+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Paderi Bernama Razman Zakri Tidak Wujud. Dakwaan Penyebaran Agama Kristian Didalangi Paderi Melayu Di Negeri Sembilan Adalah Palsu

Benarkah...

Seramai 1,900 paderi Melayu diketuai paderi bernama Razman Zakri tiba di Negeri Sembilan untuk menyebarkan agama Kristian.

Sumber : WhatsApp, Blog / September 2022

Hasil

Mesej tular sebenarnya berasal daripada sebuah blog. Ia merupakan dakwaan lama yang pernah diperkatakan sejak 2006 dan kembali tular. Paderi bernama Razman Zakri juga tidak wujud.

28/09/2022 01:22 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular mesej mendakwa seramai 1,900 paderi Melayu dari Singapura diketuai seorang paderi bernama Razman Zakri tiba di Negeri Sembilan untuk menyebarkan agama Kristian.
  • Mesej berantai berkenaan telah diperkatakan sejak 2006 dan tular semula baru-baru ini.
  • Polis sahkan dakwaan berkenaan adalah palsu.
  • Masyarakat diminta tidak sebarkan mesej tersebut.
  • Paderi bernama Razman Zakri tidak wujud dan hanya rekaan semata-mata.
  • Gambar dua paderi yang tular bukan berbangsa Melayu tetapi kaum Cina dan Kadazan Dusun.


Sumber: WhatsApp

 

LATAR BELAKANG

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik berbanding beberapa negara lain di dunia disebabkan kepelbagaian kaum dan agama yang hidup dalam keadaan aman harmoni.

Walaupun agama Islam merupakan agama rasmi Persekutuan sebagaimana tertakluk dalam Perlembagaan, individu lain bebas mengamalkan budaya hidup dan kepercayaan mengikut agama masing-masing seperti Hindu, Buddha, Kristian dan sebagainya.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, perpaduan menjadi tunjang utama negara dalam membentuk sebuah masyarakat yang harmoni dan saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular mesej berantai di WhatsApp mendakwa seramai 1,900 paderi Melayu dari Singapura tiba di Seremban, Negeri Sembilan dengan diketuai seorang paderi bernama Razman Zakri.

Bersama mesej berkenaan turut disertakan gambar dua orang lelaki yang dikatakan paderi.

Menurut mesej itu, paderi berkenaan menggunakan sihir dan mencampurkan beberapa jenama air mineral dengan ‘air suci’ bagi penganut Kristian (holy water) untuk menarik lebih ramai umat Islam menukar agama kepada Kristian.

Antara jenama air mineral yang disebutkan dalam mesej berantai itu adalah Al-Baramkah, Al-Mansori dan Al-Bistaria.

Individu yang menyebarkan mesej berantai berkenaan turut menasihatkan umat Islam di negara ini supaya berhati-hati dengan kedatangan kesemua paderi berkenaan.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Siapakah Razman Zakri?

Perkara pertama yang kami semak adalah siapakah Razman Zakri?

Mungkin ramai yang tertanya-tanya siapakah individu berkenaan yang dikatakan mengetuai sejumlah 1,900 paderi ke Seremban bagi menyebarkan agama Kristian.

Kami menemui sebuah blog iaitu coretan-cyber yang membongkar mengenai latar belakang Razman Zakri.

Blog berkenaan mendedahkan bahawa nama Razman Zakri sebenarnya sengaja direka.

Menurut penulis blog itu, terdapat dua versi penyebaran mesej berkenaan iaitu versi Disember 2007 yang mana kandungan mesej hampir sama dengan versi kedua.

Mesej yang tular pada 2007 mendakwa sejumlah 19 paderi Melayu tiba di Negeri Sembilan, namun tiada nama Razman Zakri dan gambar dua orang paderi seperti mesej yang tular baru-baru ini.

Pada 2010 pula, kandungan mesej berantai berkenaan telah diubah suai dengan jumlah paderi Melayu ditukar kepada 1,900 orang dan turut disertakan nama Razman Zakri bersama dua individu lain dan sekeping gambar.

Penulis blog tersebut turut mendakwa hanya satu persamaan di antara versi 2007 dan 2010 iaitu aktiviti paderi dan empat jenama air mineral yang dikatakan dicampur air suci.

Yang pasti, gelaran RAZMAN ZAKRI yang diberikan kepada DUA ORANG PADERI dalam gambar tersebut bakal mendatangkan bahaya secara langsung kepada Paderi ini. Harus anda ingat, dua orang paderi tersebut bukan dari Singapore dan bukan orang Melayu,” demikian menurut hantaran penulis blog berkenaan.

 

Bukan Paderi Melayu

Catatan pada laman blog berkenaan turut mendakwa kedua-dua paderi yang ditularkan dalam mesej berantai berkenaan sebenarnya bukan berbangsa Melayu.

Sebaliknya penulis blog berkenaan mendedahkan individu di sebelah kiri dalam gambar itu dikenali sebagai Paulus Toni Tantiono OFM Capuchin dan berasal dari Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia.

Beliau dikatakan sedang mengajar Kitab Suci di Seminari Tinggi Permatang Siantar, Sumatera Utara, Indonesia.

Individu di sebelah kanan dalam gambar itu pula dikenali sebagai Rev Fr. Nicholas Stephen dan berasal dari Penampang, Sabah, yang mana beliau bertugas di Paroki St. John Tuaran sebagai paderi Paroki.

Paroki bermaksud sebuah daerah pentadbiran kecil yang kebiasaannya mempunyai gereja sendiri dan imam atau pendeta.

Paderi Paulus dikatakan berketurunan cina manakala paderi Nicholas dari suku Kadazan-Dusun dan kedua-dua individu berkenaan merupakan paderi kristian katolik.

Penulis blog berkenaan turut menyertakan beberapa keping gambar yang diambil daripada laman Facebook seorang individu menggunakan nama Simon Kopong yang berasal dari Lahad Datu, Sabah.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Simon mendedahkan penipuan daripada mesej berantai berkenaan setelah mendapatkan pengesahan daripada pelbagai sumber termasuk daripada saudara Nicholas sendiri.

 


Sumber: Facebook

 


Sumber: Facebook

 


Sumber: Facebook

 


Sumber: Facebook

 


Sumber: Facebook

 

Selain itu, kami turut menemui hantaran mesej yang sama di beberapa laman Facebook termasuk di sini dan di sini.

 

Keputusan Umat Islam Tukar Agama Kepada Kristian Adalah Kehendak Sendiri, Bukan Disebabkan ‘Air Suci’

Acap kali kita dengar bahawa ‘air suci’ atau biasa disebut holy water ini adalah ‘bahaya’ dan dianggap umpama sihir kepada umat Islam.

Ini kerana kepercayaan bahawa air itu jika diminum atau terkena umat Islam akan menyebabkan akidah terpesong sehingga boleh menukar agama kepada Kristian.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mujahid Yusof Rawa menerusi laporan Malaysiakini bertajukPAS: Holy Water tak akan tukar Muslim jadi kristianpada 11 Januari 2014 pernah menyifatkan tanggapan itu adalah karut.

"Tidak wujud langsung pergi ke gereja tiba-tiba jadi Kristian. Ini adalah karut.

"Ada yang kata kalau orang Kristian bagi 'holy water' - sekali minum, 'habis'.

"Kita mungkin ketawa, tetapi cuba fikir kembali berapa ramai di luar sana mempercayainya?," katanya dalam laporan itu.

 

Penafian Oleh Polis

Menggunakan aplikasi Wayback Machine, kami turut menemukan sebuah artikel daripada Bernama yang disiarkan oleh Harian Metro pada 26 Ogos 2016 mengenai penafian pihak polis berhubung dakwaan itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner (ACP) Datuk Muhamad Zaki Harun, dakwaan sekumpulan paderi berbangsa Melayu bergerak aktif di negeri ini merupakan dakwaan lama yang ditularkan semula.

"Ini gambar lama, masa saya (bertugas) di Perak pun dah ada. Diviralkan semula," katanya menurut laporan berkenaan.

Beliau bagaimanapun mendedahkan pihak polis menerima laporan berhubung pengedaran kitab Bible yang diletak pada kenderaan di kawasan letak kereta stesen Keretapi Tanah Melayu Seremban.

"Kami terima laporan pada 9 Ogos lepas (2016) dan siasatan dibuat polis Jasin, Melaka, kerana kejadian sama juga berlaku di Jasin sebelum itu.

"Polis sentiasa memantau dan selepas itu tiada lagi kejadian atau laporan kami terima," jelas Muhamad Zaki yang kini menyandang jawatan sebagai Ketua Polis Kelantan.

 


Sumber: Wayback Machine

 

KESIMPULAN

Sebagai masyarakat di negara yang berbilang kaum dan bangsa, kita boleh meraikan perbezaan pendapat, namun usah menyebarkan perkara yang boleh menggugat keharmonian.

Berhati-hati apabila membuat atau berkongsi dakwaan yang tidak pasti terutama mengenai agama dan perkauman yang merupakan antara isu sensitif.

Taatlah pada agama sendiri tetapi hormatilah juga agama yang lain.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Razman Zakri Bukan Benjamin Stephen.Diterbitkan oleh coretan-cyber

  2. Facebook Simon Kopong

  3. Facebook Muhamad Adam

  4. Facebook Asnawi Zainal

  5. Air mineral + Holy water... Cerita layu.. Aduhai Melayu...Diterbitkan oleh Izatmalaysia.blogspot

  6. holy water.Published by britannica.com

  7. wayback machine

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2022 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.