+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Video Tular Milo Tiruan Diproses Di Rumah Adalah KEJADIAN LAMA Pada 2015

Benarkah...

Wujudnya Milo tiruan yang dihasilkan dan dibungkus secara manual di sebuah premis kediaman sebelum dijual di pasaran.

Sumber : Facebook / Mac 2022

Hasil

Ia merupakan kejadian lama yang berlaku di Mantin, Negeri Sembilan pada 2015. KPDNHEP telah membongkar sindiket pemprosesan Milo tiruan itu dan kes tersebut telah diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan.

08/04/2022 10:25 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular video menunjukkan pemprosesan Milo dilakukan secara manual di sebuah premis kediaman.
  • Ia merupakan kejadian lama yang berlaku di sebuah kawasan perumahan mewah di Mantin, Negeri Sembilan pada 2015 .
  • KPDNHEP yang ketika itu dikenali sebagai KPDNKK telah membongkar sindiket berkenaan.
  • Tindakan telah diambil terhadap pesalah terlibat dan Milo tiruan itu telah dilupuskan.

 


Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Minum Milo anda jadi sihat dan kuat!

Slogan itu pasti tidak asing dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai bangsa dan peringkat umur.

Milo adalah minuman kegemaran rakyat Malaysia dan pasti ada di kebanyakan rumah, mana-mana kedai makan termasuklah restoran makanan segera di negara ini.

Berikutan digemari ramai rakyat Malaysia selain ia mudah didapati kerana dipasarkan di seluruh negara, ramai dalam kalangan kita menganggap Milo adalah minuman buatan Malaysia.

Namun, minuman yang berasaskan coklat dan malt ini sebenarnya berasal dari Australia dan dicipta oleh seorang lelaki bernama Thomas Mayne pada 1934.

Kini, Milo dikilangkan di pelbagai negara seluruh dunia dan pertama kali memasuki pasaran Malaysia pada 1950, iaitu sebelum negara ini mencapai kemerdekaan lagi.

Dikatakan Malaysia adalah pengguna Milo terbesar di dunia selain minuman itu dikaitkan dengan aktiviti sukan di Malaysia.

Justeru apa jua cerita dan dakwaan yang tular berkaitan Milo pasti mendapat perhatian dan heboh diperkatakan.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular satu video memaparkan seorang lelaki sedang mengisi serbuk koko seumpama Milo ke dalam paket berwarna hijau tertulis perkataan Milo.

Seorang lagi lelaki kemudian mengambil bungkusan itu dan menutupnya (seal) dengan menggunakan mesin pembungkus kedap udara.

Kedua-dua individu tersebut dilihat tidak memakai sarung tangan atau mengenakan pakaian pengendali makanan dan peralatan yang sesuai.

Terdapat tingkap dan langsir di tempat pemprosesan yang menunjukkan suasana seperti di premis kediaman dan bukannya di kilang.

 


Sumber: Facebook

 

APA KAMI TEMUI?

Semakan MyCheck di Facebook mendapati video pembungkusan milo tersebut dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial itu yang menggunakan nama Wan Mahussin Wan Zin.

Video itu dimuat naik pada 16 Mac lepas dengan kapsyen ‘Mohon KPDN HEP siasat. Mungkin ada dipasaran Milo Palsu. Video baru atau lama saya tak pasti tetapi berlegar di media sosial’.

Setakat laporan ini ditulis (7 April 2022), video itu telah mendapat lebih 900,000 tontonan dan dikongsi lebih 15,000 pengguna Facebook.

Pada mata kasar, serbuk koko dalam video itu tidak ubah seperti minuman Milo asli.

Bungkusannya juga sama seperti Milo lain yang dijual di pasaran.

 


Sumber: Facebook

 

Kejadian Berlaku Pada 2015 Dan Ditularkan Semula

Seterusnya MyCheck beralih ke platform Google.

Dengan menggunakan kata kunci ‘milo tiruan + video + sindiket’, kami menemukan laporan disiarkan portal berita Astro Awani berhubung sindiket penghasilan milo tiruan di dalam rumah.

Berita itu disiarkan pada 16 Mac 2015.

Menurut Astro Awani yang memetik laporan Sinar Harian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang kini dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan berjaya merampas produk minuman Milo tiruan di Mantin, Negeri Sembilan.

(Untuk rekod, KPDNKK telah dijenamakan semula sebagai KPDNHEP).

Anda boleh baca selanjutnya di sini.

Malah MyCheck turut mendapati portal semakan fakta Sebenarnya.my pada Mac 2015 juga telah mengeluarkan makluman mengenai sindiket Milo tiruan di Mantin seperti yang dilaporkan media.

 

Bagaimana Sindiket Terbongkar?

Menerusi pencarian di Google Images, MyCheck turut menemukan keratan akhbar berkaitan berita berkenaan.

Menurut laporan akhbar bertarikh 14 Mac 2015 itu, KPDNKK telah menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa terdapat aktiviti mencurigakan di sebuah rumah yang terletak di Taman Mulia, Mantin.

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) kini (PPDNHEP) bersama wakil Syarikat Nestle kemudian telah membuat serbuan dan melakukan pemeriksaan di premis terbabit dan mendapati ia dijadikan tempat bagi pemprosesan Milo tiruan.

 


Sumber: Keratan akhbar daripada Google Images

 

Menerusi operasi itu, sebanyak 225 bungkusan berisi Milo tiruan ditemui disimpan di dalam sebuah bilik selain terdapat beberapa bekas berisi Milo tiruan yang belum dibungkus.

Enam warga Myanmar dan Indonesia berusia lingkungan 20-an yang dipercayai pekerja di rumah itu turut ditahan untuk siasatan.

Gambar keratan akhbar itu memaparkan Ketua Penguat Kuasa PPDNKK Negeri Sembilan Saifulbahri Abdul Kadir bersama bungkusan milo dan besen berwarna merah dan biru sama seperti di dalam video yang tular.

Jelas di sini, video pemprosesan Milo tiruan itu adalah kejadian lama yang berlaku pada 2015 dan ditularkan semula.

 


Sumber: Keratan akhbar daripada Google Images

 

Video Sama Pernah Tular Pada 2017

MyCheck turut mendapati video yang sama pernah ditularkan oleh beberapa pengguna Facebook pada 2017. Anda boleh lihat antaranya di sini, di sini, di sini, dan di sini.

Laporan mengenai video tular itu juga pernah dikeluarkan oleh beberapa media antaranya Berita Harian, mStar dan Berita RTM.

 

Pesalah Telah Dihukum

Menerusi Berita RTM, kes berkenaan telah diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan dan semua barangan telah dirampas.

Pendakwaan juga telah dijalankan di Mahkamah Sesyen Harta Intelek, Seremban dan mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda RM60,000 atau 12 bulan penjara kepada pesalah terlibat.

Semua barang kes itu juga telah dilupuskan dan tidak lagi berada di pasaran.

 

Bagaimana Kenal Pasti Perbezaan Milo Tulen Dan Tiruan?

Selepas KPDNHEP mendedahkan mengenai sindiket Milo tiruan itu, Syarikat Nestle yang merupakan pengeluar Milo telah berkongsi kaedah untuk mengenal pasti perbezaan Milo yang asli dan palsu di laman sesawang dan Facebook mereka.

 


Sumber: Milo Malaysia

 

Menurut Milo Malaysia, pembungkusan Milo asli akan dilakukan menggunakan mesin, maka  bahagian atas bungkusan itu tidak mempunyai gerigi yang jelas atau sempurna.

Perkongsian ini telah menarik perhatian ramai pihak yang melaporkannya sebagai peringatan kepada pengguna antaranya seperti di sini, di sini, di sini dan di sini.

Anda boleh rujuk perbezaan paket Milo asli dan tiruan seperti gambar di bawah.

 


Sumber: Milo Malaysia

 

KESIMPULAN

Dibancuh pekat, dicampur pula dengan ais, siapa mampu menolak bila disua minuman Milo ini.

Apa lagi ketika cuaca panas membahang, tambahan pula di bulan Ramadan.

Jadi cukuplah menyebarkan video lama yang membuatkan tekak pencinta Milo ‘meronta-ronta’.

Dah tak risau nak beli Milo kan? Nah, MyCheck kongsi pelbagai lagi resipi Milo untuk anda di sini.

Asyik menghirup Milo tu, usah dilupa pesan MyCheck - jangan sebar melulu, semaklah dahulu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1.Astro Awani. “Bagaimana hendak bezakan produk Milo asli dan tiruan?” 16 Mac 2015.

2.Berita Harian. “Viral MILO tiruan kes lama - KPDNKK” Diterbitkan pada 26 Mei 2017.

3.mStar. “Penularan Video Milo Tiruan Kes Lama” Diterbitkan pada 26 Mei 2017.

4.Berita Harian. “Nestle perjelas kandungan gula dalam Milo” Diterbitkan pada 6 Februari 2018.

5.Sebenarnya.my. “Sindiket Milo tiruan di Mantin?” Diterbitkan pada Mac 2015.

6.MyNewsHub. “VIDEO: Milo Tiruan Dibungkus ‘Timbang Kilo’ Dalam Rumah” Diterbitkan pada 16 Mac 2015.

7.Blogspot MalayNews1. “Milo Tiruan Di Rampas Di Mantin” Diterbitkan pada 20 Mac 2015.

8.Blogspot BeritaN9. “"Milo Mantin" Tiruan” Diterbitkan pada 16 Mac 2015.

9.Blogspot Dialog Rakyat “KPDNKK rampas produk Milo tiruan” Diterbitkan pada 14 Mac 2015.

10.Blogspot Viral Video “Milo Tiruan Di Rampas Di Mantin” Diterbitkan pada 17 Mac 2015.

11.Facebook Honeyza Yusop Badri

12.Facebook Intan Tahir.

13.Facebook Bettey Awang.

14.,Facebook Muhammad Jeffry

15.YouTube Berita RTM

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.