+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Kejadian Terputus Bekalan Elektrik Di Terowong Mina Memang Berlaku, Namun Tidak Meragut Nyawa. Video Jemaah Maut Adalah Tragedi Rempuhan Pada 2015

Benarkah...

Terowong di Mina terputus bekalan elektrik dan menyebabkan berlakunya rempuhan di lokasi itu sehingga mengorbankan ramai jemaah.

Sumber : YouTube, Facebook & WhatsApp / Julai 2022

Hasil

Kejadian terputus bekalan elektrik memang berlaku di Mina pada Julai lepas namun tidak mengakibatkan kehilangan nyawa. Video jemaah meninggal pula adalah kejadian rempuhan di Mina pada 2015. 

20/07/2022 12:24 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan kejadian bekalan elektrik terputus di Mina sehingga menyebabkan berlaku rempuhan antara jemaah haji yang meragut banyak nyawa.
  • Kejadian terputus bekalan elektrik dalam terowong di Mina memang berlaku pada 10 Julai 2022.
  • Namun kejadian hanya terjadi dalam tempoh 30 minit dan berjaya diselesaikan oleh pihak Arab Saudi.
  • Tiada sebarang kehilangan nyawa dalam insiden itu.
  • Video jenazah yang meninggal dunia di Mina pula merupakan tragedi rempuhan yang berlaku pada 2015.
  • Arab Saudi umum kejayaan musim haji 1443 Hijrah dengan tidak merekodkan sebarang insiden buruk.


Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Panggilan haji merupakan perkara yang dinantikan oleh umat Islam di seluruh dunia.

Musim ibadah haji bagi tahun 1443 Hijrah telah bermula secara rasmi pada 6 Julai 2022 selepas dua tahun dihentikan ekoran pandemik Covid-19.

Ibadah haji yang dikerjakan di Mekah mengumpulkan jutaan umat Islam di dunia tanpa mengira usia dan latar belakang.

Pemergian mereka menunaikan haji diharapkan berjalan lancar dengan memperoleh haji yang mabrur serta selamat tanpa sebarang tragedi tidak diingini.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular satu pesanan menerusi WhatsApp mendakwa berlakunya kejadian terputus bekalan elektrik yang menyebabkan tragedi meragut nyawa di Mina.

 


Sumber: WhatsApp

 

Dakwaan ini juga turut tersebar di media sosial TikTok dan Facebook dengan mendapat banyak perkongsian.

Turut disertakan dua video menunjukkan situasi terputus bekalan elektrik serta video jenazah jemaah haji yang dikatakan meninggal dunia akibat rempuhan dan terperangkap dalam kejadian itu.

 


Sumber: TikTok

 

APA YANG KAMI TEMUI

Mesej Dari Indonesia

Pertama sekali MyCheck meneliti ayat yang tertera menerusi WhatsApp yang tular dan kapsyen yang disertakan pada video di media sosial.

Berdasarkan penelitian, ayat pada mesej dan kapsyen itu didapati menggunakan bahasa Indonesia yang memberi petunjuk dakwaan bermula dari Indonesia.

Dakwaan berkenaan kemudian dikongsi ke pelbagai platform dan ditularkan oleh ramai masyarakat dari negara luar termasuk Malaysia.

 

Video Pertama. Kejadian Terputus Bekalan Elektrik Di Mina Adalah Benar 

MyCheck kemudian menggunakan enjin carian Google untuk melakukan semakan lanjut.

Kami menemukan laporan mengenai kejadian terputus bekalan elektrik dalam terowong di Mina seperti yang tular.

Kejadian itu didapati benar berlaku iaitu pada 10 Julai 2022.

Namun, ia terjadi hanya dalam tempoh beberapa minit sahaja tanpa melibatkan sebarang kehilangan nyawa.

Berita mengenai kejadian ini ada dilaporkan oleh media di Indonesia antaranya Laporan.6 dan detik news.

Menurut laporan berita tersebut, kejadian terputus bekalan elektrik itu hanya terjadi dalam tempoh 30 minit dan berjaya diuruskan oleh pihak Arab Saudi tanpa meragut sebarang nyawa.

Namun, bagaimana pula dengan video jemaah yang meninggal seperti yang disebarkan bersama mesej tersebut?

Jom kita semak.

 

Video Kedua. Kejadian Sebenar Pada 2015

MyCheck cuba meneliti video kedua yang disertakan bersama video pertama.

Langkah pertama kami adalah dengan melakukan 'pecahan' pada gambar dalam video tersebut.

 


Sumber: MyCheck

 

Berdasarkan pecahan daripada video itu kami dapati ia merupakan peristiwa yang berlaku beberapa tahun lepas, iaitu pada 2015.

Bagaimana kami mendapat jawapan?

Dengan menaip “rempuhan di Mina” kami menemukan beberapa keping gambar yang kelihatan sama dengan gambar daripada pecahan video di atas.

Petunjuknya, kami nampak beberapa buah lori yang sama seperti laporan pada 2015.

Cuma, ia mungkin diambil dari sudut yang berbeza.

 


Sumber: mStar

 


Sumber: Astro Awani

 

Kenyataan Tabung Haji

Tabung Haji juga telah mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini di laman Facebook rasmi mereka.

Kami sertakan tangkap layar kenyataan Tabung Haji serta komen daripada jemaah yang berada di Mina ketika kejadian itu yang mengesahkan insiden terputus bekalan elektrik tersebut tidak melibatkan kehilangan nyawa.

 


Sumber: Tabung Haji

 

Jelas di sini kejadian rempuhan di Mina yang mengorbankan banyak nyawa itu tiada kaitan dengan insiden terputus bekalan elektrik di terowong Mina.

Ia juga bukan kejadian baharu sebaliknya telah berlaku pada 2015 dan ditularkan semula pada tahun ini.

 

Arab Saudi Umum Kejayaan Musim Haji 1443 Hijrah, Tiada Sebarang Insiden Buruk

Sebagai tambahan, menurut laporan Utusan Borneo yang memetik berita Bernama, Arab Saudi juga telah mengumumkan kejayaan penganjuran musim haji 1443 Hijrah.

Kejayaan tersebut adalah tidak merekodkan sebarang insiden buruk atau penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan jemaah haji.

 

KESIMPULAN

Siapa yang tidak tersentuh hati tatkala membaca laporan mengenai sesuatu tragedi.

Apa lagi insiden dikatakan berlaku di Mekah ketika keluarga atau individu terdekat dengan kita sedang berada jauh di sana untuk mengerjakan haji.

Sudah tentu ramai antara kita ternanti-nanti khabar insan tersayang dari bumi Mekah.

Mereka di sana yang mahukan ketenangan untuk beribadah pula pasti terganggu dan keliru dengan pelbagai pertanyaan mengenai kejadian yang tidak diketahui kerana kejadian sebenar tidak melibatkan kehilangan nyawa bahkan video kematian jemaah yang disertakan pula berlaku beberapa tahun dahulu.

Jadi usahlah memecah tuba yang bermaksud menyiarkan berita yang mencemaskan orang mendengarnya kerana ia hanya mendatangkan akibat buruk.

Seperti kata peribahasa, terpijak di tanah kapur, putih tapak, terpijak di tanah arang, hitam tapak yang bermaksud perbuatan baik, baiklah akibatnya manakala perbuatan buruk, buruklah akibatnya.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. 3 Fakta Terkait Kejadian Terowongan Mina Mati Lampu - News Liputan6.com

  2. https://www.utusanborneo.com.my/2022/07/12/arab-saudi-umum-kejayaan-musim-haji-1443-hijrah

  3. Terowongan Mina Sempat Mati Lampu, Begini Kejadiannya 

  4. Facebook Tabung Haji

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.