PDRM dan JPJ tawar diskaun bayaran kesalahan trafik sebanyak 50 peratus hingga 20 Julai 2022.
Sumber : WhatsApp / Julai 2022
PDRM dan JPJ nafi menawarkan diskaun bayaran kesalahan trafik seperti yang tular. Dakwaan berkenaan disebarkan individu tidak bertanggungjawab.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
PDRM dan JPJ merupakan dua agensi penguatkuasaan jalan raya di negara ini yang mengeluarkan saman terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan trafik.
Kedua-dua agensi berkenaan sentiasa mengadakan sekatan jalan raya di lokasi-lokasi tertentu bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
PDRM dan JPJ turut mengadakan promosi diskaun bayaran saman trafik pada tempoh tertentu termasuk sempena sambutan Hari Kebangsaan atau sambutan peringatan Hari Polis.
MENGENAI DAKWAAN
Tular satu mesej menerusi WhatsApp memaklumkan bahawa PDRM dan JPJ menawarkan diskaun bayaran kesalahan trafik hingga 50 peratus.
Menurut dakwaan dalam iklan tersebut, ia memaparkan nilai kadar saman di antara RM100 hingga RM300 namun diberi potongan hingga 50 peratus atau potongan separuh harga sekiranya bayaran dilakukan sebelum 20 Julai 2022.
Iklan berkenaan turut memaklumkan individu yang berminat dengan promosi diskaun bayaran berkenaan boleh membuat bayaran saman trafik sebelum 20 Julai atau menghubungi nombor yang tertera untuk maklumat lanjut.
APA YANG KAMI TEMUI
Iklan Palsu
PDRM dan JPJ menjelaskan mereka tidak menawarkan diskaun bayaran kesalahan trafik hingga 50 peratus seperti yang ditularkan di dalam poster berkenaan.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin yang dipetik menerusi Facebook PDRM memaklumkan iklan promosi bayaran kesalahan trafik berkenaan adalah palsu dan menjelaskan pihaknya sedang menjalankan siasatan ke atas individu yang bertanggungjawab menyebarkan iklan tersebut.
Beliau turut menasihati orang ramai yang menerima iklan promosi tersebut supaya tidak terpengaruh dengan tawaran itu atau berhubung dengan penama di dalam iklan poster tersebut.
Kenyataan Noorsiah berhubung perkara tersebut telah disiarkan oleh media alternatif seperti freemalaysiatoday, selain beberapa laman sesawang bebas antaranya siakapkeli.my dan malakattribunenews.
JPJ pula menerusi kenyataan media yang disiarkan di laman Facebook mereka turut memandang serius penyebaran iklan palsu berkenaan.
Mereka turut memaklumkan laporan polis akan dibuat kepada PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
JPJ pada masa sama turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan dakwaan berkenaan dan menghubungi pejabat JPJ yang terdekat bagi mendapatkan maklumat yang benar.
Kenyataan JPJ itu telah dilaporkan oleh beberapa blog seperti pandulaju dan media elektronik antaranya TV3, TV9 dan Astro Awani.
KESIMPULAN
Jangan mudah terpedaya dengan sebarang iklan mengelirukan yang dikeluarkan di pelbagai platform termasuk media sosial.
Kita seharusnya mendapatkan pengesahan daripada pihak yang terlibat sebelum melakukan sebarang urus niaga terutamanya membabitkan transaksi wang tunai.
Selidik dahulu sebarang iklan yang tidak masuk akal dan jadilah pengguna yang bijak.
Buat individu yang menyebarkan informasi palsu pula, PDRM sedang mengesan anda.
Tak pasal-pasal tiada beban batu digalas bermaksud membuat sesuatu yang menyusahkan diri sendiri. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
Diskaun 50% saman polis, JPJ palsu.Diterbitkan oleh Free Malaysia Today.
PDRM Nafi Diskaun Saman Sebanyak 50 Peratus Tular Di WhatsApp.Diterbitkan oleh Siakapkeli.my.
Polis Nafi Buat Promosi Diskaun Saman, Mesej WhatsApp Disahkan Palsu.Diterbitkan oleh getaran.my.
Iklan tawar diskaun 50 peratus saman PDRM, JPJ palsu – PDRM.Diterbitkan oleh Malakattribunenews.com.
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.