012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Produk Dengan Label ‘No Added Sugar’ Bukan Bebas Kandungan Gula. Ia Mengandungi Pelbagai Jenis Pemanis Tiruan

Benarkah...

Produk makanan di pasaran dengan label ‘no added sugar’ yang dianggap tanpa sebarang gula sebenarnya satu penipuan.

Sumber : Facebook, WhatsApp / Julai  2022

Hasil

Masih terdapat kandungan gula sintetik serta pemanis tiruan di dalam produk tersebut dan ia bukan jaminan pilihan makanan sihat.

19/08/2022 05:55 PM

SEKILAS FAKTA

  • Terdapat dakwaan menyatakan produk makanan dengan label ‘no added sugar’ atau tiada tambahan gula sebenarnya menipu pengguna.
  • Dakwaan itu memberi gambaran bahawa produk dengan label tiada tambahan gula sebenarnya masih mengandungi gula serta bukan pilihan produk makanan sihat.
  • Kandungan produk dengan label ‘no added sugar’ adalah pemanis tiruan atau gula sintetik dengan nama atau perkataan yang susah dibaca.
  • Bahan pemanis tersebut tetap memberi impak kepada kesihatan jika diambil secara berlebihan.
  • Penghasilan pemanis tiruan dan gula sintetik boleh memberi kesan sampingan kepada kesihatan manusia.


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Mungkin bilangannya tidak begitu ketara namun, dalam kalangan kita pasti ada yang dilihat berusaha menjaga pemakanan untuk kekal sihat.

Lebih-lebih lagi jika berkenaan kadar pengambilan gula dalam diet seharian.

Tentu kita pernah mendengar ada di antara rakan-rakan yang memberitahu dia tidak minum air manis, cukup hanya sekadar air 'kosong'.

Bagi yang menjaga pemakanan pula biasanya akan mengurangkan pengambilan gula atau garam kerana bimbang dijangkiti penyakit diabetes atau darah tinggi.

Apabila sudah menjaga diet seharian, pastinya mereka ini akan lebih cerewet dalam memilih produk-produk makanan di pasaran dengan mencari barangan yang dikategorikan sebagai sihat.

Banyak produk makanan di pasaran yang kita lihat tertera label 'no sugar added' atau 'sugar free'. Namun apakah yang dimaksudkan dengan label tersebut?

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima maklumat daripada orang awam yang inginkan kepastian sama ada benarkah selama ini pengguna tertipu dengan produk makanan dengan label ‘no added sugar’.

Berdasarkan dakwaan yang kami terima itu, tertulis kenyataan 'kesian pengguna dimanipulasi. Asyik terkena sahaja', beserta gambar produk minuman susu kultur berperisa buah-buahan yang tertera label ‘no added sugar’.

Benarkah tiada kandungan gula? Tapi mengapa pula masih berasa manis?

Jika benar masih mengandungi gula sama seperti produk tanpa label tersebut, ini bermaksud memilih untuk membeli produk dengan label ‘no added sugar’ juga belum tentu sihat.

Apa pun biar kami semak terlebih dahulu berkenaan dakwaan tersebut ya!

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck mencari maklumat berkenaan isu yang didakwa itu menerusi enjin carian Google dengan menggunakan kata kunci ‘produk dengan label 'no added sugar'.

Hasilnya kami menemukan maklumat-maklumat yang sepadan seperti gambar carian di bawah untuk kami teliti satu persatu.

 


Sumber: Google

 

Selain itu kami cuba mencari maklumat menerusi enjin carian Google dengan menggunakan kata kunci yang terdapat pada tangkap layar yang diterima iaitu ‘Kesian pengguna. Dimanipulasi. Asyik terkena sahaja.’

Hasil carian paling sepadan ialah portal neuroversiti menerusi laporan bertajuk 'Bagaimana Label Makanan dan Minuman Menipu Kita'.

 


Sumber: Google

 

Apa Maksud Label 'No Added Sugar'

Maklumat menerusi portal neuroversiti itu merupakan perkongsian oleh seorang doktor perubatan Dr Rizal Abu Bakar.

Beliau menjelaskan label ‘no added sugar’ bermaksud tiada gula tambahan pada sesuatu produk makanan atau minuman itu.

Produk berkenaan juga tidak diberitahu bahawa bahan asasnya terkandung gula yang banyak, sebagai contoh jus buah-buahan.

Selain itu, sebagai pengetahuan asas tentang kandungan gula dalam produk makanan, terdapat juga label yang tertera 'sugar free' yang bermaksud produk berkenaan tidak mengandungi gula tetapi sudah dimasukkan pemanis sintetik atau tiruan.

Biasanya nama-nama pemanis sintetik ini adalah perkataan yang susah disebut atau dieja contohnya cesulfame potassium atau acesulfame.

Seterusnya label 'no sugar' yang bermaksud produk tidak mengandungi gula tetapi diletak gula alkohol (yang dibuat secara sintetik) serta jenis pemanis tiruan yang juga dibangunkan secara sintetik.

Ini bermakna gula tetap terkandung di dalam produk-produk dengan label-label berkenaan.

 

Mengesan Produk Dengan Kadar Gula Tinggi

Menurut laporan portal sinarharian yang memetik laman Facebook Public Health Malaysia, terdapat cara untuk mengesan produk dengan kandungan gula yang tinggi iaitu dengan membaca maklumat pemakanan atau kandungan yang terdapat pada bungkusan produk.

Jika ramuan pertama adalah gula, bermaksud kandungan tertinggi atau paling banyak digunakan dalam produk tersebut adalah berasaskan gula.

Selain itu, terdapat lebih 60 nama lain bagi gula yang digunakan dalam produk makanan dan minuman seperti dalam gambar di bawah.

Teliti dengan baik dan lebih bagus jika kita boleh mengingat nama-nama tersebut.

 


Sumber: Public Health Malaysia

 

Gula Tiruan

Menurut portal roots of science, gula tiruan atau pengganti gula adalah kategori pemanis intensif.

Ia mampu memberikan rasa manis yang berganda-ganda berbanding gula putih.

Jika digunakan dalam jumlah yang sedikit pun sudah mampu memberikan rasa manis.

Gula tiruan ini adalah sejenis gula gantian sintetik yang diperbuat daripada bahan kimia namun ia juga boleh dihasilkan secara semula jadi dari pokok herba dan gula biasa.

Penggunaannya kini secara meluas dalam pembuatan produk makanan kerana ia lebih murah berbanding pemanis semula jadi dan mempunyai nilai kalori yang rendah.

Terdapat pemanis yang memberikan kalori yang sangat rendah dan ada juga yang tiada kalori langsung.

 

Jenis Gula Tiruan

Pakar Diet (Dietitian) Nurasyikin Rahmat dalam portal root of science menjelaskan terdapat pelbagai jenis gula tiruan yang digunakan secara meluas.

Gula putih (sukrosa) yang selalu digunakan mempunyai kuasa manis bersamaan dengan satu nilai relatif gula biasa.

Selain itu, aspartame mempunyai 200 kali ganda rasa manis berbanding gula putih.

Acesulfame kalium pula mempunyai kadar kemanisan relatif antara 150 hingga 200 kali ganda.

Advantame pula mempunyai kuasa manis 37,000 kali ganda daripada gula putih dan merupakan pemanis yang paling manis di dunia.

Ia biasanya digunakan di dalam produk seperti kopi, teh ais, formulasi minuman tepung, gula-gula getah dan yogurt.

Saccharin pula biasanya dijual di bawah jenama Sweet’N Low dan Sweet Twin, mempunyai kadar kemanisan relatif 240 hingga 300 kali ganda berbanding gula putih.

Pemanis jenis ini biasa digunakan di dalam minuman jus buah-buahan, makanan berproses, buah proses, sos, yogurt dan gula-gula getah.

Saccharin juga selalu digandingkan bersama cyclamates dan aspartame kerana mempunyai sedikit asid di dalamnya hasil daripada tindak balas kimia semasa pembuatannya. Ia dicampurkan bagi mengimbangkan rasa.

 

Kesan Sampingan Gula Sintetik

Menurut portal lifestyle-ms-cosmetius, sebatian kimia untuk membuat produk pemanis tiruan memberikan beberapa kesan sampingan misalnya aspartame sering menjadi punca sakit kepala, menimbulkan insomnia dan meningkatkan selera makan.

Selain itu, aspartame tidak boleh diambil oleh golongan yang mempunyai penyakit phenylketonuria (PKU).

Hal ini kerana aspartame ialah sumber phenylalanine yang mana bagi pesakit PKU, mereka tidak mempunyai enzim phenylalanine hydroxylase untuk menukarkan phenylalanine yang dimakan.

Sekiranya berlaku pengumpulan phenylalanine, boleh menyebabkan kerosakan otak dan sistem saraf.

Dahulunya, penggunaan sachharine telah diharamkan kerana ada kajian membuktikan kaitannya dengan kanser pundi kencing pada tikus makmal.

Sachharine telah dilabelkan sebagai bahan yang menyebabkan kesihatan terjejas.

Namun, setelah beberapa kajian dilakukan, penggunaan sachharine di dalam makanan dan minuman di seluruh dunia adalah selamat.

Sachharine boleh melalui dan melepasi plasenta dan boleh dipindahkan daripada ibu kepada anak melalui susu ibu.

Sistem tubuh badan dan organ bayi tidak matang untuk memproses sachharine.

Oleh itu, ibu mengandung dan ibu yang sedang menyusu dinasihatkan tidak mengambil sachharine.

Portal healthline ada menjelaskan bahawa pengambilan pemanis tiruan atau sintetik ini akan mengakibatkan keinginan yang lebih tinggi terhadap makanan-makanan manis.

Ini membuatkan seseorang itu akan mengambil makanan manis berasaskan gula tiruan dengan lebih banyak lagi.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah kami semak, dakwaan menyatakan produk makanan dengan label ‘no added sugar’ sebenarnya memilik gula dan bukan pilihan makanan yang sihat adalah benar.

Produk makanan atau minuman dengan label ‘no added sugar’ bukanlah jaminan makanan tersebut sihat kerana tetap mengandungi pemanis tiruan atau gula sintetik.

Jadi pemilihan makanan dan diet yang seimbang adalah sangat penting dalam penjagaan kesihatan.

Sebagai pengguna kita seharusnya lebih peka tentang apa yang kita makan jika ingin mengamalkan gaya hidup sihat.

Bukan tidak boleh menggantikan gula putih dengan pemanis tiruan atau pemanis sintetik, namun perlu difahami bahawa setiap apa yang kita ambil sekiranya secara berlebihan tentu membawa kepada kemudaratan.

Tambahan pula setiap produk yang dihasilkan menerusi proses kimia pastinya akan mempunyai kesan sampingan.

Oleh itu kami di MyCheck suka untuk mengingatkan para pembaca bahawa mencegah adalah lebih baik dari mengubati.

Ingat, kadar pengambilan gula sehari seharusnya tidak melebihi 50 gram ya! Biar kurang manis dalam makanan namun lebihkan manis dalam senyuman!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Makna sebenarnya jargon sehat pada label kemasan makanan 

  2. Bagaimana Label Makanan & Minuman Menipu Kita – NEUROVERSITI 

  3. What Does “No Sugar Added” Mean? | Winston & Strawn Law Glossary

  4. KIND Becomes First Major Snack Brand to Publish Added Sugar Content

  5. Sugar-free, No added Sugar, or Unsweetened - What's Better? | Breathe Well-being 

  6. Free and Added Sugar Consumption and Adherence to Guidelines: The UK National Diet and Nutrition Survey (2014/15–2015/16) - PMC 

  7. Ini 60 nama lain bagi gula, kaki diet penting ambil tahu! | Sinar Harian 

  8. Food Fact : Produk "Sugar Free" - Berita | HMPS Teknologi Pangan 

  9. Yakin Produk Less Sugar & Low Sugar Itu Sama? Ini Faktanya 

  10. Pahami Klaim Bebas Gula: Apa Bedanya? - linisehat.com 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2022 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.