Subsidi minyak dimansuhkan, harga petroleum naik kepada RM6.20 seliter bagi RON97, RM4.50 (RON95) dan RM3.90 (diesel) bermula 1 Julai 2022.
Sumber : Sumber: Facebook & WhatsApp / Jun 2022
Tiada sebarang pengumuman daripada pihak berwajib berhubung pemansuhan subsidi petroleum. Kenaikan harga itu hanyalah andaian jika subsidi petrol dimansuhkan.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Isu kenaikan harga barangan memang hangat diperkatakan umum sejak kebelakangan ini.
Belum reda dengan keluhan orang ramai terhadap harga barangan keperluan asas seperti ayam, daging dan sayur-sayuran melambung tinggi, timbul pula dakwaan isu kenaikan mendadak harga petroleum.
Keadaan ini tambah merunsingkan ramai pihak. Mana tidaknya, masih ramai yang baru hendak mula bangkit setelah kehilangan pendapatan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Tentunya ramai yang akan cepat melatah jika timbul isu berkenaan kenaikan sebarang kos sara hidup mahupun caj perkhidmatan.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima satu dakwaan dalam bentuk infografik menyatakan terdapat harga baharu petroleum bermula 1 Julai ini.
Harga jualan yang didakwa bagi petroleum RON97, RON95 dan diesel adalah seperti yang tertera dalam bulatan merah.
Jika diteliti pada infografik berkenaan, terdapat kenaikan harga yang banyak berbanding harga runcit sebelum ini iaitu RM4.84 seliter bagi RON97, RM2.05 (RON95) dan RM2.15 bagi diesel (setakat berita ini ditulis pada 30 Jun 2022).
Apakah sumber sebenar dakwaan ini? Adakah maklumat pada infografik tersebut sah? MyCheck semak kesahihannya untuk anda!
APA YANG KAMI TEMUI
MyCheck membuat carian menggunakan infografik yang diterima dan mendapati ia telah dikongsi oleh sebuah akaun yang menggunakan nama The Sulap di laman Facebook.
Berdasarkan penelitian pada infografik yang dimuat naik di laman itu pada 24 Jun lepas, rajah yang dikongsikan adalah gambar yang sama dengan dakwaan yang kami terima.
Hantaran yang dibuat oleh The Sulap itu turut menyatakan ‘berdasarkan informasi yang mereka dapat, sekiranya subsidi minyak ditarik, maka harga baharu petroleum akan meningkat seperti yang digambarkan menerusi infografik berkenaan.
Pelbagai reaksi dizahirkan warganet berhubung hantaran yang dimuat naik laman The Sulap itu dan ia turut mendapat lebih 10,000 perkongsian setakat laporan ini ditulis.
Ramai pihak yang tidak bersetuju sekiranya harga petroleum dijual pada harga seperti yang tertera kerana menyifatkan kenaikannya terlalu mendadak.
Namun terdapat juga segelintir pengguna Facebook yang faham maklumat yang disampaikan serta menegaskan bahawa hantaran itu hanya sekadar membuat perkiraan atau andaian sekiranya subsidi bahan bakar ditarik oleh kerajaan.
Perkongsian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
MyCheck meneruskan pencarian berhubung dakwaan tersebut bagi mengumpul lebih banyak maklumat tentang bagaimana infografik ini tersebar, siapa yang menyunting rajah tersebut dan apa tujuannya.
Dalam masa sama, kami temui juga hantaran yang dimuat naik di Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru Datuk Junz Wong.
Beliau berkongsi hantaran yang dibuat oleh laman The Sulap berkenaan infografik harga petrol yang dipercayai telah disunting itu.
Hantaran dimuat naik beliau yang disertakan dengan kenyataan bertajuk ‘Kenaikan Harga Minyak Runcit Produk Petroleum Bermula 1 Julai 2022’ itu mendapat pelbagai reaksi orang ramai.
Tidak kurang juga warganet yang turut berkongsi hantaran berkenaan.
Menurut beliau belum pun selesai isu kenaikan harga barang runcit, ayam dan minyak sawit, timbul pula isu kenaikan harga minyak petrol yang kini sedang hangat diperkatakan oleh rakyat Malaysia.
Wong juga menggesa agar perdana menteri mengumumkan kesahihan berita ini dan menjelaskan dengan segera agar rakyat tidak panik beratur panjang untuk membeli minyak di stesen-stesen minyak seperti yang pernah berlaku beberapa tahun sebelum ini.
Berdasarkan frasa ayat yang digunakan, nampaknya beliau 'meminta penjelasan kesahihan dakwaan' seperti tertera pada infografik yang tular itu.
Disebarkan Kerana Keliru Dengan Maklumat Disampaikan
Selain dua pihak yang telah kami ulas terlebih dahulu itu, terdapat juga pengguna Facebook lain yang telah berkongsi infografik yang sama serta membangkitkan rasa tidak puas hati dengan isu kenaikan harga runcit petroleum.
Nampaknya infografik yang meragukan itu dikongsikan oleh mereka tanpa menyemak kesahihan sumber maklumat yang disebarkan sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat terhadap infografik tersebut.
Tidak dapat dipastikan pihak yang mula-mula menyebarkan infografik yang mengelirukan itu.
Maklumat Portal Rasmi Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)
Sebenarnya, jika anda inginkan kepastian harga runcit baharu petroleum pada setiap minggu, anda boleh melakukannya dengan mudah hanya di hujung jari iaitu menerusi laman sesawang rasmi Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
Menurut portal MOF, harga runcit produk petroleum bagi tempoh 30 Jun 2022 hingga 6 Julai 2022 adalah ditetapkan petrol RON97 kekal pada paras RM4.84 seliter, petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter dan diesel kekal pada paras RM2.15 seliter.
Jelaslah bahawa tiada kenaikan harga petroleum seperti yang menjadi kekeliruan sesetengah pihak.
Berkenaan dengan isu pemansuhan subsidi petrol pula, setakat laporan ini ditulis memang tiada sebarang pengumuman rasmi daripada mana-mana pihak berwajib.
Berikut kami kongsikan infografik harga petrol sebenar.
KESIMPULAN
Berdasarkan maklumat yang telah kami semak, dakwaan tersebut ternyata tidak benar.
Kekeliruan seperti ini timbul apabila ada pihak yang gemar berkongsi pendapat peribadi yang tidak berasas beserta maklumat yang tidak sahih di laman sosial.
Perbuatan seperti ini amat tidak bertanggungjawab lebih-lebih lagi dalam keadan ekonomi yang tidak menentu dan ramai orang di luar sana yang sedang berusaha untuk memperbaiki tahap ekonomi masing-masing.
Sebagai pengguna teknologi tanpa sempadan yang bijak, seharusnya kita lebih peka dengan sebarang maklumat yang diterima.
Jika ragu, semak dahulu!
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.