Minuman Coca-Cola boleh merawat dan menyembuhkan masalah batuk.
Sumber : TikTok / Ogos 2022
Belum ada sebarang kajian saintifik mengesahkan minuman Coca-Cola boleh sembuhkan batuk. Ia tidak sesuai diminum secara kerap kerana mengandungi kandungan gula yang tinggi.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Batuk merupakan salah satu masalah kesihatan yang dialami oleh manusia disebabkan pelbagai faktor termasuk alahan dan pendedahan kepada udara tercemar.
Selain ubat-ubatan yang dibekalkan klinik dan hospital, evolusi dalam bidang farmaseutikal menyaksikan syarikat farmasi memperkenalkan pelbagai jenis ubat sama ada dalam bentuk kapsul atau cecair untuk merawat batuk.
Namun masih ramai masyarakat terutama di desa percaya dan bergantung dengan kaedah tradisional untuk merawat batuk.
Selain meminum air lemon panas bersama hirisan halia, memakan sesudu perahan limau dan madu, air Coca-Cola juga antara kaedah yang menjadi pilihan utama masyarakat kerana diyakini berkesan untuk melegakan batuk.
MENGENAI DAKWAAN
Seorang pengguna Facebook menggunakan nama Aida Wati Isahak telah memuat naik satu hantaran mendakwa beliau telah sembuh daripada batuk selepas meminum satu tin air Coca-Cola.
Beliau mendakwa masalah kegatalan pada tekaknya juga telah hilang dan menyarankan kaedah berkenaan kepada orang ramai yang mengalami masalah sama.
APA YANG KAMI TEMUI
Apa Itu batuk?
Sebelum pergi lebih lanjut, kita perlu memahami maksud perkataan ‘batuk’ itu sendiri.
Menurut portal MyHealth, batuk adalah tindak balas semula jadi untuk menyingkirkan bendasing dan kuman yang mana ia dapat membantu menghalang salur pernafasan daripada terkena sebarang jangkitan.
Terdapat beberapa punca seseorang mendapat batuk termasuk alahan, asma, merokok, penghidap penyakit paru-paru seperti Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD), selain terdedah kepada habuk, asap dan bahan kimia di persekitaran.
Batuk juga boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, iaitu daripada batuk biasa yang mengambil tempoh masa pendek untuk sembuh antara seminggu hingga tiga minggu, serta batuk kronik yang mengambil jangka masa panjang untuk pulih iaitu lapan minggu dan ke atas.
Menurut sebuah laman sesawang berkaitan kesihatan, Isabelhealthcare, terdapat sembilan jenis batuk yang kebiasaannya dialami oleh mana-mana individu iaitu chesty cough, tickly cough, batuk kering, batuk malam, batuk kronik, batuk disebabkan risau atau bimbang, croup cough, batuk tercekik dan whooping cough.
Rawat Batuk Dengan Minum Air Coca-Cola Sudah Menjadi Amalan Ramai
Kaedah rawatan batuk dengan meminum air Coca-Cola dan campuran ketulan ais atau campuran bahan lain seperti hirisan limau dan air suam atau panas bukanlah perkara baharu.
Kaedah sedemikian didapati telah lama dipraktikkan oleh segelintir individu sebelum disebarkan menerusi pelbagai platform media sosial.
Seorang pengguna Facebook menggunakan nama Ida Shahida pada 2015 mendakwa telah sembuh daripada batuk selepas meminum air Coca-Cola yang direbus selama lima minit.
MyCheck turut menemukan beberapa blog antaranya healthblog.yinteing.com dan evacomics.blogspot.com yang turut menyatakan bahawa meminum air berkarbonat itu mampu merawat batuk.
Menerusi artikel yang disiarkan di dalam kedua-dua blog berkenaan, penulis menyarankan supaya mana-mana individu yang berdepan masalah batuk untuk meminum air Coca-Cola yang direbus dan dicampur dengan beberapa bahan lain seperti hirisan lemon dan halia.
Keberkesanan Minum Coca-Cola Untuk Rawat Batuk Tidak Dapat Dibuktikan Secara Saintifik
Menurut seorang doktor perubatan Dr Muhamad Hazwan Nazri atau lebih dikenali dengan nama pena, Drwanshare menerusi laman TikTok, meminum air Coca-Cola sebenarnya tidak membantu menyelesaikan masalah batuk yang dialami oleh mana-mana individu.
Malahan, Dr Muhamad Hazwan yang mempunyai lebih 410,000 pengikut di TikTok mendedahkan beliau tidak menemui sebarang kajian saintifik yang mengaitkan air Cola-Cola dengan rawatan batuk.
“So far (setakat ini),aku tak jumpa lagi kajian saintifik pasal coke dengan batuk, takde kajian lagi beb dan aku rasa saintis pun rasa benda macam ini buang masa kalau mereka spend (belanja) berbillion-billion (wang) untuk mengetahui kebaikan coke untuk (atasi) batuk,” jelas Dr Muhammad Hazwan.
Sehingga laporan ini ditulis (30 Ogos 2022), video berkenaan telah meraih lebih 1.8 juta tontonan, 2,666 komen dan 3,564 perkongsian.
Kontroversi Air Coca-Cola
Terdapat beberapa kontroversi yang tercetus mengenai pengambilan minuman Coca-Cola sebelum ini.
Antaranya adalah air Coca-Cola dikatakan tidak halal kerana mengandungi sedikit kandungan alkohol, namun dakwaan berkenaan pantas dinafikan oleh Coca-Cola Bottlers Sdn Bhd yang merupakan pengeluar air berkarbonat berkenaan di negara ini.
Syarikat berkenaan yang berpangkalan di Bandar Baru Enstek, Nilai, Negeri Sembilan itu turut mengesahkan bahawa kesemua 86 jenis produk mereka adalah halal kerana telah mendapat sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
MyCheck pernah mengeluarkan artikel mengenai isu berkenaan yang bertajuk Minuman Coca-Cola Di Pasaran Malaysia Tiada Kandungan Alkohol, Diiktiraf Halal Oleh Jakim pada 28 Jun lepas.
Kaedah Tradisional Masih Relevan Rawat Batuk
Meskipun keberkesanan minuman Coca-Cola dalam merawat batuk tidak dapat dibuktikan secara saintifik namun semakan kami mendapati kaedah tradisional lain dengan menggunakan bahan semula jadi masih berkesan dan kekal relevan sehingga kini bagi mengurangkan batuk.
Seorang pakar psikologi kesihatan klinikal Dr Rizal Abu Bakar menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan campuran hirisan bawang besar bersama madu asli mampu mengurangkan batuk yang dialami oleh seseorang individu.
Beliau yang merupakan pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) memaklumkan kaedah berkenaan bertujuan bagi mengeluarkan kahak dari tekak dan ia telah lama diamalkan oleh masyarakat barat ketika batuk.
Kami turut menemui satu jurnal perubatan yang diterbitkan oleh WebMD bertajuk “Natural Cough Remedies” mengenai beberapa bahan tradisional yang boleh digunakan bagi merawat batuk.
Menurut penulis artikel berkenaan, Dr. Carol DerSarkissian beliau menyarankan penggunaan 12 bahan semula jadi bagi rawatan batuk seperti mengamalkan pengambilan madu, meminum teh atau air panas yang dicampur hirisan halia dan madu selain meminum air kosong tanpa ais dalam kuantiti yang secukupnya.
Kaedah lain adalah menghidu wap campuran daun pudina, membersihkan saluran rongga hidung dengan menggunakan air garam yang diletakkan dalam “neti pot” (teko neti yang digunakan untuk membuang lendir dan cairan dari saluran hidung), meminum perahan buah elderberry dalam bentuk kapsul atau cecair dan menyapu menthol (sejenis bahan dalam daun pudina) ke bahagian dada.
Selain itu, kami turut menemui beberapa laman sesawang yang berkongsi pelbagai petua tradisional yang boleh diamalkan oleh individu yang mengalami masalah batuk.
Laman sesawang itu antaranya adalah healthline.com, medicalnewstoday.com dan everydayhealth.com.
KESIMPULAN
Meskipun ada yang mendakwa minuman Coca-Cola telah menghilangkan batuk mereka, namun setakat ini, tiada sebarang kajian membuktikan minuman itu boleh menyembuhkan batuk.
Boleh saja jika anda cuba kaedah alternatif dengan cara tradisional namun sesuatu kaedah yang tidak disahkan pakar perubatan janganlah diamalkan berterusan bimbang nanti timbul pula masalah lain.
Dapatkan rawatan di klinik atau hospital jika batuk anda berterusan hingga suara pun berubah serak.
Kata orang suara serak ni seksi, tapi jika bukan asli dek batuk tak henti, tak payahlah menyeksa diri.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.