merupakan pengalaman yang perit dan saat cukup mencabar dengan kemusnahan harta benda, bahkan ia juga melibatkan kehilangan nyawa tersayang.

Jadi janganlah sewenang-wenangnya menyebarkan berita tidak sahih kerana ada dalam kalangan kita yang mempunyai masalah kecelaruan atau anxiety. Ia sudah tentu boleh menimbulkan trauma.

Semak fakta betul-betul dan fikir dahulu akibatnya sebelum anda sebarkan sebarang berita atau maklumat.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1.Negara Merdeka. “Video situasi cemas Empangan Kenyir pecah sebabkan staf TNB terperangkap” Diterbitkan pada 27 Februari 2022.

2.Utusan Malaysia. “Banjir buruk di Hulu Terengganu bukan sebab empangan” Diterbitkan pada 27 Februari 2022.

3.Berita Harian. “Paras air Empangan Hidro Stesen Janakuasa Kenyir terkawal - TNB” Diterbitkan pada 27 Februari 2022.

4.Harian Metro. “Jangan sebar berita palsu air empangan dilepaskan” Diterbitkan pada 27 Februari 2022.

5.Sinar Harian. “Empangan Kenyir: Ini fakta menarik anda perlu tahu!” Diterbitkan pada 9 Disember 2019.

6.Harian Metro. “Semua daerah di Terengganu dilanda banjir” Diterbitkan pada 26 Februari 2022.

7.Berita Harian. “Tiada pembalakan haram di Tasik Kenyir - Pengarah Perhutanan Terengganu” Diterbitkan pada 3 Mac 2022.

8.Harian Metro. “Hujan lebat, gelinciran tanah punca banjir puing - MB Terengganu” Diterbitkan pada 3 Mac 2022.

9.Facebook Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

10.Facebook Kamal Husaini Kassim

11.Facebook Kosmo! Online

12.Facebook Dr Suhazeli Abdullah

13. Facebook Mahjan Tsaqfi Abdullah

14.Facebook BERNAMA Official 

15.Facebook Hisyam Ghazali Muda

16.MalayMail. “Lake Kenyir safe for tourists, no risk to visitors following Sunday’s landslide, says Terengganu exco” Diterbitkan pada 3 Mac 2022.

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.