+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Gambar Diterbitkan NASA BUKAN Bulan Terbelah Dua Tetapi Garisan Di Permukaan Bulan

Benarkah...

NASA mengeluarkan gambar menunjukkan permukaan bulan terbelah dua. 

Sumber : Facebook / 2013 - 2014

Hasil

Gambar berkenaan adalah garisan di permukaan bulan. NASA memaklumkan tiada bukti saintifik mengesahkan bulan pernah terbelah dua.

09/06/2022 12:53 PM

Penyelidik : Nik Nur Najla Nik Zaid, Pelatih Praktikal dari UiTM 

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan bahawa NASA mendedahkan bulan pernah terbelah dua pada 2013.
  • Menurut NASA tidak ada bukti saintifik menunjukkan bahawa bulan pernah terbelah kepada dua atau lebih.
  • Gambar tular itu sebenarnya merupakan ‘A Lunar Rille’ iaitu garisan pada permukaan bulan, bukannya bulan terbelah dua.


Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Tiga angkasawan Amerika Syarikat iaitu Neil Armstrong, Michael Collins dan Edwin ‘Buzz’ Aldrin Jr, merupakan kru misi manusia pertama ke bulan dengan pesawat angkasa lepas pada Julai 1969.

Dikenali dengan nama Apollo 11, misi tersebut adalah untuk melengkapkan matlamat yang ditetapkan oleh Presiden John F. Kennedy pada 25 Mei 1961 iaitu melakukan pendaratan di bulan dan kembali ke bumi.

Objektif pendaratan termasuklah penerokaan saintifik menggunakan Lunar Excursion Module (LEM), sebuah kapal angkasa pendarat Lunar yang diterbangkan di antara orbit bulan dan permukaan Bulan semasa program Apollo itu.

Selain itu, mereka perlu menyediakan penempatan kamera televisyen untuk menghantar isyarat ke bumi serta eksperimen komposisi angin suria, pakej eksperimen seismik (kajian gempa dan gelombang anjal di bumi) dan ‘Retroreflector Ranging Laser’ (kajian berkaitan mengukur jarak antara permukaan Bumi dan juga Bulan).

Semasa penerokaan, para angkasawan tersebut juga perlu mengumpulkan sampel bahan permukaan bulan serta mengambil gambar kawasan bulan dengan menggunakan peralatan saintifik.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: Facebook

 

Tular di media sosial satu hantaran berserta gambar dari Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) yang menunjukkan imej seumpama permukaan bulan terbelah dua.

Hantaran itu dimuat naik pada 11 Jun 2013 di satu akaun Facebook yang menggunakan nama Giler Kentang yang memiliki lebih 977,000 pengikut.

Gambar itu disertakan dengan kapsyen : “SubhanaAllah! (5 Gambar) Bukti Kebenaran Bulan Pernah Terbelah Dua. Pihak NASA mengesahkan terdapat kesan jalur di bahagian keliling permukaan bumi. NASA telah menghantar 3 angkasawannya ke bulan untuk kajian yang lebih terperinci.

Setelah mereka membuat kajian, bahawa bulan pernah terbelah dua. Setelah hasil kajian ini didedahkan kepada umum, alangkah terkejutnya mereka, apabila diberitahu bahawa kisah bulan terbelah dua ini telah diceritakan oleh Al-Quran kira-kira 1400 tahun yang lalu.”

Jadi benarkah NASA pernah membuat dakwaan tersebut? Jangan melulu, biar MyCheck semak dahulu ya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Gambar Asal NASA Adalah A Lunar Rille (Garisan Di Permukaan Bulan), Bukan Bulan Terbelah

Langkah pertama MyCheck terus melakukan semakan menerusi enjin carian Google bagi mencari gambar yang tular.

Kami menemukan gambar berkenaan disiarkan di laman sesawang rasmi NASA, bahagian Astronomy Picture of the Day.

Gambar berkenaan diberi tajuk ‘A Lunar Rille’ yang merupakan gambar diambil oleh NASA semasa eksplorasi angkasa.

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa Dan Pustaka, lunar merupakan bulan manakala rille adalah salah satu lembah seperti rekahan atau parit yang panjangnya hingga beberapa ratus kilometer dan lebarnya satu hingga dua kilometer yang biasanya terdapat di permukaan bulan.

 


Sumber: apod.nasa.gov.my

 

Selain itu terdapat keterangan pada gambar berkenaan iaitu :

What could cause a long indentation on the Moon? First discovered over 200 years ago with a small telescope, rilles (rhymes with pills) appear all over the Moon. Three types of rilles are now recognized: sinuous rilles, which have many meandering curves, arcuate rilles which form sweeping arcs, and straight rilles, like Ariadaeus Rille pictured above. Long rilles such as Ariadaeus Rille extend for hundreds of kilometers. Sinuous rilles are now thought to be remnants of ancient lava flows, but the origins of arcuate and linear rilles are still a topic of research. The above linear rille was photographed by the Apollo 10 crew in 1969 during their historic approach to only 14-kilometers above the lunar surface. Two months later, Apollo 11, incorporating much knowledge gained from Apollo 10, landed on the Moon,”.

Terjemahan : 

Apa yang menyebabkan lekukan panjang di bulan? Pertama kali ia ditemui lebih 200 tahun dahulu dengan teleskop kecil, rilles (garisan) muncul di keseluruhan bulan. Tiga jenis garisan telah dikenal pasti: garisan berliku-liku yang mempunyai banyak lengkung, garisan arkuate yang melayah turun dan garisan lurus (Ariadaeus Rille) seperti gambar di atas. Garisan panjang seperti Ariadaeus Rille menjangkau ratusan kilometer. Garisan Sinuous kini dianggap sebagai sisa aliran lava purba, tetapi asal usul garisan Arkuate dan garisan linear masih menjadi topik penyelidikan. Gambar garisan linear seperti di atas telah dirakam oleh kru Apollo 10 pada 1969 semasa detik bersejarah mereka yang berada hanya 14 kilometer dari permukaan bulan. Dua bulan kemudian, Apollo 11 yang memperoleh pengetahuan daripada Apollo 10, telah mendarat di bulan,”.

Jadi memang benar NASA ada menyiarkan gambar berkenaan tetapi ia adalah mengenai garisan di permukaan bulan dan bukannya bulan terbelah dua seperti yang didakwa.

 

Tiada Bukti Saintifik Sahkan Bulan Pernah Terbelah Dua

MyCheck juga menemukan kenyataan daripada NASA mengenai dakwaan itu di laman sesawang Solar System Exploration Research Virtual Institute (SSERVI).

Menurut NASA, pihaknya telah membuat penjelasan mengenai dakwaan itu pada 2009, namun ingin menjelaskannya sekali lagi secara lebih terperinci pada 21 Jun 2010.

Brad Bailey yang merupakan saintis dan Pengarah Bersekutu untuk sains di NASA berkata :

My recommendation is to not believe everything you read on the internet. Peer-reviewed papers are the only scientifically valid sources of information out there. No current scientific evidence reports that the Moon was split into two (or more) parts and then reassembled at any point in the past,”.

Terjemahan : 

Cadangan saya adalah untuk tidak mempercayai semua yang anda baca di internet. Kajian semula setara adalah satu-satunya sumber maklumat yang sah secara saintifik di luar sana. Tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa bulan pernah terbelah menjadi dua (atau lebih) bahagian kemudian bersambung semula pada satu ketika dulu,”.

 


Sumber: sservi.nasa.gov

 

KESIMPULAN

Dakwaan bulan terbelah dua adalah tidak benar. Gambar yang disiarkan NASA telah ditularkan dengan keterangan yang salah.

Seperti kata saintis di NASA, Brad Bailey, usahlah percaya semua perkara yang anda baca di Internet.

Semak dahulu kesahihannya. Jadilah individu yang berkongsi ilmu bermanfaat bukannya pencetus huru-hara yang menyampaikan berita tidak benar.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook tular tangkap layar gambar NASA

  2. Apollo 11 Mission Overview

  3. Astronomy Picture of the Day

  4. Evidence of the moon having been split in two

  5. The Full Moon NASA’s Cosmos

  6. Rima Ariadaeus, a Linear Rille

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.