+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Pendingin Hawa Bukan Penyebab Bell’s Palsy

Benarkah...

Terlalu lama terdedah kepada pendingin hawa boleh menyebabkan seseorang individu boleh diserang Bell’s palsy.

Sumber : Facebook & TikTok  / Jun 2022

Hasil

Doktor pakar mengesahkan pendingin hawa bukan punca serangan Bell’s palsy sebaliknya ia berlaku ekoran radang di saraf trigeminal, iaitu salah satu saraf utama di kawasan muka dan mulut.

08/06/2022 09:02 PM

SEKILAS FAKTA

  • Seorang remaja lelaki mendakwa terkena serangan Bell’s palsy kerana wajahnya terlalu lama terdedah kepada pendingin hawa.
  • Remaja berkenaan turut menasihati orang ramai untuk mengurangkan suhu pendingin hawa ketika menaiki kenderaan.
  • Doktor pakar berkata Bell’s palsy tiada kaitan langsung dengan pendedahan terhadap pendingin hawa. 
  • Sebaliknya, Bell’s palsy adalah disebabkan trigeminal nerve iaitu radang yang terjadi di saraf trigeminal. 
  • Beberapa faktor lain serangan adalah penyakit diabetes dan jangkitan saluran pernafasan. 

 


Sumber: TikTok

 

LATAR BELAKANG

Kebelakangan ini acap kali kita terdengar orang sekeliling terkena serangan Bell’s palsy.

Bell’s palsy adalah kelumpuhan di otot wajah.

Antara figura awam yang pernah terkena Bell’s palsy adalah selebriti antarabangsa Angelina Jolie, pelakon tempatan Faye Kusairi dan Adibah Noor.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tersebar satu dakwaan di media sosial mengatakan seorang remaja lelaki telah terkena serangan Bell’s palsy kerana wajahnya terlalu lama terdedah kepada pendingin hawa.

Dakwaaan ini juga turut disiarkan dalam beberapa portal antaranya sinar plus dan Beautifulnara.

Benarkah pendingin hawa boleh menyebabkan Bell’s palsy? Berapa ramai akan berisiko terkena Bell’s palsy? Jom MyCheck semak.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apakah Itu Bell’s Palsy?

Menurut KKM Bell’s Palsy adalah satu kelemahan otot muka disebabkan oleh inflamasi pada urat muka.

Kelemahan pada otot muka ini akan menyebabkan wajah pesakit menjadi senget.

 


Sumber: Google

 

Bell’s palsy biasanya berlaku secara tiba-tiba dan kebiasaannya terjadi di sebelah muka. Ia dikatakan biasa berlaku kepada individu berusia antara 10 hingga 40 tahun.

Faktor penyebabnya masih kurang jelas, namun kebanyakan kes mungkin disebabkan jangkitan virus.

Majoriti pesakit pulih semula dan dapat senyum kembali seperti normal dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

Dikatakan, sesiapa sahaja boleh terkena Bell’s palsy dan kesannya terhadap lelaki mahupun wanita adalah sama.

Antara tanda dan gejala Bell’s palsy adalah mata berair secara berlebihan, pendengaran menjadi lebih sensitif, sakit telinga, kesukaran untuk mengunyah makanan, sudut mulut jatuh dan air liur meleleh, deria rasa terjejas, kelopak mata jatuh serta kehilangan kerutan dahi.

Anda juga boleh baca antara gejala Bell’s palsy yang dikongsikan KKM di laman Facebook rasminya di sini.

 


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Video Tarik Perhatian Ramai

Berdasarkan semakan MyCheck, dakwaan mengenai pendingin hawa punca serangan Bell’s palsy ini dibuat oleh seorang pengguna TikTok.

Pengguna berkenaan yang menggunakan nama akaun @sugar_gloww telah memuat naik satu video menunjukkan wajahnya yang senget. 

Remaja ini mendakwa telah terkena serangan Bell’s palsy kerana wajahnya terlalu lama terdedah kepada pendingin hawa.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk mengurangkan suhu pendingin hawa ketika menaiki kenderaan.

MyCheck juga mendapati pemilik video ini berasal dari Indonesia dan mempunyai lebih 68,000 pengikut dan disukai oleh 1.5 juta pengguna.

Malah, video remaja ini menarik perhatian ramai apabila menerima hampir 200,000 tontonan dengan 6,651 tanda suka (likes).

 


Sumber: TikTok

 

Video dimuat naik remaja ini di tular dan dikongsikan di media sosial lain antaranya Facebook.

Blog mengenai gosip artis Malaysia, Beautifulnara turut berkongsikan dakwaan itu di Facebooknya, Beautiful.Nara.com.

Menjengah ke ruangan komen yang dikongsikan di Facebook Beautifulnara itu, MyCheck mendapati ramai warganet menzahirkan kembimbangan dan tidak kurang juga yang mempersoalkan kejadian itu dengan menyifatkan ia hanya rekaan semata-mata.

 


Sumber; Facebook

 

Respons Doktor pakar

MyCheck berjaya mendapatkan respons daripada doktor pakar bagi mengulas dakwaan ini.

Menurut Doktor Ammar Rashidi Abdullah yang bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, serangan Bell’s palsy ini tiada kaitan langsung dengan pendedahan terhadap pendingin hawa.

Sebaliknya, Bell’s palsy adalah disebabkan trigeminal nerve iaitu radang yang terjadi di saraf trigeminal.

Saraf trigeminal bertugas untuk mengawal otot muka dan perlu melepasi satu saluran pada tengkorak muka untuk tiba di otot tersebut.

Dalam kes Bell’s palsy, saraf trigeminal menjadi bengkak dan keradangan yang menyebabkan saraf gagal untuk berfungsi dengan sempurna. Keradangan ini selalunya dikaitkan dengan jangkitan virus.

Virus yang boleh menjangkiti saraf tersebut adalah seperti virus selesema (influenza B), virus penyakit tangan, kaki dan mulut (coxsackievirus), beguk (mumps virus) dan cacar air (chickenpox).

Selain otot muka, saraf trigeminal ini juga mengawal pengeluaran air mata, air liur, deria rasa dan tulang kecil di dalam telinga. Jadi, inilah penyebab kelopak mata terjatuh, air liur meleleh, tiada deria rasa dan sebagainya.

 

Faktor Serangan Bell's Palsy

Menurut Dr Ammar Rashidi, antara beberapa faktor serangan Bell's palsy adalah penyakit diabetes dan jangkitan saluran pernafasan.

Jangkitan virus pada saraf menyebabkan keradangan dan bengkak, sekali gus mengakibatkan saraf gagal berfungsi dengan sempurna.

Jadi, serangan Bell’s palsy ini sama sekali tiada kaitan dengan pendedahan yang lama terhadap pendingin hawa.

 

KESIMPULAN

Siapa tidak risau jika tiba-tiba wajah yang normal menjadi senget atau herot akibat Bell’s palsy. Namun jangan bimbang kerana serangan itu biasanya bersifat sementara.

Segeralah berjumpa doktor dan dapatkan rawatan yang sewajarnya.

Untuk anda yang pernah terkena serangan Bell’s palsy ini tidak salah jika mahu berkongsi pengalaman tetapi janganlah memberi maklumat yang tidak benar dan menakutkan orang ramai untuk menggunakan pendingin hawa.

Bagi yang sedang mengalami serangan Bell’s palsy, jangan murung dan jangan pula dicabut pendingin hawa yang ada di rumah atau pejabat tu ya.

Jika anda ada apa-apa keraguan, jangan lupa hubungi MyCheck. Jangan sebar melulu, MyCheck dulu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Lelaki dedah stroke muka terdedah aircond lama, berikut fakta Bell's Palsy - Sinar Plus

  2. Penyakit Bell's Palsy - Tanda dan Punca - Tips Kesihatan 

  3. Apa Itu Bells Palsy

  4. Trigeminal Neuralgia - What You Need to Know 

  5. Instagram @sugar_gloww.

  6. Beautifulnara “(VIDEO) “Bahayanya..” – Separuh Wajah Lelaki Ini Lumpuh Gara-Gara Hadap Air Cond Terlalu Lama”. 

  7. Marca. "Angelina Jolie Angelina Jolie suffered Bell's palsy after her divorce from Brad Pitt".,  

  8. Mstar. "Feye Kusairi  alami lumpuh dimuka". 

  9.  Kosmo. "Air meleleh daripada mulut, Adibah Noor kena bell’s palsy".

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.