+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Virus Covid-19 BOLEH Ada Di Dalam Kapal Terbang Atas Beberapa Faktor Persekitaran Walaupun Telah Disanitasi

Benarkah...

Ujian calitan di beberapa bahagian dalam kapal terbang mendapati wujudnya virus Covid-19.

Sumber : Facebook / Februari & Mac 2022 

Hasil

Covid-19 boleh tersebar di persekitaran atau permukaan apabila orang yang dijangkiti virus itu bersin atau batuk ke permukaan yang boleh disentuh orang lain. Keadaan pesawat yang tertutup dan mempunyai kelembapan yang tinggi pula memungkinkan virus ini kekal lama di permukaan walaupun ia telah disanitasi. 

05/04/2022 10:55 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular video penumpang membuat ujian calitan COVID-19 di beberapa bahagian dalam kapal terbang.
  • Hasil calitan menunjukkan wujudnya virus Covid-19 berdasarkan keputusan ‘positif’ pada kit ujian pantas.
  • Video tular yang tersebar melalui Facebook dikatakan dari Malaysia.
  • Video asal tersebut sebenarnya milik seorang pengguna TikTok dari Perancis.

 


Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Sejak dua tahun lepas, umum mengetahui kita terpaksa ‘berkurung’ di kediaman masing-masing ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19. 

Sekatan ini bukan sahaja dilaksanakan di negara kita malah hampir di seluruh dunia. 

Keadaan ini menyebabkan ramai masyarakat menyatakan mereka rindu untuk melihat ‘cop’ di buku pasport mereka. 

Namun, kini Malaysia telah membuat pengumuman untuk membenarkan rakyat melancong ke luar negara. 

Semestinya, pengangkutan udara menjadi pilihan utama bagi kebanyakan orang untuk menuju ke destinasi idaman terutama di luar negara.

 

MENGENAI DAKWAAN

Dakwaan yang memerlukan MyCheck membuka ‘kertas siasatan’ kali ini adalah mengenai satu hantaran di Facebook pada Februari lepas.

Hantaran berbentuk video yang dimuat naik seorang pengguna Facebook menggunakan nama Kang Wai menunjukkan seorang penumpang melakukan ujian calitan di belakang kerusi penumpang dan cermin kapal terbang.

Hasil ujian itu didapati wujudnya virus Covid-19 berdasarkan kemunculan dua garis tanda pada kit ujian yang membawa maksud ‘positif’.

Hantaran ini disertakan dengan kapsyen ‘Have A "Safe" Flight ’ atau selamat memulakan perjalanan.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Video Tular Cetus Kebimbangan Ramai

Video ini nampaknya menarik perhatian ramai apabila menerima lebih 1.6 juta tontonan dengan lebih 34,000 pengguna didapati telah berkongsi hantaran ini.

Tinjauan MyCheck di bahagian komen video juga mendapati ramai warganet menzahirkan kembimbangan mereka atas penemuan virus itu.

Tidak kurang juga ada yang mempersoalkan adakah pengendali syarikat penerbangan benar-benar melaksanakan proses sanitasi di dalam kapal terbang untuk menjamin keselamatan penumpang seperti yang diuar-uarkan selama ini.

 


Sumber: Facebook

 

Video Dari Luar Negara

Bagi mendapatkan maklumat yang tepat, MyCheck menjejaki siapakah pengguna Facebook yang menggunakan nama Kang Wai ini. 

Dapat dilihat banyak hantaran di Facebook pengguna ini berkisar mengenai sesuatu yang berlaku di Kemboja dan Malaysia. 

MyCheck meneliti bahagian ‘about’ di akaun pengguna ini dan mendapati pengguna terbabit memasukkan maklumat bahawa beliau berasal dari Mentakab, Pahang dan menetap di Phnom Penh, Kemboja.

 


Sumber: Facebook

 

Jika diteliti di hantaran berkenaan, pengguna ini turut meletakkan lokasi gambar diambil adalah di Phnom Penh, Cambodia.

 


Sumber: Facebook

 

Jika anda perasan, pengguna ini meletakkan video terbabit dalam album khas yang diberi tajuk ‘information’.

Berkemungkinan video yang dimuat naik itu dikongsi daripada seseorang.

Tambahan pula, hantaran ini merupakan yang pertama diletakkan dalam album tersebut dan kami tidak menjumpai apa-apa hantaran lain yang berkaitan dengan calitan Covid-19.

MyCheck kemudian memainkan video itu beberapa kali untuk mencari maklumat selanjutnya.

Kami dapati terdapat tulisan TikTok bersama nama elone_haccoun, yang dipercayai pengguna akaun itu pada hujung video ini.

 


Sumber: Facebook

 

MyCheck kemudian beralih ke TikTok untuk ‘mengesan’ pengguna ini dan menemukan akaun yang menggunakan nama tersebut.

Tanpa perlu menatal, kami dengan senang menemui video ujian calitan di dalam kapal terbang itu kerana hanya terdapat empat video di akaun Elone_haccoun yang mempunyai seramai 2,128 pengikut (setakat laporan ini ditulis, 31 Mac 2022).

Berdasarkan tarikh yang tertera pada video berkenaan, pengguna TikTok terbabit telah memuat naik video itu pada 11 Januari lepas dan ia telah mendapat 7.3 juta tontonan.

Jelas di sini video asal ujian calitan di dalam kapal terbang itu telah dimuat naik awal tahun ini namun masih ditularkan di akaun media sosial termasuk Facebook.

 


Sumber: TikTok

 

Tidak terhenti di situ, kami cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengguna TikTok ini dengan menterjemah kapsyen yang terdapat dalam video tersebut menggunakan Google Translate.

 


Sumber: Facebook dan Google Translate

 


Hasilnya mendapati pengguna ini berasal dari Perancis. 

Malah, kapsyen tersebut membawa maksud “Saya tidak menanggalkan topeng saya (pelitup muka) walaupun untuk makan,”.

Kapsyen ini menggambarkan pengguna tersebut berasa risau dengan keadaan sekeliling yang mempunyai virus Covid-19.

Pendapat kami, mungkin benar dakwaan ini atas beberapa faktor yang kami akan jelaskan di bawah.

 

Cara Covid-19 Tersebar

Sebenarnya, MyCheck telah membuat semakan mengenai cara virus Covid-19 tersebar menerusi laporan bertajuk ‘Kajian Varian Omicron Tahan Lebih Lapan Hari Di Permukaan Plastik Belum Dapat Dipastikan Sebagai Hasil Rasmi Kajian’

Untuk mengetahui kebenaran dakwaan tersebut, lebih baik jika kita fahami terlebih dahulu bagaimana cara virus itu merebak.

MyCheck mendapatkan maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tentang bagaimana cara Covid-19 ini disebarkan. 

Menurut portal WHO, cara utama Covid-19 tersebar ialah apabila individu yang dijangkiti virus itu mempunyai kontak secara rapat dengan orang lain.

WHO juga menjelaskan bahawa Covid-19 juga boleh tersebar apabila orang yang dijangkiti itu bersin atau batuk, kemudian titisan cecair daripada mulut tersebar ke permukaan yang boleh disentuh orang lain seperti meja, tombol pintu, papan kekunci komputer dan sebagainya.

Besar kemungkinan, ini yang berlaku pada badan pesawat yang telah ‘diuji kaji’ oleh pengguna TikTok tersebut. 

Keadaan pesawat yang tertutup dan mempunyai kelembapan yang tinggi menyebabkan virus ini kekal lama di permukaan walaupun ia telah disanitasi sebelumnya. 

Juga, besar kemungkinan terdapat penumpang yang telah dijangkiti Covid-19 di dalam pesawat tersebut yang menyebabkan partikel-partikel cecair merebak ke permukaan pesawat.

 

Bolehkah Covid-19 Tersebar Melalui Udara?

Ya, memang boleh!

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, Covid-19 merebak melalui titisan cecair dari hidung dan mulut individu yang dijangkiti apabila individu tersebut batuk, bersin, bercakap, menyanyi atau menghembuskan nafas. 

Titisan cecair ini boleh menjadi partikel yang besar (droplet) atau partikel kecil (aerosol). Seseorang boleh dijangkiti apabila menyedut droplet atau aerosol yang mengandungi virus.

Droplet adalah lebih berat dan biasanya akan jatuh dalam lingkungan jarak satu hingga dua meter. 

Aerosol pula boleh kekal di udara untuk tempoh yang lebih lama dan bergerak lebih jauh daripada 1 hingga 2 meter. 

Kebolehan partikel-partikel ini kekal di udara juga bergantung kepada faktor-faktor persekitaran seperti aliran udara dan kelembapan.

 

Kepadatan Virus Dalam Udara Mempengaruhi Jangkitan

Apabila kepadatan virus dalam udara tinggi, jangkitan boleh berlaku kepada individu yang berada pada jarak lebih daripada dua meter dan kepada individu yang hanya merentas ruang tersebut.

Keadaan yang membolehkan virus lebih mudah merebak adalah seperti berikut : 

  • Berinteraksi secara bersemuka pada jarak yang dekat
  • Tempat tertutup yang sesak tanpa pengudaraan yang baik
  • Aktiviti yang menambahkan hembusan titisan cecair daripada seseorang yang dijangkiti seperti sembang kuat, menjerit, menyanyi dan bernafas kuat semasa bersenam
  • Pendedahan kepada keadaan-keadaan di atas untuk tempoh masa yang lama.

 

KESIMPULAN

Jumaat lepas (1 April 2022), Malaysia secara rasminya memasuki fasa peralihan endemik Covid-19. Mahu atau tidak kita terpaksa mengakui bahawa virus Covid-19 memang sudah berada di sekeliling kita. 

Namun, sampai bilakah kita harus berkurung tanpa kebenaran kemana-mana bukan? Oleh itu, amalkan sifat tanggungjawab dan prihatin untuk menjaga diri dan orang sekeliling.

Kerap cuci tangan dan jangan malas untuk mandi setiap kali pulang ke rumah selepas melakukan aktiviti luar.

Jika anda rasa tidak sihat dan bergejala, lakukanlah ujian kendiri dan asingkan diri buat sementara waktu.

Suka MyCheck berkongsi satu kisah menarik yang disiarkan portal berita Kosmo yang memetik laporan Agensi.

Ceritanya mengenai kisah terpuji seorang guru dari Amerika Syarikat yang secara sukarela menjalani kuarantin selama lima jam di dalam tandas pesawat selepas disahkan positif Covid-19 ketika penerbangan dari Chicago, Amerika Syarikat ke Reykjavik, Iceland.

Guru wanita itu disahkan positif setelah melakukan ujian pantas Covid-19 menggunakan kit dibawanya selepas berasa sakit pada tekak. Anda boleh bacanya di sini.

Jelas di sini, ada pilihan untuk menjadi seseorang yang bertanggungjawab. Nak atau tak nak, terpulang pada anda. Tepuk dada, tanya selera.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Akaun Facebook  Kang Wai

  2. Akaun TikTok Elone_haccoun 

  3. MyCheck.my “Kajian Varian Omicron Tahan Lebih Lapan Hari Di Permukaan Plastik Belum Dapat Dipastikan Sebagai Hasil Rasmi Kajian’”. Diterbitkan pada 9 Mac 2022. 

  4. KKM. “Bolehkah COVID-19 merebak melalui udara?”. Diterbitkan pada 25 mei 2022

  5. Kosmo. “Wanita positif Covid-19 kuarantin dalam tandas pesawat”. Diterbitkan pada 1 Jan 2022

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.