+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Ubat Gigi Berflourida TIDAK BAHAYA Untuk Kanak-Kanak, Ia MEMBANTU Cegah Kerosakan Gigi

Benarkah...

Penggunaan ubat gigi berflourida melebihi dos ditetapkan akan membahayakan nyawa kanak-kanak.

Sumber : Facebook / April 2022

Hasil

Flourida tidak berbahaya sebaliknya ia berfungsi menguatkan enamel (lapisan luar gigi) manusia.

05/05/2022 02:28 PM

SEKILAS FAKTA

  • Ubat gigi berflourida dikatakan berbahaya kepada kanak-kanak.
  • Ia sebenarnya mineral semula jadi yang boleh menguatkan lapisan luar gigi dan membantu mencegah kerosakan gigi.
  • Penggunaan ubat gigi berflourida merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada pengurangan kadar kerosakan gigi.
  • Selain di dalam ubat gigi, flourida boleh didapati secara semula jadi di dalam makanan, air, daun teh, di kawasan gunung berapi dan air panas.


Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Tabiat memberus gigi sejak usia kanak-kanak seharusnya diberi perhatian khusus kerana ia secara tidak langsung membantu menjaga kesihatan gigi kita.

Penggunaan ubat gigi berflourida dengan jenis berus yang betul dengan penggunaan sekurang-kurangnya dua kali sehari, selain amalan pemakanan yang sihat membantu kita mendapatkan gigi yang bersih dan nafas yang berbau segar.

 

MENGENAI DAKWAAN

Satu infografik meminta orang ramai untuk mengelakkan penggunaan ubat gigi berflourida kerana dikatakan ia boleh membahayakan nyawa kanak-kanak sekiranya mereka tertelan ubat gigi berkenaan.

 


Sumber: Facebook

 

APA YANG KAMI TEMUI

Dakwaan mengenai keburukan penggunaan ubat gigi berflourida sebenarnya bukanlah dakwaan baharu.

Pada 2015, pelawak tanah air Datuk Afdlin Shauki pernah berkongsi satu hantaran di laman Facebook dan Twitter mengenai kesan penggunaan ubat gigi berflourida untuk jangka masa panjang.

Hantaran itu mendapat lebih 10,200 respons, 1,600 komen dan lebih 6,200 perkongsian (setakat laporan ini ditulis - 26 April 2022).

Afdlin Shauki yang mempunyai lebih 1.4 juta pengikut di laman Facebooknya itu antara lain mendakwa, flourida adalah salah satu bahan paling berbahaya dalam jenayah saintifik.

Penggunaan flourida secara berterusan sejak kecil sehingga dewasa menyebabkan kerosakan otak manusia secara perlahan-lahan untuk jangka masa panjang.

Bagi menguatkan dakwaannnya berhubung kesan negatif penggunaan ubat gigi berflourida, Afdlin turut menyertakan beberapa pautan mengenai kajian keburukan penggunaan flourida dalam satu lagi hantaran di Facebook.

 


Sumber: Facebook Datuk Afdlin Shauki

 

Afdlin Shauki turut berkongsi pautan hantarannya di Facebook ke media sosial Twitternya.

 


Sumber: Twitter Datuk Afdlin Shauki

 

Tindakan beliau itu bagaimanapun mendapat kritikan daripada beberapa pengguna Facebook termasuk seorang doktor gigi Syazwani Zaini yang mendedahkan flourida memang diperlukan dalam rawatan pergigian kerana ia antara lain mencegah gigi berlubang dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau pada masa sama menegaskan kurangnya pendedahan ibu bapa terhadap amalan penggunaan ubat gigi berflourida serta tabiat memberus gigi yang betul menyumbang kepada punca kerosakan gigi membabitkan kanak-kanak di negara ini.


Sumber: Facebook Dr Syazwani Zaini

 

Dakwaan Datuk Afdlin Shauki mungkin berkait rapat dengan sebuah artikel bertajuk ‘Bahaya Florida dalam Ubat Gigi dan Air’ yang dikongsi oleh beberapa individu di laman Facebook termasuk seorang pengguna iaitu Waheeda Halim.

Antara dakwaan yang disiarkan dalam artikel berkenaan mendakwa flourida akan mengakibatkan tulang manusia menjadi rapuh selain ia merendahkan kemampuan IQ manusia tanpa mereka sedari.

Selain itu, artikel berkenaan turut mendakwa penggunaan flourida boleh menyebabkan kanser mulut dan ulser, selain mendedahkan penggunaan ubat gigi jenama ‘Colgate for kids’ mengandungi kandungan fluorida (143 mg).

Jumlah kuantiti berkenaan sudah cukup untuk membunuh seorang kanak-kanak yang mempunyai berat bawah 30 kilogram, demikian menurut artikel berkenaan.

 


Sumber: Facebook Waheeda Halim

 

Selain itu, satu blog tempatan iaitu Kelab Pemimpin Semabok Perdana turut berkongsi sebuah artikel luar negara berhubung kesan negatif penggunaan flourida dalam ubat gigi.

Artikel berkenaan mendakwa penggunaan flourida dalam ubat gigi boleh menyebabkan pelbagai penyakit berbahaya seperti kanser, ruam kulit, gastrik, kerapuhan tulang, keracunan saraf, kanser dan keretakan tulang, masalah buah pinggang di kalangan pesakit selain menjadi punca kekurangan IQ di kalangan kanak-kanak.

Artikel berkenaan sebenarnya dipetik daripada dua sumber iaitu The Secret Medicines serta sebuah blog iaitu pelbagai.com, namun artikel asal sudah dipadam.

 

Flourida Bantu Atasi Masalah Gigi Dalam Kalangan Kanak-Kanak

Penggunaan flourida dalam rawatan pergigian sebenarnya membantu mengekalkan kesihatan gigi dalam kalangan kanak-kanak serta wanita hamil.

Menurut seorang doktor gigi, Dr Iqbal Rosali menerusi hantaran di Facebook, flourida membantu menguatkan enamel iaitu lapisan luar gigi, malahan ia selamat untuk digunakan oleh sesiapa sahaja tidak kira ibu mengandung atau anak kecil.

Beliau turut memaklumkan sapuan flourida akan diberikanlebih kerap kepada golongan berisiko tinggi yang mendapat gigi berlubang seperti wanita hamil dan kanak-kanak.

 


Sumber: Facebook Dr Iqbal Rosali

 

Portal MyHEALTH turut memaklumkan penggunaan ubat gigi berflourida merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada pengurangan kadar kerosakan gigi di serata dunia.

Pengambilan fluorida berlebihan oleh kanak-kanak sering kali terjadi bila mereka menelan ubat gigi berfluorida semasa memberus gigi.

Sesetengah kanak-kanak suka dengan rasa ubat gigi yang berperisa, sekali gus menyebabkan mereka menelan ubat gigi tersebut.

Dalam beberapa keadaan, sebahagian kanak-kanak diberi flourida tambahan secara berlebihan, namun sebenarnya bekalan air paip bersih itu sendiri mengandungi flourida yang mencukupi.

Pengambilan flourida yang berlebihan semasa proses pembentukan gigi boleh menyebabkan fluorosis gigi. Kesannya, lapisan luar gigi (enamel) yang putih dan licin menjadi lubang-lubang kecil berwarna coklat. Warna ini kelihatan jelas pada permukaan gigi hadapan.

Fluorosis gigi merupakan satu keadaan yang mempengaruhi penampilan gigi seperti kemunculan garis putih tipis pada lapisan luar gigi.

Menurut sebuah rangkaian kesihatan tempatan yang membicarakan mengenai hal ehwal kesihatan Cochrane Malaysia, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Kumpulan Kesihatan Kesihatan Mulut di Manchester, United Kingdom mendapati, kanak-kanak yang memberus gigi menggunakan ubat gigi berflourida pada kadar 1500 bahagian per juta (ppm), mengurangkan amaun kerosakan baru apabila dibandingkan dengan ubat gigi tanpa flourida.

Amaun kerosakan yang baharu adalah sama dengan ppm 1055 berbanding ubat gigi berfluorida 550 ppm dan ada sedikit pengurangan amaun kerosakan baru dengan fluorida 1450 ppm berbanding ubat gigi berfluorida 440 ppm.

Ubat gigi berflourida pada kadar 1000 atau 1100 ppm pula dilaporkan mampu mengurangkan kerosakan bagi gigi golongan dewasa berbanding ubat gigi tanpa flourida.

 

KESIMPULAN

Penggunaan flourida dalam ubat gigi secara tidak langsung membantu mengekalkan kesihatan gigi yang merupakan salah satu bahagian penting dalam tubuh badan manusia.

Pengambilan flourida bagaimanapun harus dikawal bagi memastikan masalah flourosis iaitu kerosakan gigi akibat penggunaan flourida secara berlebihan tidak berlaku.

Tabiat memberus gigi dengan betul juga membantu kita mendapatkan gigi yang cantik selain nafas yang berbau segar.

Amalkan tabiat memberus gigi sejak kecil untuk mengekalkan kesihatan mulut dan gusi.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook Datuk Afdlin Shauki

  2. Twitter Datuk Afdlin Shauki

  3. Facebook Dr Syazwani Zaini

  4. Kelab Pemimpin Semabok Perdana

  5. Facebook Dr Iqbal Rosali

  6. MyHealth

  7. Cochrane.org

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.