+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

KWSP TIDAK LANTIK Pihak Ketiga Kendalikan Pengeluaran Khas

Benarkah...

Pengeluaran khas KWSP boleh dilakukan di laman sesawang pengeluarankhas.com.

Sumber : Twitter / Mac 2022 

Hasil

KWSP tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga untuk mengendalikan pengeluaran khas itu. 

13/04/2022 04:48 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu ciapan di Twitter berhubung pengeluaran khas KWSP.
  • Ciapan berkenaan memberi maklumat mengenai cara permohonan pengeluaran khas tersebut dengan menyertakan pautan khas.
  • Ciapan dimuat naik sebelum tarikh pengeluaran khas yang bermula 1 April lepas. 
  • Pautan berkenaan adalah palsu dan tidak dapat diakses.
  • Akaun Twitter yang membuat ciapan berkenaan sudah tidak wujud.
  • Pautan sebenar bagi tujuan ini adalah ‘pengeluarankhas.kwsp.gov.my’ 

(Isu ini tular pada Mac sebelum tarikh permohonan pengeluaran khas yang bermula 1 April. Ia disemak MyCheck bagi tujuan rekod dan database)

 


Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Kehidupan pasca COVID-19 sememangnya memberi cabaran yang besar kepada ramai orang.

Rata-rata menyatakan kesulitan untuk meneruskan kelangsungan hidup kerana kehilangan pekerjaan biarpun kita kini berada dalam fasa peralihan endemik.

Inisiatif pengeluaran dana persaraan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ini dikatakan sebagai penyelamat bagi mereka yang amat memerlukan sumber kewangan.

(Untuk rekod, kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lepas).

Pada 16 Mac lepas, kerajaan membuat pengumuman membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 secara sekali bayar (one-off).

Pengeluaran khas itu bertujuan membantu pencarum KWSP menampung komitmen kewangan bagi menghadapi cabaran kesan daripada pandemik COVID-19.

Menurut KWSP, permohonan untuk pengeluaran khas boleh dilakukan mulai 1 April hingga 30 April 2022.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menemukan satu ciapan yang tular di laman sosial Twitter dan telah ‘memancing’ perhatian ramai.

Ciapan tersebut adalah berkaitan pengeluaran khas KWSP berjumlah RM10,000.

Bersama ciapan itu turut disertakan infografik dan kapsyen : “Ha pada korang yg tercari-cari link Pengeluaran Khas KWSP… dah boleh klik sini je kalau nak mohon: pengeluarankhas.com”.

Turut disertakan satu pautan pada ciapan itu.

Ciapan tersebut dikatakan ‘wujud’ sebaik sahaja pengumuman dibuat iaitu pada 16 Mac 2022. Anda boleh lihat pengumuman di laman sesawang KWSP di sini. 

 

APA YANG KAMI TEMUI

Hasil semakan MyCheck menemui beberapa keraguan daripada hantaran ini antaranya :

Tiada nama pengguna ‘Rafxl’ di Twitter

Melalui pengamatan MyCheck, ‘mention name’ pada Twitter tersebut adalah ‘Rafxl’. MyCheck tidak menjumpai pengguna yang menggunakan nama ‘Rafxl’ pada Twitter. Berkemungkinan pengguna ini telah memadam akaun Twitter tersebut.

 

Pautan Yang Berbeza

KWSP mula mengaktifkan satu portal di pautan ‘pengeluarankhas.kwsp.gov.my’ pada 1 April 2021 bagi yang berminat untuk memanfaatkan inisiatif ini.

Jika diteliti, pautan yang disertakan pada hantaran tular tersebut adalah ‘pengeluarankhas.com’.

Apa yang berbeza adalah tiada perkataan ‘KWSP’ bagi mewakili organisasi yang mengendalikan inisiatif ini dan juga ‘gov.my’ yang dikaitkan dengan kerajaan Malaysia. (Ini adalah salah satu cara untuk mengesan kesahihan sesuatu maklumat dengan pantas).

 

KWSP Nafi

KWSP juga telah menafikan penggunaan pautan yang tersebar dan memaklumkan tarikh khas untuk pengeluaran khas tersebut bermula 1 April 2022.

Sebaliknya, ciapan oleh pengguna twitter bernama Rafxl tersebut dimuat naik sebaik sahaja KWSP membuat pengumuman itu pada 16 Mac lepas.

Ini dapat dibuktikan dengan hantaran yang dibuat oleh KWSP melalui laman sosial Instagram mereka.

 


Sumber: Instagram KWSP

 

Nasihat KWSP

MyCheck dapati KWSP turut menyedari wujudnya maklumat tidak benar berkaitan pengeluaran khas itu dan sering berkongsi pesanan dan nasihat kepada pencarum untuk berhati-hati.

Kami kongsikan di sini beberapa pesanan daripada KWSP berhubung pengeluaran khas ini.

Pencarum dinasihat untuk sentiasa mengikuti portal rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau media sosial Facebook, Instagram dan Twitter rasmi KWSP bagi mendapatkan maklumat yang sahih.

 


Sumber: KWSP

 


Sumber: KWSP

 

KESIMPULAN

Jelas di sini ciapan dan pautan KWSP itu adalah tidak benar.

Perlu diingat apa jua perkara terutama berkaitan wang ringgit ini silalah lebih berhati-hati.

Jangan teruja sampai terpedaya, akhirnya berputih mata.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1.  Instagram KWSP

  2. Laman sesawang KWSP ‘KWSP umum pengeluaran khas untuk ahli yang masih terkesan oleh pandemik’.

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.