+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

AirAsia Mansuh Cadangan Kenaikan Caj RM100 Di Kaunter Daftar Masuk Kerana Tidak Dapat Persetujuan MAVCOM

Benarkah...

AirAsia bercadang menaikkan caj di kaunter daftar masuk daripada RM20 kepada RM100 bagi menggalakkan orang ramai menggunakan kaedah daftar masuk secara digital bermula 1 Mac 2022.

Sumber : Facebook / Mac 2022

Hasil

Ia dimansuhkan kerana dikatakan tidak mendapat persetujuan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

31/03/2022 02:49 PM

SEKILAS FAKTA

  • Bermula September 2020, AirAsia sudah memperkenalkan caj RM20 bagi penerbangan domestik dan RM30 bagi penerbangan antarabangsa ketika mendaftar masuk secara fizikal di kaunter milik mereka.
  • AirAsia bercadang menaikkan caj itu kepada RM100 untuk menggalakkan orang ramai menggunakan kaedah digital bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.
  • AirAsia memansuhkan cadangan kenaikan caj RM100 kerana tidak dipersetujui MAVCOM dan mengekalkan caj sedia ada masing-masing sebanyak RM20 dan RM30.

 


Sumber: Laman sesawang AirAsia

 

LATAR BELAKANG

AirAsia dilaporkan akan mengenakan caj RM100 kepada mana-mana pengguna yang mendaftar masuk secara fizikal di mana-mana kaunter AirAsia bermula 1 Mac 2022.

Syarikat penerbangan tambang murah berkenaan dikatakan membuat keputusan itu bagi menampung kos operasi penerbangan yang semakin meningkat susulan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.

Keputusan berkenaan mendapat kritikan orang ramai di laman sosial yang menyifatkan ia merupakan keputusan terburu-buru dan membebankan pengguna setia syarikat penerbangan berkenaan.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular dakwaan di Facebook The Reporter bahawa syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia bakal mengenakan caj RM100 di kaunter daftar masuk mereka secara fizikal bermula 1 Mac 2022.

Dakwaaan berkenaan telah menimbulkan kemarahan orang ramai yang mempersoalkan caj berkenaan yang disifatkan agak melampau dan membebankan pengguna setia AirAsia.

 


Sumber: Facebook The Reporter

 

Sehingga laporan ini ditulis, hantaran itu telah mendapat 732 komen, dikongsi 500 pengguna Facebook selain memperoleh respons lebih 2,000.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck mendapati tajuk hantaran yang dibuat oleh laman Facebook berkenaan telah disalah tafsir, seolah-olah Air Asia tidak pernah mengenakan sebarang caj sewaktu mendaftar masuk di mana-mana kaunter AirAsia.

Semakan kami turut mendapati AirAsia sebenarnya telah mula memperkenalkan caj daftar masuk secara fizikal di kaunter mereka sejak September 2020 bagi menggalakkan penumpang menggunakan perkhidmatan secara contactless.

Caj daftar masuk bagi penerbangan domestik adalah sebanyak RM20 manakala penerbangan antarabangsa dikenakan caj sebanyak RM30 sejak 1 September 2020.

Tindakan AirAsia menaikkan kadar caj RM20 kepada RM100 bermula 1 Mac 2022 adalah bagi menggalakkan orang ramai supaya mendaftar masuk menggunakan kaedah digital di laman sesawang Air Asia.

Langkah berkenaan juga bertujuan memastikan tiada sebarang jangkitan Covid-19 berlaku semasa proses daftar masuk.

Caj ini dikenakan di lapangan terbang di negara negara berikut iaitu Malaysia, Vietnam, Brunei, Laos, Taiwan, Hawaii dan India.

Menurut laman sesawang syarikat berkenaan, caj RM100 itu bagaimanapun dikecualikan kepada beberapa kategori.

Kategori-kategori berkenaan adalah seperti berikut :

  1. Golongan orang kurang upaya, 

  2. Penumpang yang melancong dengan bayi berusia bawah dua tahun

  3. Kakitangan AirAsia

  4. Penumpang yang terjejas akibat perubahan jadual dan pembatalan penerbangan serta tiada kios daftar masuk lapangan terbang tersedia atau semua kios daftar masuk tidak boleh digunakan.

  5. Tetamu yang tidak dapat melengkapkan daftar masuk web, mudah alih atau kios kerana masalah sistem daftar masuk, tetamu yang membeli naik taraf tempat duduk atau perkhidmatan berbayar tambahan lain di kaunter daftar masuk

  6. Ahli Airasia Platinum dan ahli 'Airasia Black'

  7. Penumpang Premium Flex (kecuali untuk AirAsia India) dan penumpang Flatbed

  8. Penumpang Corporate Full Flex (GCP) dan penumpang Corporate Lite (GCPL) (kecuali AirAsia India)

  9. Penumpang kategori ‘Red Carpet’

  10. Penumpang Pas Merah (AirAsia India sahaja)

  11. Penumpang atas waran perjalanan dan tempahan kerajaan

  12. Sky Marshals bertugas

  13. Tetamu yang telah mendaftar masuk sendiri, bagaimanapun perlu mencetak semula pas masuk di kaunter daftar masuk

  14. Warga emas berumur 70 tahun ke atas

 


Sumber: Laman sesawang AirAsia

 

AirAsia Batal Cadangan Kenaikan Caj Kerana MAVCOM Tidak Setuju?

Cadangan AirAsia untuk menaikkan caj daftar masuk di kaunter mereka dikatakan tidak dipersetujui oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang merupakan badan selia syarikat penerbangan di negara ini.

Menurut laporan Malaysia Now yang merupakan sebuah media alternatif yang menyiarkan berita berkaitan masyarakat dan isu semasa di Malaysia secara harian, AirAsia bersetuju mengekalkan kadar caj daftar masuk kepada harga asal selepas tidak dipersetujui oleh MAVCOM.

Malaysia Now memaklumkan mereka menghubungi MAVCOM untuk mengesahkan perkara berkenaan. Ia dinyatakan menerusi beberapa perenggan akhir dalam laporan mereka.

 


Sumber: Malaysia Now

 

MyCheck turut membuat semakan di portal rasmi MAVCOM untuk mencari jika ada makluman berhubung pemansuhan caj itu namun tidak menemukan sebarang makluman mengenainya.

Bahkan, AirAsia juga tidak membuat hebahan rasmi kepada media arus utama berhubung keputusan memansuhkan caj itu.

Syarikat penerbangan berkenaan sebaliknya hanya memaklumkan keputusan terbabit menerusi laman sesawang rasmi AirAsia dan tidak dihebahkan kepada umum.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menerusi laman sesawang mereka turut memaklumkan bahawa MAVCOM turut meminta AirAsia untuk mempertimbangkan cadangan kenaikan caj daftar masuk berkenaan susulan aduan daripada orang awam.

Sejajar dengan keputusan terbaharu berkenaan, AirAsia turut merombak beberapa polisi daftar masuk dengan mengehadkan kepada beberapa kategori sahaja.

Kategori-kategori berkenaan adalah seperti berikut:

  1. Warga emas berusia 70 tahun dan ke atas sahaja

  2. Tempahan dibuat di bawah Angkatan Tentera Malaysia dan penjawat awam

  3. Penumpang penerbangan khas

  4. Penumpang yang perlu mencetak semula pas penerbangan walaupun sudah membuat pendaftaran masuk sendiri.

  5. Golongan OKU

  6. Tempahan berkumpulan melebihi 10 orang dan ke atas

  7. Penumpang berusia 12 hingga 16 tahun yang terbang sendirian

  8. Penumpang yang terjejas akibat perubahan atau pindaan jadual penerbangan

  9. Penumpang yang mengubah kategori premium atau pembelian tambahan di kaunter daftar masuk.

  10. Penumpang yang mengalami masalah daftar masuk di kiosk, laman sesawang atau aplikasi telefon bimbit AirAsia.

  11. Penumpang yang tidak mendapat sebarang tempat duduk sewaktu membuat daftar masuk.

  12. Penumpang di bawah kategori ‘Corporate Full Flex and Premium Flex’

 

Sebab Kami Kategorikan Sebagai ‘Tidak Pasti’

Kami telah berusaha mencari kenyataan dari MAVCOM dan laporan berita dari sumber-sumber lain tetapi tidak berjaya menemuinya. Buat masa ini hanya portal Malaysia Now yang melaporkan hal ini bahkan dalam laporan mereka dinyatakan pihak Malaysia Now yang telah berjaya menghubungi MAVCOM.

Untuk kebaikan pembaca MyCheck, kami buat semakan latar belakang portal ini dan mendapati menerusi carian Whois Search mendapati Malaysia Now merupakan sebuah organisasi media alternatif yang diketuai oleh Abdar Rahman Koya iaitu adik kepada bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya yang juga seorang peguam.

Abdar bukanlah nama asing dalam penulisan berita hal ehwal semasa tempatan kerana pernah menyandang beberapa jawatan di beberapa media alternatif lain termasuk sebagai Ketua Pengarang Free Malaysia Today, bekas editor English Section Harakah, selain penyunting The Malaysian Insider.

Selain itu pihak Malaysia Now juga telah bersikap terbuka dengan meletakkan byline penulis artikel ini, Azzman Abdul Jamal yang telah menulis lebih 200 artikel di portal itu. Pautan ke senarai artikel tulisan beliau dapat dilihat di sini.

Walaupun di dalam hati, kami percaya portal Malaysia Now telah buat tugas mereka dengan baik namun dalam prinsip semakan fakta yang dipegang MyCheck, sesuatu kenyataan perlu boleh dibuktikan melalui semakan dengan pelbagai pihak (melainkan ia melibatkan topik yang khusus oleh pakar).

Maka atas sebab itu kami klasifikasikan laporan ini sebagai ‘tidak pasti’.

 

KESIMPULAN

Jangan sekadar membaca tajuk sesuatu laporan berita tanpa mengkaji kandungan berita yang ingin disampaikan oleh sesebuah blog atau mana-mana laman sesawang.

Dapatkan pengesahan daripada pihak yang terlibat sekiranya anda sangsi dengan sebarang laporan berita yang diterima.

Usah mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan reputasi atau kredibiliti sesebuah organisasi atau syarikat yang sememangnya dikenali ramai kerana ia berkemungkinan boleh membawa kepada implikasi undang-undang termasuk tindakan saman daripada pihak yang terjejas dengan kenyataan anda.

-- MYCHECK.MY --


RUJUKAN

  1. Facebook The Reporter MY

  2. AirAsia scraps check-in fee hike after Mavcom intervenes.Published by Malaysia Now.

  3. AirAsia cancels RM100 fee hike for counter check-ins.Published by Malaysia Trend.

  4. AirAsia Quietly Cancels The RM100 Fee Hike For Counter Check-Ins.Published by lowyat.net.

  5. AirAsia batal kenaikan fi daftar masuk selepas campur tangan Mavcom.Diterbitkan oleh FOMCA.

  6. Artikel oleh Azzman Abdul Jamal - https://www.malaysianow.com/author/azzman-jamal/

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.